ISU GANGGUAN SEKSUAL PUTERI BALQIS

ISU VIRAL PUTERI BALQIS

Baru-baru ini tular isu buka mulut daripada seorang pelakon berbakat tanah air, Puteri Balqis Azizi yang mendakwa bahawa dirinya telah mengalami gangguan seksual daripada ayahnya sewaktu kecil. Melalui artikel yang lain, Balqis atau lebih dikenali sebagai Aqish Bersama ibunya pernah ditahan di wad dan mendapati bahawa mereka mengidap penyakit PTSD iaitu suatu bentuk trauma yang terkesan daripada fenomena yang menakutkan. Wallahua’lam.

Bukan itu sahaja, menerusi laman sosial yang dimiliki oleh Aqish, beliau sering memuat naik gambar-gambar yang tidak sesuai dan terlalu terdedah. Gambar-gambar seperti ini mendapat perhatian orang ramai dan ramai yang mengecam dan mencaci Aqish. Untuk anak kecil seperti Aqish yang berumur 15 tahun sangat tidak kuat untuk menghadapi kata-kata makian dan ujian seperti ini lebih-lebih lagi beliau di dalam fasa umur memberontak, mencuba banyak perkara dan mengenal diri sebelum mengenal dunia yang sebenar.

Berikutan daripada isu ini, dapat dibahaskan beberapa perkara yang mampu dijadikan iktibar kepada masyarakat dalam mendepani masalah ini secara langsung atau tidak langsung. Terlalu ramai yang melakukan maksiat masa kini kerana terdapat masa silam gelap yang memberi kesan kepada mereka sedangkan kita diberikan nikmat dan latar belakang yang baik jika hendak dibandingkan dengan mereka.

ANAK IBARAT KAIN PUTIH

Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud, “Setiap anak yang dilahirkan itu adalah umpama kain putih (fitrah), ibu bapalah yang bertanggungjawab mewarnakan dan mencorakkannya, sama ada menjadi Yahudi, Nasrani dan Majusi”. Hadith yang popular dan pastinya ramai yang maklumnya mengenainya. Namun, zaman teknologi yang semakin maju menjadikan manusia lebih sibuk dengan kerja terutama bagi ibu bapa. Masa yang diluangkan Bersama anak-anak terlalu sedikit sehingga menyebabkan anak-anak terlalu cepat terdedah dengan dunia luar. Walhal, ibu bapa lah guru pertama setiap anak-anak walaupun bukan secara formal seperti di sekolah. Didikan dan keperibadian ibu bapa jugalah yang menjadi contoh dalam mencorak kehidupan anak-anak. Anak yang kecil disifatkan dengan kain putih kerana mereka bersih dari dosa dan maksiat. Justeru, peranan ibu bapa sangat penting dalam mendidik dan mencorakkan mereka agar menjadi anak yang soleh dan hamba yang bertaqwa.

PERUBAHAN ADALAH PILIHAN

Tidak dinafikan setiap orang pasti pernah mengalami masa silam yang buruk bahkan sehingga ada yang menganggap ianya sebagai sisi gelap dalam kehidupan mereka. Sisi yang menjadikan mereka untuk melakukan kejahatan dan keburukan kerana kebencian yang telah ditanam dalam diri mereka sejak kecil lagi. Sisi gelap inilah yang dipikul sehingga mereka cenderung melakukan kesilapan yang sama. Sungguhpun begitu, setiap perkara yang dilakukan oleh seseorang adalah di atas pilihan dirinya sendiri. Meskipun, seseorang itu diuji dengan latar belakang keluarga yang bermasalah tidak bermakna ianya adalah lampu hijau untu mengulangi kesilapan itu. Sedangkan setiap ujian yang Allah berikan tidak lain dan tidak bukan sesuai dengan kemampuan kita dan tidaklah Allah SWT bertindak zalim keatas hambaNya melainkan kita yang menzalimi diri kita sendiri. Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat ke-286:

لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا ۚ 

Maksudnya: “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya”.

Justeru, melepaskan perkara yang telah terjadi, meneruskan kehidupan dan menghidupkan kembali impian adalah jalan yang terbaik. Semestinya tidak mudah tetapi jalan inilah yang menjadikan seseorang yang hebat. Begitu ramai ulama’ yang diuji di dunia ini namun meninggalkan kesan, sumbangan dan teladan yang sangat besar dalam masyarakat Islam.

JAUHI SIKAP MENGHUKUM

Setiap kesusahan yang dilalui tidak akan difahami oleh seseorang melainkan setelah mengalaminya. Oleh itu, kita sebagai masyarakat Islam atau saudara sesama Islam mengelakkan diri kita daripada menyakiti dan menghukum seseorang yang melakukan kesilapan. Siapalah kita untuk menghukum sedangkan pintu taubat Allah sentiasa terbuka untuk mengampuni dosa si pelaku. Walaupun kita tidak terlibat secara langsung dengan kesalahan yang dilakukan oleh seseorang, elakkan daripada bersikap mengeji dan mengecam. Jika kita tidak mampu untuk menuturkan kata-kata yang baik, mendiamkan diri adalah jalan yang terbaik. Melalui hadith Rasulullah SAW yang bermaksud, “Berkatalah dengan perkataan yang baik atau diam”.Bukan itu sahaja, kita juga dianjurkan untuk mendoakan saudara Islam kita agar berubah kearah yang lebih baik. Jangan kerana kata-kata yang tidak baik menyebabkan kebencian dalam diri pelaku menjadi lebih teruk lagi sehingga meninggalkan pandangan dan pesepsi yang buruk kepada agama. Setiap tindak tanduk kita adalah refleksi kepada agama yang dibawa. Hanya kerana komen-komen yang dilontarkan menyebabkan agama tercemar dan salah laku seseorang itu menjadi suatu warisan dan bersambung. Nauzubillah Min Zalik.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top