Kelebihan Bersedekah Di Bulan Ramadan

Bulan Ramadan adalah bulan yang sangat dimuliakan. Bulan yang penuh dengan keberkatan ini memberi kita peluang untuk menambah pahala dan memohon keampunan dari Allah S.W.T dengan melakukan apa yang telah diperintahkan oleh Allah. 

Di sepanjang bulan Ramadan juga umat islam akan lebih banyak bersedekah. Tidak kiralah menderma di masjid a, secara online atau di mana sahaja, kita akan dapat lihat ibadah sedekah ini amat rancak. kutipan derma di masjid-masjid akan meningkat. Aktiviti tajaan iftar seperti goreng pisang panas. Baru sekejap dibuka peluang untuk menaja iftar, ke semua slot untuk setiap hari telah penuh. 

Ini menunjukkan, masyarakat kita terutama umat islam sangat teruja untuk melakukan sedekah pada bulan Ramadan. Tapi kenapa? Kenapa kita lihat seperti umat islam seperti berpesta sedekah pada bulan Ramadan berbanding pada bulan lain? 

Kenapa mudah bersedekah pada bulan Ramadan?

Salah satu keutamaan bersedekah di bulan Ramadan adalah setiap orang akan lebih dimudahkan untuk berbuat amalan kebaikan, termasuklah bersedekah. Tidak dapat dinafikan bahawa manusia ini mudah terhasut dengan godaan syaitan yang sentiasa mengajak untuk melakukan kejahatan dan meninggalkan kebaikan. Dalam Al-Quran, syaitan berkata: 

فَبِمَا أَغْوَيْتَنِي لَأَقْعُدَنَّ لَهُمْ صِرَاطَكَ الْمُسْتَقِيمَ 

“Kerana Engkau telah menghukum aku tersesat, maka aku benar-benar akan menghalang mereka dari jalan Engkau yang lurus.” (Qs. Al-A’raf: 16)

Namun di bulan Ramadan ini Allah SWT memudahkan hamba-Nya untuk berbuat kebaikan, sebagaimana Rasulullah SAW bersabda:

إذا جاء رمضان فتحت أبواب الجنة ، وغلقت أبواب النار ، وصفدت الشياطين

“Jika datang bulan Ramadan, pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup dan syaitan-syaitan dibelenggu.” (HR. Bukhari no. 3277 & Muslim no. 1079)

Kebaikan Bersedekah Pada Bulan Ramadan

Sedekah dapat menghapus dosa

Nabi Muhammad SAW bersabda:

والصدقة تطفىء الخطيئة كما تطفىء الماء النار

“Sedekah dapat menghapus dosa sebagaimana air memadamkan api.” (HR. Tirmidzi, dishahihkan Al Albani dalam Shahih At Tirmidzi, 614)

Untuk mendapat keampunan daripada Allah SWT atas dosa-dosa yang dilakukan itu harus juga disertakan dengan taubat. Tidak boleh jika kita sengaja bermaksiat, mengambil rasuah, memakan riba, mencuri, menipu dan mengambil harta anak yatim lalu menggunakannya untuk bersedekah atas tujuan untuk mensucikan dosa-dosa. Memandangkan kita berada dalam bulan Ramadan, maka amat digalakkan untuk kita bersedekah dan memohon taubat agar dosa-dosa kita yang terdahulu diampunkan oleh Allah SWT yang Maha Pengampun.

Puasa yang digabungkan dengan sedekah dan solat malam akan mendapat jaminan syurga

Puasa di bulan Ramadan adalah ibadah yang agung, bahkan pahala puasa tidak terbatas lipat gandanya. Sebagaimana disebut dalam sebuah hadis qudsi:

كل عمل ابن آدم له الحسنة بعشر أمثالها إلى سبعمائة ضعف قال عز و جل : إلا الصيام فإنه لي و أنا الذي أجزي به

“Setiap amal manusia akan diganjarkan kebaikan sehingga 700 kali ganda. Allah Azza Wa Jalla berfirman: Kecuali puasa, kerana puasa itu untuk-Ku dan Aku yang akan membalasnya.” (HR. Muslim no. 1151)

Ketiga-tiga amalan yang agung ini jika terkumpul di bulan Ramadan dan jika semuanya dikerjakan, maka balasannya adalah jaminan syurga. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

إن في الجنة غرفا يرى ظاهرها من باطنها وباطنها من ظاهرها أعدها الله لمن ألان الكلام وأطعم الطعام وتابع الصيام وصلى بالليل والناس نيام

“Sesungguhnya di syurga terdapat ruangan-ruangan yang bahagian luarnya dapat dilihat dari dalam dan bahagian dalamnya dapat dilihat dari luar. Allah menganugerahkannya kepada orang yang berkata baik, bersedekah makanan, berpuasa, dan solat dikala kebanyakan manusia tidur.” (HR. At Tirmidzi no. 1984, Ibnu Hibban di Al Majruhin 1/317, dihasankan Ibnu Hajar Al Asqalani di Hidayatur Ruwah, 2/47, dihasankan Al Albani di Shahih At Targhib, 946)

Mendekatkan Diri Dengan Allah

Kita sebagai hamba Allah tidak boleh tidak seharusnya rasa bongkak dan takabur dengan harta yang diberi oleh Allah. Kerana sesungguhnya sifat bongkak dan takabur itu hanya milik Allah. Dengan bersedekah, kita akan dapat kikis sifat-sifat itu. Oleh kerana itu, Allah akan menyayangi mereka yang mempunyai hati yang sentiasa bersyukur dan rendah hati.

Tambahan pula bulan Ramadan adalan bulan yang penuh keberkatan. Allah akan mendorong setiap hati-hati yang ingin kepada kebaikan kearah yang lebih baik.

Sebenarnya , ada banyak lagi kelebihan bersedekah. Tapi kali ini, kita berkongsi dari  konteks bulan Ramadan sahaja. Jadi, marilah sama-sama kita merebut peluang untuk memperbanyakkan sedekah pada bulan yang penuh kemuliaan ini. Insya Allah, setiap duit yang kita sedekahkan akan dibalas dengan berlipat kali ganda oleh Allah samaada di dunia mahupun di akhirat kelak 

Sudahkah Anda Bersedekah Hari Ini?

Jika belum jom sama-sama dengan Perkim Datuk Keramat membantu mereka yang dalam kesusahan seperti asnaf, ibu tunggal, mereka yang menghidap penyakit kronik , muallaf, anak yatim dan pelbagai lagi. Sesungguhnya sedikit sumbangan anda, memberi 1000 kemanisan untuk mereka

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *