ORANG YANG BAKHIL DISISI ALLAH SWT

SIAPAKAH ORANG YANG BAKHIL?

Apabila disebut tentang sifat bakhil atau kedekut, sudah tentu terlintas tentang sifat tidak ingin berkongsi harta. Adapun, kita mempunyai sesuatu yang berharga, seperti makanan, pakaian tetapi tidak mahu dikongsikan dengan orang lain juga disebut sebagai sifat bakhil. Sama sikapnya seperti haji Bakhil dalam filem Nasib si Labu Labi.Namun, itu adalah bakhil sesama manusia. Tahukah anda, siapakah orang yang kedekut di sisi Allah? Dalam sebuah hadith, Baginda SAW pernah bersabda yang bermaksud:

Orang yang bakhil adalah orang yang aku disebut di depannya tetapi dia tidak berselawat ke atasku.”  (HR Tirmizi)

Disisi Allah, orang yang kedekut adalah orang yang apabila disebut nama Baginda SAW dia tidak berselawat, seolahnya untuk agama Allah dia tidak mempunyai masa. Sedangkan di dalam surah al-Ahzab ayat 56, Allah SWT berfirman:

إِنَّ ٱللَّهَ وَمَلَـٰٓئِكَتَهُۥ يُصَلُّونَ عَلَى ٱلنَّبِىِّ ۚ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ صَلُّوا۟ عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا۟ تَسْلِيمًا

Maksudnya: Sesungguhnya Allah dan para Malaikat selalu berselawat kepada Baginda SAW. Wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kalian kepadanya dan bersalamlah dengan bersungguh-sungguh.

Adapun sebenarnya orang begini adalah orang paling rugi sekali di dunia kerana begitu bakhil untuk membuat amal ibadah yang paling mudah, sedangkan Allah SWT dan para malaikat bersifat mulia pun berselawat kepada Baginda SAW  inikan pula kita makhluk yang hina. Hebat sangatkah kita?

Memang benarlah sebagaimana disebut dalam hadith di atas. Orang begini dikategorikan sebagai bakhil kerana begitu berat mulutnya untuk menjawab selawat ke atas Nabi SAW Bahkan lebih teruk lagi apabila mereka buat tidak tahu sahaja apabila mendengar nama Baginda SAW disebut.

Dalam hal ini juga sebahagian ulama berpandangan menjadi kewajiban bagi setiap muslim berselawat kepada Baginda SAW tatkala ia mendengar nama Rasulullah SAW disebut baik oleh dirinya sendiri mahupun orang lain.

BAKHIL AMALAN

Kedekut juga bukan sahaja dikaitkan dengan selawat ke atas Nabi sahaja bahkan ada juga sesetengah orang yang kedekut dari segi amalan. ianya berlaku apabila seseorang itu mempunyai ilmu namun berat untuk melaksanakannya. Contohnya, berasa berat langkahnya menuju ke surau untuk solat berjemaah.

Malas membaca al-Quran sekalipun boleh membaca dengan baik. Tidak mahu ke hadapan tatkala ditolak untuk menjadi imam meskipun mempunyai kelayakan berbanding makmum lain kerana kononnya tidak mahu menonjolkan diri. Malah terdapat pelbagai amalan lain lagi untuk dilaksanakan sedangkan amalan-amalan tersebut tidaklah sesukar mana dan tidak memerlukan modal wang ringgit.

Jika perlukan pun hanyalah air liur seperti berselawat ke atas Nabi, berzikir, bertahmid, nertasbih, dan banyak lagi amalan sunat lain. Sebagai umat Islam yang mengaku beriman kepada Allah SWT sikap ini tidak seharusnya berlaku kerana setiap kudrat dan tenaga ini mestilah dipulangkan untuk-Nya. Buatlah sebanyak-banyaknya amal ibadah selama mana mampu. Malah, jika ingin mendirikan solat berulangkali pun tiada masalahnya.

JENIS-JENIS SELAWAT YANG BOLEH DIAMALKAN

Setelah diketahui mengenai golongan orang yang bakhil disisi Allah, marilah mengenalpasti jenis selawat untuk diamalkan dalam kehidupan seharian. Berikut adalah antara selawat yang digalakkan untuk diamalkan:

  • SELAWAT IBRAHIMIYAH

Ia adalah selawat yang dibaca setiap kali anda menunaikan solat. Selawat ibrahimiyah dibaca ketika anda duduk tahiyat akhir. Dalam selawat ini, dihimpunkan penghormatan buat dua orang Nabi iaitu Nabi Ibrahim dan Nabi Muhammad.

  • SELAWAT SYIFA

Selawat Syifa’ sering dibaca dengan tujuan untuk memohon kesihatan diri samada dari sudut kesihatan fizikal mahupun kesihatan spiritual. Selawat ini juga boleh diamalkan bagi memohon kesembuhan diri daripada sebarang penyakit. Selain berusaha dari segi mendapatkan rawatan medikal, kita perlu yakin bahawa Allah SWT  untuk mengangkat segala penyakit wujud di dunia ini.

  • SELAWAT TAFRIJIYAH

Anda boleh mengamalkan selawat ini apabila anda mempunyai sesuatu hajat atau permintaan. Tak kisahlah sama ada permintaan besar atau kecil sekalipun. Atau ketika anda dibebani masalah tak tertanggung beban di bahu.

Jadikanlah selawat ini sebagai amalan harian. Dengan izin Allah, kita akan diberi kemudahan mencari jalan penyelesaian dan kelapangan dada

Demikianlah tiga jenis selawat yang boleh diamalkan dalam kehidupan seharian. Janganlah sesekali berselawat hanya ketika mempunyai keperluan dan hajat, tetapi berselawatlah sebagai amalan harian dan bermohon dengan syafaat Rasulullah atas asbab selawat itu lah urusan dan kerja kita dipermudahkan. Walaupun begitu, selawat juga boleh diamalkan seringkasnya dengan membaca Allahumma Solli ‘Ala Muhammad, Wa’ala Aali Muhammad.

Wallahua’lam.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top