IBRAH MAAL HIJRAH

MAAL HIJRAH

Bulan Muharram ini adalah sinonim kepada pengetahuan kita sebagai bulan Hijrah. Peristiwa ini, Rasulullah dan para sahabat, atas perintah Allah Ta‘ālā, berhijrah dari Kota Mekah ke Kota Madinah, yang mana dalam kisah Hijrah suci baginda ini mempunyai pelbagai pengajaran yang tak terkira banyaknya.

Elok sekali sekiranya kita menyambut bulan ini dengan mentadabburinya yakni menghayati ibrah peristiwa ini di mana banyak manfaat yang boleh kita dapati daripadanya. Shaykh Dr. Raghib al-Sirjani, yang kami judulkan sebagai memberikan 10 Ibrah (hakikatnya tidak terkira banyaknya ibrah yang mustahil untuk dituliskan semuanya), dan mensyarahkannya buat kita merenunginya dan menginsafi akan pengajaran sepuluh pengajaran berikut.

IBRAH MAAL HIJRAH

PERTAMA: MELAKSANAKAN ASBAB.

Rasulullah dan sahabatnya Abu Bakar al-Ṣiddiq telah mengerahkan segala yang temampu oleh mereka, untuk menjayakan proses Hijrah ini. Inilah dia, persediaan yang dituntut daripada setiap mukminin, agar mereka bersiap-sedia semampu mereka.

KEDUA: BERSANDAR KEPADA ALLAH.

Rasulullah tidaklah hanya berharap kepada asbab dan meninggalkan Tuhan segala asbab. Baginda tahu bahawa segala asbab itu, tidak akan memberikan natijahnya, melainkan sekiranya dikehendaki Allah. Atas sebab itu, selepas baginda melaksanakan segala asbab dengan sempurnanya, baginda mengiringinya dengan keyakinan yang agung bahawa apa yang dikehendaki Allah itulah yang pasti akan berlaku.

KETIGA: BERHARAP DAN YAKIN AKAN KEMENANGAN.

Rasulullah tidak pernah sedetikpun daripada hidup baginda kehilangan roh pengharapan ini, hinggakan di dalam pengembaraan yang berbahaya ini. Baginda keluar daripada Mekah dengan cara sebeginilah – kepala baginda dicari (yakni diburu), dan baginda tidak dapat menjamin keselamatan nyawanya sendiri dan juga nyawa sahabatnya. Dalam keadaan itupun, baginda tetap memberikan berita gembira kepada Suraqah, bukan setakat dengan kemenangan Islam atas Quraysh atau bangsa Arab, bahkan (berita gembira) dengan runtuhnya singgahsana Kisra di bawah kaki Muslimin, dan beliau akan mengambil harta karun Kisrā sebagai rampasan Perang.

KEEMPAT: KEPRIHATINAN RASULULLAH BERKENAAN URUSAN PERTEMANAN (AL-ṢUḤBAH).

Kita melihat prihatinnya Rasulullah dalam setiap marhalah kehidupannya, dan dalam setiap rancangan dakwahnya, akan urusan Pertemanan ini. Baginda hidup di Mekah dengan peneman, baginda keluar ke Ṭa’if dengan peneman juga, baginda bertemu dengan tetamu (daripada ‘Aus dan Khazraj) juga dengan peneman. Baginda memeterai bai‘ah akujanji yang telah membina negara Islam, dengan peneman juga. Baginda sendiri juga telah bertanya kepada Jibrīl tentang siapakah sahabatnya di dalam Hijrah ini. Kesemua ini (hidup berpasukan ini), dan baginda itu ialah baginda, baginda ialah Rasulullah. Akan tetapi, semua manusia perlu kepada pertemanan. Baginda mengajarkan kita agar kita sentiasa mencari pertemanan yang soleh. 

KELIMA: RASULULLAH PEMIMPIN TELADAN.

Riḥlah (Hijrah) ini telah menjelaskan kepada kita, bagaimana Pemimpin Agung ini telah merasakan kepayahan rakyatnya. Baginda berhijrah sepertimana mereka berhijrah, baginda diburu sepertimana mereka juga diburu, baginda penat sepertimana mereka juga penat, baginda sedih sepertimana mereka juga bersedih. Baginda hidup bersama mereka, dengan segala kepedihan dan pengorbanan. Sedangkan, boleh saja Allah memindahkan RasulNya yang Mulia daripada Mekah ke Madinah dengan al-Buraq yang telah memindahkannya sekelip mata daripada Mekah ke Baitul Maqdis. Akan tetapi, di manakah teladannya sekiranya begitu? Oleh itu, muslimin mestilah mengambil cara yang praktikal dalam membina umat, jalan yang mampu ditempa oleh umum muslimin, dan semestinyalah jalan ini jugalah yang harus ditempa Rasulullah meskipun dengan segala kepayahan dan keperihan itu.

KEENAM: DAKWAH DALAM SETIAP TEMPAT DAN MASA.

Kita telah melihat bagaimana dakwah itu telah mendarah daging dalam diri Rasulullah. Baginda tidak meninggalkan sebarang peluang (untuk dakwah), dan tidak pula dikekang oleh apapun kesibukan. Baginda berdakwah kepada semua orang yang dimampukannya. Kita melihat, bagaimana baginda menyeru Buraydah dan pengikutnya daripada kabilah Aslam kepada Islam –dan tidak pula keinginan utamanya itu untuk mencari sebarang wasilah untuk lari pula daripada Buraydah. Bahkan baginda menganggap bahawa Allah-lah yang telah menggerakkan lelaki ini (Buraydah) dan kaumnya kepada baginda – sebagai sebuah hadiah, kurnia, nikmat, dan pahala yang besar, dan ganjaran tak terhingga. Lalu bagaimanakah layak untuknya melepaskan peluang sebegini?

KETUJUH: PERSIAPAN AL-SIDDIQ UNTUK BEKERJA DEMI ALLAH DALAM APAPUN KEADAAN.

Kita telah melihat sendiri di dalam kelana ini, bagaimana persiapan al-Ṣiddiq untuk bekerja demi Allah dalam apapun keadaan, pada setiap masa dan tempat – ia merupakan perkara yang terlalu jelas menurut al-Siddiq. Perkara yang terpenting di dalam hidup al-Siddiq ialah agar beliau membuat Allah dan RasulNya redha. Tidak layaklah sekiranya Allah menginginkannya di sesuatu tempat lalu beliau tiada di situ. Tidak layaklah sekiranya Rasul menginginkannya untuk melakukan sesuatu pekerjaan lalu beliau tidak ada di situ. Tiadalah di dalam hidup beliau sebarang tempat untuk perkataan ‘kesibukan,’ bahkan beliau menolak semua kesibukan yang muncul di dalam kehidupannya, bahawa, beliau mempunyai kesibukan yang lebih agung, yaknilah, bekerja, berusaha, berkorban, dan berjihad di jalan Allah.

KELAPAN: KECINTAAN AL-SIDDIQ KEPADA RASULULLAH.

Kita telah melihat bagaimana al-Siddiq mencintai Rasulullah, dan bagaimana beliau tidaklah menunggu pula sebarang perintah atau permintaan, akan tetapi beliau berusaha sesungguhnya untuk memantapkan cintanya kepada Rasulullah. Beliaulah yang telah menyiapkan kenderaan buat baginda. Beliaulah yang menangis gembira kerana menjadi peneman baginda. Beliaulah yang membersihkan kawasan gua buat baginda. Beliaulah yang berjalan di hadapan dan di belakang baginda, untuk melindungi baginda. Dan selain itu daripada pelbagai lagi peristiwa, yang kita telah sebutkan sebahagiannya dan tidak kebanyakannya (yakni masih banyak yang belum dikisahkan).

Beliau mencintai Rasul dengan penuh ikhlas. Kecintaan kepada Rasul itu bukanlah semata-mata amalan-amalan faḍilat, bahkan, ia adalah daripada kewajiban. Sesiapa yang mendahulukan cinta kepada sesiapapun ke atas cinta kepada Rasulullah, maka dia berada di dalam situasi yang amat merbahaya.

KESEMBILAN: BELANJA AL-SIDDIQ DEMI DAKWAH.

Kita melihat belanja dan infaq al-Siddiq. Beliau mengambil 5000 dirham (wang perak) – kesemua hartanya untuk dibelanjakan dalam dakwah baginda. Sebelumnya pula, beliau telah menginfakkan 35000 dirham di jalan Allah. Dan tetap teruslah beliau berinfak pula di Madinah, dan beliau berinfak juga ketika menjadi Khalifah, dan beliau tetaplah menginfakkan hattā ketika beliau berada di pembaringan menanti kematian. Beliau telah membeli syurga, dan layaklah orang yang sebegini sifatnya untuk Allah meredhainya.

KESEPULUH: USAHA PENDAKWAH ITU BERSAMA KELUARGANYA.

Kita telah menyaksikan di dalam kisah Hijrah ini akan satu perkara yang mesti kita renungi. Adakah kalian melihat, bagaimana al-Siddiq menggunakan kesemua anggota keluarganya di jalan Allah? Adakah kalian melihat, bagaimana beliau menggunakan ‘Abdullah anaknya untuk membawakan berita (yakni sebagai perisik)? Serta bagaimana beliau menggunakan Asma’ anak perempuannya untuk membawakan makanan dan minuman? Serta bagaimana beliau menggunakan ‘Amir bin Fuhayrah – hambanya –untuk menghilangkan jejak tapak kaki?

Al-Siddiq telah membawa cintanya kepada dakwah ini ke dalam keluarganya. Sementara sebahagian pendakwah menyedihkan sekali menderita keperihan ‘uzlah daripada keluarga mereka, di mana kalian mendapati mereka memiliki aktiviti yang hebat sekali di luar rumah, sedangkan mereka tidak menyertakan orang-orang yang terdekat kepada mereka untuk bekerja demi Allah. Mereka tidak berusaha keras untuk membuat mereka (keluarganya itu) untuk merasakan kemanisan iman yang mereka (para pendakwah) itu rasakan. Ini merupakan kekurangan yang teruk dalam kefahaman (tentang dakwah), dan pengabaian yang teruk akan awlawiyyat (keutamaan).

Wallahu a’lam.

Sudahkah anda bersedekah hari ini? Jika belum, mari tekan butang “Bantu Mereka” dibawah dan disalurkan sumbangan. Sesungguhnya tangan yang memberi itu lebih baik daripada tangan menerima. Terima kasih.

Sudahkah Anda Menjadi Tangan Yang Memberi?

Jika belum jom sama-sama dengan Perkim Datuk Keramat membantu mereka yang dalam kesusahan seperti ibu tunggal, mereka yang menghidap penyakit kronik dan pelbagai lagi. Sesungguhnya sedikit sumbangan anda, memberi 1000 kemanisan untuk mereka

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *