APAKAH PERBEZAAN ANTARA SEDEKAH, INFAQ, WAQAF DAN ZAKAT?

APAKAH PERBEZAAN ANTARA SEDEKAH, INFAQ, WAQAF DAN ZAKAT

PERBEZAAN ANTARA SEDEKAH, INFAQ DAN WAQAF

  • Sedekah

Sedekah bererti pemberian yang padanya dicari pahala daripada Allah Taala. Ibn Manzur memberikan definisi sedekah sebagai apa yang seseorang berikan kerana Allah kepada golongan fakir, yakni yang memerlukan. Sedekah merangkumi maksud zakat wajib, dan sedekah sunat, seperti yang dimaksudkan dalam
al-Quran dalam surah at-Taubah ayat ke-60:

إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّهِ وَابْنِ السَّبِيلِ ۖ فَرِيضَةً مِّنَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

Maksudnya: Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

Begitu juga keterangan hadis dalam surat yang ditulis oleh Sayyidina Abu Bakar RA:

هَذِهِ فَرِيضَةُ الصَّدَقَةِ الَّتِي فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى المُسْلِمِينَ

Maksudnya: “Kefardhuan sedekah (yakni zakat) ini ialah seperti mana yang difardhukan oleh Rasulullah SAW ke atas kaum Muslimin.
(HR Bukhari)

  • Infaq

Menurut al-Jurjani infaq bererti membelanjakan harta kepada yang berhajat. Dalam Surah al-Baqarah, ayat ke-3, Allah SWT berfirman:

الَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِالْغَيْبِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنْفِقُونَ

Maksudnya: “(Orang yang beriman itu adalah) orang-orang yang beriman dengan perkara yang ghaib, menunakan solat dan mereka memberi infaq apa yang kami rezekikan kepada mereka.”

Perkata ‘ينفقون’ dalam ayat ini, menurut pilihan Imam al-Tabari, merujuk kepada pensyariatan zakat dan pemberian nafkah kepada ahli keluarga yang ditanggung. Justeru, sedeqah dan infaq itu ialah sinonim.

  • Waqaf

Manakala waqaf dari sudut bahasa membawa maksud menahan sesuatu. Dari sudut istilah, ianya membawa maksud menahan harta yang boleh diambil darinya manfaat beserta mengekalkan ‘ain harta tersebut’. Ianya menghilangkan pemilikan dan pengurusan harta tersebut dari pewaqaf dan harta tersebut akan digunakan pada jalan yang dibenarkan ataupun keuntungan darinya (harta wakaf tersebut) digunakan untuk jalan kebaikan. Pahala orang yang berwaqaf ini akan berkekalan selagi mana harta waqaf itu masih wujud walaupun selepas kematian pewaqaf. Waqaf juga disebut sebagai sedekah jariah.

Sabda Rasulullah SAW:

إذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَمَلُهُ إلاَّ مِنْ ثَلاَثٍ : صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

Maksudnya: “Jika mati seorang manusia itu akan terputuslah catitan amalannya melainkan pada tiga perkara; sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan, dan anak soleh yang mendoakan baginya kebaikan.” (HR Muslim)

Imam Nawawi RA menjelaskan bahawa sedekah jariah itu bermaksud wakaf. Justeru, boleh disimpulkan bahawa pengertian infaq dan sedekah memiliki maksud zakat wajib, zakat harta dan sedekah sunat. Manakala wakaf ialah pengertian yang lebih khusus kepada amalan wakaf.

MAKNA ZAKAT

Ulasan sebelumnya telah menjelaskan tentang makna sedekah, infaq dan waqaf. Oleh itu apa pula makna zakat dan apakah pembahagiannya?

  • Zakat

Agama Islam memandang harta itu sebagai anugerah dan amanah daripada Allah SWT untuk diurus dengan sebaik-baiknya, seperti membelanjakannya pada perkara-perkara yang baik dan berfaedah, memberi nafkah kepada orang-orang yang di bawah tanggungjawabnya, serta menyalurkannya ke arah perkara yang berkebajikan seperti bersedekah dan lebih-lebih lagi mengeluarkan zakat.

