BULAN ZULHIJJAH BULAN BERAMAL SOLEH

Keistimewaan Bulan Zulhijjah

Hari ini merupakan hari keempat bulan Zulhijjah yang juga dikenali sebagai bulan haji. Setiap bulan Islam mempunyai fadhail atau kelebihan yang tersendiri. Rasulullah SAW menyatakan bahawa bulan Zulhijjah ialah bulan yang disukai oleh Allah Azzawajalla. Dalam hadith yang diriwayatkan oleh Ibn ʻAbbas radiyallahuanhuma, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Tiada hari-hari yang amalan soleh padanya paling Allah Azzawajalla sukai melebihi sepuluh hari ini iaitu sepuluh hari awal Zulhijjah”. Mereka bertanya: “Sekalipun melakukan jihad di jalan Allah?”. Jawab Rasulullah SAW: Sekalipun jihad di jalan Allah, melainkan seorang lelaki yang keluar untuk berjihad dengan diri dan hartanya dan tidak mendapat semua itu kembali walaupun sedikit”.

Menurut al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani, sepuluh hari terawal bulan Zulhijjah mempunyai keistimewaan kerana banyak ibadah yang utama ditunaikan pada hari-hari tersebut. Antara ibadah tersebut termasuklah solat, puasa sunat, sedekah dan haji.

Allah Azzawajalla juga berfirman dalam surah al-Fajr ayat 1 dan 2:

وَٱلْفَجْرِ ١ وَلَيَالٍ عَشْرٍۢ ٢

Maksudnya: Demi waktu fajar dan demi malam-malam yang sepuluh.

Menurut Ibn ‘Abbas radiyallahuanhuma, ulama’ salaf dan khalaf yang lain, “sepuluh malam” yang dimaksudkan dalam ayat ini ialah hari pertama hingga hari kesepuluh Zulhijjah. Ada sebahagian ulama’ berpendapat bahawa kelebihan hari pertama hingga kesepuluh Zulhijjah menyamai sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan.

Pembahagian Amalan

Amalan sepuluh hari terawal bulan Zulhijjah boleh dibahagikan kepada beberapa kategori:

Kategori Pertama

Kategori pertama, amalan yang boleh dilakukan mulai 1 Zulhijjah hingga 8 Zulhijjah. Dalam tempoh ini kita boleh membanyakkan bacaan al-Quran, solat berjemaah di masjid dan surau, melipatgandakan sedekah, menghadiri majlis ilmu, berbakti kepada ibu bapa, berpuasa sunat sama ada setiap hari atau pada Isnin dan Khamis, dan sebagainya.

Kategori Kedua

Kategori kedua ialah amalan yang dilakukan pada 9 Zulhijjah atau disebut juga sebagai hari Arafah. Pada tarikh ini, umat Islam yang tidak mengerjakan haji disunatkan berpuasa sunat dan membanyakkan doa. Sabda Rasulullah SAW dalam hadith yang diriwayatkan oleh Abu Qatadah radiyallahuanhu yang bermaksud:

“Puasa pada hari Arafah, aku berharap kepada Allah supaya amalan ini dapat menghapuskan dosa-dosa tahun sebelumnya dan juga tahun sesudahnya.” (Riwayat Muslim)

Menurut Imam al-Nawawi, penghapusan dosa yang dimaksudkan dalam hadith ini ialah dosa kecil. Manakala dosa besar dapat dihapuskan dengan bertaubat.

Kategori Ketiga

Kategori yang ketiga pula disunatkan bagi orang yang ingin berkorban untuk tidak memotong, mencukur, menggunting atau menggugurkan rambut di badannya dan juga meninggalkan perbuatan memotong kuku sehingga haiwan korbannya disembelih. Sabda Rasulullah SAW dalam hadith yang diriwayatkan oleh Ummu Salamah radiyallahuanha yang bermaksud:

“Apabila kamu melihat anak bulan Zulhijjah yakni bermula 1 Zulhijah dan ada dalam kalangan kamu yang ingin melakukan korban, maka hendaklah dia meninggalkan perbuatan menggunting rambut dan mengerat kuku.”

Semoga usaha kita beramal pada Zulhijjah kali ini dinilai sebagai pengorbanan yang besar di sisi Allah Azzawajalla, yang boleh mengundang rahmat-Nya seterusnya memudahkan perjalanan kita menuju ke syurga Allah Azzawajalla.

“Puasa pada hari Arafah, aku berharap kepada Allah supaya amalan ini dapat menghapuskan dosa-dosa tahun sebelumnya dan juga tahun sesudahnya.” (Riwayat Muslim)

Menurut Imam al-Nawawi, penghapusan dosa yang dimaksudkan dalam hadith ini ialah dosa kecil. Manakala dosa besar dapat dihapuskan dengan bertaubat.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top