ISU KULIAH USTAZ AZHAR IDRUS DIBATALKAN

KULIAH USTAZ AZHAR IDRUS DIBATALKAN

Baru-baru ini kecoh tentang isu kuliah Ustaz Azhar Idrus atau lebih dikenali sebagai UAI dibatalkan di Masjid Tengku Ampuan Bukit Jelutong. Ustaz Azhar Idrus menjelaskan bahawa pihaknya telah sedia maklum bahawa Selangor membenarkan kuliah bagi penceramah yang mempunyai tauliah mengajar di negeri berkenaan sahaja. Bagaimanapun, UAI berkata, pihak pengurusan Masjid Tengku Ampuan Bukit Jelutong tetap meminta supaya beliau hadir bagi menyampaikan kuliah di masjid mereka.

Sebelum ini pembatalan ceramah Ustaz Azhar Idrus di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong, mendapat perhatian apabila Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) membatalkan kuliah maghrib di masjid berkenaan susulan tidak mempunyai tauliah mengajar agama di Selangor. Menurut Pengarah JAIS, Datuk Shahzihan Ahmad, ketetapan itu tertakluk kepada undang-undang dan peraturan berkuat kuasa di Selangor.

Pada Ahad lalu, meskipun terpalit kontroversi tersebut, namun Kuliah Maghrib Perdana oleh Ustaz Azhar Idrus di Masjid Ar-Rahimah Kampung Pandan itu dihadiri oleh ribuan jemaah. Ujar beliau, masjid di Bukit Jelutong itu telah membuat permohonan rayuan sebanyak dua kali namun masih tidak mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa. Dalam pada itu, Ustaz Azhar Idrus berkata, bahawa kebenaran bertauliah sememangnya dibenarkan dalam syarak kerana bertujuan bagi mengawal penceramah-penceramah yang membawa ajaran sesat.

“Yang ada mengajar ajaran sesat, memang dilarang. Itu memang betul, dibolehkan.Tetapi janganlah kita gunakan untuk nafsu. Kita halau orang berkuliah kerana nafsu sahaja, bukan kerana ajaran sesat dan sebagainya. Nasihat saya, kamu-kamu ini nanti jadi menteri, jadi orang yang ada kuasa. Gunakan kuasa itu untuk luaskan ilmu ALLAH dan gunakan kuasa kamu untuk sekat maksiat,” jelas Ustaz Azhar Idrus.

KONSERT MUDAH MASUK, MAJLIS AGAMA DISEKAT-SEKAT?

Dalam laporan Sinar Harian, seorang guru yang lantang bersuara di media sosial Fadli Salleh meluahkan rasa hampa dengan keputusan pembatalan kuliah Maghrib tersebut.

“Sedihnya bila orang mengajak buat maksiat dialu-alukan, orang mengajak mengingat akhirat dan ladang pahala, disekat,” tulisnya di ruangan komen.

Selain itu, rata-rata netizen yang berada di kawasan sekitar turut meluahkan rasa hampa lebih-lebih lagi yang menunggu kedatangan pendakwah tersebut.

Baru-baru ini, telah datang seorang artis Korea yang menjadi duta bagi syarikat Milo ke Malaysia. Kedatangan beliau sangat diraikan dan dipermudahkan perjalanan majlisnya siap dengan pengawal bagi mengawal keadaan. Itulah realiti masa kini, konsert besar-besar tiada halangan untuk dijalankan tetapi majlis agama disukarkan perjalanan. Tidak dinafikan tauliah itu bertujuan bagi menyekat penyebaran ajaran dan agama yang sesat. Namun, pendakwah dan ustaz yang datang jelas-jelas bukan penyampai ajaran yang sesat dan tiada kontroversi dengan kaedah penyampaian dan isi penyampaiannya. Alangkah lebih baik jika dimudahkan jalan bagi beliau dalam menyebarkan dakwah Islamiah. Sedang dakwah Islam itu semakin meluas dan semakin ramai anak muda yang terbuka hati untuk mendengarkan kuliah agama.

Sedangkan dari sudut undang-undang juga tidak boleh berbuat apa-apa jika tiada bukti kesesatan dalam kuliah. Hanya timbang rasa yang diperlukan dalam memudahkan urusan agama dan janganlah disusah-susahkan. Jangan kerana undang-undang manusia tertulis, semakin hilang minat masyarakat terhadap kuliah agama. Ditambah pula dengan semakijn kurangnya ulama di Malaysia ini. Ditakuti yang sesat semakin dijulang tinggi, yang benar disisih ketepi.

KISAH IMAM BUKHARI DIFITNAH DAN DIHALAU DARI TANAH AIRNYA

Menelusuri isu UAI tidak dibenarkan menyampaikan kuliah dapat dikaitkan dengan kisah Imam Bukhari yang difitnah dan dihalau keluar daripada negeri tanah airnya. Fitnah sentiasa wujud sejak dahulu lagi tidak kira pangkat mahupun darjat seseorang itu. Begitu juga yang terjadi pada ulamak hadith. Walaupun tidak pernah menyakiti hati insan lain namun ada yang iri hati dan tidak senang dengan beliau.

Pada suatu masa Imam Bukhari pergi ke Naisabur. Walaupun pemergiannya dirahsiakan, berita ketibaannya cepat tersebar. Ramai penduduk di situ menyambut ketibaannya. Beliau juga terkejut melihat pasukan berkuda mengiringi beliau masuk ke negeri itu. 
 Peristiwa tersebut dilihat oleh penduduk negeri itu sebagai suatu perarakan besar yang luar biasa. Malangnya bukan semua penduduk terpesona dan gembira dengan sambutan tersebut terhadap Imam Bukhari. Ada yang iri hati dan hasad terhadapnya.

Terdapat beberapa ulama tempatan yang tidak ikhlas dan mengharap sanjungan dari orang lain tetapi tidak mendapat sanjungan seperti yang diberikan kepada Imam Bukhari. Golongan ulama curang ini telah mencari sebab dan alasan untuk menganiaya dan mendedahkan aib atau kelemahan beliau di khalayak ramai tetapi gagal. Maka dicarilah fitnah  supaya Imam Bukhari dihadapkan ke mahkamah berhubung fitnah “Quran Makhluk”

Pendapat ini berasal dari golongan Muktazilah yang telah berjaya mempengaruhi beberapa orang Khalifah hingga tersebar fitnah “Quran Makhluk” yang memecah belah perpaduan umat Islam. Akhirnya Imam Bukhari di bawa ke majlis pengadilan yang diadakan khusus untuk beliau. Beberapa ulama berdiri dan menghuraikan tuduhan mereka terhadap beliau. Pada mulanya Imam Bukhari hanya mendengar dan menyaksikan sahaja sandiwara mereka dengan penuh sabar.

Akhirnya dengan tegas beliau menjelaskan:

“Quran itu adalah Kalamullah. Oleh itu, ia bukanlah makhluk. Tetapi apa jua yang dibuat dan dicipta oleh manusia adalah makhluk ( termasuk kertas dan pena yang mencatat wahyu Allah itu)”

Imam Bukhari kemudian membawa nas Al-Quran dan Hadis bagi menyokong pendapatnya. Imam Bukhari berjaya mengatasi cabaran yang dihadapinya. Namun, ulama curang itu masih tidak berputus asa.
Mereka berjaya mendorong Gabenor Az-Zuhliy bertindak melarang Imam Bukhari tinggal di Naisabur. Fitnah tersebut akhirnya reda dan Imam Bukhari dibenarkan pulang ke kampung halamannya di Bukhara dan menetap di sana dalam keadaan aman.

Selama di Bukhara, beliau mengadakan majlis ilmu dan ramai pengikut. Hal ini sekali lagi mengusik perasaan Gabenor Az- Zuhliy. Kali ini Gabenor bimbang terhadap pengaruh Imam Bukhari yang semakin besar di Bukhara. Akhirnya Imam Bukhari diperintah supaya mengadapnya dan membawa kitab-kitab karangannya untuk diperiksa. Oleh kerana bimbang kitabnya akan dirampas dan dibinasakan, Imam Bukhari menolak perintah dengan sopan.

Penolakkan tersebut diterima sebagai suatu penghinaan lalu Az-Zuhliy memerintahkan Imam Bukhari keluar meninggalkan Bukhara. Jika tidak, beliau akan ditangkap dan dipenjarakan. Sekali lagi Imam Bukhari di usir keluar dari tanah airnya sendiri dan terpaksa hidup dalam buangan di sebuah kampung kecil di luar Bukhara bernama Kharninak.. Itulah fitnah yang terpaksa dihadapi oleh Beliau.

IKTIBAR KISAH

Jika diteliti kisah yang dilalui oleh Imam Bukhari samalah halnya dengan keadaan UAI yang tidak dibenarkan untuk menyampaikan kuliah agama dan dakwah Islamiyyah atas faktor arahan daripada pihak berkuasa tertentu. Oleh itu, boleh diambil iktibar bahawa peliharalah ulama dan guru penyampai agama di Malaysia. Walaupun isunya terlihat kecil pada masa kini, impaknya pada masa akan datang akan menjadi lebih besar jika tidak dilakukan penambahbaikan dari segi prosedur tauliah. Kesannya adalah pada remaja dan anak muda pada masa akan datang jika hal agama perlu dperketatkan tetapi konsert nyanyian dipermudahkan.

 

Sudahkah Anda Menjadi Tangan Yang Memberi?

Jika belum jom sama-sama dengan Perkim Datuk Keramat membantu mereka yang dalam kesusahan seperti ibu tunggal, mereka yang menghidap penyakit kronik dan pelbagai lagi. Sesungguhnya sedikit sumbangan anda, memberi 1000 kemanisan untuk mereka

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *