AMALAN SOLAT SUNAT WITIR DAN PERBAHASANNYA

SOLAT SUNAT WITIR DAN PERBAHASANNYA

SOLAT SUNAT WITIR

Tahukah anda, solat sunat witir ini bukan sahaja boleh dilakukan pada bulan Ramadan, malah boleh juga dilakukan pada bulan-bulan lain dan pada hari-hari biasa? Solat sunat witir adalah solat atau sembahyang yang akan dilakukan selepas melakukan solat fardhu isyak. Apa yang dimaksudkan dengan witir ialah ganjil. Solat sunat ini merupakan solat sunat muakkad. Sunat muakkad ini bermaksud digalakkan untuk melakukan sesuatu amalan tersebut dalam Islam.

MAKSUD SOLAT WITIR

Solat sunat witir ini merupakan salah satu amalan yang diamalkan oleh Rasulullah SAW. Solat sunat ini juga telah disebut dalam hadis yang mana bukti solat ini diamalkan oleh Rasulullah SAW. Sebagaimana yang kita tahu, solat sunat ini dijadikan sebagai solat penutup. Solat penutup ini merujuk kepada penutup kerja amalan yang kita lakukan.

Solat sunat ini sering dilakukan pada bulan Ramadan, iaitu solat ini dilaksanakan sejurus selesai solat sunat terawih. Kebiasaannya solat sunat ini dilaksanakan sebanyak 3 rakaat. Solat ini dilakukan sebelum tidur dan juga selepas menunaikan solat tahajjud atau qiamullail pada tengah malam.

KELEBIHAN SOLAT WITIR

Solat sunat witir yang diamalkan oleh Rasulullah SAW sememang dapat memberi kelebihan kepada umat Islam yang turut mengamalkannya.

  • Disukai Oleh Allah SWT

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah itu witir (ganjil), dan Dia menyukai witir, maka lazimkanlah solat witir, wahai ahli al-Quran.” (HR Abu Daud & Tirmizi)

Apa yang kita dapat fahami dimana Allah SWT menyukai mana-mana hambaNya yang menunaikan solat sunat ini. Ini bersesuaian dengan Allah itu satu.

  • Dicatat Pahala Orang Syahid

Mana-mana umat Islam yang tidak meninggalkan solat dhuha, berpuasa tiga hari dan juga tidak meninggalkan solat sunat ini, maka dicatat kepadanya pahala orang syahid.

Sabda Rasulullah SAW ini menunjukkan bahawa solat sunat ini adalah sama besar pahalanya dengan pahala orang syahid. Jadi, tidakkah ia menjadi satu kerugian kepada kita wahai umat Islam.

  • Menjadi Simbolik Kepada Umat Islam

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Witir itu hak (benar). Barangsiapa yang tidak berwitir ia bukan dari golongan kita!”. (HR Ahmad & Abu Daud)

Apa yang kita dapat fahami melalui sabda Rasulullah SAW ini, solat sunat ini dapat menjadikan kita sebagai umat Islam yang sebenar.

Jadi amalkanlah solat sunat ini kerana ini mampu menunjukkan keperibadian kita sebagai seorang umat Islam.

WAKTU MENUNAIKAN SOLAT WITIR

Banyak waktu yang boleh digunakan untuk melaksanakan solat sunat witir ini. Antaranya ialah:

  1. Sebolehnya dilakukan pada waktu malam dan pada akhir solat malam.
  2. Boleh dilakukan sama ada sebelum ataupun selepas solat sunat rawatib ba’diyah isyak.
  3. Selepas solat isyak.
  4. Boleh dilakukan sebelum mahupun sesudah bangun daripada tidur.
  5. Tidak sah sekiranya dilakukan sebelum solat isyak.
  6. Perlu selesai dilakukan sebelum tiba waktu subuh.

Berikut merupakan waktu yang dibolehkan dan juga waktu yang tidak boleh digunakan untuk solat sunat ini. Jadikan ini sebagai panduan untuk menunaikan amalan.

Jom edekah

CARA MENUNAIKAN SOLAT WITIR

Solat sunat witir ini dapat dilakukan dengan satu salam untuk setiap 2 rakaat dan ditambah dengan 1 rakaat disertakan salam.

  • Satu rakaat– 1 kali rakaat sahaja.
  • Tiga rakaat– 1 kali dua rakaat, ditambah 1 lagi rakaat secara berasingan.
  • Lima rakaat– 2 kali dua rakaat, ditambah 1 lagi rakaat secara berasingan.
  • Tujuh rakaat– 3 kali dua rakaat, ditambah 1 lagi rakaat secara berasingan.
  • Sembilan rakaat– 4 kali dua rakaat, ditambah 1 lagi rakaat secara berasingan.

Berikut merupakan cara pembahagian rakaat untuk solat sunat.

Dua Rakaat Pertama:

  1. Niat sembahyang witir dua rakaat.
  2. Baca al-Fatihah dan mana-mana surah (rakaat pertama)
  3. Baca al-Fatihah dan mana-mana surah (rakaat kedua).
  4. Selesai untuk dua rakaat.

Niat Solat Sunat Witir (Dua Rakaat)

Usolli sunnatal Witri, raka’ataini makmuman Lillahi Ta’ala.

Maksudnya: “Sahaja aku solat sunat Witir, dua rakaat, menjadi makmum, kerana Allah Ta’ala”

Satu Rakaat Terakhir:

  1. Niat sembahyang witir satu rakaat.
  2. Baca al-Fatihah dan baca surah al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas.
  3. Selesai untuk satu rakaat.

Niat Solat Sunat Witir (Satu Rakaat)

Usolli sunnatal Witri, raka’atin makmuman Lillahi Ta’ala.

Maksudnya: “Sahaja aku solat sunat Witir, satu rakaat, menjadi makmum, kerana Allah Ta’ala”.

Kesimpulannya, Allah SWT telah menyediakan pahala yang besar kepada hambaNya yang berjaya menunaikan solat sunat ini. Dengan melakukan amalan sunat ini, kita sebagai umat Islam dapat menjadikan pahala solat sunat ini sebagai tiket untuk ke syurga. Janganlah mudah melepaskan peluang yang sudah tersedia.

Namun dalam bulan Ramadhan, boleh dikatakan hampir kesemua masyarakat telah menunaikan solat sunat witir selepas solat Tarawih. Oleh itu terdapat dua pendapat berkenaan pelaksanaan solat sunat selepas witir ketika qiamullail iaitu yang pertama tidak perlu dilaksanakan solat witir ketika qiamullail dan yang kedua, perlu melaksanakan witir ketika qiamullail jika telah dibatalkan witirnya yang awal itu.

BOLEH SOLAT SUNAT LAGI KE SELEPAS SOLAT WITIR??

Terdapat perbezaan pendapat mengenai pelaksaan witir ketika qiamullail jika telah melakukannya selepas solat tarawih. Hal ini berdasarkan sebuah hadis, disebutkan tentang pahala bagi mereka yang solat bersama imam sehingga selesai solat tersebut akan dituliskan pahalanya sepertimana menghidupkan keseluruhan malam itu. Ini berdasarkan sebuah hadis daripada Abu Zar al-Ghifari RA, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:

إنَّهُ مَنْ قَامَ مَعَ الإمَامِ حَتَّى يَنْصَرِفَ، كُتِبَ لَهُ قِيَامُ لَيْلَةٍ

Maksudnya: “Sesiapa yang berdiri (bersolat tarawih) bersama imam sehingga dia (imam) beredar (selesai), dituliskan baginya ganjaran orang yang Qiyam semalaman (seumpama bersolat sepanjang malam)”. (HR Tirmizi)

Maka difahami melalui hadis di atas adalah perlunya untuk seseorang itu solat bersama imam sehingga selesai dan termasuklah di sini bertarawih dan berwitir bersama dengan imam bagi mendapatkan pahala yang disebutkan seperti hadis di atas.

Seterusnya, bagi menjawab persoalan yang ditanyakan mengenai adakah benar pendapat yang mengatakan bahawa tidak boleh melakukan solat sunat yang lain sekiranya telah berwitir dengan imam? Di dalam isu ini, terdapat dua pendapat:

  • Pertama: Dibolehkan untuk melakukan solat sunat yang lainnya meskipun telah melakukannya bersama imam ketika solat tarawih sebelumnya dan tidak perlu untuk mengulangi solat witir tersebut.

Ini adalah mazhab kebanyakan para ulama dari kalangan Hanafiah, Malikiyyah, Hanabilah dan pendapat yang masyhur di sisi Syafi`eyyah. Ini juga adalah pendapat al-Nakha`ie, al-Auza`ie, `Alqamah dan ianya diriwayatkan juga daripada Abu Bakar, Sa’ad, ‘Ammar, Ibn `Abbas dan `Aisyah R.Anhum.

Pendapat yang membolehkan ini berhujah berdasarkan hadis-hadis berikut:

  1. Hadis `Aisyah RA:

ثُمَّ يُسَلِّمُ تَسْلِيمًا يُسْمِعُنَا ثُمَّ يُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ بَعْدَ مَا يُسَلِّمُ وَهُوَ قَاعِدٌ…

Maksudnya: “Kemudian Baginda memberi salam, salam yang didengari oleh kami kemudian Baginda solat dua rakaat selepas memberikan salam dan Baginda sedang duduk.” (HR Muslim)

Hadis di atas adalah sebahagian dari hadis yang panjang dan al-Imam al-Nawawi Rahimahullah menyebutkan bahawa hadis di atas menunjukkan kepada kemungkinan Nabi SAW solat dua rakaat selepas melakukan witir dan sekaligus menjelaskan kebolehan untuk melakukan solat sunat meskipun telah melakukan witir. 

  1. Hadis Ummu Salamah RA:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَرْكَعُ رَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْوِتْرِ، وَهُوَ جَالِسٌ

Maksudnya: “Adalah Nabi SAW ruku` dua rakaat selepas witir dan Baginda dalam keadaan duduk”. (HR Imam Ahmad & Tirmizi))

Adapun larangan untuk mengulangi melakukan witir adalah berdasarkan hadis Talq bin Ali, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:

لاَ وِتْرَانِ فِي لَيْلَةٍ

Maksudnya: “Tiada dua witir dalam satu malam.” (HR Abu Daud)

Ini juga adalah pendapat al-Imam Ibn Hazm Rahimahullah yang mana beliau menyebutkan bahawa bagi mereka yang telah melakukan witir diawalnya dan solat sunat selepas witir itu dibolehkan dan tidak perlu untuk mengulangi witir. 

Pendapat ini juga sepertimana yang disebutkan oleh al-Imam al-Tirmizi Rahimahullah dan menyandarkannya kepada Sufyan al-Thauri, Ibn al-Mubarak dan ini juga adalah pendapat yang paling asah (sahih) menurut beliau. 

  • Kedua: Tidak boleh melakukan solat sunat setelah melakukan solat sunat witir kecuali telah dibatalkan witirnya, dia solat (sunat) dan kemudian berwitir.

Membatalkan witir di sini membawa makna dengan memulakan solat sunat satu rakaat, menjadikan witir yang dilakukan sebelum ini genap bilangan rakaatnya. Kemudian lakukanlah solat sunat yang lain dan kemudian diakhiri dengan witir sekali lagi.

Ini adalah pendapat sebahagian Syafi`eyyah dan ini juga diriwayatkan daripada `Uthman, `Ali, Usamah, Ibn `Umar, Ibn Mas`ud dan Ibn `Abbas R.Anhum.

Hujah yang digunakan adalah berdasarkan hadis Nabi SAW:

اجْعَلُوا آخِرَ صَلاَتِكُمْ بِاللَّيْلِ وِتْرًا

Maksudnya: “Jadikan akhir solat (sunat) kalian pada waktu malam dengan melakukan solat sunat witir.” (HR Bukhari & Muslim)

Kesimpulan

Berdasarkan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa tiada masalah bagi mereka yang ingin melakukan solat sunat selepas melakukan solat witir bahkan yang terbaik adalah kekal bersama imam sehingga selesai solat bagi mendapatkan pahala menghidupkan keseluruhan malam. Ini berdasarkan hadis yang terdahulu iaitu riwayat Muslim, Ahmad dan al-Tirmizi. Inilah pemutus dan penyelesaian bagi isu ini dan ini juga seperti yang dinukilkan di dalam kitab al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafi`e.

Oleh itu, pendapat yang mengatakan tidak boleh melakukan solat sunat lain setelah melakukan solat witir kurang tepat dan yang sebenarnya, boleh untuk melakukan solat sunat yang lainnya meskipun telah melakukan solat sunat witir bersama-sama imam dan tidak perlu untuk mengulangi solat witir tersebut dan berpadalah dengan apa yang telah dilakukan sebelum ini. 

Wallahu a`lam.

Jika anda ingin menjadi tangan kanan yang memberi boleh klik pada butan “Bantu Mereka” dibawah dan  salurkan sumbangan. Terima kasih.

Sudahkah Anda Menjadi Tangan Yang Memberi?

Jika belum jom sama-sama dengan Perkim Datuk Keramat membantu mereka yang dalam kesusahan seperti ibu tunggal, mereka yang menghidap penyakit kronik dan pelbagai lagi. Sesungguhnya sedikit sumbangan anda, memberi 1000 kemanisan untuk mereka

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top