ADAB MENJAGA LISAN

PERANAN LISAN

Lidah merupakan anggota yang terlihat kecil pada tubuh namun mampu memberikan kesan yang besar kepada kehidupan, bukan sahaja pada kehidupan sendiri bahkan pada kehidupan orang lain. Lidah juga disebut sebagai ‘lisan’ dalam Bahasa Arab. Setiap perkara yang Allah jadikan mempunyai fungsinya yang tersendiri, bergantung kepada penggunanya samada ke atas jalan yang benar atau yang buruk. Begitu juga dengan peranan lisan yang perlu diambil perhatian.

Dengan demikan, hukum Islam mengatur semua aspek kehidupan manusia agar seorang muslim dapat melaksanakan ajaran Islam secara sempurna. Sebagaimana lisan, Islam telah menggariskan untuk membiasakan berkata baik atau berdiam dari perkataan buruk menjadi sifat Mukmin sejati. Sebaliknya, perkataan buruk memiliki kesan dan tempat yang buruk dalam Islam. Perkataan yang mencela, mencaci dan sejenisnya tidak hanya dibenci oleh manusia secara fitrah, tetapi juga oleh Malaikat.

Suatu waktu Rasulullah sedang berkumpul bersama para Sahabat, tiba-tiba datang seseorang mencaci Saidina Abu Bakar. Saidina Abu Bakar diam dan tidak memberikan tindak balas. Kemudian si fulan kembali mencaci, Saidina Abu Bakar tetap diam dan tidak membalas. Kali ketiga si fulan kembali mencaci, dan Saidina Abu Bakar membalas. Maka Rasulullah beranjak meninggalkan majlis tersebut. Saidina Abu Bakar mengikuti Rasulullah dan bertanya: “Apakah engkau marah kepadaku, wahai Rasulullah? Rasulullah menjawab: “Malaikat telah turun dari langit, menyalahkan perkataan orang tadi, namun saat engkau membalasnya maka datanglah syaitan, dan aku tidak mendatangi tempat jika di sana dihadiri oleh syaitan”. (HR Abu Daud)

Menjaga lisan adalah amat mulia dalam islam. Sebagaimana hati, sejauh mana penjagaan dan pengendalian terhadap lisan, ianya menjadi ukuran kepada baik atau buruknya amal seseorang. Maka, antara hati dan lisan saling berkaitan dan mempengaruhi amal perbuatan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Tidak lurus iman seseorang hingga lurus hatinya, dan tidak lurus hati seseorang hingga lurus lisannya”. (HR Ahmad)

ADAB MENJAGA LISAN

Adapun adab menjaga lisan juga disebut sebagai Hifdzul lisan. Lisan itu sendiri merupakan anggota badan yang benar-benar perlu dijaga dan dikendalikan supaya tetap berada dijalan yang benar sesuai syari’ah Islam. Antara adab-adabnya:

  • Berkata-kata yang baik atau diam.

Tidak berbicara kecuali dengan perkataan yang boleh mendatangkan kebaikan dan manfaat atau mencegah keburukan bagi dirinya atau orang lain. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah ia berkata yang baik atau diam”. (HR Bukhari)

Imam Asy-Syafi’ie menjelaskan makna hadith di atas adalah, “Jika engkau hendak berkata-kata maka berfikirlah terlebih dahulu, jika yang nampak adalah kebaikan maka ucapkanlah perkataan tersebut, namun jika yang nampak adalah keburukan atau bahkan engkau ragu-ragu maka tahanlah dirimu (dari mengucapkan perkataan tersebut)”.

  • Mencari waktu dan tempat yang tepat

Mencari waktu yang sesuai untuk bercakap adalah sangat penting sebagaimana kata hikmah yang bermaksud: “Setiap tempat dan waktu ada pembicaraannya tersendiri”. Sebagai contohnya, ketika imam solat jumaat sedang berkhutbah, kita menegur seseorang kerana kelakuannya yang tidak sopan. Walaupun perbuatan menegur itu baik, namun ianya ditegah kerana boleh menhilangkan fokus terhadap khutbah yang disampaikan. Jelas disini amalan menegur disini tidak sesuai mengikut tempatnya.

