DEFINISI DAN HIKMAH ZAKAT FITRAH

DEFINISI HIKMAH ZAKAT FITRAH

DEFINISI ZAKAT FITRAH

Zakat fitrah pada istilahnya ialah sedekah yang wajib dikeluarkan selepas berbuka untuk beraya dan selesainya Ramadan. Perintah menunaikan Zakat Fitrah bermula pada tahun kedua Hijrah, iaitu tahun diwajibkan puasa pada bulan Ramadhan untuk mensucikan orang Islam yang berpuasa dari kata-kata dan perbuatan yang tidak berguna. Zakat Fitrah juga untuk memberi makanan kepada orang-orang miskin dan mencukupkan keperluan dan permintaannya pada Hari Raya 1 Syawal (Aidilfitri).

Disandarkan zakat kepada fitrah kerana wajibnya. Dikatakan dengan lafaz fitrah seolah-olah kembali kepada kejadian asalnya. Imam an-Nawawi menyebut perkataan fitrah merupakan istilah bagi fuqaha yang telah menjadi hakikat syara’ mengikut pendapat yang terpilih seperti solat dan zakat.

Zakat fitrah pada istilahnya ialah sedekah yang wajib dikeluarkan selepas berbuka untuk beraya dan selesainya Ramadan.

DALIL ZAKAT FITRAH

Zakat Fitrah berbeza dari zakat harta kerana ia merupakan kewajipan ke atas individu-individu, sedangkan zakat harta merupakan kewajipan kepada harta-harta yang dimiliki. Oleh sebab itu, tidak disyaratkan pada zakat fitrah seperti apa yang disyaratkan pada zakat harta, seperti nisab, haul dan sebagainya. Sabda Rasulullah SAW dari Ibn Umar yang bermaksud:

Rasulullah SAW telah mewajibkan zakat fitrah, satu sha’ kurma atau satu sha’ gandum, pada hamba sahaya, orang yang merdeka, lelaki, perempuan, kanak-kanak dan orang dewasa dari kaum Muslimin (HR Bukhari)

Ucapan Rasulullah SAW ?kanak-kanak dan orang dewasa??menunjukkan bahawa Zakat Fitrah itu wajib bagi anak kecil, diambil dari hartanya apabila ia memiliki harta, lalu dikeluarkan oleh walinya, seperti halnya dalam zakat harta. Apabila ia tidak memliki harta, maka zakat fitrahnya wajib bagi orang yang memberikan nafkah kepadanya. Pendapat ini dipegang oleh Jumhur Ulama.

FATWA ZAKAT FITRAH

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-60 yang bersidang pada 23 Oct 2003 telah membincangkan tentang Zakat Fitrah. Muzakarah telah memutuskan bahawa hukum zakat fitrah adalah wajib sekiranya cukup syarat wajib zakat fitrah iaitu:

  • Individu yang mempunyai lebihan makanan atau hartanya dari keperluan tanggungannya pada malam dan pagi hari raya.
  • Anak yang lahir sebelum matahari jatuh pada akhir bulan Ramadhan dan hidup selepas terbenam matahari.
  • Memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Ramadhan dan berkekalan Islamnya
  • Seseorang yang meninggal selepas terbenam matahari akhir Ramadhan

WAKTU MEMBAYAR ZAKAT FITRAH

  • Waktu Wajib

Mazhab Syafie mengikut yang azhar dan Hanbali berpendapat bahawa waktu wajib zakat fitrah bermula dengan tenggelamnya matahari pada hari akhir Ramadan (malam Raya). Ia juga pendapat sebahagian Mazhab Maliki.

  • Waktu Sunat

Mazhab Syafie berpendapat sunat dikeluarkannya sebelum solat hari raya dan makruh mentakhirkannya sehingga selesai solat.

