ISU VIRAL: HINA AGAMA ISLAM DI TWITTER

ISU VIRAL HINA AGAMA ISLAM DI TWITTER

HINA AGAMA ISLAM DI TWITTER

Pada 24 November 2022 iaitu hari Khamis minggu lepas, Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10. Semoga dengan lantikan itu membawa kebaikan dan masa depan yang lebih baik buat negara, bangsa dan agama. Susulan daripada peristiwa yang bersejarah ini, terdapat suatu ‘podcast’ yang dijalankan di Twitter yang menjadi bualan orang ramai. Perbincangan yang dilakukan itu menarik perhatian orang ramai apabila segelintir daripadanya yang bebas menghina agama Islam. Dipercayai bahawa kebencian terhadap sesebuah parti mengakibatkan mereka melakukan hal sedemikian rupa. Lebih menyedihkan, mereka yang mencaci dan menghina agama Islam dan syariat yang telah ditetapkan juga dalam kalangan orang Islam.

Islam sangat melarang seseorang itu mencela agama lain. Hal ini kerana ia akan menimbulkan kemarahan penganutnya dan akan menyebabkan mereka bertindak balas dan mencela Islam kembali. Firman Allah SWT:

وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu memaki dan mencela sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana nanti mereka akan membalas dengan cara memaki Allah melampau-lampau pula tanpa ilmu.”

(Surah al-An‘am: 108)

Al-Sabuni ketika menafsirkan ayat di atas menyatakan maknanya adalah janganlah kamu memaki atau mencela sembahan-sembahan orang Musyrikin dan berhala-berhala mereka kerana mereka kelak akan membalasnya dengan celaan kepada Allah dalam keadaan jahil dan bersifat melampau disebabkan mereka tidak mengetahui kebesaran Allah SWT. Ibn Abbas R.Anhuma menyebutkan bahawa orang-orang Musyrikin berkata: “Berhentilah daripada menghina tuhan-tuhan kami ataupun kami akan menghina Tuhan kamu.” Maka Allah SWT melarang orang-orang beriman daripada mencela atau memaki berhala-berhala mereka. (Lihat Safwah al-Tafasir, hlm. 380).

Begitu juga Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebutkan, Allah SWT melarang Rasul-Nya dan orang beriman daripada mencela sembahan-sembahan orang Musyrikin sekalipun dalam hal itu adanya maslahah. Akan tetapi mafsadah daripada perbuatan tersebut adalah lebih besar daripada maslahahnya iaitu orang-orang Musyrikin akan membalas kembali dengan mencela Tuhan orang-orang beriman yakni Allah, tiada tuhan yang sebenar-benarnya berhak disembah melainkan Dia.

Berdasarkan ayat al-Quran ini, jelas bahawa Allah SWT melarang orang Islam untuk mencela atau menghina agama lain kerana ia menyebabkan mereka membalas balik dengan mencela Allah dan juga agama Islam. Apatah lagi jika ia melibatkan celaan dan penghinaan secara terus kepada agama Islam, sudah pasti larangan dan pengharaman melakukan perbuatan itu lebih jelas lagi.

JENIS-JENIS PENGHINAAN KEPADA AGAMA ISLAM

Secara umumnya, penghinaan kepada Islam meliputi beberapa perkara. Di antaranya:

Pertama: Penghinaan kepada Allah SWT

Firman Allah SWT:

إِنَّ الَّذِينَ يُؤْذُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ لَعَنَهُمُ اللَّهُ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ وَأَعَدَّ لَهُمْ عَذَابًا مُهِينًا (57) وَالَّذِينَ يُؤْذُونَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ بِغَيْرِ مَا اكْتَسَبُوا فَقَدِ احْتَمَلُوا بُهْتَانًا وَإِثْمًا مُبِينًا

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang menyakiti Allah dan Rasul-Nya. Allah akan melaknatinya di dunia dan di akhirat, dan menyediakan baginya siksa yang menghinakan. Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang yang mukmin dan mukminat tanpa kesalahan yang mereka perbuat, maka sesungguhnya mereka telah memikul kebohongan dan dosa yang nyata.”

(Surah al-Ahzab: 57-58)

Ibn Kathir dalam tafsirnya menyebutkan bahawa Allah SWT memperingatkan dan mengancam orang yang menyakiti Allah dengan menentang perintah-perintah-Nya dan melanggar larangan-larangan-Nya serta tiada henti-hentinya melakukan hal tersebut, juga menyakiti Rasul-Nya dengan mencelanya atau merendahkan martabatnya. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 6/480).

Menyakiti atau menghina Allah SWT dalam hal ini tidak bermaksud membahayakan dan memudaratkan Allah SWT. Dalam sebuah hadith qudsi riwayat Abu Zar al-Ghifari R.A, Rasulullah SAW bersabda: Allah SWT berfirman:

 يَا عِبَادِي إِنَّكُمْ لَنْ تَبْلُغُوا ضُرِّي فَتَضُرُّوْنِي، وَلَنْ تَبْلُغُوا نَفْعِي فَتَنْفَعُوْنِي

Maksudnya: “Wahai hamba-Ku sesungguhnya tidak ada kemudaratan yang dapat kamu lakukan kepada-Ku sebagaimana tidak ada kemanfaatan yang dapat kamu berikan kepada-Ku”. (HR Muslim)

Mencela dan menghina Allah SWT merupakan kufur di atas kekufuran dan ia berada di atas kekafiran daripada para penyembah berhala kerana mereka menyembah berhala serta mengagungkan batu dengan tujuan untuk mengagungkan Allah SWT. Itulah kesyirikan yang berlaku iaitu mempersekutukan Allah dengan sesuatu dengan yang lain. Sesiapapun yang menghina Allah SWT bermaksud dia sudah menempatkan Allah SWT pada darjat di bawah batu dengan mencela-Nya, sementara orang musyrikin pula tidak mencela sembahan mereka meskipun sambil bermain sebab mereka mengagungkan-Nya.

Ibn Qudamah menyebutkan, sesiapa yang mencaci Allah SWT, maka dia telah kafir, sama ada dia melakukan dalam keadaan bergurau atau tidak. (Lihat al-Mughni, 9/28).

Kedua: Penghinaan kepada Rasulullah SAW

Isu penghinaan terhadap Baginda Nabi SAW adalah satu perkara yang sangat serius dan tidak boleh dipermainkan. Isu menghina Rasulullah SAW telahpun dibincangkan pada artikel yang lepas. Boleh dirujuk pada artikel dibawah:

Ketiga: Penghinaan kepada al-Quran

Pada asasnya, al-Quran termasuk dalam kitab suci dan mukjizat terbesar Nabi Muhammad SAW. Al-Quran al-Karim adalah sebuah perlembagaan yang lengkap merangkumi seluruh hukum-hakam Islam. Al-Quran juga adalah sumber yang mencurahkan segala kebaikan dan ilmu ke dalam hati yang beriman. Bahkan, al-Quran adalah alat yang terbaik untuk para ahli ibadat mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan cara membaca dan bertadabbur.

Begitu juga mencintai al-Quran termasuk dalam salah satu tanda kecintaan seorang hamba kepada Allah SWT. Dr. Wahbah al-Zuhaili menukilkan daripada Sahl bin Abdullah yang menyebutkan, tanda seseorang itu mencintai Allah adalah dengan mencintai al-Quran, tanda seseorang itu mencintai al-Quran adalah dengan mencintai Nabi SAW, tanda seseorang itu mencintai Nabi SAW adalah dengan mencintai sunnah, tanda seseorang itu mencintai Allah, al-Quran, Nabi dan sunnah adalah dengan mencintai akhirat, tanda seseorang itu mencintai akhirat adalah dengan mencintai dirinya sendiri, tanda seseorang itu mencintai dirinya sendiri adalah dengan membenci dunia dan tanda seseorang itu membenci dunia adalah dengan dia tidak mengambil daripada dunia itu melainkan sebagai bekalan dan sekadarnya yang cukup sahaja — bagi kehidupan. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 3/208; lihat juga Faidh al-Qadir, 2/66).

Perkara ini turut dinukilkan oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah daripada Ibn Mas‘ud R.A melalui pesananannya bahawa:

لَا يُسْأَلُ أَحَدُكُمْ عَنْ نَفْسِهِ إلَّا الْقُرْآنُ فَإِنْ كَانَ يُحِبُّ الْقُرْآنَ فَهُوَ يُحِبُّ اللَّهَ وَإِنْ كَانَ يُبْغِضُ الْقُرْآنَ فَهُوَ يُبْغِضُ اللَّهَ وَرَسُولَ

Maksudnya: “Janganlah ditanya seseorang daripada kamu itu tentang dirinya melainkan al-Quran. Hal ini kerana sekiranya dia mencintai al-Quran maka sesungguhnya dia mencintai Allah, dan sekiranya dia membenci al-Quran maka sesungguhnya dia (sebenarnya) membenci Allah dan Rasul-Nya.” (Lihat Majmu‘ al-Fatawa, 11/216).

Oleh sebab itu, sebahagian ulama meletakkan hukuman yang keras terhadap mereka yang mempermainkan dan menghina al-Quran. AL-Khatib al-Syirbini menyebutkan, di antara perbuatan yang boleh menyebabkan seseorang itu jatuh kufur ialah dia dengan sengaja menghina agama secara terang-terangan atau mengingkarinya seperti mencampakkan kotoran kepada mashaf (al-Quran) kerana perbuatan itu jelas menghina kalamullah, dan menghina atau merendah-rendahkan suatu ucapan (kalam) bermaksud dia telah menghina atau merendah-rendahkan pengucapnya — yakni Allah SWT. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 5/431).

Oleh itu, perbuatan menghina atau merendah-rendahkan al-Quran bukanlah sesuatu perkara yang boleh dipandang remeh atau ringan kerana berkemungkinan pelakunya boleh dianggap telah jatuh kufur.

Keempat: Penghinaan kepada syariah

Syariah Islam sering dikatakan lebih anjal dan fleksibel sehingga menjadi hujah untuk mengatakan bahawa sememangnya Islam sejak dahulu lagi menganjurkan sifat keterbukaan atau inklusif. Hal ini kerana syariah lebih cenderung kepada kefahaman atau interaksi umat Islam terhadap sumber-sumber syarak untuk menghasilkan sesuatu hukum. Secara ringkas syariah menurut metodologi ilmu Islam bererti apa sahaja yang ditetapkan oleh Allah SWT untuk para hambanya baik tentang aqidah, ibadat, akhlak, muamalat dan apa sahaja tata hidup di dunia ini. Namun begitu apabila disebut aqidah dan syariah, kebiasaannya syariah akan lebih didefinisikan sebagai hal-hal yang melibatkan perundangan atau tata cara hidup manusia di dunia.

Di dalam syariah, sekiranya terdapat nas-nas yang jelas tentang hukum sesuatu permasalahan, maka tidak boleh sekali-kali berijtihad walau dalam apa jua keadaan sekalipun. Hukumnya di sini adalah sama dengan perkara-perkara aqidah yang jelas yang tidak dibenarkan untuk berijtihad. Contohnya, terdapat nas yang mengharamkan riba, maka tidak harus lagi berijtihad tentang hukumnya. Begitu juga seumpama telah ada nas tentang wajib membahagikan harta pusaka dengan kadar satu nisbah dua kepada waris lelaki dan perempuan, maka tidak harus lagi berijtihad untuk memberi kadar yang sama rata antara lelaki dan perempuan.

Seseorang yang memungkiri salah satu hukum daripada hukum-hukum syarak yang sabit dengan dalil qat‘i (putus dan jelas) atau mendakwa terdapat unsur-unsur kekerasan pada hukum tertentu seumpama hudud, atau mendakwa kedapatan beberapa hukum syarak yang tidak lagi sesuai untuk dilaksanakan adalah dianggap sebagai kekufuran dan boleh terkeluar daripada Islam.

KESIMPULAN

Apa sahaja bentuk penghinaan atau persendaan sepertimana yang telah dianyatakan diatas merupakan penghinaan terhadap agama Islam. Walaupun hanya dengan perkataan, sudah cukup untuk menyebabkan seseorang menjadi kafir dan murtad. Hal ini kerana menghina agama Islam bukanlah suatu perkara yang boleh diambil ringan dan sangat berkait rapat dengan akidah seseorang. Jika pernah terdetik walaupun sekejap didalam hati, bersegeralah beristighfar, bertaubat dan berazam tidak mengulanginya lagi.

Telah disebutkan juga, orang yang murtad tidak akan dikebumikan sepertimana orang Islam dikebumikan meskipun masa hidupnya mengakui bahawa dirinya adalah seorang Muslim.

Nauzubillah min zalik.

Sudahkah Anda Menjadi Tangan Yang Memberi?

Jika belum jom sama-sama dengan Perkim Datuk Keramat membantu mereka yang dalam kesusahan seperti ibu tunggal, mereka yang menghidap penyakit kronik dan pelbagai lagi. Sesungguhnya sedikit sumbangan anda, memberi 1000 kemanisan untuk mereka

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top