ADAB KETIKA BERDOA

Setiap orang mesti akan melalui saat yang sukar dan mencabar. Pada saat inilah, kita memerlukan sokongan dan bantuan untuk keluar dari masalah yang kita hadapi. Namun, kita sebagai umat Islam perlulah bergantung harap kepada Allah kerana DIA lah sebaik baik penolong. Kita diajar untuk menadah tangan dan berdoa kepada Allah agar dapat membantu dan mengeluarkan kita dari kesusahan yang dialami. Tapi bagaimana cara ataupun adab-adab yang betul untuk berdoa? Jom kita kongsi bersama.

Berdoalah dengan suara yang lembut

Antara adab berdoa adalah berdoa dengan nada yang lembut dan perlahan. Sesungguhnya Allah maha mendengar. Setiap bait kata yang kita ungkapkan dalam doa itu akan didengari Allah. Jangan kita berdoa dengan suara yang lantang dan kuat. Itu akan menyebabkan orang lain terganggu. 

Berdoalah dengan penuh yakin

Kadang kala kita berdoa dengan tidak bersungguh. Hafalan doa yang kita lafazkan kadang-kadang tidak sampai ke jiwa. Ia sekadar bacaan yang kita lazimkan setelah selesai solat. Maksud doa itu pun kita tidak tahu apatah lagi nak menghayati dan meyakini doa itu. Jadi penting untuk kita berdoa dengan penuh pengharapan dan keyakinan bahawa Allah akan memakbulkan setiap doa kita kerana Allah maha berkuasa.  Rasulullah s.a.w. bersabda:

 “Apabila kamu berdoa, hendaklah kamu bersungguh-sungguh, yakin dalam doa (bahawa Allah Taala mendengar dan mengabulkan). Janganlah kamu berdoa dengan kalimah, “Ya Allah, jika Engkau mahu, berilah aku!” Kerana sesungguhnya Allah Taala tidak dipaksa memenuhi sesuatu doa.” 

(Anas r.a.)

Memohon sebanyak tiga kali

Dikatakan, mengulang doa merupakan kebiasaan Rasulullah SAW yang boleh kita contohi. Perkara itu diungkap dari Ibnu Mas’ud radiyallahu ‘anhu.

“Sesungguhnya Rasulullah S.A.W sangat menyukai berdoa (dengan mengulang) tiga kali dan istighfar tiga kali.”

Antara sebab dianjurkan mengulang doa ini adalah untuk menunjukkan ketakwaan dan pengharapan kita kepada Allah S.W.T. Jika kita inginkan sesuatu dengan bersungguh-sungguh, kita akan sentiasa meminta-minta hingga hajat kita tercapai. 

Menghadap kiblat

Selain itu, penting juga bagi kita untuk menghadap ke arah kiblat sewaktu berdoa. Sebagaimana kiblat adalah arah yang dituju kaum muslimin ketika menunaikan solat, maka kiblat jugalah yang merupakan arah utama ketika berdoa. Kita tidak mahu membelakangkan Allah ketika berdoa. Walaupun sifat Allah tidak bertempat, namun cukup kiblat itu sebagai petunjuk arah ke mana kita harus menghadapkan diri kita ketika memohon doa dari Allah.  

Berwuduk sebelum berdoa

Berwuduk bukanlah syarat sah untuk berdoa. Doa boleh dilakukan bila-bila masa dan dalam apa jua keadaan walaupun tidak ada wuduk. Namun, kita digalakkan untuk berwuduk sebelum berdoa. Ini kerana apabila berwuduk, dosa kita akan diampunkan. 

“Apabila seorang Muslim berwuduk, ketika membasuh muka, maka keluar dari wajahnya dosa-dosa yang pernah dilakukan matanya bersama titisan air yang terakhir. Ketika membasuh kedua tangannya, maka keluarlah setiap dosa yang pernah dilakukan tangannya bersama titisan air yang terakhir. Ketika membasuh kakinya, maka keluarlah dosa yang dijalani oleh kakinya bersama titisan air yang terakhir, sampai ia bersih dari semua dosa.” (HR Muslim).

Setelah selesai berwuduk, maka lebih mudah untuk Allah memakbulkan segala hajat kita kerana ada dosa-dosa kita yang telah diampunkan kesan daripada wuduk yang dilakukan tadi.

Jadi, marilah kita bersama-sama mengamalkan adab-adab dan cara berdoa yang betul. Kita tidak mahu setiap doa yang di lafazkan itu ditolak oleh Allah asbab kerana tidak menjada adab ketika berdoa ataupun berdoa dengan cara yang salah. Semoga perkongsian ini dapat memberikan manfaat kepada semua.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top