ISU PERGADUHAN ANTARA KELUARGA BERBAJU MERAH DAN PENGHANTAR MAKANAN (FOOD PANDA)

ISU PERBALAHAN KELUARGA BAJU MERAH DAN PENGHANTAR MAKANAN

PERGADUHAN KELUARGA BAJU MERAH DAN PENGHANTAR MAKANAN

Polis menahan 11 lelaki tempatan bagi membantu siasatan berhubung video tular mengenai pergaduhan membabitkan sekumpulan individu dan seorang penghantar makanan. Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, seorang lelaki membuat laporan mengenai pergaduhan antara pengadu bersama keluarganya dengan seorang penghantar makanan pada pukul 2.30 petang Isnin.

“Pergaduhan berlaku di sebuah inap desa (homestay) di Sri Gading. Penghantar makanan juga telah membuat laporan polis dan kedua-dua pengadu mengalami cedera ringan di kepala dan badan,” katanya.

Menerusi sosial media, pihak keluarga berbaju merah tampil bersuara menyatakan bahawa kejadian ini berlaku ketika keluarganya sedang menjalankan aktiviti sukaneka family day di homestay tersebut. Menurutnya lagi, seluruh tempat dan kawasan itu telah ditempah dan memasang muzik yang kuat sepanjang aktiviti sukaneka tersebut. Namun, apa yang terjadi apabila seorang wanita dan anaknya sedang bermandi-manda di kolam tempat tersebut. Bahkan wanita tersebut memarahi keluarga tersebut kerana muzik yang menganggunya sedang beliau telahpun membayar bagi menggunakan kolam tersebut dan berhak mendapatkan ruang yang tenang dan nyaman.

Perbalahan berlarutan sehinggalah wanita tersebut memanggil suaminya iaitu penghantar makanan (foodpanda) masuk campur dan akhirnya berakhir dengan pergaduhan yang dimulakan oleh si suami itu tadi apabila menumbuk seorang lelaki berbaju merah.

Situasi dikeruhkan lagi apabila keluarga berbaju merah semuanya masuk campur dan memukul pasangan suami isteri itu. Kejadian ini pada akhirnya menjadi kes polis dan masih dijalankan siasatan.

Tidak kira siapa yang salah, apabila berlakunya pergaduhan seperti ini setiap orang yang terlibat ada salahnya. Bagaimana pihak pengurusan boleh membiarkan orang luar masuk dan menerima bayaran menggunakan kolam sedangkan sudah ada keluarga yang menempah tempat tersebut? Kenapa si suami menggunakan kekerasan dalam menyelesaikan perbincangan dan salah faham? Apakah benar tindakan keluarga berbaju merah yang memukul secara beramai-ramai kepada pasangan suami isteri yang memulakan kekerasan? Adakah wajar yang tidak terlibat hanya melihat sahaja pergaduhan ini berlaku sehingga berlakunya kecederaan pada yang terlibat?

SALAH FAHAM DAN EMOSI

Apabila berlakunya perbalahan dan pergaduhan, sudah tentu ianya berpunca daripada salah faham ataupun terlalu mengikutkan emosi. Tidak dinafikan, suatu yang sukar dielakkan ialah merasa marah jika diprovok. Ia boleh berlanjutan kepada perilaku yang buruk seperti memaki hamun hingga pergaduhan dan pertempuran. Di sinilah yang membezakan sikap dan akhlak kita yang sebenar.

BALAS KEJAHATAN DENGAN KEBAIKAN

Allah SWT berfirman, dalam surah Fussilat ayat ke-34:

وَلَا تَسْتَوِى ٱلْحَسَنَةُ وَلَا ٱلسَّيِّئَةُ ۚ ٱدْفَعْ بِٱلَّتِى هِىَ أَحْسَنُ فَإِذَا ٱلَّذِى بَيْنَكَ وَبَيْنَهُۥ عَدَٰوَةٌۭ كَأَنَّهُۥ وَلِىٌّ حَمِيمٌۭ ٣٤

Maksudnya: “Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik. Apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.”

Menurut Muqatil, ayat ini turun kepada Abu Sufyan yang menyakiti dan memerangi Nabi S.A.W. (Ibnu Kathir, At Tobari, Baghawi)

Kata Ibnu Abbas, membalas dengan cara paling baik ialah bersabar ketika dimarahi, berlembut dengan orang yang jahil, dan berlapang dada (memaafkan) ketika disakiti.

Allah SWT mengajarkan umatnya berbuat kebaikan. In Shaa Allah ia akan melembutkan hati yang keras. Islam melarang pelaku buruk dibalas dengan keburukan. Walaupun orang lain memutuskan silaturahim, kita diperintah menghubungkannya. Orang berbuat aniaya serta kezaliman pada kita, kita sewajarnya memaafkan mereka. Ini kerana orang yang berusaha menghubungkan silaturahim, memaafkan perbuatan orang yang menzaliminya, sentiasa berbuat baik kepada orang lain yang berbuat buruk padanya akan sentiasa mendapat pertolongan daripada Allah SWT.

Sebagai umat Islam yang patuh dengan ajaran al-Quran dan As-Sunnah, wajib ke atas diri kita untuk sentiasa membalas segala perbuatan buruk itu dengan kebaikan. Salah satu contoh adalah berdoa. Bagi seorang mukmin, senjata yang paling ampuh bagi mereka adalah doa. Hidup ini adalah aturan dari Allah SWT dan Allah sahaja yang layak membalas segala perbuatan manusia di bumi ini. Seperti akhlak Rasulullah SAW, walaupun Baginda dihina, dicaci, dipukul dan sebagainya, Baginda masih mendoakan kesejahteraan si pelakunya agar Allah SWT memberikannya hidayah.

Ingatlah, balaslah sebuah kejahatan itu dengan setitis kebaikan. Kerana dengan setitis kebaikan itulah mampu menghapuskan sejuta kejahatan yang bakal melanda ke atas diri kita. Apa yang pasti, sudah tentu kita akan mendapat pahala yang berlipat ganda dan perlindungan daripada Allah SWT di dunia dan akhirat.

Firman Allah SWT, dalam surah asy-Syura, ayat ke-40:

وَجَزَٰٓؤُا۟ سَيِّئَةٍۢ سَيِّئَةٌۭ مِّثْلُهَا ۖ فَمَنْ عَفَا وَأَصْلَحَ فَأَجْرُهُۥ عَلَى ٱللَّهِ ۚ إِنَّهُۥ لَا يُحِبُّ ٱلظَّـٰلِمِينَ ٤٠

Maksudnya: “Maka barang siapa memaafkan dan berbuat baik, maka pahalanya atas (tanggungan) Allah.”

KISAH NABI SAW

Baginda SAW berbuat baik kepada orang kafir yang tidak henti-henti menganiaya baginda. Namun, kasih sayang dan akhlak mulia yang ditunjukkan oleh baginda itu akhirnya dapat mengubah hati mereka untuk memeluk agama Islam.

  • Kisah Pertama

Diceritakan satu kisah Rasulullah SAW bersama pengemis Yahudi yang buta.

Si pengemis itu mencari-cari baginda apabila beliau merasakan bukan Nabi SAW yang menyuapkannya makan seperti pada hari-hari biasa. Saidina Abu Bakar RA menangis sambil berkata kepada pengemis itu: “Aku memang bukan orang yang biasa datang setiap hari memberimu makan. Aku adalah salah seorang daripada sahabatnya.

“Beliau tidak akan datang lagi ke sini untuk memberimu makan.”

Mendengar hal itu, pengemis itu menangis dan berkata: “Apa salahku sehingga dia sudah tidak mahu menemuiku lagi? Sampaikan permintaan maafku sehingga dia mahu mendatangiku lagi…”

Saidina Abu Bakar RA membalas: “Orang yang mulia itu telah tiada. Beliau sudah meninggal dunia dan akulah yang akan menggantikan beliau. Aku adalah Abu Bakar, sahabat Muhammad SAW. Baginda adalah orang yang setiap hari menyuapimu…” Semakin deraslah air mata si pengemis buta tatkala mendengar kata-kata itu daripada Abu Bakar.

