Adab Ketika Menziarahi

Hampir 2 tahun, rakyat Malaysia tidak dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri. Alhamdulillah, kita diberi peluang dan rezeki untuk menyambutnya pada tahun ini dengan penuh kemeriahan. Ramai yang tidak melepaskan peluang untuk pulang ke kampung bagi menziarahi sanak saudara yang sudah lama tidak bersua. Namun dalam keghairahan kita berkunjung ke rumah orang lain, ada beberapa adab yang perlu diambil berat. Nak tahu apa dia? Jom sama-sama kita berkongsi antara adab ketika berkunjung.

Meminta izin sebelum berkunjung

Sebelum datang berkunjung, lebih elok jika kita memaklumkan tentang kedatangan dan meminta izin terlebih dahulu. Orang kata, “buat temu janji awal dengan tuan rumah.” Barulah kita dapat berkunjung dengan senang hati dan selesa. Kalau tak, sekali datang dah penuh satu rumah dengan tetamu yang lain. 

Ia juga salah satu cara untuk tuan rumah lebih bersedia awal bagi menerima kedatangan tetamu. Dapatlah mereka membuat persiapan apa yang patut. Ini tidak, dah lah datang mengejut, lepas tu bila tuan rumah hidangkan minuman dan makanan ringan je, tahu pula kita “complaint” kan?

Perkara ini juga perlu diambil secara serius supaya silaturahim yang ingin dijalin terlaksana. Jangan disebabkan perkara ini, tuan rumah berasa kecil hati kerana terpaksa bersusah payah menyediakan juadah untuk tetamu yang datang secara mengejut. Bayangkan jika orang yang kita lawat itu adalah makcik tua yang hanya ada seorang anak perempuan. Yang datang adalah sepupu-sepupu yang duduk jauh dari kampung dan datang dalam jumlah yang ramai dengan alasan seronok berkonvoi. Bayangkan perasaan si anak perempuan yang seorang diri itu, perlu menyediakan juadah dalam keadaan yang tergesa-gesa. Sudah tentu akan ada rasa marah dan geram terhadap tetamunya itu. Adakah itu yang kita nak ?

 

Berniat Baik

Apa-apa yang nak dilakukan, mestilah dimulakan dengan niat yang baik. Samalah juga jika nak berkunjung ke rumah orang. Pastikan niat yang ikhlas dan elakkan bertanya tentang perkara-perkara negatif atau bercakap buruk tentang rumahnya.

Jangan sesekali bertanya soalan dengan niat untuk bermegah diri atau untuk menjatuhkan maruah orang lain. Contohnya kita melawat seorang kawan sekolah rendah yang telah lama tak berjumpa, jangan sesekali memperlekehkan pekerjaan dia walaupun dia bekerja di kampung. Jangan pernah ada perasaan untuk menunjuk kemewahan atau kebahagiaan kita kepada orang yang kita ziarahi. Takut-takut, tuan rumah tidak selesa dan berasa kecil hati.

Berkunjung pada waktu yang sesuai

Seterusnya, nak berkunjung juga perlulah pada waktu yang sesuai. Tak boleh kita main terjah je! Bila waktu yang tidak sesuai tu? Antara waktu yang tidak sesuai adalah lewat malam (10-12 malam) . Waktu ini adalah waktu dimana tuan rumah sudah mula untuk berehat dan tidur. Walaupun orang yang kita lawat mungkin kawan baik kita, tapi bila kita berkunjung ke rumahnya, sudah tentu yang menyediakan makanan dan minuman adalah ahli keluarganya atau pun jika telah berkahwin, maka isterinyalah yang akan bersusah-payah melayan tetamu itu. 

Jika rumah saudara yang kita nak ziarah itu mempunyai ahli keluarga yang sedang sakit atau tidak sihat, pastikan bertanya dulu sebelum datang. Kadang-kadang waktu kita datang itu adalah waktu rehat mereka setelah menjaga mereka yang tidak sihat.

Memberi salam sebelum memasuki rumah

Had yang dibenarkan adalah sebanyak tiga kali untuk memberi salam. Elakkan masuk tanpa izin dan apabila sudah diizinkan, haruslah bersalaman dengan tuan rumah. Tapi kalau dah beri salam lebih daripada tiga kali dan tak ada yang menyahut, nak buat apa? Kalau macam tu, mungkin mereka tiada di rumah atau mereka tidak bersedia untuk menerima tetamu. Jadi seeloknya jika kita pulang dahulu dan datang semula pada lain waktu

Jaga perilaku terutamanya anak-anak kecil

Ibu bapa yang ada anak-anak kecil ni tak boleh leka. Sebaliknya perlu sentiasa perhatikan mereka agar tidak menyentuh dan bermain barangan atau perabot tuan rumah. Tambah pula, ada juga anak-anak yang suka sangat berlari-lari kan? Haa, ibu bapa kenalah nasihatkan anak mereka supaya jaga perlakuan. Jangan sampai habis satu rumah mereka tawaf nanti! Kan tak seronok jika tuan rumah tak selesa dengan kedatangan kita.

Menghormati privasi tuan rumah

Segelintir masyarakat kita ni memang tak boleh lari dari jaga tepi kain orang. Tapi jika berkunjung ke rumah orang, janganlah sesekali memasang telinga atau mencuri dengar perbualan tuan rumah dengan keluarganya. Tak kisahlah ia perkara baik ataupun buruk. Siapa kita nak sibuk-sibuk dengar juga? Kan tak manis tu, tambah pula bila melibatkan urusan keluarga mereka. Jadi, kita sebaiknya mengelakkan untuk berlama-lamaan ketika menziarah kerana mungkin tuan rumah tidak berasa selesa dan ada urusan lain yang perlu diuruskan. Maka kita sebagai tetamu perlu peka dengan privasi tuan rumah

Ucapkan syukur dan terima kasih

Sebelum pulang, ucapkanlah terima kasih dan mendoakan tuan rumah atas kesudian mereka menerima tetamu. Tak susah kan? Jika kita ucapkan kata-kata penghargaan walaupun dengan hanya “berterima kasih” sahaja, ia sebenarnya mampu membuatkan tuan rumah berasa lebih dihargai dan gembira dengan kedatangan kita. Mungkin akan datang, mereka akan lebih mengalu-alukan kedatangan kita lagi. 

Kesimpulannya, sangat penting bagi kita sebagai tetamu untuk menjaga adab ketika berkunjung ke rumah orang. Jangan jadikan matlamat asal ziarah-menziarahi bertukar menjadi permusuhan akibat sikap dan perilaku kita sebagai tetamu yang tidak menghormati tuan rumah. 

Sudahkah Anda Bersedekah Hari Ini?

Jika belum jom sama-sama dengan Perkim Datuk Keramat membantu mereka yang dalam kesusahan seperti asnaf, ibu tunggal, mereka yang menghidap penyakit kronik , muallaf, anak yatim dan pelbagai lagi. Sesungguhnya sedikit sumbangan anda, memberi 1000 kemanisan untuk mereka

Scroll to Top