  • Waktu Haram

Al-Hasan bin Ziyad dari ulama Hanafi berpendapat waktu menunaikannya bersifat setempat dan terhad seperti hari korban. Justeru siapa yang menunaikannya selepas hari raya tanpa uzur, ia dianggap sebagai berdosa. Pendapat ini juga adalah pendapat Mazhab Maliki, Syafie, dan Hanbali. Tetapi tetap wajib ditunaikan segera zakat fitrah dan pada waktu itu ia dikira sedekah. Sekiranya masih dilengahkan, maka akan bertambahlah dosanya.

Jom edekah

DI MANA ZAKAT FITRAH PERLU DIBAYAR?

Zakat fitrah wajib dibayar berdasarkan kepada di mana seseorang itu berada ketika masuknya waktu wajib untuk zakat fitrah iaitu bermula pada malam hari raya sehingga sampai sebelum solat hari raya. Walaupun begitu, melihat kepada realiti semasa, dengan melihat pendapat ihtiyat iaitu mengawalkan sedikit masa pembayaran sama ada sehari atau dua hari mengikut apa yang dilakukan oleh para sahabat.

Justeru jika ketika itu kita masih berada di tempat kerja dan belum pulang ke kampung, lebih elok baginya untuk dibayar di tempat kerjanya kerana ia bersifat yakin dan tahqiq sedangkan kepulangannya ke kampung masih lagi dalam bentuk sangkaan dzan yang mungkin tidak berlaku.

Begitu juga dengan pembayaran awal boleh menyelesaikan tanggungjawab dengan sebaik mungkin dan bukan dalam bentuk tergopoh gapah atau mungkin berlaku sebarang halangan yang menyebabkan terlepasnya daripada menunaikan zakat fitrah pada waktu wajibnya.

KADAR ZAKAT FITRAH

Asal kadar zakat fitrah adalah satu sha? (gantang) dan nilainya seperti yang dinyatakan oleh Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam kitabnya Fiqh al-Islami wa Adillatuh iaitu 2.751 kg. Dan di sisi mazhab Hanafi ialah 3.8 kg.

  • Fatwa Kadar Zakat Fitrah

Dalam keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-57 bertarikh 10 Jun 2003 seperti berikut:

Harga zakat fitrah bagi negeri-negeri di semenanjung Malaysia adalah berdasarkan harga setempat oleh BERNAS bagi setiap beras Super Tempatan Gred A mengikut timbangan satu gantang Baghdad bersamaan 2.60 kg.

Harga zakat fitrah bagi negeri-negeri Sabah dan Sarawak adalah berdasarkan harga setempat yang ditetapkan oleh BERNAS, masing-masing bagi beras Vietnam White bagi negeri Sarawak mengikut timbangan satu gantang Baghdad iaitu bersamaan 2.70kg.

Menjelang Ramadan, Jawatankuasa Syariah atau Fatwa Negeri akan memutuskan nilai harga beras semasa mengikut daerah atau jenis dan gred beras yang dimakan oleh penduduk. Kemudian diputuskan dengan mengambil kira nilaian sebanyak segantang beras iaitu hampir kepada 2.60 kg. Namun, setiap negeri mempunyai haul zakat yang berbeza mengikut Jabatan Agama Islam setiap negeri.

HIKMAH ZAKAT FITRAH

Berkenaan dengan hikmah zakat fitrah, telah dinyatakan dalam sebuah hadith daripada Ibn Abbas RA katanya:

فَرَضَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ زَكَاةَ الْفِطْرِ طُهْرَةً لِلصَائِمِ مِنَ الْلَغْوِ وَالْرَفَثِ، وَطُعْمَةً لِلْمَسَاكِيْنِ

Maksudnya:“Rasulullah SAW telah memfardhukan zakat fitrah sebagai menyuci bagi orang yang berpuasa dari sebarang lagha dan keji serta memberi makan kepada orang-orang miskin.” (HR Abu Daud)

  •  Membuang Sifat Kedekut Dan Unsur-Unsur Bakhil

Memetik artikel dari laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, selain menjadikan individu dididik dengan sifat pemurah dan suka mengerjakan ibadah qurban, amalan berzakat boleh membuang sifat kedekut dan unsur-unsur bakhil dalam diri seseorang. Hakikat ini dapat dirasai oleh pengeluar zakat itu sendiri.

Ini kerana, dia juga akan menyedari bahawa zakat itu lebih ketara kepada penambahan harta. Sikap memberi bukannya bermakna harta semakin berkurang.

  • Menguatkan Hubungan Persaudaraan Dan Kasih Sayang

Umum mengetahui bahawa sikap memberi itu dapat memupuk kasih sayang antara pemberi dan penerima. Begitu juga dengan ibadah zakat kerana ia mampu menguatkan hubungan persaudaraan dan kasih sayang antara pengeluar zakat dengan orang lain.

Apabila kesedaran ini wujud dalam masyarakat, setiap orang Islam mampu menunaikan kewajipan mengeluarkan zakat kepada golongan yang berhak menerimanya.

  • Mengutuhkan Institusi Sesebuah Anggota Masyarakat

Zakat berfungsi memelihara masyarakat daripada wujudnya jurang perbezaan taraf sosial yang ketara. Biarpun begitu, perlu difahami bahawa terdapat pelbagai keadaan dan unsur-unsur yang memperluaskan jurang perbezaan taraf sosial itu seperti bertambahnya golongan yang memerlukan bantuan serta golongan fakir.

Secara jelas, peranan zakat itu sendiri dapat menyempurnakan institusi sesebuah anggota masyarakat itu.

  • Membantu Menyelesaikan Masalah Pengangguran

Selain itu, zakat juga memainkan peranan penting dalam menangani masalah pengangguran. Jika diteliti, isu pengangguran berpunca daripada kemiskinan. Orang yang miskin, umpamanya, tidak mempunyai modal yang minimum untuk menjalankan sesuatu perusahaan atau pekerjaan.

Maka, jika sistem zakat berjalan mengikut haknya, sudah tentu orang yang miskin berhak menerima bahagiannya dan membolehkan mereka menjalankan perusahaan yang dirancang sesuai dengan kemahiran dan kelayakan yang ada pada mereka.

  • Membersihkan Hati Daripada Sifat-Sifat Keji

Mengeluarkan zakat adalah salah satu cara untuk individu membersihkan hati daripada sifat-sifat keji yang memberi kesan kepada masyarakat seperti sifat berdendam, iri hati dan hasad dengki.

Ini kerana, sifat keji tersebut akan menjadi barah dalam masyarakat jika tiada lagi sifat berkasih sayang, tolong-menolong dan saling bersimpati.

Hikmah membersihkan jiwa daripada sifat keji ini juga telah dinyatakan oleh Al-Quran dalam surah al-Taubah ayat ke-103:

خُذْ مِنْ أَمْوَٰلِهِمْ صَدَقَةًۭ تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّ صَلَوٰتَكَ سَكَنٌۭ لَّهُمْ ۗ وَٱللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ ١٠٣

Maksudnya: “Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan menyucikan mereka (dari akhlak yang buruk).

Pembayaran zakat kini serba mudah dan canggih. Susulan penularan wabak COVID-19, pelaksanaannya pula sudah mengikuti normal baharu yang tidak memerlukan seorang pembayar zakat untuk berjumpa depan-depan dengan wakil amil (pengutip zakat). Sebaliknya, dengan kemudahan teknologi, zakat kini boleh ditunaikan secara dalam talian.

Wallahua’lam.

Jangan lupa untuk bayar zakat fitrah sebelum habis tempoh bayarannya. Jika anda telah menunaikannya, alhamdulillah. Lebih baik lagi jika anda mampu untuk salurkan sumbangan kepada golongan yang memerlukan juga jika anda mampu. Jika anda berminat boleh klik pada butang “Bantu Mereka” dibawah dan salurkan sumbangan. Terima kasih.

Sudahkah Anda Menjadi Tangan Yang Memberi?

Jika belum jom sama-sama dengan Perkim Datuk Keramat membantu mereka yang dalam kesusahan seperti ibu tunggal, mereka yang menghidap penyakit kronik dan pelbagai lagi. Sesungguhnya sedikit sumbangan anda, memberi 1000 kemanisan untuk mereka

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top