Pilihan raya di Malaysia dilaksanakan untuk memilih calon di peringkat negeri dan Parlimen. Ia diadakan berdasarkan sistem demokrasi yang merupakan mekanisme peralihan kuasa dari rakyat kepada sebuah kerajaan yang akan mentadbir sesebuah negara. Justeru itu tanpa sokongan rakyat maka sesebuah kerajaan itu tidak dapat dibentuk dengan jayanya. Namun kepelbagaian pemikiran yang melatarbelakangi rakyat Malaysia menyebabkan ada yang memahami bahawa tidak perlu semua rakyat Malaysia keluar mengundi kerana calon yang dicadangkan bukan semestinya memenuhi kehendak dan kriteria mereka.
Ada yang menyatakan keluar mengundi ataupun tidak sama sahaja, tidak menghasilkan sebarang perubahan. Ini kerana parti-parti yang bertanding dalam pru-15 ini, semuanya pernah memerintah Malaysia dan belum terbukti dapat menyelamatkan negara dari pelbagai kemelut dan cabaran semasa. Lebih parah lagi ada yang menganggap sistem demokrasi berasal dari Barat ini tidak diharuskan dalam Islam justeru hukum mengundi pilihan raya-15 tidak wajib.
Malaysia berlatar belakangkan masyarakat majmuk. Semua kaum memperakui sistem domokrasi dalam pemilihan kepemimpin negara. Dalam Islam permuafakatan tersebut selari dengan konsep meraikan maslahah dan uruf setempat. Tradisi pemilihan dan penggantian pemimpin bagi setiap lima tahun di Malaysia termasuk dalam permuafakatan rakyat secara harmoni. Ia dilakukan berdasarkan kesaksamaan hak bagi setiap kaum dan agama khususnya melibatkan penentuan corak kepimpinan dalam mengurus kemaslahatan rakyat dan negara.
Tradisi ini tidak bertentangan dengan Islam bahkan menjadi tuntutan Islam termasuk dalam fungsi khalifah dalam Islam iaitu “mendirikan agama dan menguruskan dunia dengan panduan agama”. Justeru itu walaupun demokrasi tiada dalam Islam namun dalam konteks Malaysia ia merupakan wasilah dalam menegakkan pemerintahan negara. Negara tidak boleh tertegak secara individu bahkan hak dan maslahah individu juga tidak tercapai tanpa penyertaan dalam sistem demokrasi yang melibatkan pilihan raya.
Dalam hal ini semua rakyat Malaysia telah memahami dan bersepakat bahawa pilihan raya adalah satu-satunya mekanisme yang ada dalam memilih kerajaan yang dikehendaki. Pemilihan pemerintah tidak boleh berlaku melalui peperangan, pemberontakan bersenjata dan sebagainya sebagaimana yang masih berlaku di sesetengah negara lain. Oleh itu sudah tentunya ruang yang ada ini jika dimanfaatkan sebaiknya akan menghasilkan maslahah yang berpanjangan terhadap rakyat berbanding sistem pemerintahan lain.
Hakikatnya permuafakatan harmoni ini bertepatan dengan kaedah maqasid shari’ah iaitu al-wasa’il laha ahkam al-maqasid (semua wasilah berdasarkan hukum yang hendak dicapai). Sesuatu wasilah yang membawa kepada perkara yang diperintahkan maka ia turut sama diperintahkan. Ia juga menepati kaedah usul iaitu mala yatimm al-wajib illa bihi fahuwa wajib (sesuatu kewajipan yang tidak dapat disempurnakan melainkan dengan sesuatu perkara maka perkara tersebut juga menjadi wajib).
Di Malaysia hanya ada satu sahaja mekanisme untuk memilih pemimpin iaitu melalui pilihan raya. Maka penyertaan dalam pilihan raya melalui pembuangan undi menjadi wajib ketika ini. Dalam hal ini walaupun demokrasi tiada dalam Islam namun wajib disertai kerana tiada wasilah lain untuk memilih kepimpinan negara. Melalui kepimpinan negara maka tertegaklah pelbagai kewajiban lain yang telah diaturkan kepada pemerintah demi kemaslahatan rakyat.
Sebenarnya berdasarkan situasi Malaysia ketika ini yang berhadapan dengan pelbagai isu dan krisis kepimpinan maka mengasingkan diri dari pru-15 termasuk dalam kategori hadith Nabi SAW yang bermaksud : “Barang siapa yang tidak mengambil berat terhadap urusan umat Islam maka ia bukan dari mereka (tidak sempurna sebagai seorang muslim)” . Ini kerana tujuan mengundi dalam PRU ini adalah untuk memilih pemimpin yang layak memimpin negara demi memelihara kebajikan dan kemaslahatan umat. Walaupun hadith ini lemah (daif) namun maknanya sahih dan selari dengan firman Allah SWT dalam surah al-ma’idah ayat 2 yang bermaksud : “Dan hendaklah kamu tolong-menolong dalam mengerjakan kebaikan dan ketakwaan dan janganlah kamu tolong-menolong dalam mengerjakan dosa dan pencerobohan”.
Memang benar jika mengundi sekalipun pemimpin yang dipilih belum tentu memenuhi kriteria pemimpin idaman namun sekurang-kurangnya dapat menyekat pemimpin yang tidak berkelayakan dan merosakan negara terpilih menerajui negara. Kaedah yang bijak laksana dalam berhadapan dengan kegersangan pemimpin yang layak dan beramanah ialah memilih pemimpin yang kurang kerosakannya terhadap umat Islam dan negara berdasarkan kaedah fiqh iaitu yukhtar ahwan al-syarrayn (memilih keburukan yang lebih ringan). Oleh itu jika sikap mengasingkan diri menyebabkan negara dipimpin oleh pemimpin yang tidak amanah dan lemah maka ia termasuk meredai kemudaratan menimpa negara dan ummah sekali gus termasuk dalam kaedah fiqh al-rida ba al-syai’ ridan ma yatawallad min (reda terhadap sesuatu maka dianggap reda terhadap akibat yang terhasil darinya).
Secara zahir tindakan tidak membuang undi dalam pilihan raya umum adalah tidak bersalah. Namun jika dilihat kepada kemudaratan negara dan ummah maka haram hukumnya justeru semua umat Islam yang tidak ada sebarang keuzuran syarie wajib keluar mengundi. Walau bagaimanapun keluar mengundi terikat dengan kewajipan memilih pemimpin yang mampu memelihara masa depan agama, bangsa dan negara bukan memilih pemimpin yang bakal menjerumus negara dan rakyat ke lembah kerosakan dan kehinaan.
Cari pemimpin yang berkemampuan maksudnya mereka yang mempunyai segala kebolehan, keupayaan, kemahiran, ilmu, prinsip, disiplin dan mempunyai kecekapan. Dengan kata lain, seorang pemimpin yang mampu bekerjasama dengan orang yang ditadbirnya, melaksanakan tanggungjawab kepemimpinan cemerlang.
Calon yang dapat menjalankan tugasnya dengan sempurna sudah tentu layak diangkat sebagai pemimpin. Pemimpin yang baik dan berpengaruh akan dapat melahirkan lebih ramai pemimpin di bawah pentadbirannya.
Carilah pemimpin yang amanah. Amanah adalah asas keperibadian yang mendapat kepercayaan pengikutnya. Kepercayaan tidak boleh diminta, tetapi ia terbina. Mustahak bagi seorang pemimpin dipercayai atas kata-katanya yang seiring dengan perlakuannya. Rasuah, khianat, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan harta tidak harus terkait dengannya kerana ia mampu merenggut segala status kepercayaan yang dibina.
carilah pemimpin yang jujur, ia adalah sifat pengukuh kepada amanah. Sifat jujur ini bertembung dengan sifat bermuslihat, berdusta dan berbohong yang merosakkan serta membawa kepada kehancuran. Gandingan dua sifat ini, iaitu jujur dan amanah memberikan kredibiliti kepada seorang pemimpin.
Jujur dan amanah adalah dua ciri tertinggi yang menyerlah dalam setiap profil kepemimpinan individu berjaya. Justeru, berkemampuan, amanah dan jujur adalah tiga sifat asas seorang pemimpin yang harus ada tapi sukar terkumpul dalam watak seseorang pemimpin.
Sifat berkemampuan, amanah dan jujur perlu sentiasa tersemat di minda pengundi, bahkan juga perlu disematkan dalam akal kepemimpinan parti dalam menentukan calon-calon mereka kelak. Tiada tempat bagi mereka yang tidak memiliki sekurang-kurangnya tiga ciri ini.
Pemimpin adalah cerminan pengikutnya dan begitu juga sebaliknya. Seorang pemimpin berwibawa akan diapit kuat oleh orang yang turut membawa nilai integriti yang tinggi.
Kuasa yang diamanahkan pada kepemimpinan negara sangat besar dalam mentadbir masyarakat dan negara.
Mereka memegang dan menggenggam lingkaran kuasa dan pengaruh terpenting. Justeru, adalah mustahak supaya kuasa kepemimpinan hanya diberikan kepada mereka yang mempunyai ketiga-tiga ciri ini.
Proses pilihan raya umum yang berlangsung boleh dianggap sebagai proses temu duga. Jadi, rakyat harus melihat kelayakan dan latar belakang calon secara teliti berdasarkan rekod mereka selama ini.
Rakyat harus menggunakan kuasa yang ada untuk memilih pemimpin. Rakyat juga boleh memecat politikus yang tidak berprestasi, bahkan tidak mampu menyelesaikan pelbagai permasalahan rakyat.
Pilihan raya sepatutnya menjadi tempat untuk rakyat memilih calon berwibawa dan memecat calon sebaliknya diganti dengan pemimpin baharu yang berkemampuan, amanah dan jujur untuk memberi khidmat kepada rakyat.
Sejarah pernah menyaksikan Rasulullah SAW dan sahabat menjadi pemimpin yang berjaya mengubah landskap geopolitik dunia ke arah ketamadunan dan peradaban yang tinggi. Justeru, bertanggungjawablah ketika memilih pemimpin negara.
Selamat mengundi Pilihan Raya Umum 15.
Wallahua’lam.
Jika belum jom sama-sama dengan Perkim Datuk Keramat membantu mereka yang dalam kesusahan seperti ibu tunggal, mereka yang menghidap penyakit kronik dan pelbagai lagi. Sesungguhnya sedikit sumbangan anda, memberi 1000 kemanisan untuk mereka