10 TIPS MENGELAKKAN DIRI DARIPADA MEMBAZIR DI BULAN RAMADHAN

10 TIPS MENGELAKKAN DIRI DARIPADA MEMBAZIR

MEMASAK ATAU MEMBELI DI BAZAAR?

Terdapat juga suatu ciri negatif apabila menjelangnya bulan Ramadhan yang dibawa oleh masyarakat kebanyakannya. Ciri negatif tersebut adalah pembaziran. Sepanjang bulan Ramadhan, selama 30 hari tersebut tidak lekang orang dating ke bazaar Ramadhan. Kemeriahan ini dilihat setiap tahun menjadi suatu kemestian bagi setiap orang untuk berkunjung ke sana. Yang mana terdapat berbagai-bagai jenis juadah yang dijual. Daripada makanan tradisional sehinggalah makanan yang mengikut trend masa terkini yang telah dicampur dengan bermacam-macam bahan demi menghasilkan rupa dan bentuk makanan yang cantik untuk disajikan di media sosial.

Soal membeli, kita sepatutnya mempunyai kuasa dalam menentukan pembelian juadah berbuka. Itulah yang dirasakan sebelum membeli. Namun, saat tiba di bazaar seolah ada sesuatu yang merasuki jiwa untuk membeli semua juadah yang menggiurkan. Itulah nafsu. Tiada lagi keberadaan syaitan yang membisik, yang ada hanya lah nafsu diri yang tidak terkawal.

Ramai sebenarnya membazir tanpa sedar, sebab fikir apa yang dibeli tu cuma yang ingin dimakan sahaja. Sayangnya, selepas berbuka ia tidak habis dimakan dan terpaksa dibuang. Sedangkan membazir ni adalah amalan syaitan. Allah SWT merakamkan dalam surah Al-Isra’ ayat 27:

إِنَّ ٱلْمُبَذِّرِينَ كَانُوٓا۟ إِخْوَٰنَ ٱلشَّيَـٰطِينِ ۖ وَكَانَ ٱلشَّيْطَـٰنُ لِرَبِّهِۦ كَفُورًۭا ٢٧

Maksudnya: “Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya.”

Kadang-kadang pembaziran bukan semata-mata berlaku di bazaar sahaja. Ia juga berlaku walaupun memasak dirumah sehingga pening kepala bagi memastikan tiada pembaziran berlaku.

Pembaziran akan mencacatkan keberkatan bulan Ramadan. Tidak kiralah sama ada pembaziran itu melibatkan makanan, duit, tenaga, amalan, atau pun kesihatan tubuh badan. Apa yang dibazirkan itu mempunyai bahagian untuk orang lain yang boleh diinfakkan dan dimanfaatkan bagi memperolehi ganjaran pahala. Melatih diri agar tidak melakukan pembaziran dan melampaui batas merupakan satu amalan yang dituntut dalam Islam. Maka, Ramadan merupakan saat yang terbaik untuk menanam tekad membasmi pembaziran bermula daripada diri sendiri dan keluarga, seterusnya istiqamah untuk bulan-bulan yang akan datang.

Oleh itu, artikel ini akan membincangkan 10 tips bagi mengelakkan diri daripada membazir di bulan Ramadhan.

Jom edekah

10 TIPS ELAKKAN DIRI DARIPADA MEMBAZIR DI BULAN RAMADAN

1. Rancang Menu Harian Sepanjang Bulan Ramadan

Apabila kita mengetahui menu yang ingin dimasak kita dapat menyukat dan menyenaraikan bahan yang diperlukan sahaja. Seterusnya boleh lah beli barang dapur ikut keperluan menu untuk seminggu. Dengan cara ini, kita dapat mengelakkan diri daripada membeli bahan yang tidak digunakan dalam menu yang pada akhirnya ia akan dibuang.

2. Pilih Untuk Masak Di Rumah Berbanding Beli Juadah Di Bazar

Ramai yang memilih untuk ke bazaar kerana suasana yang tidak ada seperti bulan-bulan yang lain. Bukan ingin menyekat rezeki orang lain, tetapi jika kehendak diri tidak boleh dikawal jika ke sana, maka kurangkanlah pergi ke bazaar. Kita sendiri yang mengetahui had dan kemampuan diri. Selain itu, apabila kita masak di rumah, kita dapat meluangkan masa Bersama keluarga lebih berbanding keluar bersesak-sesak diluar. Kita juga akan merasakan lebih puas saat orang lain menikmati juadah yang kita sediakan. Begitu banyak menu dan cara masak yang ditunjukkan di media sosial. Tinggal pilih sahaja mengikut selera seisi rumah.

3) Pergi Ke Bazaar Ketika Hampir Waktu Berbuka

Seandainya kita teringin sangat untuk merasakan makanan di bazaar pergilah Ketika hampir di waktu berbuka supaya kita tidak berada lama dan tidak sempat nak membazir beli semua benda yang ada di bazaar. Dengan ini, kita akan lebih cepat membeli kerana yang ada sangat singkat dan membeli seperlunya sahaja. Namun, cara ini bergantung kepaa keadaan setempat. Di sesetengah tempat pula boleh dikatakan hampir setiap hari orang terlalu ramai. Jika dihujung minggu sebaiknya datang lebih awal kerana lebih ramai orang yang berkunjung. Jika terlalu lewat untuk membeli kita akan beratur lebih panjang sehingga tidak sempat untuk berbuka di rumah.

