Tips & Teknik Khatam Al-Quran

Ramadan kian menghampiri. Kini tinggal beberapa hari sahaja untuk melangkah ke bulan Ramadan. Dalam bulan ini, sudah tentu banyak ibadah yang kita nak buat kerana setiap perkara baik yang dilakukan dalam bulan ini akan dilipatgandakan ganjarannya. Salah satu daripada ibadat yang disarankan untuk dilakukan dalam bulan Ramadan ialah khatam Al-Quran. Namun, tidak ramai yang dapat melakukan perkara ini. Antara sebab ialah kekangan dari segi masa dan juga tidak mempunyai teknik yang khusus bagaimana cara untuk khatam Al-Quran dalam masa 30 hari di bulan Ramadan ini. Jom sama-sama kita berkongsi beberapa tips dan teknik untuk kita khatam Al-Quran.

Tips & Teknik Untuk Khatam Al-Quran Dalam Ramadan

Tips pertama jika ingin khatamkan Al-Quran pada Ramadan kali ini, kita harus mulakan membaca Juzuk 1 pada awal Ramadan lagi, iaitu pada hari pertama. Kalau tidak dimulakan awal, mungkin kita tidak sempat untuk menghabiskan bacaan sehingga ke Juzuk 30 dalam masa sebulan. Lebih teruk lagi, jika tidak dimulakan, sampai bila-bila kita tidak akan bermula! Keinginan untuk khatamkan Al-Quran itu juga hanya tinggal angan-angan saja.

Letakkan sasaran yang sesuai dengan diri sendiri

Tips kedua, kita mesti letakkan sasaran yang ingin dicapai. Tapi ingat, sasaran ini perlu bersesuaian dengan kemampuan diri sendiri! Lebih elok jika ada sasaran secara harian, jadi ia lebih berfokus dan mudah juga untuk kita mencapainya. Sebagai contoh, jika Ramadan tahun ini kita ingin khatamkan Al-Quran sebanyak 2 kali, maka letakkanlah sasaran berapa muka surat perlu dibaca dalam sehari.

Sediakan waktu khusus untuk membaca Al-Quran

Tips ketiga, bila dah ada sasaran untuk sehari, sediakan pula waktu-waktu yang khusus untuk membacanya. Misalnya, ada sesetengah orang memperuntukkan waktu 15-30 minit setiap kali selepas solat fardhu untuk membaca Al-Quran. “Tapi saya bekerja, macam mana pula?” Betul, mungkin ada dalam kalangan kita yang bekerja dari jam 9 pagi sehingga 6 petang, jadi masa terluangnya mungkin berbeza dengan orang lain. Tidak mengapa, kita boleh tumpukan untuk membaca Al-Quran pada waktu malam, antara solat Maghrib dan Isyak ataupun pada waktu pagi, iaitu selepas selesai solat Subuh.

Selalu membawa mashaf Al-Quran

Seterusnya, untuk memudahkan kita mengkhatamkan Al-Quran, bawalah mashaf tersebut ke mana-mana sahaja. Al-Quran juga mempunyai pelbagai saiz, ada yang saiznya kecil dan mudah untuk dibawa. Jadi bila dah ada Al-Quran sendiri, kita akan lebih ‘feel’ untuk membacanya. Sekarang dengan kemudahan teknologi yang ada, Al-Quran juga dapat diakses secara ‘online’. Maka tiada alasan untuk kita tidak membacanya dalam sehari. Betul tak?

Membaca Al-Quran di tempat yang tenang

Tips kelima, carilah tempat yang tenang untuk membaca Al-Quran. Mungkin ada yang memandang tips ini adalah remeh. Namun sebenarnya, membaca Al-Quran di tempat yang tenang ini membolehkan kita untuk lebih fokus dalam bacaan serta menghayati setiap bacaan dengan sebaiknya. Dari situlah, timbulnya kemanisan dalam membaca kitab suci ini. Jadi kita tidak akan berasa letih, sebaliknya ia mampu menjadikan kita lebih tenang.

