DEDAHKAN PRIVASI RUMAHTANGGA DI MEDIA SOSIAL, WAJAR ATAU TIDAK?

DEDAHKAN PRIVASI DI MEDIA SOSIAL

MEDIA SOSIAL

Pada waktu dulu, surat khabar dan buku adalah merupakan sumber utama untuk mendapatkan sesuatu maklumat. Namun kini, semua berubah apabila internet telah mendominasi dunia. Selain itu, semua berita juga boleh didapati dengan mudah dan hanya dihujung jari sahaja. Sehinggakan kadang-kadang berita yang susah dicari pun dapat ditemui.

Zaman sekarang ramai yang menjadikan media sosial sebagai alat perhubungan. Bayi yang baru lahir pun sudah memiliki Instagram dan warga emas di kampung juga sudah pandai menggunakan laman sosial iaitu Facebook. Lebih-lebih lagi, apabila hampir kesemua generasi pada masa kini mudah sangat terdedah dengan dunia viral.

Penggunaan media sosial dapat mendatangkan manfaat yang besar jika digunakan dengan sebaiknya. Namun, manfaat yang besar ini juga datang dengan cabaran dan risiko yang sangat besar. Apa yang lebih berbahayanya, apabila seseorang mengambil  langkah pengunaan yang salah di media sosial.

Hal ini kerana, jika terdapat suatu maklumat salah yang berada di dunia internet, maka ia kekal selama-lamanya. Itulah hakikat dunia maya. Silap langkah boleh menyebabkan seseorang hilang pekerjaan, mendatangkan rasa malu pada keluarga, diugut oleh anonymous dan banyak lagi risiko yang boleh terjadi.

Di samping itu, ada sesetengah orang menjadikan media sosial sebagai laman untuk meluahkan perasaan serta masalah peribadi. Jika mereka tidak puas hati dengan boss, terus mengetuk papan kekunci. Jika ada masalah rumah tangga, terus log in laman sosial dan mula memberi kata-kata sindiran dengan niat untuk buat orang lain terasa. Lebih teruk lagi, sanggup membuat live dan menghamburkan kata-kata makian terhadap pasangan. Seolah-olah tiada privasi dalam perhubungan itu.

Oleh itu, adakah wajar atau tidak untuk menjadikan media sosial sebagai diari yang ditonton awam untuk meluahkan perasaan dan masalah peribadi?

MENCERITAKAN AIB SENDIRI DAN PASANGAN DI MEDIA SOSIAL?

Pertama sekali, persoalkan diri atas sebab apa anda ingin meluahkan masalah? Adakah sekadar sembang kosong dan mengumpat mereka yang berada dalam masalah anda atau hanya untuk mendapatkan pandangan bagi menyelesaikan masalah?

Semuanya perlu dititikberatkan dan diambil kira, apa niat anda untuk itu. Jika niat yang ditujukan adalah untuk menjadikan pengajaran kepada orang awam tanpa menyebarkan nama-nama yang terlibat maka, itu tiada masalah. Bahkan ianya bagus sebagai penyebaran kesedaran kepada masyarakat yang sekarang yang masih kabur dengan jalan penyelesaian atau yang masih buntu dengan situasi yang sama.

Rasulullah SAW bersabda, yang bermaksud: “Janganlah engkau sekalian mengumpat orang-orang Islam dan jangan membuka aib mereka, (kerana) sesungguhnya orang yang membuka aib saudaranya yang muslim, maka Allah akan membuka aibnya.”(HR Tirmizi)

Islam melarang umatnya membuang masa dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah serta berbual kosong yang tidak memberi manfaat kepada diri sendiri dan orang lain. Islam turut mewajibkan umatnya untuk menjaga keaiban diri sendiri dan orang lain. Sama ada dari segi aurat, dosa yang dilakukan oleh diri sendiri atau dosa orang lain.

Semuanya perlu dijaga dan diselesaikan dengan sebaik mungkin tanpa menyinggung mana-mana pihak serta boleh mengelakkan berlakunya buruk sangka orang lain. Setiap manusia mempunya hati dan pemikirannya sendiri serta sifatnya yang suka menghukum dan meletakkan spekulasi sendiri tanpa mengetahui keseluruhan cerita.

Disebabkan itu, Islam melarang umatnya untuk menceritkan aib sendiri atau orang lain secara terbuka, bimbang akan terjadi ghibah di media sosial. Firman Allah SWT dalam surah Al-Hujurat ayat ke-12:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱجْتَنِبُوا۟ كَثِيرًۭا مِّنَ ٱلظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ ٱلظَّنِّ إِثْمٌۭ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا۟ وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًۭا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ تَوَّابٌۭ رَّحِيمٌۭ ١٢

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah sesetengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu patuhilah larangan-larangan tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat lagi Maha Mengasihani.” 

Dari ayat ini jelas bahawa kita juga perlu menjaga aib orang lain sebagimana menjaga aib sendiri. Jika dengan membuat live menceritakan aib orang lain, salah dan kekurangan mereka tidak akan mendatangkan apa-apa manfaat bahkan hanya mendatangkan rasa malu pada diri sendiri. Sekali dimuatnaik di media sosial, akan datang ramai yang memuatnaik semula video tersebut dengan melontarkan beberapa pandangan. Sekalipun empunya video telah membuang video tersebut ia takkan mampu untuk membuang video-video yang telah tersebar didunia maya tersebut.

Membimbangkan masalah kesihatan fizikal dan mental yang bakal dihadapi, apakah solusi apabila berlakunya masalah rumah tangga? Ada beberapa perkara yang boleh dilakukan bagi menyelesaikan masalah perhubungan dalam rumah tangga selain daripada menceritakannya di media sosial bahkan ianya lebih bersifat privasi dan selamat daripada pengetahuan orang luar.

SOLUSI MASALAH RUMAH TANGGA

Alam perkahwinan sering kali dilihat indah pada sebelumnya, namun bagi yang telah melaluinya akan menyatakan sebaliknya. Banyak perkara yang belum pernah dilihat, disaksikan saat hidup bersama. Segala kekurangan didedahkan. Namun, disitulah keindahan bagi mereka yang benar-benar berfikir. Dengan adanya kekurangan pasangan, secara logiknya kita akan menjadi kurang segan dengan kekurangan sendiri yang turut dimiliki.

Walau bagaimanapun, bahtera perkahwinan melibatkan sifat tolak ansur dan saling melengkapi. Jadi bagaimana reaksi seseorang pasangan terhadap kekurangan pasangannya itu. Adakah dengan menyindirnya? Atau melakukannya bersama-sama dan mengajarkannya?

Terlihat mudah untuk menyebutnya, namun sukar bagi yang telah menghadapinya. Sebaik manapun seseorang, perselisihan faham tetap akan berlaku juga.

Oleh itu, perkara pertama yang perlu diberi perhatian adalah elakkan daripada bersuara tinggi, kata-kata yang kasar dan pertengkaran. Namun, jika berlaku juga, ada beberapa perkara yang boleh dilakukan bagi menghadapi masalah ini.

  • Jangan Membalas Perilaku Negatif Pasangan

Terkadang perkataan atau perilaku negatif dari pasangan dapat memicu emosi-emosi negatif yang membuat seseorang tergerak untuk membalas apa yang telah pasangan lakukan dalam bentuk perkataan ataupun tindakan.

Suasana yang negatif akan membuat suami isteri bertengkar semakin hebat. Oleh sebab itu, salah seorang daripada pasangan perlu mengawal emosi sebaiknya agar tidak dikeruhkan lagi keadaan. Berdiam diri Ketika ini adalah lebih baik kerana ketika marah kata-kata yang dihamburkan bukanlah bersifat rasional tetapi ianya emosional semata-mata. Maka lebih baik lagi, jika dapat membalas dengan kata-kata yang positif lantas dapat meredakan keadaan.

  • Menyedari Punca Kepada Masalah

Cara menyelesaikan masalah rumah tangga adalah dengan menyedari apa yang membuat seseorang itu rasa kesal ataupun marah.

Apabila sudah berhasil mengetahui apa yang membuat seseorang itu merasakan emosi-emosi tersebut, maka komunikasi dengan pasangan akan menjadi lebih mudah.

  • Fokus Kepada Satu Permasalahan

Apabila salah seorang dari pasangan sudah tidak dapat menahan lagi, kebarangkalian seseorang itu akan mengungkit berbagai-bagai masalah dalam rumah tangga yang akan berlaku. Walhal, masalah ketika itu hanyalah kecil sahaja. Namun kerana memendam rasa yang terlalu lama mengakibatkan berlakunya mengungkit masalah silam yang tidak sepatutnya disebut. Pada akhirnya, ia akanmenyesal dengan kata-kata tersebut kerana pastinya apa sahaja yang dilalui selepas itu berbeza keadaan dengan yang sebelumnya.

Sebaiknya pasangan membahas salah satu permasalahan yang relevan dan sesuai dibahas dalam keadaan tersebut. Membahas semua permasalahan sekaligus dapat membuat pembicaraan dengan pasangan menjadi suatu perdebatan yang tiada penghujungnya.

  • Beritahukan Secara Jelas Masalah Yang Dihadapi

Komunikasi yang baik dengan pasangan adalah kunci dalam menyelesaikan masalah rumah tangga. Bicarakan perasaan yang dialami dan penyebab munculnya perasaan tersebut secara jelas tanpa ada unsur sarkastik dan kekerasan.

Dengan ini, pasangan akan menjadi lebih jelas dengan masalah yang dihadapi dan lebih memfokuskan kepada solusi yang akan diambil berbanding melihat kesalahan yang lepas. Cara ini juga jarang dilakukan dalam rumah tangga masa kini. Terlalu banyak menyimpan sehingga menjadikan media sosial sebagai solusi terakhir. Sedangkan perkahwinan adalah nikmat dan cabaran yang sepatutnya dirasai bersama pasangan bukannya bersama follower yang tidak jelas niat dan tujuan mereka.

  • Jangan Menyalahkan Sebelah Pihak Sahaja

Saat sedang mengutarakan apa yang seseorang fikirkan dan rasakan, jangan terus menyalahkan pasangan, tetapi tekankan bagaimana perilaku atau perkataan pasangan memicu emosi yang telah dirasakan.

Kadang-kadang setiap masalah itu berlaku kerana silap daripada kedua-dua pasangan tersebut. Oleh itu, jangan tergesa-gesa menyalahkan pasangan dan dengarkan dahulu responnya. Selain kemahiran komunikasi, kemahiran mendengar juga perlu diaplikasikan bagi kedua-dua pasangan. Jika keduanya dapat dimanfaatkan sebaiknya, apa sahaja rintangan dapat diselesaikan.

  • Cuba Memahami Pasangan

Cara menyelesaikan masalah rumah tangga adalah dengan mencuba memahami apa yang dirasakan oleh pasangan. Bayangkan jika diri anda berada di posisi pasangan, sudah tentu anda mengharapkan fahamnya daripada orang yang disayangi itu.

  • Mencari Solusi Yang Terbaik

Setelah saling menceritakan perasaan dan fikiran masing-masing, kedua pasangan lebih fokus dalam mencari solusi atas pertengkaran yang terjadi. Apabila pertengkaran itu dikawal dengan baik, maka pertengkaran itu akan berkahir dengan saling memafkan.

  • Berikan Tempoh Waktu Dengan Pasangan

Akan ada beberapa detik dimana solusi itu tidak dicari. Jangan memaksa diri dan pasangan untuk menyelesaikan terus ketika itu. Tetapi, berikan waktu untuk diri sendiri dan pasangan agar dapat menenangkan diri disamping memikirkan apa yang terbaik bagi masalah yang dihadapi. Setiap masalah itu pasti ada jalan keluarnya.

Terdapat banyak lagi cara dan langkah penyelesaian terhadap masalah rumah tangga. Jika masalah yang dilalui tidak diselesaikan bersama pasangan, ceritakanlah masalah tersebut kepada orang yang dipercayai. Keputusan ini mestilah mendapat persetujuan bersama dan tidak bertindak sendiri dan melulu. Jika tidak, ia hanya akan mengeruhkan lagi keadaan. Serta boleh juga mendapatkan nasihat daripada kaunselor atau perunding yang bersifat neutral dan tidak ada sikap berat sebelah.

Setiap masalah yang berlaku adalah dengan tujuan untuk lebih mengenali pasangan dengan lebih mendalam. Jika diselesaikan secara baik, hal inilah yang mengeratkan lagi hubungan tersebut yang menjadikan indahnya sebuah perkahwinan itu.

Wallahua’lam.

Sudahkah Anda Menjadi Tangan Yang Memberi?

Jika belum jom sama-sama dengan Perkim Datuk Keramat membantu mereka yang dalam kesusahan seperti ibu tunggal, mereka yang menghidap penyakit kronik dan pelbagai lagi. Sesungguhnya sedikit sumbangan anda, memberi 1000 kemanisan untuk mereka

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top