ALLAH SWT MEMBERI AGAR MANUSIA JUGA MEMBERI

ALLAH SWT MEMBERI AGAR MANUSIA MEMBERI

PERLU KE KITA MEMBERI?

Kita dilahirkan sebagai umat yang memberi. Apabila bertemu sahaja saudara seIslam, sama ada yang dikenali atau tidak kita dianjurkan untuk memberi salam dan senyuman. Di dalam solat, kita memberi doa. Dalam zakat kita memberi harta.

Menjadi umat Islam secara automatik menjadi umat yang ceria. Ini kerana kita telah ditarbiah dan dilatih untuk memberi. Apabila ceria apa sahaja yang kita buat akan menjadi. Kita akan membuatnya dari hati, bukan sekadar ambil hati. Maksudnya, orang yang ceria sewaktu melaksanakan sesuatu pekerjaan akan lebih mudah untuk ikhlas.

Namun kita masih sukar untuk memberi? Kata orang, kita sukar memberi kerana itu akan mngurangkan. Orang yang diberi tidak pandai berterima kasih, kata orang yang lain. Apakah yang hendak diberikan? Saya tidak punya apa-apa untuk diberikan. Begitulah alasan yang selalu kita dengar daripada mereka yang sukar memberi. Sebenarnya mereka sedang memberi alasan mengapa mereka tidak gembira dalam hidup.

Begitu banyak Allah SWT beri, begitu sedikit manusia yang bersyukur tetapi hebatnya Allah SWT terus menerus memberi. Justeru, siapa kita yang memberi hanya sedikit, tetapi mengharapkan terima kasih yang banyak?

Kita sebenarnya sentiasa ada sesuatu untuk diberikan. Cuma pengertian kita tentang rezeki perlu diperluaskan. Rezeki tidak hanya pada wang ringgit, harta benda dan lain-lain yang berbentuk material, tetapi juga meliputi segala nikmat termasuk ilmu, kesihatan, sahabat, masa, tenaga, hidayah dan lain-lain. Nikmat itu terlalu banyak. Allah SWT menegaskan dalam al-Quran bahawa manusia tidak akan terhintung nikmat-nikmatNya. Oleh sebab nikmat itu terlalu banyak, maka tidak ada alasan untuk kjita tidak memberi.

Sekalipun si miskin, dai masih boleh memberi doa, senyuman, masa dan tenaganya kepada orang lain. Ya, Allah SWT suka kepada si kaya yang pemurah tetapi Allah SWT lebih suka kepada si miskin yang pemurah. Sikap pemurah bukan ditentukan oleh banyak atau sedikitnya harta. Tetapi oleh baik atau buruknya rasa di dalam jiwa. Ya, bukan soal kuantiti harta yang kita miliki, tetapi oleh kualiti hati yang ada di dalam diri.

Oleh itu jangan hairan jika ada orang miskin yang lebih ceria hidupnya berbanding si kaya. Semuanya ditentukan oleh kemampuan memberi. Kata penulis tersohor, Dr Aid al-Qarni, orang yang pertama mendapat manfaat dariapada suatu kebaikan ialah orang yang melakukannya. Hakikatnya, perbuatan memberi itu ialah suatu kebaikan. Oleh itu, orang yang memberi ialah insan pertama yang mendapat manfaat daripada apa yang diberikannya.

Orang yang memberi salam (memberi doa) akan terlebih dahulu mendapat keberkatan daripada doanya. Kemudian barulah orang yang menerima ucapan salamnya. Ya, tepat seperti mana yang diungkapkan oleh orang bijaksana, tangan yang menghulur bunga mawar pasti berbau harum. Dengan menyalakan lilin orang lain kita akan bernyala, tidak akan mengurangkan cahaya cahaya lilin kita. Sebaliknya kita akan mendapat lebih banyak cahaya.

Jadi, sekarang kita sudah jelas mengapa umat Islam kini belum benar-benar produktif dan kualiti kerja umat masih rendah. Kita hanya bekerja untuk menerima, bukan untuk memberi. Masih ramai yang tidak sedar, Allah memberi untuk kita memberi.

Mengambil ibrah dalam bulan Ramadhan ini, kita tentu sudah merasai lapar dan dahaga sepanjang berpuasa ini. Inilah yang dirasakan oleh para fakir miskin dan golongan yang tidak mampu untuk membeli makanan dan minuman. Ibrah ini jika diamati, sudah tentu jiwa kita akan jadi lebih lembut dan semakin kuat rasa kasih untuk membantu golongan yang memerlukan.

Jom edekah

TANGAN YANG MEMBERI LEBIH BAIK DARIPADA YANG MENERIMA

Memiliki harta merupakan suatu nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita semua. Sesiapa yang beriman kepada Allah SWT dan bersyukur atas segala nikmat yang diperolehi dengan membelanjakan hartanya pada jalan Allah, nescaya Allah SWT akan membalas segala amal baik yang telah dilakukannya.

Firman Allah SWT dalam surah al-Muzzammil ayat ke-20 :

 وَمَا تُقَدِّمُوا۟ لِأَنفُسِكُم مِّنْ خَيْرٍۢ تَجِدُوهُ عِندَ ٱللَّهِ هُوَ خَيْرًۭا وَأَعْظَمَ أَجْرًۭا ۚ 

Maksudnya: “Dan (ingatlah), apa jua kebaikan yang kamu kerjakan sebagai bekalan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasannya pada sisi Allah, – sebagai balasan yang sebaik-baiknya dan yang amat besar pahala-Nya.”

Sesungguhnya orang yang sentiasa bersedekah akan mendapat naungan di hari akhirat kelak. Hadis daripada Abu Hurairah Radhiallahu Anhu bahawa Nabi SAW bersabda bahawa ada tujuh golongan manusia yang mendapat naungan arasy Allah di akhirat kelak salah satunya adalah golongan orang yang bersedekah yang bermaksud:

“Dan seseorang yang bersedekah dengan tangan kanannya, ia menyembunyikan amalnya itu sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang disedekahkan oleh tangan kanannya.”(HR Bukhari)

Selain itu amalan bersedekah juga boleh menghapuskan dosa-dosa kecil. Hadis daripada Muaz bin Jabal Radhiallahu Anhubahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Dan sedekah melenyapkan kesalahan (dosa) sebagaimana air memadamkan api.” (HR Tirmizi)

Bersedekah atau berinfaq tidak akan menjadikan seseorang itu miskin bahkan mempermudahkan ia memperoleh sumber rezeki.

Firman Allah SWT dalam surah al-Saba’ ayat ke-39:

قُلْ إِنَّ رَبِّى يَبْسُطُ ٱلرِّزْقَ لِمَن يَشَآءُ مِنْ عِبَادِهِۦ وَيَقْدِرُ لَهُۥ ۚ وَمَآ أَنفَقْتُم مِّن شَىْءٍۢ فَهُوَ يُخْلِفُهُۥ ۖ وَهُوَ خَيْرُ ٱلرَّٰزِقِينَ ٣٩

Maksudnya: Katakanlah (Wahai Muhammad): “Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya, dan ia juga yang menyempitkan baginya; dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya; dan Dia lah jua sebaik-baik pemberi rezeki.”

Sekecil mana sedekah yang dihulurkan, ia cukup bermakna kepada si penerima yang hidup serba kekurangan, malah ‘buah tangan’ yang tidak seberapa mampu menerbitkan senyuman, walaupun cuma untuk seketika. Islam sangat menggalakkan umatnya membantu mereka yang dalam kesempitan.

Hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

Sesungguhnya tangan di atas (yang memberi) lebih baik daripada tangan yang di bawah (yang menerima).” (HR Bukhari)

Amalan menyampaikan sumbangan dengan penyerahan replika cek sebagai gimik dalam majlis-majlis tertentu sudah menjadi kebiasaan. Sama ada sumbangan individu atau syarikat, ia bertujuan menggalakkan pihak lain mencontohi amalan baik ini. Ia biasanya melibatkan sumbangan untuk mereka yang ditimpa musibah besar seperti kebakaran, kemalangan, bencana alam mahupun penyakit kritikal atau kronik.

Mereka yang memulakan amalan baik ini yang diikuti pula oleh pihak lain akan mendapat pahala yang melimpah-ruah sebagaimana disebut dalam hadis bernombor 1893 Riwayat Muslim, “Daripada Abu Mas’ud ‘Uqbah bin Amriy Al-Anshori Al-Badriy, beliau berkata Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang dapat menunjukkan suatu kebaikan (kemudian diikuti dan dilakukan kebaikan tersebut oleh seseorang yang lain) maka dia akan mendapat pahala seperti orang yang melakukannya.”

Hebatnya mereka yang berada dalam golongan ini. Dengan izin Allah SWT, pahala yang berganda akan berterusan mengalir sebagai bekalan di akhirat kelak.

Hadis di atas seiring dengan ayat 261 Surah al-Baqarah yang bererti “Perumpamaan orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh butir, pada tiap-tiap butir tumbuh 100 biji. Allah melipatgandakan bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas lagi Maha Mengetahui”.

Bagaimana pula dengan mereka yang menyampaikan sedekah secara sembunyi dan merahsiakan identiti mereka? Ia bergantung pada niat masing-masing namun terdapat panduan melalui firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 271 yang bererti, “Jika kamu menampakkan sedekah(mu), maka itu adalah baik sekali. Dan jika kamu menyembunyikannya dan kamu berikan kepada orang-orang fakir, maka menyembunyikan itu lebih baik bagimu. Dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian kesalahan-kesalahanmu; dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.”

Oleh itu, sama-samalah kita berwaspada dalam setiap amalan kita. Suburkan amalan bersedekah namun sentiasa jaga hati agar niat kita benar-benar untuk membantu mereka yang memerlukan dengan harapan mendapat reda Allah dan keampunan-Nya dan bukannya untuk menunjuk-nunjuk serta mendapat pujian dan pengiktirafan manusia. Pada akhirnya apa yang kita perlukan adalah semoga segala perbuatan dan amalan kita menjadi ibadat yang diterima di sisi Allah SWT.

Wallahua’lam

Mengambil manfaat hari Jumaat dalam bulan Ramadhan ini, marilah kita menjadi tangan-tangan yang memberi. Jika anda ingin menjadi tangan yang memberi boleh klik pada butang “Bantu Mereka” dibawah dan salurkan sumbangan. Terima kasih. Semoga Allah permudahkan segala urusan dan mewahkan rezeki buat para penyumbang. Amiin.

Sudahkah Anda Menjadi Tangan Yang Memberi?

Jika belum jom sama-sama dengan Perkim Datuk Keramat membantu mereka yang dalam kesusahan seperti ibu tunggal, mereka yang menghidap penyakit kronik dan pelbagai lagi. Sesungguhnya sedikit sumbangan anda, memberi 1000 kemanisan untuk mereka

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top