Lawan rasa malas dan cuba konsisten

Tips terakhir adalah cuba untuk konsisten! Tak dinafikan, biasanya kita akan lebih bersemangat pada awal Ramadan sahaja. Bila tiba di pertengahan, mulalah rasa malas dan terus ditinggalkan. Mula-mula rasa, “tak apa lah, hari ni je aku tak baca Al-Quran, nanti esok aku sambung la balik.” Siapa yang selalu macam ni? Percaya atau tidak, jika kita dah mula tinggalkannya sehari, hari-hari seterusnya akan jadi sangat susah untuk kita teruskan semula untuk membaca Al-Quran ini. Itu sebabnya, konsisten ni penting dalam apa-apa perkara yang kita lakukan! Jadi untuk lebih konsisten, jom kami kongsikan tips bacaan Al-Quran yang boleh dipraktikkan setiap hari mengikut sasaran anda.

Cara Untuk Bahagikan Bacaan Al-Quran Setiap Hari

Tips & Teknik Untuk Khatam Al-Quran di Bulan Ramadan

Membaca satu ayat dalam Al-Quran, Allah sudah hadiahkan 10 pahala. Bagaimana pula kalau kita khatam satu Al-Quran tersebut? Sudah tentu pahala yang diperoleh akan lebih banyak. Tidak cukup dengan pahala, Allah akan hadiahkan beberapa perkara lagi jika kita dapat khatam Al-Quran. Antaranya : 

Malaikat memohon ampun

“Ketika seorang hamba mengkhatamkan Al-Quran, maka di penghujung khatamnya, sebanyak 60 ribu malaikat akan memohonkan ampun untuknya.” (HR. Ad-Dailami) Setiap muslim yang sentiasa membaca kitab suci ini hingga mengkhatamkannya, maka 60 ribu malaikat akan memohonkan ampun untuknya.

Diberikan syafaat

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Bacalah Al-Quran. Sebab, ia akan datang memberikan syafaat pada hari kiamat kepada pemilik (pembaca, pengamal)-nya.” (HR. Ahmad)

Seseorang yang selalu menyibukkan diri membaca ayat-ayat suci Al-Quran, maka di hari kiamat dia akan diberi syafaat.

Dikurniakan ketenangan hati

Seseorang yang mengkhatamkan Al-Quran akan selalu diberikan ketenangan dalam situasi apapun. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Tidaklah suatu kaum berkumpul di salah satu rumah-rumah Allah untuk melantunkan ayat-ayat suci Al-Quran dan mempelajarinya, melainkan akan turun kepada mereka ketenangan, akan dilingkupi pada diri mereka dengan rahmat, akan dilingkari oleh para malaikat, dan Allah pun akan menyebut (memuji) mereka di hadapan makhluk yang ada di dekat-Nya.”

(HR. Muslim)

Kesimpulannya, untuk khatam Al-Quran ini perlukan keinginan yang kuat dan persediaan yang rapi. Tidak cukup sekadar persediaan semata mata jika tidak disusuli dengan tindakan. Walaupun jadual yang kita buat sudah cukup lengkap, namun bila tiba waktu untuk melaksanakannya datang rasa malas dan kita tidak cuba melawannya, kesudahannya kita akan hilang momentum dan semangat untuk meneruskan usaha yang sudah kita rancang itu.

Jadi, marilah bersama kita memohon kepada Allah S.W.T agar mengurniakan kepada kita kesempatan dan kekuatan untuk melaksanakan ibadah khatam Al-Quran ini.

Sudahkah Anda Bersedekah Hari Ini?

Jika belum jom sama-sama dengan Perkim Datuk Keramat membantu mereka yang dalam kesusahan seperti asnaf, ibu tunggal, mereka yang menghidap penyakit kronik , muallaf, anak yatim dan pelbagai lagi. Sesungguhnya sedikit sumbangan anda, memberi 1000 kemanisan untuk mereka

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top