Mengeluarkan zakat merupakan salah satu kawajipan daripada rukun Islam yang lima apabila telah cukup syarat dan haulnya. Mengeluarkan zakat merupakan perintah Allah SWT sebagaimana firmanNya dalam surah Al-Baqarah ayat 110:

وَأَقِيمُوا۟ الصَّلَوٰةَ وَءَاتُوا۟ الزَّكَوٰةَ ۚ

Maksudnya: “Dan kamu dirikanlah sembahyang dan bayarlah zakat”

Rasulullah SAW juga ada bersabda dalam sebuah hadis:

عن أبي عبد الرحمن، عبد الله بن عمر بن الخطاب رضي الله عنهما قال: سمعت رسول الله صلى الله وسلم يقول: بني الاسلام على خمس: شهادة أن لا إله إلا الله وأن محمدا رسول الله وإقام الصلاة وإيتاء الركاة وحج البيت وصوم رمضان

Maksudnya: Daripada Abu Abdurrahman, Abdullah bin Umar Al-Khatab Radiallahi Anhuma dia berkata: Aku mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Islam dibangunkan atas lima perkara: Bersaksi bahawa tiada yang berhak disembah selain Allah dan bahawa Nabi Muhammad utusan Allah, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, menunaikan fardhu haji dan berpuasa di bulan Ramadhan”. (HR Muslim)

Zakat itu terbahagi kepada dua iaitu zakat harta dan zakat fitrah. Akan tetapi masih terdapat orang yang mengambil ringan tentang zakat harta berbanding zakat fitrah kerana beranggapan bahawa zakat yang wajib ialah zakat fitrah sahaja. Ketahuilah bahawa zakat harta itu sama kewajipannya dengan zakat fitrah untuk dikeluarkan setelah cukup syarat-syaratnya.

Zakat Fitrah

Zakat Fitrah adalah zakat yang diwajibkan ke atas setiap individu lelaki dan perempuan Muslim yang berkemampuan dengan syarat-syarat yang tertentu dan boleh dibayar pada bulan Ramadhan sehingga pagi 1 Syawal sebelum melaksanakan Solat Sunat Aidil Fitri.

Zakat Harta :

Zakat harta ialah zakat yang dikenakan ke atas harta-harta tertentu dan boleh dibayar pada bila-bila masa. Kadar zakat harta ialah 2.5% dari jumlah harta. Zakat harta wajib dikeluarkan kerana ia adalah satu jalan jihad kepada Allah dan Islam.

Sesungguhnya orang yang tidak mahu membayar zakat padahal dia mampu untuk berbuat demikian, maka mereka akan diazab di akhirat nanti. Sebagaimana firman Allah SWT surah Ali Imran ayat 180:

وَلَا يَحْسَبَنَّ الَّذِينَ يَبْخَلُونَ بِمَآ ءَاتَىٰهُمُ اللَّـهُ مِن فَضْلِهِۦ هُوَ خَيْرًا لَّهُم ۖ بَلْ هُوَ شَرٌّ لَّهُمْ ۖ سَيُطَوَّقُونَ مَا بَخِلُوا۟ بِهِۦ يَوْمَ الْقِيٰمَةِ ۗ وَلِلَّـهِ مِيرٰثُ السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضِ ۗ وَاللَّـهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ

Maksudnya: “Dan janganlah sekali-kali orang yang bakhil dengan apa yang telah dikurniakan Allah kepada mereka daripada kurnia kemurahanNya (enggan mengeluarkan harta dijalan Allah dan tidak mahu membayar zakat) menyangka bahawa kebakhilan itu baik bagi mereka. Bahkan sebenarnya kebakhilan itu adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalungkan dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat kelak. Dan kepunyaan Allah jual lah segala warisan (yang ada) di langit dan di bumi. Dan Allah Maha Teliti terhadap apa yang kamu kerjakan”

Sesungguhnya orang-orang yang mengeluarkan zakat akan memperolehi ganjaran yang besar daripada Allah Subhanahu Wata’ala, sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Ar-Ruum ayat 39:

وَمَآ ءَاتَيْتُم مِّن رِّبًا لِّيَرْبُوَا۟ فِىٓ أَمْوٰلِ النَّاسِ فَلَا يَرْبُوا۟ عِندَ اللَّـهِ ۖ وَمَآ ءَاتَيْتُم مِّن زَكَوٰةٍ تُرِيدُونَ وَجْهَ اللَّـهِ فَأُو۟لٰٓئِكَ هُمُ الْمُضْعِفُونَ

Maksudnya: “Dan pemberian (riba) yang kamu berikan dengan maksud supaya ia bertambah pada harta manusia maka ia tidak bertambah disisi Allah, dan pemberian zakat atau sedekah yang kamu berikan kerana menghendaki keredhaan Allah maka mereka itulah orang yang mendapat pahala berlipat ganda”

Selain itu, tujuan zakat disyariatkan ialah untuk mengagihkan kekayaan daripada golongan yang kaya kepada golongan yang kurang berkemampuan. Dengan membayar zakat juga, kita dapat membersihkan diri daripada sifat mazmumah (tercela) seperti sifat kedekut, hasad dengki, iri hati, sombong, takbur dan sebagainya. Jika harta itu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya dan dijalan yang betul, sudah tentu akan terjalin keharmonian di antara golongan kaya dan miskin. Kemudian, menunaikan zakat juga dapat membentuk akhlak mahmudah (mulia) seperti bertakwa, pemurah, rasa tolak ansur dan rasa simpati kepada golongan yang kurang bernasib baik.

Orang yang membayar zakat tidak akan menyebabkan seseorang itu miskin atau berkurang hartanya kerana di dalam zakat ada hikmah berupa “berkat” atau keberkatan yang dikurniakan Allah Subhanahu Wata’ala kepada pengeluar dan penerima zakat termasuk juga pada harta yang telah dizakatkan itu sendiri. Berkah adalah suatu nikmat Allah yang tidak dapat dilihat dan disentuh tetapi dapat dirasai dan dinikmati kesannya dalam kehidupan seharian. Oleh itu, dengan membayar zakat kita akan mendapat keredhaan daripada Allah SWT, dan mewujudkan sifat bersyukur terhadap nikmat yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wata’ala dan mengeratkan lagi hubungan silaturrahim antara satu sama lain.

Begitu juga halnya dengan bersedekah, ia juga mempunyai kelebihan dan ganjaran yang berlipat ganda. Sebagaimana zakat, bersedekah juga dapat meningkatkan keimanan dan ketakwaan serta dapat membantu golongan yang kurang berkemampuan dan dapat mengeratkan silaturrahim. Sememangnya amat mudah untuk kita menghulurkan sedekah seperti di tabung-tabung yang disediakan di masjid-masjid, di pusat-pusat membeli belah dan lain-lain, termasuklah platform sedekahmuslim yang ada bagi membantu golongan yang memerlukan.

Dapat disimpulkan bahawa sedekah dan infaq bersifat lebih umum dan termasuk dalam kategori zakat harta. Manakala waqaf pula adalah sedekah yang berpanjangan seperti yang dinyatakan di dalam hadith mengikut tatacara dan syarat yang telah ditetapkan. Zakat pula adalah penyucian harta yang lebih khusus dan terbahagi kepada dua baginya iaitu zakat fitrah yang wajib bagi setiap mukallaf dan zakat harta yang wajib bagi yang telah mencapai kriteria dan syaratnya.

Justeru, gunalah peluang yang ada pada hari ini untuk terus berinfaq dan bersedekah kerana masih ramai golongan yang memerlukan. Boleh klik link dibawah untuk berinfaq.

Wallahua’lam.

Sudahkah Anda Menjadi Tangan Yang Memberi?

Jika belum jom sama-sama dengan Perkim Datuk Keramat membantu mereka yang dalam kesusahan seperti ibu tunggal, mereka yang menghidap penyakit kronik dan pelbagai lagi. Sesungguhnya sedikit sumbangan anda, memberi 1000 kemanisan untuk mereka

Scroll to Top