ISU VIRAL: WANITA HAMIL DIBUNUH KERANA INGIN MENYEMBUNYIKAN RAHSIA HUBUNGAN LUAR NIKAH

WANITA HAMIL DIBUNUH KERANA INGIN MENYEMBUNYIKAN RAHSIA HUBUNGAN LUAR NIKAH

WANITA HAMIL DIBUNUH KERANA INGIN MENYEMBUNYIKAN RAHSIA HUBUNGAN LUAR NIKAH

Mahu merahsiakan kehamilan selepas melakukan hubungan sulit dipercayai menjadi motif pembunuhan seorang wanita di Jalan Sungai Limau. Dalam kejadian kira-kira jam 8.10 pagi itu, mangsa berusia 21 tahun yang bekerja sebagai pelayan sebuah restoran ditemui dalam keadaan terbakar oleh orang awam di kawasan belukar kebun kelapa sawit.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias, berkata polis menahan seorang lelaki berusia 20 tahun yang terbabit dalam kejadian itu di kawasan Sungai Besar. “Siasatan awal mendapati suspek berusia 20 tahun baru menamatkan pengajian di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT). “Suspek dan mangsa dikatakan adalah pasangan kekasih dan sudah menjalin hubungan selama setahun. Malah, mangsa dipercayai hamil empat bulan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam.”

Agus Salim berkata, hasil soal siasat mendapati suspek pada kali pertama mengaku keluar bersama mangsa dengan menaiki kereta milik keluarganya malam kelmarin. “Lelaki itu memukul kekasihnya sehingga pengsan dan menikam perut wanita itu menggunakan pisau disyaki untuk mengeluarkan kandungan. Suspek kemudian bertindak membakar mangsa dengan menggunakan petrol. Untuk kali kedua (semalam), suspek sekali lagi hadir ke lokasi kejadian dengan menunggang motosikal. Membakar mayat itu dengan tujuan untuk menghapuskan bahan bukti.

Agus Salim berkata, ujian saringan air kencing ke atas suspek didapati negatif dan semakan mendapati dia tidak mempunyai rekod lampau. Beliau berkata, suspek dipercayai melakukan jenayah itu berseorangan. Polis sedang menjalankan siasatan lanjut bagi melengkapkan kertas siasatan untuk dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.

Permohonan reman terhadap suspek dibuat hari ini di Mahkamah Majistret Kuala Selangor dan dia direman selama enam hari sehingga 29 Mei. Beliau berkata, mayat mangsa kini berada di Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat.

Daripada isu ini dapat diketahui bahawa seorang remaja yang sudah terlanjur melakukan hubungan dengan wanita sehingga menyebabkan dia hamil telah melakukan jenayah bunuh dengan menorh perut Wanita tersebut untuk mengeluarkan janin dalam kandungan dan membakar mayat dengan tujuan menghapuskan bahan bukti. Begitu tragis kisah ini. Sepatutnya, ibu bapa perlu lebih cakna dengan isu pergaulan anak-anak selagi mana mereka masih dibawah tanggungan mereka.

Daripada kecil sepatutnya anak-anak ini diberikan didikan dan pendedahan agama dan baik buruk sebelum meningkat remaja dan dewasa. Begitu ramai anak muda masa kini yang sudah mencari pasangan dengan niat untuk berkenal-kenal dahulu. Sedangkan dalam Islam menganjurkan kepada kita agar bercinta selepas bernikah dan perlu melihat 4 perkara sebelum memilih pasangan iaitu hartayanya, keturnunannya, kecantikannya dan agamanya. Jika tidak memilih agamanya, maka kamu akan tercela. Namun, tidak dinafikan kita perlu mengenal terlebih dahulu dalam setiap pergaulan. Justeru artikel ini akan membincangkan apakah sikap seseorang dalam pergaulan yanhg perlu kita jauhi, apakah yang perlu dilakukan jika terlanjur melakukan hubungan luar nikah dan stigma dan reaksi masyarakat terhadap golongan ini.

KENALI SIKAP PANAS BARAN SEORANG LELAKI

Keganasan terhadap pasangan bukan satu isu baharu dalam masyarakat kita, namun ada yang enggan tampil kerana bimbang mendapat malu selain memikirkan masa depan keluarga serta anak-anak sekiranya perkara itu dilaporkan kepada pihak berkuasa. Bagaimanapun tidak semua wanita yang sanggup diperlakukan begitu dan tampil mempertahankan hak mereka.

Bagi personaliti media sosial yang banyak menulis mengenai isu rumah tangga dan perhubungan, Akhtar Syamir atau lebih dikenali sebagai BroOhsem, terdapat beberapa langkah untuk mengesan pasangan yang mempunyai sikap panas baran. Malah kata Akhtar, individu panas baran sehingga sanggup menggunakan kekerasan terhadap pasangan disifatkan sebagai seorang yang hina dan sikap buruk itu adalah pilihan. Atas dasar itu juga kata Akhtar, pasangan yang belum berkahwin seharusnya tahu untuk mengesan tanda-tanda panas baran terhadap pasangan sebelum mengambil keputusan hidup bersama.

Akhtar turut menyenaraikan 13 tanda-tanda pasangan anda seorang yang panas baran:

  • Maki hamun

Penggunaan perkataan kesat kepada anda dan orang lain. Sekiranya semasa bertemu janji pun sudah maki-hamun, apabila sudah berkahwin pasti akan lebih buruk.

  • Serangan fizikal

Lempang, tumbuk, cekik, tarik tudung atau rambut, mencubit serta genggaman tangan secara kasar – Jika pernah terjadi perkara seperti ini, larilah jauh-jauh. Lupakan si dia, keluar terus dari radar kehidupannya. Jika tidak, dapat dijamin anda akan merana.

  • Marah yang meluap

Pasangan anda penyayang dan baik orangnya tetapi ada ketikanya dia menjadi seorang yang sangat pemarah. Kadang-kadang perkara itu mudah sahaja seperti kenderaan lain potong barisan, tiba-tiba dia jadi terlalu marah, memaki hamun, meludah, bergaduh dan sebagainya. Perlu tahu yang semasa dia berada dalam keadaan ‘normal’ itu adalah saat dia ‘cover’ baran dirinya. Jangan terpedaya.

  • Sering mengeluarkan perkataan menyakitkan hati

Bila anda ada masalah, pasti anda akan diperli sebagai cara untuk si dia melepaskan geram. Kadang-kala dia akan bersembunyi di sebalik ayat “saya bergurau jer” sedang perkara itu sering dilakukannya.

  • Menjerit

Ini selalu disalahertikan sebagai bercakap dengan kuat, tapi sebenarnya tidak. Bila dia panggil anda, dia panggil dengan jeritan terutamanya apabila timbul sesuatu krisis. Jeritan ini lama kelamaan akan menjadi makian. Jeritan juga menandakan yang dia tidak menghormati anda dan tidak menjaga maruah anda jika ia dilakukan di hadapan orang lain.

  • Tidak boleh bergurau

Ada yang tidak boleh gurau langsung tapi ada yang sekejap boleh, sekejap tidak. Ini yang selalu merunsingkan anda.

Ada hari yang anda boleh bergurau, dia akan ketawa terbahak-bahak tetapi esoknya dia menjeling anda dengan pandangan yang amat tajam dan menakutkan, mendengus dan terus marah dengan gurauan anda.

  • Sentiasa menyalahkan orang lain

Orang yang sentiasa menyalahkan orang lain ini adalah orang yang terlalu ego dan tidak bertanggungjawab. Bila masuk bab marah, makian dan pukulan, dia akan menyalahkan anda atau orang lain di atas kelakuannya sedangkan dia yang memaki dan memukul.

  • Suka mengawal

Dahagakan kawalan dan kuasa – akibatnya anda akan ‘terpenjara’ walaupun sebelum berkahwin apatah lagi selepas bergelar suami-isteri. Orang begini boleh menjadi sangat cemburu melampau yang menyesakkan nafas dan membuatkan anda rasa tercekik. Fikir panjang-panjang sama ada anda boleh hidup di ‘penjara ini setahun, 10 tahun, 20 tahun? Tepuk dada, tanya selera.

  • Mengharapkan benda tak masuk akal

“Saya nak awak jangan keluar dengan kawan-kawan perempuan lain”. “Saya tak nak tengok awak mesej dengan orang lain selain saya”. “Saya tak nak dalam mesyuarat awak duduk sebelah lelaki”. “Saya nak awak terus balas mesej saya tak kira waktu, saya tak nak terima apa-apa alasan”. –  Sangat menyesakkan bukan? Ini perkara biasa yang dihadapi orang yang ada pasangan panas baran.

  • Sentiasa mengadu dan mengeluh

Itu salah, ini salah. “Aku penat kerja, kau ape tahu?”. Fokusnya hanya pada diri sendiri, dia sahaja yang betul dan orang lain salah. Ada sahaja yang tidak kena. Tiada daya usaha, hanya mengeluh, mengadu, menyalahkan orang lain dan marah. Orang sebegini juga tidak peduli pendapat orang lain. Dia tiada empati.

  • Berdendam

Orang yang berdendam menyimpan amarahnya di dalam hati dan boleh meletup pada-bila-bila masa. Jika dia tidak mampu meluahkan dendam kepada orang yang dia dendam itu, dia akan meluahkan kepada orang yang terdekat. Selalunya pasangan dan ahli keluarga.

  • Fizikal

Orang panas baran ini apabila dia marah, mukanya akan kemerah-merahan dan uratnya akan jelas nampak. Itu bermakna, tekanan darah di dalam badannya sedang berada di kemuncak hasil dari amarahnya itu. Amat bahaya kepada orang sekeliling.

  • Tidak berperikemanusiaan

Dia terlanggar kucing? Biasa je, tiada rasa kesal, tiada rasa kasihan. Orang sebegini selalunya tidak kesiankan orang yang dalam kesusahan. Kalau yang lagi teruk tu sampai tidak berhati perut langsung sanggup memukul binatang dan mendera serangga.

Jika kita masih lagi dalam fasa berkenalan, kenalilah 13 tanda ini dariapada seorang lelaki. Jika terlalu banyak tanda seperti yang disebutkan diatas, maka tegurlah dengan cara yang lembut dan berhemah. Namun, jika tindak balasnya adalah dengan kekerasan, menggunakan kata kesat dan sombong maka sebaiknya jauhilah mereka. Mendirikan rumah tangga bukanlah suatu hal yang mudah dan perlu mengambil enteng. Takut kelak menyesal. Tambah pula jika sudah terlanjur sebelum perkahwinan, bermacam-macam kes yang berlaku termasuklah isu wanita ditoreh dan dibakar kerana hilangnya kewarasan seorang lelaki itu.

SUDAH TERLANJUR, APA PERLU BUAT?

“Terlajak perahu boleh diundur, terlajak perbuatan….”

Buat anda yang tersepit dengan tindakan lalu dan kini mengandungkan janin yang tidak berdosa. Jangan berdiam diri dan memakan hati. Ambillah tindakan yang sebaik mungkin untuk masa depan dan nyawa anda dan si anak. Kalau boleh jangan letak harapan terlalu tinggi, jika si ‘bapa’ mahu bertanggungjawab kerana cakap kosong tanpa akad apalah ertinya. Inikan orang yang menikah pun boleh tinggalkan anak dan isteri. 

  • Maklum pada ibu dan bapa

Sebaik-baiknya maklumlah kepada ibu bapa kamu. Bukan hendak mengeruhkan lagi situasi tapi sedarlah bahawasanya kamu adalah tanggungjawab mereka. Dibilik bersalin nanti, teman lelaki tidak boleh menemani kamu tapi si ibu. Bakal mengazankan si kecil pula nanti ialah datuknya. Memang berat untuk menerima hakikat tapi pengampunan dari kedua ibu bapa adalah azimat yang paling terbaik.

  • Berkahwin

Jika gadis bawah 18 tahun kebawah perlu menjalani prosedur tersendiri tapi artikel yang penulis tekankan hari ini ialah untuk mereka yang 18 tahun keatas yang sepatutnya lebih matang ketika mengambil tindakan. Pernikahan antara jalan yang diambil hanya kerana semata-mata untuk menutup aib. Keputusan untuk berkahwin adalah perkara yang berat ia bukan sahaja perlu dipersetujui oleh dua pihak tapi memerlukan keredhaan hati, emosi dan mental. Kahwin bukan semata-mata untuk mendapatkan bin atau binti si bayi tapi untuk selama-lamanya. Diingatkan undang-undang Malaysia hanya membenarkan bayi menggunakan nama bapa seperti dalam sijil nikah jika bayi tersebut lahir selepas enam bulan dari tarikh pernikahan.

 Dalam hukum Islam juga, tiada nas sama ada Al-Quran atau hadis Rasulullah SAW atau fatwa ulama untuk pasangan berzina berkahwin. 

  • Pergi ke Rumah Perlindungan

Alternatif jika ibu bapa menolak, teman lelaki tidak mahu bertanggungjawab dan anda benar-benar buntu. Dapatkan bantuan di rumah-rumah perlindungan yang sememangnya membuka tangan menerima anda. Buatlah carian di Internet dan media sosial terdapat banyak! Fikirkan perkara yang menguntungkan jika anda tinggal disana. Sedikit sebanyak anda boleh mendidik semula hati, menjaga kandungan dan kesihatan serta diberi bimbingan. 

Segerakan taubat anda dan kalau boleh rahsiakan perkara ini daripada sesiapa kecuali kepada mereka yang anda percayai. Berdoalah bersungguh-sungguh kepada Allah SWT agar aib anda dipelihara dan mohon petunjuk serta kekuatan dari-Nya. Cuba jangan terasa hina dengan diri anda, sekurang-kurangnya anda sudah bertaubat. Moga Allah SWT permudahkan urusan anda.

STIGMA MASYARAKAT DENGAN GOLONGAN INI

Stigma masyarakat yang memandang keji perempuan mengandung dan melahirkan anak luar nikah membuatkan mereka berasa malu, kemurungan dan enggan berkongsi masalah.

Jarang sekali kita mendengar jalan penyelesaian untuk wanita yang terlanjur mengandungkan anak luar nikah. Biasa yang kita lihat ialah cemuhan dan sindirian pada mereka yang mungkin tersasar mengikut nafsu. Siapalah kita untuk menghukum mereka, sebagai masyarakat yang berilmu dan beragama sepatutnya membimbing dan menasihati mereka.

Iya, apa yang mereka lakukan memang salah disisi agama tapi adakah memarahi mereka perkara yang ajar. Tekanan yang diberi boleh memberikan kesan negatif sekaligus emosi si ibu mengandung mula berentakan dan membawa kepada isu bunuh diri, bunuh anak yang dilahir dan paling biasa mereka buang bayi yang tidak bersalah itu. Jika anda tidak mampu untuk menolong, lebih baik berdiam dan mendoakan dia bertaubat dan diampuni oleh Allah SWT.

Wallahu a’lam.

Sudahkah anda bersedekah hari ini? Jika belum, mari tekan butang “Bantu Mereka” dibawah dan disalurkan sumbangan. Sesungguhnya tangan yang memberi itu lebih baik daripada tangan menerima. Terima kasih

Sudahkah Anda Menjadi Tangan Yang Memberi?

Jika belum jom sama-sama dengan Perkim Datuk Keramat membantu mereka yang dalam kesusahan seperti ibu tunggal, mereka yang menghidap penyakit kronik dan pelbagai lagi. Sesungguhnya sedikit sumbangan anda, memberi 1000 kemanisan untuk mereka

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top