HIKMAH MAAL HIJRAH TAHUN2022

Sambutan Maal Hijrah

Dalam tempoh beberapa jam lagi kita akan memasuki tahun baharu 1444 Hijrah. Setiap kali tibanya Tahun Baharu Hijrah, umat Islam menyambut kedatangannya dengan pelbagai azam yang baharu. Selain itu, umat Islam juga lazimnya mengisahkan kembali peristiwa hijrah sebagai salah satu usaha meneladani usaha yang dilakukan oleh Rasulullah SAW membawa umat Islam ke arah perubahan yang lebih baik.

Hijrah adalah titik penting bagi syiar Islam. Jika tiada peristiwa hijrah Rasulullah SAW yang Allah memerintahkan kepada Baginda, sudah tentu cerita selepasnya berbeza-beza. Bahkan Islam tidak tercorak seperti sekarang. Jika peristiwa ini diperintahkan Allah SWT kepada Rasulullah untuk melaksanakannya, maka erti Maal Hijrah juga haruslah dilihat sebagai suatu arahan daripada Allah untuk kita berhijrah. Demi memperlihatkan sebuah transformasi berlaku, Allah SWT memerintahkan Rasulullah dan seluruh umat Islam di Mekah untuk meninggalkan tempat kediaman dan menuju ke Kota Madinah. Transformasi ini berlaku tidak lain dan tidak bukan memerlukan pengorbanan dan dari titik inilah kaum Muhajirin dan kaum Ansar Bersatu dibawah satu agama iaitu Islam. Dalam tempoh itu juga, Rasulullah SAW mendepani cabaran yang amat banyak dengan cara menyusun strategi yang hebat dan berkesan. Kejayaan baginda ini menunjukkan bahawa Muslim yang menginginkan kejayaan, perlu merangka strategi yang betul.

IBRAH HIJRAH

Sebagai umat yang hidup pada zaman serba moden, kita tidak boleh menafikan bahawa ada banyak hikmah maal hijrah yang boleh kita pelajari daripada tuntutan hijrah. Firman Allah Azzawajalla dalam surah an-Nisa’ ayat ke-100 :

وَمَن يُهَاجِرْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ يَجِدْ فِى ٱلْأَرْضِ مُرَٰغَمًا كَثِيرًا وَسَعَةً ۚ وَمَن يَخْرُجْ مِنۢ بَيْتِهِۦ مُهَاجِرًا إِلَى ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ ثُمَّ يُدْرِكْهُ ٱلْمَوْتُ فَقَدْ وَقَعَ أَجْرُهُۥ عَلَى ٱللَّهِ ۗ وَكَانَ ٱللَّهُ غَفُورًا رَّحِيمًا

Maksudnya: “Sesiapa yang berhijrah atas ajaran yang disyariatkan oleh Allah, nescaya dia mendapat tempat hijrah yang luas dan banyak. Sesiapa yang keluar dari rumahnya untuk berhijrah kerana Allah dan rasul-Nya, kemudian dia meninggal dunia, sesungguhnya pahala orang itu telah ditetapkan di sisi Allah. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Ayat ini menjelaskan kepada kita bahawa, keazaman amat penting dalam hijrah. Menurut Imam Ibnu Kathir, sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan niat untuk hijrah, kemudian dia meninggal dunia sebelum sempat ke destinasi yang dituju, dia bakal meraih ganjaran seperti orang yang berhijrah secara sempurna.

NAK HIJRAH KE MANA?

Hari ini kita menjalani kehidupan dalam sebuah negara yang aman dan penuh kemajuan. Perkembangan teknologi pula berlaku sangat pantas sehingga menyebabkan kita dapat merasakan bahawa seolah-olah dunia yang luas ini begitu sempit dan berada dalam genggaman kita. Timbul pesoalan dalam diri kita, adakah hijrah masih relevan lagi pada zaman sekarang? Adakah islah atau usaha untuk membaiki diri masih boleh dilakukan? Hakikatnya, hijrah sebagaimana yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW sudah tidak ada lagi selepas pembukaan Kota Mekah.

Meskipun demikian, kita tetap dituntut melakukan hijrah untuk diri kita dengan cara melakukan suruhan Allah Azzawajalla dan meninggalkan tegahan-Nya. Selain itu, kita juga dikehendaki melakukan hijrah dengan cara membaiki amalan yang kita lakukan bagi memastikan amalan tersebut benar-benar memenuhi kriteria amalan yang mencapai keredhaan Allah Azzawajalla. Dalam hal ini juga, kita hendaklah melakukan muhasabah terhadap amalan yang lalu agar kita dapat meningkatkan mutunya dari masa ke masa.

Hari ini ada sebahagian dalam kalangan kita yang terpesona dengan keindahan dunia. Jika dibiarkan gejala ini berlaku berterusan tanpa hijrah ke arah yang lebih baik, golongan yang terpedaya dengan permainan dunia ini boleh leka, tenggelam dan hanyut serta malas mendekatkan diri kepada Allah Azzawajalla. Mereka lupa bahawa nikmat dunia hanyalah bersifat sementara, seolah-olah ingin menongkat langit.

Mereka gagal menjadikan nikmat sebagai wasilah untuk mengenal keesaan Allah Azzawajalla dan mendalami kepercayaan terhadap-Nya. Mata yang ada tidak digunakan untuk melihat perkara yang baik, lidah tidak digunakan untuk menuturkan kata-kata yang baik, kaki kerap digunakan untuk melangkah ke tempat maksiat manakala tangan pula digunakan untuk menganiaya dan menindas. Oleh itu, bagi menempuh tahun yang baru ini, tanamkanlah suatu keazaman untuk berhijrah menjadi seorang insan yang lebih soleh dan bertaqwa.

DOA AKHIR & AWAL TAHUN

Sinonim dengan sambutan Maal Hijrah, umat Islam akan menyambutnya di masjid atau surau yang berdekatan. Antara aktiviti yang dilakukan termasuklah membaca doa akhir tahun dan awal tahun. Doa di akhir dan awal tahun merupakan sesuatu perkara yang baik dan harus dilakukan oleh setiap lapisan masyarakat, namun ia bukanlah sesuatu yang wajib. Kita dituntut untuk sentiasa berdoa di setiap waktu dan ketika. Oleh itu, berdoalah agar dosa kita pada tahun ini diampunkan dan diterima segala amalan. Begitu juga ketika awal tahun, berdoalah agar kita dibantu untuk melawan syaitan dan nafsu yang menyeru kepada kejahatan serta dibantu untuk melakukan amal ibadah sebanyak mungkin.

Berikut merupakan doa akhir tahun yang dibacakan di hujung waktu asar iaitu sebelum masuknya waktu Maghrib:

Berikut pula merupakan doa awal tahun yang dibacakan selepas menunaikan solat Maghrib:

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top