HIKMAH PENSYARIATAN SOLAT

HIKMAH PENSYARIATAN SOLAT

Mendirikan solat merupakan rukun Islam kedua. Boleh dikatakan setiap umat Islam maklum dengan kewajipan yang telah ditetapkan baginya. Namun, masih ramai yang tidak mengambil hal ini. Sibuk, tiada masa, penat dan berbagai-bagai lagi alasan yang diberikan untuk mengelat daripada melakukan solat. Sedangkan, solat merupakan kewajipan yang sangat besar fadilatnya dan terdapat hikmah yang terkandung di dalamnya. Lumrah manusia tidak berusaha keras selagi mana kesannya tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Jika dengan mengerjakan solat mampu menambahkan pendapatan, sudah tentu ramai yang tidak meninggalkan solat dengan sengaja. Hanya Muslim yang benar-benar beriman tidak akan meninggalkan solat dengan sengaja. Terdapat banyak hikmah mendirikan solat antaranya: 

  • Amalan Pertama Yang Akan Dihisab Pada Hari Kiamat

Setiap manusia di dunia ini akan dihitung segala amalannya di akhirat kelak. Ketika itulah, segala amalan akan dibentangkan samada amalan baik mahupun yang buruk. Tidak ada seorang dari manusia pun mampu menipu ketika itu. Bahkan setiap orang akan berada dalam ketakutan mengharapkan ihsan dan rahmat daripada Allah SWT agar diselamatkan daripada neraka. Begitu tingi dan pentingnya ibadah solat sehingga menjadi perkara yang pertama yang akan dihisab pada hari kiamat berbanding daripada amalan-amalan yan lain.

Rasulullah SAW bersabda : Maksudnya : “Perkara pertama seorang hamba itu dihitung adalah solatnya, jika sempurna solatnya. Jika tidak, Allah berfirman: ‘lihatlah kepda solat-solat sunat yang dikerjakan oleh hamba-Ku ini jika ada yang sunat sempurnakanlah solat-solat fardhu itu dengan solat-solat sunat.” (HR Nasaie)

Daripada hadith ini, jelas bahawa solat fardhu memberikan signifikan yang besar terhadap setiap Muslim. Dinyatakan juga tentang solat sunat yang mampu menutup lompong solat fardhu yang dikerjakan. Ramai masyarakat kini menjadikan solat sebagai suatu ibadah tambahan ataupun extra berbanding ibadah yang lain seperi puasa, solat aidilfitri, solat sunat terawih sehinggakan begitu meriah disambut dan ramai orang berpusu-pusu mengerjaka solat sunat tarawih berjemaah di masjid. Sedangkan solat merupakan kewajipan setiap individu dan lebih digalakkan untuk dikerjakan secara berjemaah. Secara umumnya, solat sunat itu lebih digalakkan untuk dikerjakan secara sendirian, namun masyarakat kini lebih mementingkan suasana berbanding kepentingan melakukan suatu ibadah itu.

  • Mendisiplinkan Diri

Setiap ibadah yang dilakukan semuanya memiliki syarat sah, rukun dan perkara yang sunat untuk dilakukan. Begitu juga dengan ibadah solat. Jika kita menjaga dan menekuni setiap syarat dan rukun yang telah ditetapkan pastinya menjadi suatu medium latihan untuk membentuk disiplin diri kearah yang lebih jitu. Hal ini kerana, orang yang melakukan solat mestilah menjaga kebersihan. Begitu banyak perkara yang perlu dipastikan sebelum mendirikan solat. Sebagaimana kita menghadap seseorang yang terhormat pastinya kita akan mengenakan pakaian yang bersih dan segak,  begitu juga dengan ibadah solat yang mana kita mestilah dalam keadaan yang terbaik untuk bertemu dengan Tuhan.

Tambahan lagi, kita diwajibkan untuk menunaikan solat sebanyak 5 waktu sehari dan kita dituntut untuk mengerjakan diawal waktu. Melengah-lengahkan solat adalah perbuatan orang yang tidak bertanggungjawab. Melalui waktu-waktu yang telah ditetapkan ini menjadikan kita insan yang lebih menghormati dan menepati waktu sejurus mendisiplinkan diri. Firman Allah SWT didalam surah an-Nisa’ ayat ke-103:

فَإِذَا قَضَيْتُمُ ٱلصَّلَوٰةَ فَٱذْكُرُوا۟ ٱللَّهَ قِيَـٰمًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِكُمْ ۚ فَإِذَا ٱطْمَأْنَنتُمْ فَأَقِيمُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ ۚ إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ كَانَتْ عَلَى ٱلْمُؤْمِنِينَ كِتَـٰبًا مَّوْقُوتًا

Maksudnya: “Seterusnya apabila kamu telah menyelesaikan solatmu, ingatlah Allah ketika kamu berdiri, pada waktu duduk dan ketika berbaring. Kemudian, apabila kamu telah merasa aman, maka laksanakanlah solat itu. Sesungguhnya, solat itu adalah kewajipan yang ditentukan waktunya atas orang-orang yang beriman

  • Menghapuskan Dosa Lama

Solat lima waktu yang diwajibkan sehari semalam ke atas kita adalah nikmat yang sangat besar. Hal ini kerana ibadah solat dapat menghapus dosa-dosa yang telah kita lakukan. Bayangkan, manusia diwajibkan untuk mengerjakan solat kerana kita semua adalah hamba dan wajib bagi kita untuk mengabdikan diri kepada yang Maha Pencipta namun, kita masih lagi diberikan rahmat dan nikmat dengan dihapuskan dosa kita yang lepas. Sabda Rasulullah yang bermaksud, “Solat lima waktu dan solat Jumaat selepasnya merupakan pengampunan dosa diantaranya selagi mana tidak melakukan dosa besar” (HR Muslim). Rasulullah juga menyifatkan solat fardhu ini seperti mandi 5 kali sehari. Begitulah rahmat dan pengampunan Allah SWT yang amat luas dan tiada penghujungnya.

Solat juga mampu mencegah manusia daripada melakukan perkara yang keji dan mungkar. Firman Allah SWT di dalam surah al-‘Ankabut ayat ke-45:

ٱتْلُ مَآ أُوحِىَ إِلَيْكَ مِنَ ٱلْكِتَـٰبِ وَأَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ ۖ إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ تَنْهَىٰ عَنِ ٱلْفَحْشَآءِ وَٱلْمُنكَرِ ۗ وَلَذِكْرُ ٱللَّهِ أَكْبَرُ ۗ وَٱللَّهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar

Jika kita hanya menganggap solat sebagai suatu rutin harian yang biasa, kita tersilap. Kita seharusnya memberikan tumpuan setiap saat kita mengerjakan solat itu dan menghayati setiap ayat yang dituturkan agar diberikan khusyuk bagi kita.

  • Meningkatkan Rasa Kehambaan Dalam Diri

Mengingatkan manusia kepada identitinya yang sebenar iaitu hamba kepada Allah SWT. Dengan mendirikan solat, manusia akan sentiasa ingat akan kedudukannya itu. Apabila seseorang itu terlupa hakikat tersebut disebabkan kesibukan duniawi dan hubungannya dengan orang lain, maka dengan datangnya waktu solat akan memperbaharui ingatannya bahawa dia adalah hamba yang dimiliki oleh Allah SWT. 

Selain itu, jiwa manusia akan merasakan bahawa tidak ada yang memberi bantuan dan nikmat yang sebenarnya melainkan Allah Azzawajalla. Sekalipun kita melihat di dunia ini pada zahirnya terdapat sebab-sebab yang membantu dan memberikan nikmat, tetapi pada hakikatnya ialah Allah telah mempermudahkan sebab-sebab tersebut kepada kita. Apabila manusia lalai lalu mendatangi solat, solat itu akan mengingatkan manusia bahawa yang menjadi penyebab kepada sesuatu ialah Allah yang Maha Esa, yang Memberi Bantuan dan Nikmat, Tuhan yang Memberi Kesan Mudarat dan Manfaat serta yang Menghidupkan dan Mematikan.

