Pernah tak timbul perasaan dalam hati dimana kita mahu seimbangkan soal keduniaan dan akhirat? Kita cuba untuk menghadiri majlis ilmu secara bersemuka dan online. Kita cuba perbanyakkan amal ibadah di rumah-rumah Allah dan amalan sunat yang lain. Namun tanpa kita sedar, setiap kali sedang mendengar ceramah mana-mana majlis ilmu, tangan kita memegang telefon bimbit sambil melayari internet dan media sosial. Setiap kali kita cuba untuk melakukan ibadah di rumah Allah, datang rasa kegusaran dan kegelisahan memikirkan soal harta yang tinggal dan masa depan.
Sebenarnya, kita tidak boleh menyeimbangkan soal duniawi dan ukhrawi. Kita tidak akan mampu untuk fokus hal ukhrawi sekiranya hati kita tertaut dengan hal keduniaan. Sebanyak dan sesibuk manapun hal kerja yang kita lakukan, jika kita mampu untuk meletakkan akhirat sebagai keutamaan di dalam hati, insyaallah kita akan jadi manusia yang lebih tenang dan bahagia. Walaupun ditimpa masalah tidak henti-henti, jalan penyelesaian akan datang dalam keadaan yang tidak kita sangkakan. Rezeki melimpah-limpah sehingga mampu untuk membantu orang lain.
Fitnah harta adalah satu fitnah yang akan melanda manusia akhir zaman sehingga membawa kepada kelalaian yang besar kepada Allah SWT. Manusia akan terus menerus mencari harta bagi memenuhi keperluan semasa sehingga membawa kepada kesan yang besar kepada keimanan dan ketaatan kepada Allah SWT.
Allah SWT berfirman dalm surah al-Anfal ayat ke-28:
وَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّمَآ أَمْوَٰلُكُمْ وَأَوْلَـٰدُكُمْ فِتْنَةٌۭ وَأَنَّ ٱللَّهَ عِندَهُۥٓ أَجْرٌ عَظِيمٌۭ ٢٨
Maksudnya: “Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar.”
Dikatakan harta dan anak sebagai fitnah adalah merujuk kepada kedua-duanya penyebab kepada kelalaian manusia daripada menunaikan kewajipan agama dan juga penyebab kepada hilangnya usaha untuk meningkatkan ibadah kepada Allah SWT. Pada asalnya, harta tidaklah tercela, bahkan Allah SWT menyebut harta sebagai khair (kebaikan) dalam Al-Quran. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat ke-180:
كُتِبَ عَلَيْكُمْ إِذَا حَضَرَ أَحَدَكُمُ ٱلْمَوْتُ إِن تَرَكَ خَيْرًا ٱلْوَصِيَّةُ لِلْوَٰلِدَيْنِ وَٱلْأَقْرَبِينَ بِٱلْمَعْرُوفِ ۖ حَقًّا عَلَى ٱلْمُتَّقِينَ ١٨٠
Maksudnya: “Kamu diwajibkan, apabila seseorang daripada kamu hampir mati, jika ia ada meninggalkan harta (hendaklah ia) membuat wasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabat dengan cara yang baik (menurut peraturan agama), sebagai suatu kewajipan atas orang-orang yang bertakwa.”
Allah juga menyebutkan bahawa harta Allah jadikan sebagai qiyam atau sesuatu yang menopang kehidupan manusia. Allah berfirman dalam surah an-Nisa’ ayat ke-5:
وَلَا تُؤْتُوا۟ ٱلسُّفَهَآءَ أَمْوَٰلَكُمُ ٱلَّتِى جَعَلَ ٱللَّهُ لَكُمْ قِيَـٰمًۭا وَٱرْزُقُوهُمْ فِيهَا وَٱكْسُوهُمْ وَقُولُوا۟ لَهُمْ قَوْلًۭا مَّعْرُوفًۭا ٥
Maksudnya: “Dan janganlah kamu serahkan kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya (anak yatim yang belum baligh), harta (mereka yang ada dalam kekuasaanmu) yang dijadikan Allah sebagai pokok kehidupan (qiyaman).”
Harta adalah tunjang kehidupan manusia yang dijadikan Allah SWT untuk keperluan agama dan dunia yang akan membawa kepada situasi akhirat yang baik. Oleh itu, wali atau pemegang harta tidak boleh menyerahkan harta yang diamanahkan sebelum sempurna akal mereka. Ini merujuk kepada kewarasan dalam berfikir seseorang manusia sehingga mampu membezakan apa yang halal dan haram dalam kehidupan. Jika tidak harta tersebut akan merosak dan menghancurkan mereka.
Ibadah manusia akan terjejas disebabkan harta. Kesempurnaan ibadah juga berkait rapat dengan harta. Orang soleh menguruskan harta yang baik akan dipermudah banyak urusan daripadanya. Kehormatan mereka diangkat sama ada daripada pandangan Allah SWT atau manusia. Hubungan dengan Allah akan bertambah baik, rezeki akan sentiasa bertambah, tanpa disedari seterusnya memberi ketenangan dalam beribadah. Hubungan dengan manusia pula, ramai kenalan dan mudah disegani oleh masyarakat. Sikap pemurah dengan memberi hadiah, makanan dan lain-lain akan menghasilkan kekuatan dalam beribadah.
Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: “Sebaik-baik harta adalah harta yang dimiliki oleh orang soleh.” (HR Bukhari)
Allah memberi peringatan kepada hamba-Nya bahawa harta adalah fitnah yang akan menyebabkan manusia lalai daripada mengingati-Nya. Disebabkan harta juga, manusia mudah melakukan maksiat dan kemungkaran kepada Allah SWT. Oleh sebab itu, Allah SWT membataskan rezeki-Nya yang luas kepada sebahagian manusia.
Nabi SAW bersabda, daripada Ka’ab bin Iyadh maksudnya: “Sesungguhnya tiap-tiap umat itu mempunyai fitnah dan fitnah umatku adalah harta.” (HR Al-Tirmizi)
Allah berfirman dalam surah asy-Syura ayat ke-27:
۞ وَلَوْ بَسَطَ ٱللَّهُ ٱلرِّزْقَ لِعِبَادِهِۦ لَبَغَوْا۟ فِى ٱلْأَرْضِ وَلَـٰكِن يُنَزِّلُ بِقَدَرٍۢ مَّا يَشَآءُ ۚ إِنَّهُۥ بِعِبَادِهِۦ خَبِيرٌۢ بَصِيرٌۭ ٢٧
Maksudnya: “Dan jikalau Allah melapangkan rezeki kepada hamba-hamba-Nya tentulah mereka akan melampaui batas di muka bumi, tetapi Allah menurunkan apa yang dikehendaki-Nya dengan ukuran. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui (keadaan) hamba-hamba-Nya lagi Maha Melihat.”
Manusia yang diuji dengan harta yang melimpah-ruah akan bermewah-mewahan. Allah menjelaskan tentang situasi orang yang suka hidup bermewah akan menjadi penentang kepada utusan Allah SWT sebagaimana kisah Qarun. Allah SWT berfirman dalam surah Saba’ ayat ke-34:
وَمَآ أَرْسَلْنَا فِى قَرْيَةٍۢ مِّن نَّذِيرٍ إِلَّا قَالَ مُتْرَفُوهَآ إِنَّا بِمَآ أُرْسِلْتُم بِهِۦ كَـٰفِرُونَ ٣٤
Maksudnya: “Dan Kami tidak mengutus kepada suatu negeri seorang pemberi peringatan pun, melainkan orang-orang yang hidup mewah di negeri itu berkata: Sesungguhnya kami mengingkari apa yang kamu diutus untuk menyampaikannya.”
Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah dua serigala lapar yang menghampiri seekor kambing lebih berbahaya baginya daripada keghairahan seseorang kepada harta dan kedudukan bagi agamanya.” (HR Tirmizi)
Nabi SAW menggambarkan situasi kerosakan kepada agama disebabkan oleh manusia yang terlalu ghairah kepada harta dan kedudukan dunia. Kerosakan agama yang ditimbulkannya adalah lebih besar daripada bahaya yang mengancam seekor kambing yang didatangi dua serigala lapar dan siap menerkamnya.
Ibnu Rajab menjelaskan, orang yang ghairah dan berkeinginan terhadap harta terbahagi kepada dua: Pertama, orang yang sangat mencintai harta, semangat dalam mencarinya dengan cara yang dibenarkan, namun ia berlebihan dalam mendapatkan dan mengusahakannya. Namun disebabkan keghairahan mendapatkan harta, usahanya akan menyebabkan kehidupannya menjadi sia-sia padahal ia seharusnya bersungguh-sungguh dalam mendapatkan kenikmatan akhirat yang abadi.
Rasulullah SAW bersabda kepada sahabatnya Hakim bin Hizam maksudnya: “Wahai Hakim, sesungguhnya harta ini indah dan manis. Barangsiapa mengambilnya dengan keluasan jiwanya, ia akan mendapat barakah pada hartanya. Dan barangsiapa yang mengambilnya tanpa berlebihan, maka perumpamaannya adalah seperti orang yang makan dan tidak pernah kenyang. Tangan di atas adalah lebih baik daripada tangan di bawah.” (HR Bukhari)
Kedua, orang yang berkeinginan terhadap harta, hingga mengusahakannya dengan cara yang diharamkan Allah dan menghalanginya untuk menunaikan kewajiban hartanya. Perutnya penuh dengan harta haram. Harta yang dimilikinya adalah hasil daripada seluruh usahanya, ia menjadi manusia yang sangat takut kehilangan hartanya. Ia sangat kikir, malas bersedekah dan individualistik. Ia terjerumus pada sikap kikir yang tercela. Padahal Allah SWT berfirman dalam surah al-Hasyr ayat ke-9:
وَمَن يُوقَ شُحَّ نَفْسِهِۦ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْمُفْلِحُونَ ٩
Maksudnya: “Dan sesiapa yang dipelihara daripada kekikiran dirinya, mereka itulah orang orang yang beruntung.”
Daripada Jabir bin Abdillah, bahawa Nabi SAW bersabda maksudnya: “Peliharalah dirimu daripada sifat kikir kerana sifat kikir telah membinasakan orang-orang sebelum kamu. Sifat itu telah menyuruh mereka memutuskan persaudaraan, maka mereka pun memutuskan persaudaraan. Sifat itu telah menyebabkan mereka saling membunuh dan menghalalkan perkara-perkara yang diharamkan.”(HR Muslim)
Justeru itu, berhati-hatilah dengan fitnah harta yang akan menguji manusia. Manusia akan mula menjadi seorang yang sentiasa tidak puas dengan harta yang ada sehingga menjadi kedekut dan tidak suka bersedekah. Kemudian perhubungan antara sesama manusia akan renggang dan putus. Sifat bakhil yang terpahat akan melahirkan kemarahan dan kebencian sesama sendiri. Maka manusia akan semakin jauh daripada landasan agama yang sebenar disebabkan harta.
Wujudnya sifat cintakan dunia dan harta adalah kerana hilangnya keberkatan dalam hidup dan rezeki. Kita percaya bahawa hanya kita sahaja mampu membantu diri untuk mencapai suatu perkara. Tetapi kita lupa bahwa Allah SWT yang meminjamkan kekuatan kepada kita untuk bekerja siang dan malam. Memberikan nikmat yang tidak terhitung banyaknya. Setiap perkara yang dicapai sering dihimpit dengan rasa tidak puas hati dan didambakan dengan rasa ketamakan yang tidak pernah cukup. Makin banyak yang dicapai makin hilang rasa syukur dalam diri sehinggakan datang sifat hasad dengan orang lain yang bahagia walaupun serba kekurangan.
Oleh itu, Al-Quran telah menggariskan beberapa panduan untuk mendatangkan keberkatan dalam rezeki seseorang yang menjurus kearah kehidupan yang bahagia.
Orang mukmin yang berusaha kearah taqwa akan dibuka baginya keberkatan langit. Firman Allah SWT dalam surah al-A’raf ayat ke-96:
وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَى آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِمْ بَرَكَاتٍ مِنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ
Mereka yang sentiasa menjaga solat serta mengajak ahli keluarga menunaikan solat juga berupaya dipermudahkan rezeki oleh Allah. Firman Allah SWT:
وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلاةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا لا نَسْأَلُكَ رِزْقًا نَّحْنُ نَرْزُقُكَ وَالْعَاقِبَةُ لِلتَّقْوَى
“Dan perintahkanlah keluargamu untuk mengerjakan solat, dan hendaklah kamu bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu,”
Di dalam ayat ini, Allah seolah meletakkan urusan solat mempunyai kaitan juga dengan rezeki. Menurut al-Imam al-Qurtubi, ketika ayat ini diturunkan Rasulullah sering mengetuk pintu rumah Fatimah, mengajak mereka bersolat. Bahkan Saidina Umar melakukan perkara yang sama dan mengingatkan kepada ahli keluarganya supaya jangan sampai urusan mencari rezeki menyibukkan kamu daripada solat. Malah menurut al-Qurtubi lagi, Rasulullah akan menyuruh ahli keluarganya mendirikan solat ketika mereka ditimpa kesusahan. Begitulah besar peranan solat dalam kehidupan muslim.
Amalan melazimi istighfar juga dikatakan mempunyai kesan terhadap rezeki. Firman Allah dalam surah Nuh ayat ke10-12:
فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّاراً* يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُمْ مِدْرَاراً* وَيُمْدِدْكُمْ بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَلْ لَكُمْ جَنَّاتٍ وَيَجْعَلْ لَكُمْ أَنْهَاراً
Maksudnya: “Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Beristighfarlah kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun (11). (Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu;(12).”Dan Allah akan memberi kepada kamu dengan harta kekayaan serta anak-pinak; dan Allah akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya),”
Malah Rasulullah turut bersabda:
مَن أكثر الاستغفار جعل الله له من كل همَّ فرجاً، ومن كل ضيق مخرجاً، ورزقه من حيث لا يحتسب
Maksudnya: “Barangsiapa yang memperbanyakkan istighfar, Allah akan membuka segala kesusahannya, memberikan jalan keluar bagi segala kesempitan, dan mengurniakan rezeki yang tidak mereka sangka,” (HR Ahmad, dinilai Sahih oleh Ahmad Syakir).
Amalan bersedekah turut membantu dalam membuka pintu rezeki seseorang. Firman Allah dalam surah Saba’ ayat ke-39:
وَمَا أَنْفَقْتُمْ مِنْ شَيْءٍ فَهُوَ يُخْلِفُهُ وَهُوَ خَيْرُ الرَّازِقِين
Maksudnya: “Dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya; dan Dia lah jua sebaik-baik Pemberi rezeki,”
Wallahua’lam.
Jika belum jom sama-sama dengan Perkim Datuk Keramat membantu mereka yang dalam kesusahan seperti ibu tunggal, mereka yang menghidap penyakit kronik dan pelbagai lagi. Sesungguhnya sedikit sumbangan anda, memberi 1000 kemanisan untuk mereka