HUKUM BERPUASA SELEPAS SEPARUH BULAN SYAABAN

PUASA SELEPAS SEPARUH SYAABAN

Setiap tahun berpuasa di separuh kedua bulan Syaaban menjadi topik perbincangan berkenaan hukum mengamalkannya adalah haram atau harus. Ramai yang masih ragu-ragu samada masih boleh untuk puasa ataupun tidak kerana terdapat dalil nas yang menyatakan bahawa tidak boleh berpuasa selepas separuh bulan Syaaban.

DALIL PUASA SELEPAS SEPARUH SYAABAN

Dalil Hadith

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW:

إِذَا انْتَصَفَ شَعْبَانُ فَلَا تَصُوْمُوْا

Maksudnya : “Apabila tiba pertengahan bulan Sya’ban maka janganlah kalian berpuasa”.

 Dalam lafaz yang lain:

إِذَا كَانَ النِّصْفُ مِنْ شَعْبَانَ فَلاَ صَوْمَ حَتَّى يَجِىءَ رَمَضَانُ

Maksudnya: “Apabila tiba pertengahan bulan Sya’ban, maka tidak ada puasa sehingga datangnya bulan Ramadhan”.

Dalam lafaz yang lain pula:

إِذَا كَانَ النِّصْفُ مِنْ شَعْبَانَ، فَأَفْطِرُوا حَتَّى يَجِيءَ رَمَضَانُ

Maksudnya: “Apabila tiba pertengahan bulan Sya’ban, makanlah sehingga datangnya bulan Ramadhan”.

Dalam lafaz yang lain lagi:

إِذَا كَانَ النِّصْفُ مِنْ شَعْبَانَ فَأَمْسِكُوا عَنِ الصَّوْمِ حَتَّى يَكُونَ رَمَضَانُ

Maksudnya: “Apabila tiba pertengahan bulan Sya’ban, maka tahanlah diri kalian dari berpuasa sehingga datang bulan Ramadhan”.

HUKUM HADITH

Hadith ini menjadi perselisihan antara para ulama’ dalam menyatakan hukum terhadap hadith ini. Sebahagian mereka mengsahihkan hadith ini dan sebahagian yang lain mengdhaifkannya.

  • Pendapat Pertama: Antara ulama’ yang mengsahihkan hadith ini:
  1. Imam al-Tirmizi : Hadith adalah hasan sahih. 
  2. Imam Ibn Hibban : Hadith ini sahih. 
  3. Imam Ibn Abd al-Bar: Hadith ini sahih. 
  4. Ahmad Syakir : Hadith ini adalah sahih. 
  • Pendapat Kedua: Antara ulama’ yang mengdhaifkan hadith ini:

Imam Ahmad : Hadith ini munkar.

  1. Al-Athram : Hukum hadith ini adalah munkar. 
  2. Abdulrahman bin Mahdi : Hadith ini munkar. 
  3. Abu Zur’ah : Ini adalah hadith munkar. 
  • Tarjih Hadith

Berdasarkan pendapat para ulama’ berkaitan hukum hadith ini, maka kami cenderung untuk mengatakan bahawa hadith ini adalah dhaif walaupun ia juga disahihkan oleh sebahagian para ulama’. Antara sebab yang menyebabkan kami menyatakan bahawa hadith ini adalah dhaif adalah disebabkan beberapa faktor, antaranya adalah:

Pertama: Disebabkan al-‘Ala’ bersendiri dalam riwayat ini. Oleh sebab itu, hadith ini adalah gharib berdasarkan pendapat Imam al-Nasaie iaitu “kami tidak ketahui perawi yang meriwayatkan hadith ini melainkan daripada al-‘Ala bin Abdulrahman”. Selain itu, melalui pendapat Imam al-Tirmizi bahawa “kami tidak ketahui melainkan daripada jalan ini”.

Kedua: Hadith ini bercanggah dengan hadith yang sahih iaitu hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

لاَ تَقَدَّمُوا رَمَضَانَ بِصَوْمِ يَوْمٍ وَلاَ يَوْمَيْنِ

Maksudnya: “Janganlah mendahulukan Ramadhan dengan sehari berpuasa atau dua hari”.

Pendapat ulama’ dalam masalah berpuasa pertengahan bulan Sya’ban

Berikut adalah pendapat para ulama’ dalam masalah ini:

Mazhab al-Syafie: Berpuasa selepas pertengahan bulan Sya’ban adalah haram atau makruh bagi sesiapa yang tidak biasa berpuasa dan jika ia tidak bersambung dengan hari sebelumnya. Dalam makna lain bagi orang yang berpuasa pada waktu tersebut sahaja. 

Jumhur fuqaha’ : Dibolehkan berpuasa selepas daripada 15 Sya’ban.