SEJARAH SOLAT DISYARIATKAN

Solat merupakan ibadah yang telah disyariatkan oleh Allah semenjak zaman dulu lagi. Allah SWT telah berfirman dengan Nabi Ismail AS dalam surah Maryam ayat ke-55:

وَكَانَ يَأْمُرُ أَهْلَهُۥ بِٱلصَّلَوٰةِ وَٱلزَّكَوٰةِ وَكَانَ عِندَ رَبِّهِۦ مَرْضِيًّا

Maksudnya: “Dan dia menyuruh ahlinya bersembahyang dan menunaikan zakat dan dia adalah seorang yang diredhai disisi Tuhannya.

Agama Nabi Ibrahim dan pengikut Nabi Musa AS juga telah mengenali ibadah solat. Allah telah berfirman di atas lisan Nabi Isa AS dalam surah Maryam ayat ke-31:

وَجَعَلَنِى مُبَارَكًا أَيْنَ مَا كُنتُ وَأَوْصَـٰنِى بِٱلصَّلَوٰةِ وَٱلزَّكَوٰةِ مَا دُمْتُ حَيًّا

Maksudnya: “Dan Allah telah memerintahkan kepadaku dengan sembahyang dan zakat selama aku hidup”.

Ketika Nabi Muhammad SAW dibangkitkan, Baginda SAW mengerjakan solat dua rakaat setiap pagi dan dua rakaat di setiap petang. 

Tidak lama selepas itu, solat diwajibkan ke atas setiap Muslim yang mukallaf  iaitu solat Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak. Kelima-lima waktu ini disyariatkan oleh Allah SWT ketika Nabi Muhammad SAW diisrakkan ke Baitul Maqdis kemudian diangkat ke langit. Allah SWT telah mewajibkan ke atas Nabinya SAW dan seluruh umat Islam dengan 50 waktu solat sehari semalam. Kemudian, Rasulullah memohon keringanan dan Allah SWT meringankannya kepada 5 waktu solat sahaja namun pahalanya seolah-olah 50 waktu. Peristiwa ini dinamakan sebagai Israk dan Mikraj. Menurut pendapat yang sahih, peristiwa Israk berlaku pada 18 bulan sebelum hijrah Nabi SAW ke Madinah. Dengan demikian solat 5 waktu yang diwajibkan itu telah memansuhkan solat dua rakaat pada waktu pagi dan petang. 

HUKUM MENINGGALKAN SOLAT

Ulamak bersepakat bhawa meninggalkan solat lima waktu dengan sengaja dikategorikan sebagai dosa besar yang lebih besar dari dosa membunuh, merampas harta orang lain, berzina, mencuri dan minum minuman keras. Orang yang meninggalkan solat akan mendapat hukuman dan kemurkaan Allah serta mendapat kehinaan di dunia dan akhirat. Terdapat berbagai-bagai hukum bagi orang yang meninggalkan solat mengikut keadaannya, iaitu :

  • Meninggalkan solat kerana mengingkari kewajipannya

Meninggalkan solat dengan mengingkari kewajipannya melalui percakapan, contohnya :

“Kalau mahu solat boleh saja, tidak solat juga tidak apa-apa”

Jika diucapkan perkataan sebegini dengan niat untuk mengingkari hukum wajibnya solat, maka orang yang begini dihukumkan sebagai kafir tanpa ada khilaf di kalangan para ulamak. Imam al-Nawawi menyebut: “Jika mana-mana orang meninggalkan solat dalam keadaan mengingkari akan wajibnya solat itu atau mengingkari hukum wajib solat itu, maka dihukumkan ke atasnya kafir murtad dengan ijmak ulama dan wajib dijalankan ke atasnya hukuman bagi orang murtad iaitu dihukum bunuh dengan perintah raja, kecuali jika dia Islam semula. Jika dia tidak tahu akan wajibnya solat itu dengan sebab baharu masuk Islam atau tinggal di suatu tempat yang jauh daripada orang Islam yang boleh menyebabkan tidak sampainya hukum wajib solat itu, maka tidaklah dia menjadi kafir kerana keingkarannya itu, bahkan kita perlu mengajarnya. Jika setelah diajarkan hukum tersebut dan dia tetap mengingkarinya, maka dia menjadi murtad.” 

