ADAB KETIKA BERKEMPEN PILIHAN RAYA UMUM

ADAB-KETIKA-BERKEMPEN-PILIHAN-RAYA-UMUM

Setelah hampir seminggu tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berlangsung, kita diperlihakan dengan kemeriahan bendera-bendera parti yang dipacakkan disepanjang jalan, kawasan perumahan dan banyak lagi. Kemeriahan ini lebih terasa apabila calon setiap parti turut turun padang, berjumpa, bersuai kenal dengan penduduk setempat dengan memberikan ceramah dan nasihat. Namun di beberapa tempat tertentu ‘kehangatan kempen’ kelihatan tidak seberapa bahangnya, malah suasana ‘hambar’ terasa di beberapa kawasan tertentu, seperti di Terengganu dan Melaka.

Ceramah politik, terutama yang menampilkan nama-nama besar dalam parti-parti politik, dahulunya adalah medium popular di Terengganu untuk berkempen setiap tiba musim pilihan raya, namun setakat ini penganjurannya kelihatan ‘sendu’. Pada satu program ceramah oleh seorang calon yang bertanding di Parlimen Kuala Nerus baru-baru ini, bilangan yang hadir dalam lingkungan 20 orang sahaja.

Ekoran hal ini, generasi muda masa kini lebih cenderung kepada pendekatan melalui atas talian, internet, media sosial dan gajet tentang pendedahan politik dan perjuangan bagi setiap parti itu sendiri. Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang merupakan calon Parlimen Marang sendiri mengakui platform media sosial dilihat lebih dekat dengan pengundi, dan laman Facebook tokoh politik itu sendiri sentiasa dikemas kini dengan pelbagai kandungan.

Selain itu, calon BN Kuala Terengganu, Datuk Mohd Zubir Embong (BN-UMNO) turut menggunakan laman sosial media seperti Facebook dan TikTok, antaranya untuk berinteraksi secara langsung dengan rakyat dalam sesi 30 Minit Bersama Calon ‘Sek Awok Tanye, Cikgu Jawab’.

Bahkan, ada juga penyokong-penyokong bagi suatu parti itu berhubung menggunakan khidmat talian dan menjelaskan keadaan suatu politik bagi mengajak lebih ramai lagi yang mengundi parti tersebut. Dilihatkan golongan muda yang menjadi sasaran talian. Tindakan sedemikian sangat mudah dan harmoni bahkan sangat relevan memandangkan had umur mengundi sekarang adalah lebih bawah daripada yang sebelumnya namun masih ramai yang tidak tahu untuk mengundi siapa. Bahasa yang digunakan juga bagus dan meyakinkan sejurus menjadikan orang yang mendengarnya merasa yakin untuk menjalankan tanggungjawabnya untuk mengundi pada 19 November nanti. Apa sahaja platform yang digunakan, adab ketika berkempen tetap perlu dipatuhi dan disantuni bagi menjaga kesejahteraan rakyat sejagat.

ADAB BERKEMPEN KETIKA PILIHAN RAYA

Oleh itu, artikel ini akan membahaskan beberapa adab berkempen yang perlu dijaga sepanjang pilihan raya, antaranya:

  • Elakkan Daripada Berkata-kata Kesat

Biar apapun perjuangan bagi setiap politik, jangan pernah sesekali kita menuturkan atau melontarkan kata-kata yang kesat. Jangan kita hina hanya kerana pendapat dan idea berbeza dengan perjuangan parti yang disokong. Perbuatan memfitnah dan mengata parti lain semasa berkempen demi meraih undi perlu dielak kerana ia mencerminkan akhlak dan peribadi parti itu sendiri.

Penasihat Kompleks Darul Thibbunnabawi Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani berkata individu yang menyebarkan fitnah tentang parti lain dan mengeluarkan kata-kata kesat semasa berkempen tidak layak diundi sebagai pemimpin. Sebaliknya beliau berkata parti politik perlu lebih fokus menyebut tentang kebaikan partinya menggunakan bahasa yang baik seterusnya menunjukkan komitmen yang berterusan untuk membantu rakyat.

Ketika ditanya mengenai panduan berpolitik secara Islam, beliau berkata Rasulullah SAW merupakan panduan yang jelas iaitu ajaran al-Quran dan hadis perlu diterapkan dalam peribadi seorang pemimpin selain perlu belajar tentang siyasah syar’iyah (cara mentadbir kerajaan berasaskan undang-undang Islam).

Turut senada, Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia Prof Madya Dr Nik Rahim Nik Wajis berkata secara umumnya mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah dan bahasa kesat dilarang dalam Islam, bukan hanya semasa berkempen.

Politik ini sebahagian daripada agama, memilih pemimpin ini bukan satu benda yang remeh, ia membawa kesan yang sangat besar kepada negara. Kalau kita tengok negara maju adalah sebab pemimpin yang bagus dan amanah.

Sementara itu, bekas Mufti Wilayah Persekutuan dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata fitnah adalah sekeji-keji bentuk kempen dan permainan politik sekali gus berupaya menaikkan seseorang yang jahat dan menjatuhkan seseorang yang baik. Beliau menyeru semua parti politik supaya memperbaharui niat bagi menghadapi kempen Pilihan Raya Umum ke-15 sambil menekankan bahawa dua tunjang utama politik negara adalah rakyat dan agama.

Dr. Zulkifli berkata biarpun usik-mengusik merupakan perkara biasa semasa berkempen, adab dan akhlak perlu dipelihara supaya tidak keterlaluan membenci dan memusuhi kerana hakikatnya kempen cuma perlawanan kebijaksanaan dalam mengatur strategi mempromosi parti masing-masing di lapangan dan media sosial.

Di samping itu, menurutnya, beliau tertarik dengan sebahagian anak muda di aplikasi TikTok yang akan mengundi buat pertama kali, yang berusaha membuat penelitian menerusi Internet untuk menilai calon dan parti mana yang perlu diundi.

  • Jauhi Pergaduhan

Telah terjadi suatu kes dimana polis Terengganu menahan empat lelaki kerana terlibat dengan pergaduhan semasa memasang bendera parti di Cukai, Kemaman. Kesemua mereka disiasat mengikut seksyen 143 kerana memiliki senjata dan seksyen 324 iaitu sengaja menyebabkan kecederaan dengan senjata. Menurut Pegawai Perhubungan Awam PDRM Bukit Aman, ACP Ramli Mohamed Yoosof mengikut seksyen 143, tertuduh boleh dipenjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Polis sebelum ini berulang kali mengingatkan orang ramai supaya mematuhi undang-undang semasa berkempen, namun masih ada sebilangan individu yang bertindak mencetuskan kekecohan, ujarnya lagi kepada pemberita. Berkempen adalah dengan tujuan mengajak, bukan untuk bermusuhan dan bergaduh. Secara tidak langsung tindakan ini memburukan nama parti yang disokong.

  • Bersaing Dengan Baik

Terdapat beberapa perkara yang perlu kita teliti ketika berkempen agar persaingan yang wujud adalah baik dan sihat.

  1. Betulkan niat berkempen kerana Allah untuk mendapat keredhaanNya dan moga diberikan pahala.
  2. Berdoa agar orang yang dikempen diberikan hidayah oleh Allah untuk bersama mendokong perjuangan menobatkan Islam sebagai teras bernegara dan menangani permasalahan rakyat dengan Islam.
  3. Menjaga akhlak dan peribadi sebagai muslim yang menjaga bahasa pertuturan dan berhemah tanpa cacian dan makian. Dengan asbab dakwah dan kempen sebegini diterima masyarkat yang menatijahkan kemenangan untuk sesebuah parti itu. 
  • Amalkan Politik Matang

Calon yang mengamalkan politik matang adalah calon yang mampu mengamalkan semua adab ketika berkempen yang telah disebutkan diatas. Bukan itu sahaja, antara perkara-perkara penting lain yang perlu diikuti ialah tidak menggunakan tingkah laku atau peribadi seseorang sebagai bahan untuk berkempen dan mengundi; tidak melakukan perbuatan menyogok atau menjamu sesiapa sahaja dengan tujuan mempengaruhi orang memberi undi atau tidak memberi undi calon tertentu; tidak rasuah sama ada secara langsung atau tidak langsung untuk mempengaruhi undi; tidak menggunakan kekerasan, halangan atau paksaan untuk mengundi; dan beberapa perbuatan lain yang dianggap tidak beretika.

Kita juga tidak mahu ruang berkempen yang sepatutnya diisi dengan ceramah-ceramah dan penerangan-penerangan politik yang biasanya berkaitan janji-janji dan idea-idea pembangunan dan kesejahteraan rakyat yang mahu ditawarkan kepada rakyat dipenuhi dengan hamburan kata-kata nista, kesat, caci maki, fitnah dan menghasut yang boleh mengeruhkan masyarakat serta menyemai rasa kebencian dalam kalangan masyarakat terhadap kelompok atau individu tertentu.

Selain parti dan calon, jentera parti memainkan peranan yang sangat penting dalam menentukan kemenangan pada PRU kali ini. Kekuatan jentera sedikit sebanyak melambangkan kekuatan parti dan calon yang bijak memimpin jentera mampu memudahkan perjalanan berkempen sepanjang 14 hari ini.

Jentera akan terlibat menghiasi kawasan kempen dengan bendera dan melakukan persiapan di peringkat akar umbi termasuk memberi nasihat terbaik kepada calon untuk menambat hati pengundi. Laungan dan sokongan jentera sudah pastinya akan memeriahkan suasana sepanjang tempoh berkempen, pada masa sama memberi semangat kepada calon untuk berjuang.

Ekoran daripada adab-adab ketika berkempen yang telah dijalankan, berbaki lagi beberapa hari sebelum hari mengundi. Gunakan waktu yang tinggal untuk mengkaji, ambil tahu keadaan semasa, ambil peluang pendekatan yang calon gunakan agar kita lebih tahun dan kenal setiap parti dan perjuangan yang dilaungkan. Dengan ini, kita akan lebih yakin dengan undian yang kita lakukan.

Wallahua’lam.

Sudahkah Anda Menjadi Tangan Yang Memberi?

Jika belum jom sama-sama dengan Perkim Datuk Keramat membantu mereka yang dalam kesusahan seperti ibu tunggal, mereka yang menghidap penyakit kronik dan pelbagai lagi. Sesungguhnya sedikit sumbangan anda, memberi 1000 kemanisan untuk mereka

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top