Adapaun, kita melihat seseorang melakukan perkara yang kurang menyenangkan di khalayak ramai, lalu kita pun menasihati secara terbuka sehingga menyebabkan pergaduhan kerana perasaan malu. Walhal, Islam menganjur agar umat Islam untuk menegur secara hikmah dengan harapan agar si pelaku terbuka hati untuk memohon maaf dan mengubah sikapnya. Justeru, jelas disini perbuatan menasihati itu baik namun tidak sesuai dengan waktunya.

  • Tidak berlebihan dalam memuji dan mencela.

Berlebihan dalam memuji adalah bentuk dari ria’ dan mencari muka manakala berlebihan dalam mencela adalah suatu bentuk dalam mencari permusuhan dan balas dendam. Adalah sebaiknya bagi seseorang itu sentiasa bersederhana dalam memuji dan tidak mengeluarkan kata-kata kesat.

  • Tidak mengeluarkan kata-kata keji.

Islam jelas melarang umatnya untuk mengeluarkan kata-kata yang buruk samada kepada dirinya, orang lain dan makhluk lain. Hal ini kerana, setiap perkara yang berlaku mengikut edaran hikmahnya. Bersabar dan tidak terlalu mengikut emosi adalah langkah yang terbaik. Kita bukan sahaja ditegah untuk memulakan dengan kata keji bahkan kita juga dilarang untuk membalas semula perkataan yang buruk kepada orang yang memulakan pergaduhan. Allah telah nyatakan didalam al-Quran bahawa kita perlu membalas keburukan dengan kebaikan. Dengan itu, si pelaku akan berlembut hati dan rasa bersalah dan secara tak langsung kita telah melakukan dakwah.

  • Tidak menabur janji-janji sesuka hati.

Allah SWT berfirman dalam surah as-Soff: ayat ke-2 dan 3 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan”.

Seringkali janji-janji manis ini diberikan dalam mana-mana manifesto dalam kempen sesebuah pertubuhan dan parti dalam mencari pengikut untuk mengundinya. Sesungguhnya setiap bait-bait kata itu mampu memberikan harapan kepada sesetengah pihak untuk memperjuangkan sesuatu. Namun, ianya menjadi sia-sia jika ianya hanya sekadar janji. Betapa beratnya memberikan sebuah pengharapan kepada seseorang namun tidak ditunaikan, inikan pula janji kepada ramai pihak dan menggunakan janji-janji itu hanya untuk mendapatkan pangkat, nama dan jawatan.

  • Tidak mengumpat.

Menyebut sesuatu yang boleh menyenangkan seseorang namun mendatangkan kemurkaan Allah SWT inilah yang disebut sebagai mengumpat atau mengata belakang. Sebut sahaja aib atau kelemahan seseorang pasti akan ada yang menyambungnya. Telah menjadi kebiasaan manusia kini melihat kejahatan atau kekurangan seseorang itu melebihi daripada kebaikan yang dilakukan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Siapa yang membuat manusia senang dengan melakukan perkara yang mendatangkan amarah Allah SWT, maka ia dan urusannya akan diserahkan kepada manusia, dan siapa yang membuat manusia marah karena ia melakukan perkara yang membuat Allah redha, maka Allah akan menjamin baginya perlindungan dari perlakuan manusia”. (HR Tirmidzi)

  • Menyibukkan lisan untuk berzikir (ingat) kepada Allah SWT.

Melihat kepada adab-adab menjaga lisan diatas terlalu banyak perkataan ‘jangan’ daripada perkataan yang khusus untuk menyebut yang baik. Hal ini kerana, berkata-kata itu hukumnya adalah harus namun kita sering terlupa dan tergelincir daripada menyebut perkara yang ditegah oleh Islam. Dalam sehari sahaja, terdapat banyak kata-kata telah kita ucapkan namun tanpa kita sedari mungkin telah kita sakiti orang lain secara langsung ataupun tidak. Oleh itu, menyibukkan lisan untuk berzikir adalah adab yang terakhir untuk seseorang lakukan jika kita tiada apa untuk kita tuturkan samada dengan cara membaca al-Quran, berzikir dan berselawat. Semoga dengan amalan itu, lidah kita lebih cenderung untuk menyebut perkataan yang baik dan mulia dalam menjaga lisan.

DOA MENJAGA LISAN

Tiada doa yang khusus dalam menjaga lisan namun, kita dianjurkan untuk memohon doa agar lidah sentiasa disibukkan dengan berzikir dan mengingati-Nya.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top