  • Meninggalkan solat kerana malas atau tiada masa

Meninggalkan solat kerana malas, sibuk dengan urusan-urusan dunia dan mengikut hawa nafsu dan bisikan syaitan. dalam perkara demikian para ulama berselisih pendapat, sama ada dia dihukumkan kafir atau fasiq dan sama ada dia berhak dibunuh atau cukup dengan hukuman takzir (disebat dan dipenjarakan).

Imam al-Nawawi telah menjelaskan bahawa jika dia tinggalkan solat dengan tiada uzur, malas dan mempermudah-mudahkan, maka hukumnya berdosa dan dia wajib dibunuh tetapi tidak dihukumkan kafir pada qaul al-aṣhah. Berkata ulama al-Syafie bahawa perkara meninggalkan solat yang dijelaskan di atas iaitu hukuman bunuh, tidak akan dijalankan kecuali jika dia enggan bertaubat setelah diperintahkan untuk bertaubat.

Mengenai hukum orang yang meninggalkan solat dengan sebab malas padahal dia beriktikad bahawa solat itu wajib, pendapat yang masyhur dalam mazhab al-Syafie ialah dia dihukum bunuh secara had dan tidak dihukumkan kafir.

  • Meninggalkan solat kerana tidak akan hukumnya

Meninggalkan solat dalam keadaan tidak mengetahui bahawa meninggalkan solat boleh membuatkannya kafir. Maka orang begini dihukumkan sebagai orang yang jahil (bodoh). Orang ini tidaklah dikategorikan sebagai kafir disebabkan adanya kejahilan pada dirinya yang dinilai sebagai faktor penghalang untuk mendapatkan hukuman.

Kesimpulannya para ulama berselisih pendapat pada menghukum seseorang yang meninggalkan solat. Perkara ini berlaku adalah disebabkan keutamaan ibadah solat itu sendiri di sisi Allah SWT berdasarkan nas-nas yang sahih yang terdapat dalam al-Quran dan hadis. Justeru para ulama telah membahagikannya kepada dua keadaan sebagai mana yang dihuraikan di atas. Oleh itu hukum meninggalkan solat tertakluk kepada bagaimana tanggapan seseorang individu terhadap solat itu. Boleh jadi tanggapannya itu menjadikan dia sebagai kafir yang musyrik (murtad) atau boleh jadi juga sebagai kafir fasiq (berdosa besar), malah kedua-duanya perlu dihukum oleh pemerintah sebagai peringatan dan pengajaran kepada mereka yang meninggalkan perlaksanaannya.

Adapun hukuman bunuh itu adalah berdasarkan hukumun hudud dalam Islam dan semestinya hukuman yang akan dilakukan mengikut undang-undang di sesebuah negara Sepertimana Malaysia tdak mengamalkan hukuman hudud dan menggunapakai hukuman ta’zir dan masih tiada lagi hukuman yang dikenakan kepada pelaku meninggalkan solat dengan sengaja. Ingatlah, walaupun kita terlepas hukuman di dunia ini, jangan menganggap kita akan terlepas daripada hukuman di akhirat nanti. Sesungguhnya, hukum kafir sahaja sudah cukup berat hukumannya. Rujuk artikel ini berkenaan rukun solat.

Wallahua’lam

Sudahkah Anda Menjadi Tangan Yang Memberi?

Jika belum jom sama-sama dengan Perkim Datuk Keramat membantu mereka yang dalam kesusahan seperti ibu tunggal, mereka yang menghidap penyakit kronik dan pelbagai lagi. Sesungguhnya sedikit sumbangan anda, memberi 1000 kemanisan untuk mereka

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top