Dia menyesal dan kemudian berkata: “Benarkah demikian? Selama ini, aku selalu menghinanya, memfitnahnya dan melecehkan harga dirinya. Dia tidak pernah memarahiku sedikit pun. Dia tetap mendatangiku setiap hari dengan membawa makanan dan dengan sabar menyuapiku. Dia begitu mulia. “Kalau begitu, aku mahu kamu menjadi saksi. Aku ingin mengucapkan kalimah syahadah dan aku memohon keampunan Allah,” ujar pengemis buta itu.

  • Kisah Kedua

Suatu kisah menarik yang lainnya di zaman Nabi SAW:

Suatu hari datang seorang pendeta Yahudi bernama Zaid bin Su’nah, datang bertemu Nabi SAW dan meminta untuk ditunaikan haknya. Dia merentap lengan baju Nabi dan berkata sesuatu yang menyakitkan hati. Ketika itu turut bersama Nabi SAW ialah Umar Al-Khattab. Lalu Umar memaki hamun lelaki tersebut dan menghalaunya. Lantas Nabi menghalang Umar dan berkata“Duhai Umar, bukankah dia datang untuk menuntut haknya? Sepatutnya engkau menasihatiku untuk menunaikan haknya dan engkau menasihatinya untuk meminta hak dengan baik. Langsaikan hutangnya yang berbaki 3 cupak, dan tambahkan lagi 30 cupak untuk ganti rugi kemarahanmu tadi.” (Diriwayatkan di dalam Mustadrak Al Hakim)

Lihatlah bagaimana Nabi tidak berkasar walaupun dikasari, dan tidak pula Baginda mengasari Sahabat yang menegurnya.

BAIK VS BURUK

Kebaikan dan keburukan merupakan dua perkara yang bertentangan. Maksudnya, dengan akal yang waras, kita sangat boleh membezakannya. Lalu agama datang memandu manusia dengan penjelasan yang tuntas.

Sekalipun ia berbeza, seringkali manusia keliru dan tersilap disebabkan maklumat separa masak yang diterima, atau kemampuan yang terbatas untuk memahami sesuatu. Maka di sinilah pentingnya interaksi untuk menjawab kekeliruan dan salah faham dengan baik, bahkan dengan cara yang paling baik. 

Di dalam ayat yang disebutkan sebelum ini, Allah menjanjikan satu hasil yang kita semua inginkan, iaitu mereka yang menentang berubah fikiran dan menjadi rapat pula. Melalui sebab turun ayat, Abu Sufyan yang kuat penentangannya terhadap Islam, akhirnya menjadi pendukung kuat agama. Ia bukanlah suatu hasil segera dan cepat. Perlu kepada kesabaran yang tinggi dan kesungguhan mendapatkan maklumat untuk penjelasan yang tuntas. 

Menurut Said Qutub, bersabar itu sudahlah payah, mahu membalas keburukan dengan kebaikan pastinya tidak mudah. Berhadap dengan mereka yang tidak sependapat, apatah lagi berbeza anutannya, bermula dengan menerima terlebih dahulu sebelum membidas.

Kelihatan sukar bukan? Namun kita punya qudwah yang ulung daripada para Nabi terdahulu hinggalah kepada Nabi Muhammad SAW bahawa ia boleh dipraktikkan.

Wallahua’lam.

Sudahkah anda bersedekah pada hari ini? Tahukah anda bahawa sedekah juga mendidik hati ini supaya menjadi manusia yang lebih empati dan berkasih sayang. Dengan bersedekah dapat membantu golongan asnaf, yang memerlukan dan golongan susah dilanda bencana. Boleh klik butang sedekah dibawah untuk menyumbang seikhlas hati. Terima kasih.

Sudahkah Anda Menjadi Tangan Yang Memberi?

Jika belum jom sama-sama dengan Perkim Datuk Keramat membantu mereka yang dalam kesusahan seperti ibu tunggal, mereka yang menghidap penyakit kronik dan pelbagai lagi. Sesungguhnya sedikit sumbangan anda, memberi 1000 kemanisan untuk mereka

Scroll to Top