Bulan Syaaban berkedudukan yang kelapan dalam tahun Hijrah dan merupakan bulan kedua selepas Rejab yang penuh dengan keberkatan dan kemulaan. Syaaban berasal daripada perkataan ‘sya’ba’ yang bermaksud berpecah dan menyimpang.
Nabi Muhammad SAW bersabda: “Dinamakan Syaaban (berserak-serak) kerana padanya terdapat amat banyak kebajikan yang berserak-serak dan puasa yang lebih afdal sesudah Ramadan ialah puasa bulan Syaaban.”
Syaaban juga membawa maksud ‘bulan pemisah’ kerana ia memisahkan antara bulan Rejab dan Ramadan. Jika Rejab dianggap sebagai bulan ujian dan Ramadan sebagai bulan latihan, maka Syaaban yang mulia ini adalah sebagai bulan persediaan dan persiapan melakukan kebaikan sebanyak mungkin termasuk memerangi nafsu.
Di samping memohon doa, digalakkan juga untuk bertaubat dan memohon keampunan di atas keterlanjuran di sepanjang bulan ini. Sambutlah kedatangan Syaaban dengan keinsafan dan kesedaran serta peringatan bahawa perjuangan sebagai seorang insan masih belum berakhir. Perbanyakkan amal soleh, berpuasa dan solat sunat serta menolong meringankan penderitaan fakir dan miskin serta anak-anak yatim.
Antara peristiwa penting di dalam bulan Syaaban adalah;
1) Malam Nisfu Syaaban
Dari Abi Hurairah ra dari Nabi Muhammad SAW bersabda: “Telah datang Jibril a.s pada malam Nisfu Syaaban dan dia berkata , Ya Muhammad,pada malam ini pintu-pintu langit dan pintu-pintu rahmat dibuka, maka berdirilah dan kerjakan sembahyang lalu angkatlah kepalamu dan kedua tanganmu ke langit !” Kata saya (Nabi Muhammad): “Hai Jibril, apakah erti malam ini ?” Dia (Jibril) menjawab: “Pada malam ini telah dibuka 300 pintu rahmat, maka Allah telah mengampuni orang-orang yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu kecuali ahli sihir, bomoh hitam, orang-orang yang suka permusuhan / pergaduhan, peminum arak, orang-orang yang berbuat zina, pemakan riba, orang-orang yang derhaka kepada kedua orang tua, orang-orang yang suka mengadu domba (batu api) dan orang-orang yang memutuskan tali persaudaraan, maka sesungguhnya mereka itu tidak akan diampuni kesalahannya sehingga mereka mahu bertaubat dan tidak akan mengulang lagi atas perbuatannya itu.”
Maka pergilah Nabi Muhammad SAW mengerjakan solat serta menangis di dalam sujudnya sambil membaca : “Ya Allah sesungguhnya aku berlindung kepadaMu dari seksaMu dan murka Mu dan aku tidak menghitung-hitung pujian kepadaMu, sebagaimana Engkau memuji kepadaMu sendiri, maka segala puji bagiMu sehingga Engkau redha.”
2) Pertukaran Arah Kiblat
Selepas sampai ke Madinah al-Munawarah, Rasulullah SAW dan para sahabat bersolat berkiblatkan Baitulmaqdis selama lebih kurang enam belas atau tujuh belas bulan.
Pada 15 Syaaban tahun kedua Hijrah ketika Rasulullah SAW dan jemaahnya sedang bersolat Asar di dalam Masjid Quba’, berlaku peristiwa penting kepada Rasulullah SAW dan Muslimin iaitu peristiwa pertukaran arah kiblat dari mengadap Masjidil al-Aqsa di Baitulmuqadis (Bait al-Maqdis) ke arah Masjidil Haram (Baitullah Kaabah) di Makkah al-Mukaramah. Masjid tersebut kini dikenali juga sebagai Masjid Qiblatain (masjid dua kiblat).
Pertukaran kiblat menjadi isu besar di Madinah. Orang Yahudi mengambil kesempatan menabur fitnah memperlekehkan dakwah Rasulullah SAW. Lalu diturunkan ayat 142 Surah al-Baqarah:
۞ سَيَقُولُ ٱلسُّفَهَآءُ مِنَ ٱلنَّاسِ مَا وَلَّىٰهُمْ عَن قِبْلَتِهِمُ ٱلَّتِى كَانُوا۟ عَلَيْهَا ۚ قُل لِّلَّهِ ٱلْمَشْرِقُ وَٱلْمَغْرِبُ ۚ يَهْدِى مَن يَشَآءُ إِلَىٰ صِرَٰطٍۢ مُّسْتَقِيمٍۢ ١٤٢
Maksudnya: “Akan berkata orang-orang yang kurang akalnya: ”Apakah yang memalingkan mereka (umat Islam) dari kiblat mereka (Baitulmaqdis) yang dahulunya mereka telah berkiblat kepadanya. Katakanlah: ”Kepunyaan Allah timur dan barat, dia memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus.”
