ISU VIRAL : PRANK TONYOH KEK KE MUKA IBU

PRANK TONYOH KEK KE MUKA IBU

Baru-baru ini kecoh di pelbagai platform media sosial tentang tindakan seorang TikToker yang membuat content video prank campak kek pada muka seorang wanita di taman rekreasi. Selepas perkongsian video prank berkenaan dikecam hebat oleh warganet, TikToker tersebut bersama ‘mangsanya’ telah tampil meminta maaf kerana ia hanyalah lakonan semata-mata.

Dalam isu viral tersebut, nama Datuk Aznil Haji Nawawi atau lebih dikenali sebagai Pak Nil turut terpalit. Ini kerana Pak Nil ialah mentor dan juri untuk program realiti Raja Viral di mana TikToker tersebut merupakan salah seorang peserta.

Untuk mengelakkan sebarang salah faham, Pak Nil telah tampil menjelaskan perkara sebenar tentang program realiti tersebut menerusi Instagram peribadinya petang semalam. Dalam video berdurasi selama lebih kurang tiga minit itu, Pak Nil menjelaskan bahawa beliau memang merupakan mentor untuk program Raja Viral namun tindakan TikToker tersebut yang juga merupakan peserta program itu adalah di luar pengetahuannya.

Namun, sebelum ini, Pak Nil telah memberi nasihat kepada peserta-peserta program berkenaan agar tidak membuat content yang boleh ‘memakan diri’.

Untuk pengetahuan, program Raja Viral merupakan sebuah rancangan realiti yang ditayangkan di TikTok dan YouTube. Menurut blog, ia merupakan kolaborasi Datuk Aznil Nawawi dengan syarikat AEON. Untuk itu, Pak Nil juga berjanji akan membimbing peserta dengan lebih baik selepas ini dalam penghasilan content dan video di media sosial.

CONTENT CREATOR

Content Creator pada masa kini dipandang sebagai salah satu pekerjaan yang fleksibel. Tidak memerlukan apa-apa syarat minimum dari segi tingkat pelajaran dan sijil. Namun memerlukan idea dan kreativiti bagi menarik orang ramai. Pekerjaan ini juga bagai cendawan tumbuh sejak berlalunya PKP yang lepas kerana ramai orang boleh mendapat hasil pendapatan hanya dengan membuat video. Sungguhpun begitu, akibat terlalu besar persaingan, kreativiti, keunikan dan kelainan sangat perlu dititikberatkan untuk mendapat sambutan ramai. Justeru, kandungan video seperti prank iaitu mengenakan orang lain antara salah satu kandungan yang dipilih oleh masyrakat kini untuk meraih view yang banyak.

Video seperti ini dilihat sebagai salah satu hiburan sebagai tontonan umum. Ada yang terpalit unsur jenaka, ada yang menyentuh hati dan perasaan, ada yang bermain dengan misteri dan persoalan dan berbagai-bagai lagi perasaan yang timbul hanya dengan menonton video yang berdurasi kurang daripada 3 minit bergantung kepada platform yang dimuatnaik daripada penghasilan video tersebut.

Daripada isu yang disebutkan diatas, tujuan penghasilan video tersebut adalah untuk melakukan sosial eksperimen iaitu dengan melihat reaksi orang awam disitu dengan melakukan aksi prank tersebut. Namun, tiada penjelasan yang dilakukan dalam video tersebut sehingga menyebabkan berlakunya fitnah keatas dirinya. Bukan itu sahaja, video prank seperti ini menampilkan sikap tidak bertimbang rasa sekaligus memupuk rasa yang sedemikian kepada anak muda masa kini yang menonton video tersebut. Jika dilihat sebagai suatu kebiasaan, dikhuatiri remaja dan anak muda zaman kini menjadikannya sebagai suatu adat sedangkan aksi tersebut secara tidak sedar telah menghakis sifat timbang rasa atau common sense.

Justeru, ada beberapa perkara yang perlu dijaga dan dihindari ketika ingin menghasilkan video hiburan yang berkualiti dan bermanfaat di media sosial.

ADAB DALAM MEDIA SOSIAL

  • Tidak Bertentangan Unsur Aqidah dan Syariat

Lagu dan senikata lagu atau hiburan tersebut mestilah tidak melalaikan, tidak bertentangan dengan aqidah dan syariat Islam, tiada unsur maksiat seperti memuja kecantikan wanita, menganjurkan hubungan bebas muda-mudi dan perlanggaran syariat.

  • Menjaga Tutur Bicara dan Menjaga Perkataan.

Dalam konteks komunikasi dan interaksi di media sosial, menjaga tutur bicara dan menjaga perkataan itu ialah dengan sentiasa memastikan bahawa setiap perkataan yang kita lafazkan ataupun kata-kata yang kita tulis itu ialah sesuatu yang elok, baik dan betul.

Ini termasuklah dengan tidak melafazkan kata-kata ataupun menggunakan perkataan yang tidak baik seperti menghina, mengejek, mencela, berbicara dengan perkataan-perkataan yang kurang sopan dan segala bentuk perkataan buruk lainnya. Daripada Abdullah bin Mas’ud Radiallahu Anhu ia berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Bukanlah seorang mukmin yang suka mencela, melaknat, berbuat dan bekata keji dan kotor.” (HR Imam Tarmizi)

  • Menjauhi Prasangka dan Mencari-cari Kesalahan

Abu Hurairah Radiallahu Anhu, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Jauhilah prasangka kerana prasangka itu adalah ucapan yang paling dusta, janganlah kalian saling mendiamkan, janganlah suka mencari-cari isu, saling mendengki, saling membelakangi, serta saling membenci, tetapi jadilah kalian hamba-hamba Allah yang bersaudara.” (HR Bukhari)

Rasulullah SAW menegah umatnya daripada bersifat buruk sangka dan mencari-cari kesalahan orang lain. Ini kerana sifat-sifat tersebut akan membawa kepada perbuatan umpat dan fitnah. Di zaman moden yang serba canggih ini, perbuatan mengumpat adan menabur fitnah itu semakin mudah disebarkan.

Perlu diingat, bahawa dalam agama kita, mengumpat dan memfitnah itu adalah satu perbuatan yang haram, tercela dan termasuklah dalam dosa-dosa besar. Oleh yang demikian, kita hendaklah sentiasa berhati-hati dan menjaga diri kita daripada melakukan perbuatan yang boleh mengundang kepada kata-kata umpat dan fitnah. Ini kerana bahaya umpat dan fitnah itu bukan sahaja menyebabkan kita mendapat dosa besar malah mengakibatkan kita tidak akan dapat memasuki syurga Allah SWT. Daripada Huzaifah bin Iman RA bahawa dia mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda yang bermaksud, “Penabur fitnah tidak akan masuk syurga.” (HR Bukhari)

  • Menjaga Batas Pergaulan

Tiada percampuran di antara lelaki dan wanita ajnabi. Jika lakonan dari kalangan wanita maka ia hendaklah dilakonkan bersama mahramnya sahaja. Ini adalah bagi mengelakkan segala fitnah dan punca kerosakan Umat Islam. Tiada juga perlakuan yang haram seperti minum arak, unsur judi dan sebagainya di dalam hiburan tersebut. 

  • Menjaga Aurat

Bagi menghasilkan content yang baik mestilah menjaga beberapa elemen iaitu tata susila, memelihara aurat, tidak melakukan gerak badan yang menghairahkan dan penampilan yang mengundang fitnah.

Sebagai pengguna media sosial yang bijak, kita hendaklah sentiasa muhasabah diri dan sentiasa berusaha menjadi setiap tingkah laku dan tutur kata kita terutamanya ketika kita berinteraksi dan berkomunikasi di media sosial. Sama-samalah kita berdoa semoga Allah SWT melindungi diri kita daripada melafazkan tutur kata dan melakukan tingkah laku yang boleh mengundang dosa dan kemurkaan Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah al-Anfal ayat ke-25:

وَٱتَّقُوا۟ فِتْنَةًۭ لَّا تُصِيبَنَّ ٱلَّذِينَ ظَلَمُوا۟ مِنكُمْ خَآصَّةًۭ ۖ وَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلْعِقَابِ ٢٥

Maksudnya: “Dan peliharalah diri kamu daripada (berlakunya) fitnah (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang zalim antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu ke semuanya). Dan ketahuilah bahawa Allah sangat berat seksanya.”

Apa sahaja kreativiti yang dilakukan pastikanlah ianya mempunyai mesej yang tertentu terlebih dahulu agar pada akhirnya penonton dapat mengambil iktibar sambal berhibur. Jika lakonan yang dilakukan boleh menimbulkan keraguan dan syak wasangka hendaklah dinyatakan sebab dan penjelasan pada akhir video tersebut. Bak kata pengacara tanah air yang terkenal, Dato Aznil Nawawi “Janganlah membuat content yang memakan diri sendiri. Mungkin yang dikejar adalah view  yang banyak tetapi alangkah ruginya apabila imej yang naik adalah kerana perkara yang buruk. Terdapat banyak lagi idea yang mudah namun boleh menambat hati penonton agar lebih tertarik dengan isi kandungan yang disampaikan.

Selain itu, elakkan lah juga daripada melakukan sebarang pembaziran sebelum dan semasa menghasilkan suatu content. Kadang-kadang tanpa kita sedari perkara yang telah dibazirkan itu dapat mendatangkan jutaan senyuman dan manfaat jika diberikan kepada orang yang memerlukan. 

Wallahua’lam.

Sudahkah Anda Menjadi Tangan Yang Memberi?

Jika belum jom sama-sama dengan Perkim Datuk Keramat membantu mereka yang dalam kesusahan seperti ibu tunggal, mereka yang menghidap penyakit kronik dan pelbagai lagi. Sesungguhnya sedikit sumbangan anda, memberi 1000 kemanisan untuk mereka

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *