ISU TRAGIS KAKAK MENIKAM ADIK

INSIDEN TRAGIS KAKAK MENIKAM ADIK

Berlaku suatu isu yang melibatkan dua beradik yang terbabit dalam insiden tragis sehingga seorang daripada mereka maut, amat rapat, saling menyayangi dan taat pada agama. Ahli keluarga yang enggan identitinya didedahkan berkata, seluruh keluarganya terkejut dan tidak percaya insiden menyayat hati itu menimpa dua beradik berkenaan. Menurut ibunya, dua beradik itu dididik dalam keluarga dengan penuh kasih sayang dan ketakwaan, dengan keluarga mereka amat rapat dan saling menyayangi. Kejadian itu bukan sahaja mengejutkan ahli keluarga, malah seluruh penduduk kampung.

Menurut ibuya lagi, kedua-dua beradik itu adalah anak yang baik dan sangat bijak. Mereka sering mencatatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan, selain menjadi harapan keluarga. Mangsa yang berusia 16 tahun adalah bekas pelajar Maahad Pontian sebelum berpindah ke sebuah sekolah menengah di Gelang Patah, manakala kakaknya belajar di Tingkatan Enam sekolah yang sama. Mereka berdua serta tiga lagi adik adalah anak yang sangat baik dan dididik untuk saling berkasih sayang. Mereka juga dididik untuk tidak meninggalkan solat dan taat pada perintah agama.

Media melaporkan seorang pelajar Tingkatan Empat di Kampung Ulu Pulai, Ulu Choh, meninggal dunia pada jam 2.30 petang, dipercayai tertusuk pisau yang dibaling kakaknya. Kejadian itu dipercayai berpunca daripada perselisihan faham akibat berebut tempat duduk dalam kereta  pulang dari sekolah. Hasil siasatan polis mendapati, kejadian berpunca daripada pergaduhan adik-beradik dan ibu mangsa mendakwa mangsa bergaduh dengan kakaknya berikutan berebut tempat duduk dalam kereta ketika pulang dari sekolah dan perselisihan itu berlanjutan di rumah. Kakak mangsa dilaporkan, mengaku membaling pisau ke arah mangsa selepas dipersenda ketika sedang masuk ke dalam rumah. Remaja itu direman enam hari mulai hari ini hingga 25 Oktober depan.

Seorang lagi ahli keluarga yang enggan dikenali berkata, ibu bapa mangsa trauma dan amat tertekan dengan insiden malang yang menimpa anak sulung dan anak kedua mereka. Meurut Berita Harian, tinjauan dilakukan di rumah keluarga mangsa di Kampung Ulu Pulai mendapati, sanak-saudara dan penduduk kampung berada di situ bagi menziarahi keluarga itu. Bagaimanapun, anggota keluarga rapat enggan ditemu bual dan memohon media memberi ruang untuk keluarga berkenaan bertenang.

Pergaduhan sesama anak-anak adalah suatu perkara yang biasa, namun kita tidak akan tahu bila kita akan diuji dengan perasaan marah yang terlalu berat. Kita juga tidak akan mampu untuk menjangka apabila terjadi sesuatu yang tidak diingini berpunca daripada emosi yang tidak diurus mahupun daripada didikan ibubapa. Justeru, artikel ini bukanlah untuk mencari punca ataupun salah siapa tetapi untuk menyebarkan kesedaran tentang kepentingan penjagaan institusi kekeluargaan dan pengurusan emosi.

JAUHI SIKAP PILIH KASIH DAN BERAT SEBELAH

Pergaduhan dan perselisihan faham sesama adik beradik adalah suatu perkara yang tidak boleh dielakkan. Pasti akan terjadi walaupun berpunca daripada hal yang kecil. Dari sinilah ibu bapa berperanan dalam mendidik anak-anak untuk menangani masalah yang berlaku. Didikan yang diberikan bukan sahaja berbentuk formal iaitu pembelajaran tidak sekolah tetapi didikan tidak formal juga sangat penting agar anak-anak menjadi manusia yang bertimbang rasa dalam menempuh alam kehidupan. Untuk mendidik anak-anak memerluka kesabaran perngorbanan yang tinggi. Kebanyakan kekangan yang berlaku adalah masa yang tidak dapat diluangkan bersama. Carilah suatu waktu khas untuk melakukan aktiviti bersama samada didalam rumah mahupun didalam rumah untuk membina moral mereka. Dengan ini anak akan lebih selesa dan banyak berkomunikasi tentang masalah yang dilaluinya. Jika ingin memberikan harta atau hadiah, perlulah berikan secara sama rata dan tidak ada yang mendapat lebih

Begitu juga dengan pergaduhan yang berlaku sesama mereka. Dengarkan luahan daripada kedua pihak dan teliti serta berikan tumpuan setiap perkataannya. Sudah tentulah ibu bapa yang lebih mengenali anaknya melebihi daripada orang lain. Dari situ, pertimbangkan dan letakkanlah tindakan yang tegas dan sesuai dengan keadaan keatas dua -dua pihak. Bukan itu sahaja, penyelesaian dan hukuman juga mestilah dilakukan secara harmoni untuk memupuk rasa kasih sayang sesama anak-anak. Hal ini kerana pergaduhan tidak akan berlaku melainkan ada saah dan silap daripada kedua-dua pihak. Bertindak adillah keatas mereka. Oleh itu, ibubapa masih belum terlambat untuk rapat, lebh mengenali anak dan melakukan perkara ini bahkan digalakkan kepada sesiapa yang diluar sana yang bakal menempuh gerbang perkahwinan untuk mengetahui dan sedar tentang kepentingan hal ini.

CARA MENGAWAL KEMARAHAN

Pergaduhan sesama adik beradik adalah perkara yang tidak mungkin dapat dielakkan. Ironinya, pergaduhan ini terkadang kelihatan seperti akan berpecah belah namun keesokan harinya boleh berkomunikasi seperti tiada apa yang berlaku walaupun tanpa ucapan maaf. Agak berbeza dengan hubungan persahabatan dan perkara ini menunjukkan betapa eratnya hubungan pertalian adik beradik yang sangat mengenali satu sama lain. Hal ini kerana, didikan ibubapa sejak kecil yang menjadikan anak-anak lebih matang dalam menangani masalah. Sungguhpun begitu, akan berlaku pada waktu dan tika dimana kita tidak mampu untuk menanggung kemarahan. 

Marah merupakan satu perasaan yang wujud secara semulajadi dalam diri setiap manusia. Ia juga satu ekspresi yang muncul kadangkala secara spontan tatkala kita disakiti, dizalimi atau menghadapi sebarang masalah. Nabi SAW sendiri pernah berasa marah dalam beberapa keadaan, antaranya peristiwa Usamah bin Zaid yang pernah membunuh seorang musuh di medan perang, meskipun dia telah mengucapkan syahadah. Nabi SAW berkata kepada beliau:

أَقَالَ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَقَتَلْتَهُ ‏‏.‏ قَالَ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّمَا قَالَهَا خَوْفًا مِنَ السِّلاَحِ ‏.‏ قَالَ ‏”‏ أَفَلاَ شَقَقْتَ عَنْ قَلْبِهِ حَتَّى تَعْلَمَ أَقَالَهَا أَمْ لاَ

Maksudnya: “Apakah kamu membunuhnya sedangkan dia telah mengucapkan La ilaha illa Allah? Usamah menjawab: Dia hanya mengucapkannya kerana takut dibunuh. Nabi SAW membalas: Apakah kamu telah membelah hatinya untuk mengetahui samada dia benar-benar beriman ataupun tidak?”. (HR Muslim)

Diriwatkan oleh Imam Tirmizi satu hadith marfu’, yang menyifatkan sifat marah Nabi SAW:

لا تُغْضِبُهُ الدُّنْيَا ، وَلا مَا كَانَ لَهَا ، فَإِذَا تُعُدِّيَ الْحَقُّ , لَمْ يَقُمْ لِغَضَبِهِ شَيْءٌ , حَتَّى يَنْتَصِرَ لَهُ ، وَلا يَغْضَبُ لِنَفْسِهِ ، وَلا يَنْتَصِرُ لَهَا

Maksudnya: “Perkara keduniaan tidak membuat Nabi marah. Adapun jika menyanggahi kebenaran, tiada apapun yang mampu berdepan Baginda, sehingga Baginda memenangkan kebenaran itu. Nabi juga tidak marah jika ia melibatkan urusan peribadi Baginda, dan tidak berusaha untuk memenangkan diri Baginda”. 

Menahan amarah dan mengawalnya merupakan satu sikap yang amat terpuji dan dituntut. Allah SWT telah berfirman dalam al-Qur’an, tatkala menyifatkan beberapa ciri orang yang bertaqwa:

الذِينَ يُنفِقُونَ فِي السَّرَّاءِ وَالضَّرَّاءِ وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ وَالْعَافِينَ عَنِ النَّاسِ ۗ

Maksudnya: “Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang”. Surah Ali ‘Imran (134)

Allah SWT juga menyifatkan antara ciri orang yang beriman dan bertawakkal kepada-Nya:

وَإِذَا مَا غَضِبُوا هُمْ يَغْفِرُونَ

Maksudnya: “…dan apabila mereka marah, mereka segera memaafkan”. Surah al-Syu’ara’ (37)

Oleh itu, ada beberapa garis panduan yang boleh dilakukan untuk mengawal an mengurus emosi marah menurut agama Islam, antaranya:

Duduk jika sedang berdiri, berbaring jika sedang duduk

إِذَا غَضِبَ أَحَدُكُمْ وَهُوَ قَائِمٌ فَلْيَجْلِسْ فَإِنْ ذَهَبَ عَنْهُ الْغَضَبُ وَإِلاَّ فَلْيَضْطَجِعْ

Maksudnya: “Apabila salah seorang daripada kamu marah sewaktu sedang berdiri, hendaklah dia duduk. Jika kemarahannya hilang, maka itu baik. Jika tidak, hendaklah dia berbaring”. (HR Abi Daud)

  • Mengambil Wudhu

إِنَّ الْغَضَبَ مِنَ الشَّيْطَانِ وَإِنَّ الشَّيْطَانَ خُلِقَ مِنَ النَّارِ وَإِنَّمَا تُطْفَأُ النَّارُ بِالْمَاءِ فَإِذَا غَضِبَ أَحَدُكُمْ فَلْيَتَوَضَّأْ

Maksudnya: “Sesungguhnya kemarahan itu datang daripada syaitan, dan syaitan itu dicipta daripada apI, dan api hanya dapat dipadamkan dengan air. Maka jika salah seorang daripada kalian berasa marah, hendaklah dia berwudhu”. (HR Abi Daud)

  • Mengelak daripada Membuat Sebarang Keputusan Besar

لاَ يَحْكُمْ أَحَدٌ بَيْنَ اثْنَيْنِ وَهُوَ غَضْبَانُ

Maksudnya: “Tidak boleh seseorang itu menghakimi antara dua orang dalam keadaan marah”. (HR Muslim)

Mafhum hadith ini juga tidak seharusnya disempitkan kepada bab penghakiman seorang hakim sahaja, tapi seharusnya terpakai dalam keadaan-keadaan lain yang memerlukan penetapan keputusan yang kritikal, terutamanya jika melibatkan urusan orang ramai. Ambil sedikit masa untuk menenangkan diri sebelum mengambil sebarang keputusan.

  • Diam

إِذَا غَضِبَ أَحَدُكُمْ فَلْيَسْكُتْ

Maksudnya: “Apabila salah seorang daripada kamu berasa marah, hendaklah dia diam”.

Berdiam diri sewaktu marah adalah lebih baik, kerana dalam keadaan marah, perkataan-perkataan yang diungkapkan berkemungkinan akan mengguris perasaan orang lain dan mungkin memberi ancaman kepada diri sendiri.

  • Membaca Doa

Hati manusia itu sifatnya mudah berbolak balik. Justeru kepada Allah lah tempat untuk mengadu dan diminta agar dipegangkan hati ini supaya tidak terjerumus ke dalam kancah maksiat dan perbuata yang bersifat mazmumah. Oleh itu, doa yang boleh kita amalkan adalah seperti berikut:

Akhir kata, apa jua yang berlaku dalam kehidupan ini semuanya sesuai dengan takdir dan ketentuan-Nya. Kita tetap perlu berusaha untuk menjadi manusia yang terbaik dan hamba yang bertaqwa. Oleh itu, setiap perkara yang berlaku, terimalah ia dengan redha walaupun pahit menelan realiti. Moga keuarga kita semua, umat Islam khususnya dijauhkan daripada perkara yang tidak diingini berlaku.

Wallahua’lam.

 

Sudahkah Anda Menjadi Tangan Yang Memberi?

Jika belum jom sama-sama dengan Perkim Datuk Keramat membantu mereka yang dalam kesusahan seperti ibu tunggal, mereka yang menghidap penyakit kronik dan pelbagai lagi. Sesungguhnya sedikit sumbangan anda, memberi 1000 kemanisan untuk mereka

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top