ALLAH SWT MEMULIAKAN ORANG YANG BERSEDEKAH DI DUNIA

Pada artikel yang lepas telah diceritakan tentang maksud sedekah dan kelebihan yang boleh kita perolehi daripadanya. Pada minggu ini akan dibahaskan lebih mendalam lagi salah satu kelebihan bersedekah iaitu Allah SWT memuliakan orang yang telah bersedekah. Kemuliaan itu boleh datang dalam banyak perkara salah satunya penerimaan amalan yang dilakukan, kemuliaan turut berlaku keatas orang lain, doa malaikat keatas kita, dipermudahkan dan dilancarkan segala urusan didunia dan sebagainya. Hikmah-hikmah dapat disingkapi melalui hadith-hadith Rasulullah SAW, kisah para sahabat, auliya’ dan banyak lagi.

KEMULIAAN ORANG YANG BERSEDEKAH

Allah SWT menjanjikan banyak keutamaan dan balasan kepada mereka yang suka memberi (bersedekah). Hadis daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‏اليد العليا خير من اليد السفلى

Maksudnya: “Tangan yang di atas lebih baik dari tangan yang di bawah.” (HR Bukhari)

Bagi artikel ini akan didatangkan dua kisah kemuliaan orang bersedekah berdasarkan hadith Rasulullah SAW.

KISAH LELAKI BERSEDEKAH KEPADA PENCURI, PELACUR DAN ORANG KAYA

Ini kisah di mana seorang lelaki yang tersalah bersedekah kepada pencuri, pelacur dan orang kaya yang disangkannya mereka itu ialah orang miskin. Abu Hurairah r.a menerangkan bahawasanya Rasulullah SAW bersabda maksudnya:

“Seorang lelaki berkata: Demi Allah saya akan memberi sedekah. Maka dia keluar membawa sedekahnya lalu diletakkannya di dalam tangan pencuri. Maka pada paginya, orang ramai pun memperkatakan hal tersebut. Mereka berkata: Telah diberi sedekah kepada pencuri. Si pemberi itu berkata: Wahai Tuhan ku, hanya untuk Engkaulah segala puji-pujian. Demi Allah, saya akan sedekahkan satu sedekah lagi.

Maka dia keluar membawa sedekahnya lalu diletakkan di tangan wanita pelacur. Pada pagi hari itu orang ramai pun memperkatakan hal tersebut. Mereka berkata: Telah diberikan sedekah kepada wanita pelacur. Orang tersebut berkata: Wahai Tuhan ku, hanya untuk Engkaulah segala puji-pujian.

Demi Allah saya akan memberikan satu sedekah lagi. Maka dia keluar membawa sedekahnya lalu diletakkan di tangan orang kaya. Pada pagi hari itu orang ramai memperkatakan hal tersebut. Mereka berkata: Telah diberikan sedekah kepada orang kaya. Orang itu berkata: Wahai Tuhan ku, hanya untuk Engkaulah segala puji-pujian terhadap si pencuri, si penzina dan terhadap si kaya.

Kemudian datanglah seseorang kepadanya dalam tidurnya lalu berkata kepadanya: Sedekah mu kepada si pencuri, mudah-mudahan ia akan memelihara dirinya daripada mencuri, manakala kepada wanita pelacur mudah-mudahan ia akan memelihara dirinya daripada berzina dan orang kaya mudah-mudahan ia akan mengambil pengajaran lalu menafkahkan sebahagian harta yang telah Allah berikan kepadanya.” (HR Bukhari & Muslim)

  • Ringkasan kisah

Dalam hadith ini Rasulullah SAW telah menceritakan kepada kita bagaimana ada seorang lelaki soleh di mana dia ingin memberi sedekah kepada mereka yang memerlukannya. Memanglah bagi mereka yang telah subur dalam diri mereka kemanisan iman dan juga sentiasa beramal soleh sentiasa memikirkan bagaimana mahu menambahkan amal kebajikan bagi mengejar keredhaan Allah. Lelaki ini merupakan salah seorang daripadanya di mana telah timbul dalam hatinya untuk bersedekah. Lelaki ini mahu bersedekah dalam keadaan sembunyi di mana tidak siapa pun akan mengetahuinya melainkan Allah. Ini adalah kerana hanya sedekah secara sembunyi sahaja mampu memadamkan api kemurkaan Allah dan sedekah secara sembunyi juga merupakan selebih-lebih sedekah berbanding sedekah secara terang-terangan.

Pada suatu malam lelaki ini telah keluar bertujuan untuk memberi sedekah dan dia telah memberi sedekahnya itu kepada seseorang yang mana pada anggapannya dia merupakan orang miskin sedangkan pada hakikatnya dia merupakan seorang pencuri. Pada keesokan harinya pencuri itu menceritakan kepada orang ramai bahawa ada seorang lelaki yang tidak dikenalinya telah memberi sedekah kepadanya. Mendengar cerita itu menyebabkan keadaan menjadi gempar di mana masing-masing menceritakan bagaimana ada seorang lelaki telah memberi sedekah kepada seorang pencuri.

Akhirnya berita mengenai sedekahnya kepada seorang pencuri telah sampai ke telinganya sedangkan ketika dia memberikan sedekahnya itu dia menganggap bahawa orang itu miskin. Mendengar berita itu menyebabkan lelaki itu merasa kecewa dan sedih lalu mengucap: Wahai Tuhanku! Segala pujian untukMu. Aku telah terbahagi sedekahku kepada pencuri.

Dia berazam untuk melakukan sedekah seterusnya kerana dia merasakan bahawa sedekahnya kepada pencuri itu menjadi suatu perkara sia-sia dan tidak akan dinilai oleh Allah. Pada malam yang kedua dia keluar dari rumahnya bertujuan untuk bersedekah dan dia telah memberi sedekahnya itu kepada seorang perempuan yang dianggap miskin sedangkan pada hakikatnya dia merupakan seorang pelacur. Pada keesokan harinya pelacur itu menceritakan kepada orang ramai bahawa ada seorang lelaki yang tidak dikenalinya telah memberi sedekah kepadanya. Mendengar cerita itu menyebabkan keadaan menjadi gempar di mana masing-masing menceritakan bagaimana ada seorang lelaki telah memberi sedekah kepada seorang pelacur. Akhirnya berita mengenai sedekahnya kepada seorang pelacur telah sampai ke telinga lelaki tadi sedangkan ketika dia memberikan sedekahnya itu dia menganggap bahawa orang itu miskin.

Mendengar berita itu menyebabkan lelaki itu merasa bertambah kecewa dan sedih lalu mengucap: Wahai Tuhanku! Segala pujian untukMu. Aku telah terbahagi sedekahku kepada pelacuri. Dia berazam untuk melakukan sedekah seterusnya kerana dia merasakan bahawa sedekahnya kepada pencuri itu menjadi suatu perkara sia-sia dan tidak akan dinilai oleh Allah.

Pada malam yang ketiga dia keluar dari rumahnya bertujuan untuk bersedekah dan dia telah memberi sedekahnya itu kepada seorang lelaki yang dianggap miskin sedangkan pada hakikatnya dia merupakan seorang kaya. Apabila dia mengetahui perkara sebenar buat kali ketiga, maka bertambah sedihlah lelaki ini sehingga dia mengucapkan: “Wahai Tuhanku! bagi Engkau segala pujian itu. Aku telah tersilap bahagi sedekah kepada pencuri, pelacur dan juga si kaya”.

Lelaki ini tidak tahu bagaimana Allah tetap menerima segala amalan sedekahnya walaupun dia merasakan bahawa sedekahnya itu ditolak oleh Allah. Akhirnya melalui pemberitahuan dalam mimpinya maka dia dapat tahu bahawa sedekahnya telah dibalas oleh Allah dengan pahala yang setimpal dengan amalannya itu. Allah juga memberitahunya bagaimana setiap sedekahnya telah membawa hikmah iaitu pencuri akan berhenti daripada mencuri, pelacur akan bertaubat daripada berzina dan si kaya akan turut bersedekah dengan harta yang dianugerahkan kepadanya oleh Allah.

Sesungguhnya sedekah yang diberikan dengan niat yang baik akan diterima Allah walaupun tidak jatuh kepada orang yang selayaknya. Bukan hasil yang dilihat (material atau keputusan zahir) tetapi usaha dan amalan untuk melakukannya itu dinilai.

MALAIKAT MENYUKAI DAN BERDOA UNTUK ORANG YANG BERSEDEKAH

Kisah kelebihan amalan sedekah ini pernah disebut Rasulullah SAW apabila Abu Hurairah RA meriwayatkan Baginda bersabda: “Pada suatu hari ketika seorang lelaki berada di tanah lapang yang sunyi, dia terdengar satu suara dari awan: Siramlah air (hujan) kepada kebun si fulan itu!”

Awan itu bergerak lalu mencurahkan airnya pada sebidang tanah berbatu hitam. Saluran air pada tanah itu kemudiannya menampung semua curahan air hujan (dan mengalirkannya ke suatu arah). Lelaki itu pun mengikuti air itu dan menemui seorang petani berdiri di kebunnya, sedang mengubah aliran air dengan cangkul.

Lelaki itu bertanya: “Wahai hamba Allah, siapa namamu?” Petani itu menjawab: Nama saya fulan, iaitu nama yang baru didengarnya dari angkasa. Si petani bertanya kepadanya: Wahai hamba Allah, mengapa kamu tanyakan namaku?”

Kata lelaki itu: “Sebenarnya sekejap tadi saya dengar satu suara dari awan yang baru menurunkan air ini. Suara itu berkata,‘siramilah air pada kebun si fulan,’ menyebut nama kamu. Apa yang kamu buat dengan kebun ini?”

Petani itu berkata: “Baiklah, kalau kamu katakan begitu. Sebenarnya, aku selalu perhatikan apa yang keluar dari kebun ini, lalu aku sedekahkan 1/3 daripadanya, 1/3 berikutnya aku makan bersama keluargaku dan 1/3 lagi aku kembalikan (untuk modal cucuk tanam).” (HR Muslim)

Berdasarkan dua kisah diatas yang pertamanya, Allah SWT tetap memuliakan sedekah seseorang walaupun diterima oleh orang yang salah. Bahkan kerana kemuliaannya, orang yang dianggap salah sebelumnya itu telah berubah kerana menerima sedekah daripada orang yang benar-benar niat baik dan kerana Allah SWT. Pada kisah kedua yang mana seorang lelaki yang disebut namanya oleh para malaikat dan didoakan baginya dimurahkan rezeki. Anddai sahaja kita ketahui seseorang mendoakan kebaikan buat kita sudah tentu perasaan gembira menyelubungi diri, inikan pula malaikat yang mendoakan. 

Semoga kita semua lebih istiqamah dalam melakukan amalan sedekah.

Wallahua’lam.

Sudahkah Anda Menjadi Tangan Yang Memberi?

Jika belum jom sama-sama dengan Perkim Datuk Keramat membantu mereka yang dalam kesusahan seperti ibu tunggal, mereka yang menghidap penyakit kronik dan pelbagai lagi. Sesungguhnya sedikit sumbangan anda, memberi 1000 kemanisan untuk mereka

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top