Peristiwa ini berlaku pada pada bulan Syaaban. Kebenaran daripada Allah SWT untuk kembali berkiblatkan Kaabah adalah contoh doa Rasulullah SAW yang dikabulkan oleh Allah SWT. Ini kerana Rasulullah SAW sudah lama mengangkat tangannya berdoa dan memandang ke langit meminta pertukaran kiblat ke Kaabah. Permintaan Rasulullah SAW tersebut telah diperkenankan oleh Allah swt pada bulan Syaaban.
Firman Allah SWT:
قَدْ نَرَىٰ تَقَلُّبَ وَجْهِكَ فِى ٱلسَّمَآءِ ۖ فَلَنُوَلِّيَنَّكَ قِبْلَةًۭ تَرْضَىٰهَا ۚ فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ ٱلْمَسْجِدِ ٱلْحَرَامِ ۚ وَحَيْثُ مَا كُنتُمْ فَوَلُّوا۟ وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُۥ ۗ وَإِنَّ ٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْكِتَـٰبَ لَيَعْلَمُونَ أَنَّهُ ٱلْحَقُّ مِن رَّبِّهِمْ ۗ وَمَا ٱللَّهُ بِغَـٰفِلٍ عَمَّا يَعْمَلُونَ ١٤٤
Maksudnya: “Kerap kali kami melihat engkau (wahai Muhammad) berulang kali menadah ke langit, maka kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai, oleh itu palingkan muka ke arah Masjidil Haram (tempat letaknya Kaabah) dan di mana saja kamu berada, maka hadaplah mukamu ke arahnya. Sesungghunya orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan kitab, mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah yang benar daripada tuhan mereka dan Allah tidak sekali-kali lali akan apa yang mereka lakukan.”
Di antara amalan-amalan yang digalakkan dalam bulan Syaaban adalah memperbanyakkan:
Syaaban adalah antara bulan yang paling dicintai oleh Rasulullah SAW dimana baginda lebih banyak berpuasa di dalamnya.
Daripada Abi Salamah daripada Sayyidatina Aisyah r.a katanya: “Rasulullah SAW sering berpuasa sehingga kita mengatakan dia tidak berbuka (puasa berterusan ) dan Baginda SAW berbuka sehingga kami berkata dia tidak berpuasa (berbuka terus). Dan aku tidak pernah melihat Rassulullah SAW menyempurnakan puasa sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadhan dan aku tidak pernah melihat Baginda SAW lebih banyak berpuasa melainkan pada bulan Sya’ban.” (HR Bukhari & Muslim)
Digalakkan juga untuk bertaubat dan memohon keampunan di atas keterlanjuran di sepanjang bulan ini. Taubat ialah pembersihan rohani kerana taubat itu menjadi tuntutan dalam agama supaya setiap diri individu yang sememangnya tidak ma‘shum ini melakukan taubat pada setiap masa dan ketika.
Daripada Ibn `Abbas, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang selalu memohon ampun (membanyakkan istighfar), nescaya Allah menjadikan untuknya setiap kesusahan itu ada kesenangan, setiap kesempitan ada jalan keluar dan dia diberi rezeki yang tidak disangka.” (HR Ahmad, Abu Daud & Ibn Majah.)
Zikir ialah ucapan yang dilakukan dengan lidah atau mengingati Allah SWT dengan hati, dengan ucapan atau ingatan yang mempersucikan Allah SWT dan membersihkanNya dari sifat-sifat yang tidak layak untukNya.
Rasulullah SAW menjelaskan zikir mengingati Allah SWT termasuk dalam amalan mulia dan berkedudukan tinggi. Sabda Baginda SAW: “Hendakkah aku khabarkan kepada kamu amalan yang paling baik dan paling suci di sisi Pemilik kamu dan yang paling tinggi pada darjat kamu dan lebih baik daripada emas dan perak dan lebih baik daripada kamu membunuh musuh kamu atau dia membunuh kamu di medan jihad?” Sahabat bertanya: “Apakah dia wahai Rasulullah?” Jawab Baginda SAW: “Zikrullah.”
Zikir juga mempunyai kelebihan. Dengan mengingati Allah sebanyak-banyaknya, hati tenang dan tenteram. Ia dijamin oleh Allah Yang Maha Mengetahui sebagaimana firman-Nya: “Orang yang beriman dan tetap hati mereka dengan menyebut akan Allah, ketahuilah bahawasanya dengan menyebut akan Allah itu menenangkan hati.”
Berselawat kepada Nabi Muhammad SAW adalah salah satu bukti kecintaan seseorang itu kepada Allah SWT. dan Rasulullah SAW, selain mengerjakan segala suruhan Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya.
Firman Allah SWT:
إِنَّ ٱللَّهَ وَمَلَـٰٓئِكَتَهُۥ يُصَلُّونَ عَلَى ٱلنَّبِىِّ ۚ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ صَلُّوا۟ عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا۟ تَسْلِيمًا ٥٦
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat kepada Nabi. Hai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya dan ucaplah salam penghormatan kepadanya.”
Doa dipohon sebagai tanda menginsafi dan menyedari diri manusia sangat lemah dan tidak mampu untuk menunaikan segala keperluan hidup. Firman-Nya dalam surah al-baqarah ayat ke-186:
وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِى عَنِّى فَإِنِّى قَرِيبٌ ۖ أُجِيبُ دَعْوَةَ ٱلدَّاعِ إِذَا دَعَانِ ۖ فَلْيَسْتَجِيبُوا۟ لِى وَلْيُؤْمِنُوا۟ بِى لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ ١٨٦
Maksudnya: “Dan apabila hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia memohon kepadaku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah)-Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.”
Sunat menghidupkan malam 15 Syaaban dengan membaca zikir dan Al Quran kerana malam tersebut adalah malam yang amat mustajab dan penuh rahmat.
Daripada Muaz bin Jabal dan Abu Musa Al-Asy’ari r.a. bahawa Rasulullah SAW telah bersabda; “Sesungguhnya Allah pada malam Nishfu Sya’ban memerhati (mengawasi) seluruh mahluk-Nya dan mengampuni semuanya kecuali orang musyrik atau orang yang bermusuhan.” (HR Ibnu Majah)
Sambutlah kedatangan Syaaban dengan keinsafan dan kesedaran. Perbanyakkanlah amal soleh dan menolong meringankan penderitaan fakir dan miskin serta anak-anak yatim.
Bersedekah suatu amalan yang suci murni lagi terpuji sebagai keprihatinan dengan nasib dan kesusahan orang lain seperti mana yang amat dituntut oleh Islam.
Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik amal adalah memberi makan (kepada fakir miskin dan anak yatim) dan memberi salam kepada orang yang engkau kenal dan orang yang engkau tidak kenal.” (HR Bukhari,Muslim & Nasa’i)
Inilah antara amalan sunat yang boleh kita amalkan pada bulan Syaaban. Bukan pada bulan ini sahaja, digalakkan juga dilakukan pada bulan-bulan yang lain walaupun tiada nas yang mengkhususkan pada bulan yang lain. Apabila amal dilakukan secara berterusan ia akan mendatangkan kepada kita perasaan untuk menghisab dan menghitung diri sendiri secara berterusan dan ini akan melahirkan individu yang sentiasa berada dalam ibadat dan mengingati Allah setiap masa dan tempat, sama ada ditikar sembahyang, ketika belajar mahupun ketika bekerja. Akhirnya menyebabkan kita akan merasai nikmat dan kesan daripada amalan tersebut.
Oleh itu, amatlah baik bagi kita sebagai umat Islam memperbanyakkan amal dan kebajikan, selain menjadi satu medan latihan rohani ke arah mempersiapkan diri menyambut kedatangan bulan Ramadhan al-Mubarak.
Sesungguhnya bulan Syaaban adalah kesempatan untuk menyuci dan membaiki kecacatan hati dan memperbaiki diri dari segala macam celaan, setelah bulan Rejab lalu kesempatan kita menyucikan badan dan meminta ampun dari segala dosa, manakala pada bulan Ramadhan nanti masa kita untuk menyucikan roh dan menerangkan hati dan jiwa bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Wallahua’lam.
Sudahkah anda bersedekah hari ini. Sesungguhnya amalan bersedekah antara amalan yang digalakkan pada bulan Syaaban. Boleh klik butang sedekah dibawah untuk melabur saham di akhirat.
Jika belum jom sama-sama dengan Perkim Datuk Keramat membantu mereka yang dalam kesusahan seperti ibu tunggal, mereka yang menghidap penyakit kronik dan pelbagai lagi. Sesungguhnya sedikit sumbangan anda, memberi 1000 kemanisan untuk mereka