4) Hadkan Duit Belanja Untuk Digunakan

Apabila kita mengetahui juadah yang ingin dibeli, kitadapat merancang jumlah wang yang perlu dibawa. Jika juadah yang kita inginkan cukup dengan nilai RM20, cukuplah bawa nilai itu sahaja. Cara ini paling berkesan agar kita dapat berbelanja mengikut kemampuan. Secara tidak langsung dapat menjimatkan wang dan makanan ketika berbuka nanti.

5) Tahu Juadah Apa Yang Hendak Dibeli

Apabila kita tahu apa yang mahu dibeli, kita akan fokus untuk mencari juadah tersebut sahaja. Kita dapat elakkan diri daripada menyinggah kedai yang lain.

6) Elakkan Membeli Pelbagai Jenis Air Balang

Salah satu tarikan utama di bazar Ramadan adalah air balang. Lebih lebih lagi apabila ada anak kecil. Setiap anak berbeza citarasa. Kalau terlalu mengikutkan kehendak, boleh jadi sampai 3-5 jenis air yang dibeli. Hanya kerana ingin merasa setiap perisa yang ada. Ditambah pula, air balang tidak dijual untuk potion yang kecil. Satu jenis air sahaja boleh dikongsi sehingga tiga orang. Oleh itu, tetapkan sahaja satu jenis air yang ingin dibeli asupaya pembaziran dapat dielakkan.

7) Saling Bertukar Dan Berkongsi Juadah 

Kaedah ini boleh digunapakai bagi sesetengah orang yang duduk dirumah sewa atau pelajar di universiti. Dengan ini, setiap ahli rumah boleh merasa pelbagai jenis juadah tanpa perlu membazir. Bahkan lebih baik jika dapat menetapkan terus jadual setiap isi rumah bagi menyediakan juadah berbuka.

8) Jadikan Lebihan Lauk Berbuka Untuk Bersahur

Jangan biasakan diri dengan membuang makanan. Ada sesetengah makanan yang masih boleh dipanaskan semula ketika sahur. Dengan ini, kita tidak perlu terkocoh-kocoh untuk memasak ketika sahur sekaligus dapat mengelakkan daripada pembaziran makanan dan waktu.

9) Berbuka Puasa Atau Masjid Yang Berhampiran

Sekali-sekala sertailah majlis berbuka puasa di masjid atau surau. Hampir semua masjid menyediakan makanan berbuka puasa. Kadang-kadang berlebih kerana Jemaah yang memilih jenis lauk. Jika dapat khabar kambing menjadi menu utama berbuka barulah ramai orang datang. Sedangkan artikel yang lepas telah menyebut bahawa setiap makanan yang berbuka itu adalah suatu nikmat dan terdapat didalamnya keberkatan. Selain itu, kita juga dapat mengeratkan lagi hubungan persaudaraan sesama ahli kampung atau masyarakat setempat.

10) Bawa Juadah Yang Berlebihan Ke Masjid Atau Jiran

Tidak dinafikan, ada masa dan tikanya kita sudah berhati-hati dalam menyediakan juadah. Namun, tetap berlebih apbila menghidangkan makanan. Dan kadang-kadang apabila pulang dari bazar Ramadan, barulah kita perasan banyak rupanya juadah yang dibeli. Jadi apa salahnya kita sedekahkan sikit ke masjid untuk para jemaah berbuka puasa. Boleh juga kita kongsikan juadah tersebut dengan jiran. Alangkah manis dan indahnya dapat berkongsi juadah sesama saudara seislam dan jiran tetangga. 

Daripada Zaid bin Khalid, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 مَن فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثلُ أَجْرِهِ، غَيْرَ أَنَّهُ لَا يَنْقُصُ مِن أَجْرِ الصَّائِمِ شَيئًا

Maksudnya: “Siapa yang memberi makan orang yang berpuasa, maka baginya pahala seumpamanya tanpa sedikitpun kurang pahala orang berpuasa.” (HR. Ahmad, Al-Tarmizi & Al-Baihaqi)

Mungkin bagi sesetengah orang ada caranya yang tersendiri dalam mengendalikan duit dan memastikan pembaziran berlaku. Terpulang kepada setiap individu dengan kaedah yang ingin digunakan. Artikel ini dibuat sebagai perkongsian dalam mengingatkan sesama kita agar jangan mengulangi silap kita di Ramadhan yang lepas. Berpuasa itu mengingatkan kita agar sentiasa bersyukur walaupun selama beberapa jam tidak dibenarkan untuk makan dan minum, kita masih lagi mempunyai makanan untuk berbuka. Jika makan dan minumnya berlebihan, dimanakah datangnya sikap orang yang bersyukur? Tepuk dada dan tanya iman, adakah kita benar-benar bersyukur dan menghayati betapa susahnya orang yang fakir diluar sana untuk mendapatkan makanan dan sentiasa dalam kelaparan.

Wallahua’lam.

Jika anda adalah orang yang prihatin terhadap saudara seislam, marilah hulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan kerana Allah SWT walaupun sekecil-kecil jumlah,. Jika berminat, boleh klik pada butang “bantu mereka” dibawah dan salurkan sumbangan.  Terima kasih.

Sudahkah Anda Menjadi Tangan Yang Memberi?

Jika belum jom sama-sama dengan Perkim Datuk Keramat membantu mereka yang dalam kesusahan seperti ibu tunggal, mereka yang menghidap penyakit kronik dan pelbagai lagi. Sesungguhnya sedikit sumbangan anda, memberi 1000 kemanisan untuk mereka

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top