Bagi ulama yang menganggap hadith ini sahih, maka mereka berpendapat tidak harus hukumnya memulakan puasa sunat setelah pertengahan bulan Sya’ban, yakni bermula 16 Sya’ban dan seterusnya. Ini adalah pendapat dalam mazhab Syafie.

Dalam kitab Anwarul Masalik Syarh ‘Umdat al-Salik Wa ‘Uddat al-Nasik (h. 166) karya Syeikh Muhammad az-Zuhri al-Ghumrawi dinyatakan seperti berikut:

“….haram berpuasa (yakni sunat) pada hari selepas separuh bulan Sya’ban, jika sekiranya puasa tersebut tidak berbetulan dengan adat kebiasaan (seseorang) sebagaimana yang telah disebut terdahulu ketika dibincangkan tentang hari Syak dan (puasa tersebut) tidak bersambung dengan hari yang sebelumnya iaitu tidak bersambung puasa pada pertengahan yang kedua (bulan Sya’ban) dengan berpuasa pada separuh yang pertama bulan tersebut. Maka jika sekiranya puasa tersebut berbetulan dengan adat kebiasaan baginya atau dihubungkan (dengan hari-hari separuh pertama Sya’ban), sahlah puasa tersebut dan hilanglah keharamannya.”

Syeikh Sayyid Muhammad ‘Abdullah al-Jurdani dalam Fath al-‘Allam (4/152- 153) berkata:

“….haram puasa pada (selepas) pertengahan bulan Sya’ban kecuali jika ianya dihubungkan dengan hari yang sebelumnya, walaupun hanya satu hari (yakni walaupun dengan hanya berpuasa pada 15 Sya’ban sahaja) dan hendaklah berkekalan puasa tersebut sehingga ke akhirnya. Maka jika tidak berkekalan, bahkan jika berbuka (yakni tidak berpuasa) dengan uzur sekalipun, tertegahlah atasnya untuk berpuasa lagi dengan tanpa sebab.”

Ibnu Hajar al-Haitami dalam kitabnya al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah (2/82) berkata:

“….daripadanya (hadith-hadith) puasa dalam bulan Sya’ban ialah hadith ‘Aisyah r.a yang menyatakan:”Tidak aku melihat Rasulullah S.A.W menyempurnakan puasa sebulan penuh melainkan bulan Ramadan dan tiada aku melihat baginda berpuasa lebih banyak daripada bulan Sya’ban”, hadith diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim, dan keduanya meriwayatkan juga hadith lain dengan kata-kata: “Tiada baginda berpuasa dalam suatu bulan yang lebih banyak daripada bulan Sya’ban, bahawasanya baginda berpuasa pada keseluruhan bulan Sya’ban”, dan bagi Imam Muslim terdapat satu lagi riwayat dengan kata-kata iaitu “Adalah baginda berpuasa pada bulan Sya’ban keseluruhannya kecuali sedikit.”…kemudian hadith-hadith ini tidaklah menafikan hadith yang mengharamkan puasa pada hari-hari selepas separuh bulan Sya’ban, kerana berlakunya pengharaman tersebut ialah kepada sesiapa yang hanya berpuasa selepas separuh tersebut dan tidak menghubungkan puasanya (dengan berpuasa pada hari Nisfu Sya’ban). Manakala keharusan berpuasa, bahkan sunat berpuasa ialah kepada sesiapa yang berpuasa sebelum separuh Sya’ban lagi dan meninggalkan berpuasa selepasnya (di mana ia berpuasa sunat pada nisfu pertama bulan Sya’ban dan berhenti setelah nisfunya tersebut), atau ia meneruskan puasanya dengan menghubungkan puasanya itu dengan berpuasa pada hari Nisfu Sya’ban, atau ia tidak menghubungkan puasanya, akan tetapi puasanya pada hari-hari selepas separuh Sya’ban tersebut ialah puasa kerana qadha` atau puasa nazar atau puasa yang menjadi kebiasaannya. Dan hadith yang telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Imam Abu Dawud, Imam at-Tirmizi, Imam an-Nasai dan Imam Ibnu Majah, iaitu: “Apabila berbaki separuh daripada bulan Sya’ban, maka janganlah kamu berpuasa sehingga menjelang Ramadan”, adalah jelas pada yang demikian.”

Difahamkan dari ungkapan-ungkapan di atas bahawa larangan ini tidak meliputi sesiapa yang telah berpuasa sejak awal bulan Sya’ban di mana ia meneruskannya hingga ke pertengahan bulan tersebut. Larangan hanya untuk orang yang baru memulakan puasa setelah berlalu pertengahan bulan Sya’ban. Larangan ini juga tidak meliputi puasa pada 15 Sya’ban. Berpuasa pada hari tersebut diharuskan sebab ia termasuk hari-hari putih yang sunat berpuasa padanya setiap bulan.

Maka disimpulkan seperti yang ada dalam fatwa Jabatan Mufti Brunei bahawa dalam mazhab Syafie bahawa hukum berpuasa selepas Nisfu Sya’ban adalah haram dan tidak sah. Pengharaman berpuasa itu tidaklah mutlak kerana ia mempunyai pengecualian iaitu puasa qadha’, puasa kaffarah, puasa nazar, puasa yang sudah menjadi adat atau kebiasaan pelakunya dan puasa sunat yang disambungkan atau dihubungkan dengan hari-hari di separuh pertama bulan Sya’ban.

Mufti Wilayah Persekutuan juga berpendapat bahawa kepada sesiapa yang ingin berpuasa selepas pertengahan bulan Sya’ban dibolehkan bagi orang yang selalu melakukan puasa seperti puasa sunat Isnin dan Khamis. Begitu juga, bagi sesiapa yang berpuasa pada hari cerah (أيام البيض) dan juga yang melakukan puasa Nabi Daud AS. Ini merupakan pendapat jumhur ulama’ dalam masalah ini.

Makna “فَلَا تَصُوْمُوْا”

Larangan berpuasa di dalam hadith tersebut adalah ditujukan kepada sesiapa yang bukan menjadi kebiasaannya berpuasa. Adapun bagi sesiapa yang sudah menjadi kebiasaannya berpuasa maka ia tidak menjadi masalah untuk dia berpuasa pada waktu tersebut. 

Bagi ulama yang menganggap hadith ini lemah, tentu sahaja mereka tidak mengamalkan kandungannya. Bagi mereka, tidak ada larangan untuk berpuasa pada pertengahan Sya’ban sama ada ia telah memulainya sejak awal bulan ataupun tidak. Ini adalah pendapat sebahagian ulama termasuk Imam Ahmad, pengasas mazhab Hanbali.

Namun menurut Imam San`ani dalam kitabnya Subulus Salam (2/345), pendapat Imam Ahmad terhadap kelemahan hadith tersebut adalah tidak tepat kerana al-‘Alaa` bin ‘Abdur Rahman iaitu salah seorang periwayat hadith ini yang dikatakan lemah oleh Imam Ahmad adalah seorang periwayat hadith yang diambil kira oleh Imam Muslim. Bahkan Imam Ibnu Hajar al-`Asqalani dalam kitab “at-Taqrib” menghukumkan al-‘Alaa` bin ‘Abdur Rahman ini sebagai seorang periwayat yang saduq atau seorang yang benar atau dipercayai.

Umat Islam di Malaysia biasanya memakai mazhab Syafie, maka eloklah dalam hal ini, pendapat mazhab Syafie dipakai.

HIKMAH TIDAK DIBENARKAN BERPUASA

Jika kita melihat dan berpegang bahawa hadith ini sahih sebagaimana yang dipegang oleh sebahagian ulama’ maka di sana terdapat hikmah mengapa tidak dibenarkan berpuasa pada waktu tersebut. Antara hikmahnya ialah supaya umat Islam menyiapkan diri mereka sebelum dalam menempuh bulan Ramadhan. Di mana pada bulan tersebut difardhukan bagi setiap orang Islam yang mukallaf untuk berpuasa sebulan penuh dalam bulan tersebut.

KESIMPULANNYA

Kesimpulannya,  puasa selepas daripada 15 Sya’ban adalah dibenarkan kerana hadith yang melarang untuk berpuasa adalah lemah dan bercanggah dengan hadith yang sahih. Lebih-lebih lagi jika seorang wanita itu ingin menggantikan puasa Ramadhannya, maka ianya dituntut. Ini kerana, Saidatina Aisyah RA menggantikan puasa Ramadhannya pada bulan Sya’ban. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kekuatan dan masa lapang agar kita dapat melaksanakan ibadat dengan sesempurna mungkin. Bukan itu sahaja, bagi yang telah bernazar dibolehkan juga untuk berpuasa. Namun, bagi yang tidak biasa melakukan puasa daripada sebelum separuh Syaaban, maka ikut dan peganglah mazhab Imam Syafie khususnya masyarakat di Malaysia. 

Wallahua’lam.

Sudahkan anda bersedekah pada hari ini? Sesungguhnya orang yang bersedekah pada hari Jumaat lebih besar ganjarannya berbanding bersedekah pada hari yang lain. Boleh tekan pada butang sumbang dibawah dan memilih mana-mana agensi untuk disalurkan sumbangan. Terima Kasih.

Sudahkah Anda Menjadi Tangan Yang Memberi?

Jika belum jom sama-sama dengan Perkim Datuk Keramat membantu mereka yang dalam kesusahan seperti ibu tunggal, mereka yang menghidap penyakit kronik dan pelbagai lagi. Sesungguhnya sedikit sumbangan anda, memberi 1000 kemanisan untuk mereka

  1. T. kasih beri jawapan.
    sebelum ni ada yg kata tk blh puasa selepas 15 sya’ban.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *