KAEDAH PENETAPAN HARI RAYA AIDILFITRI DI MALAYSIA

TAHUN LEPAS RAYA MENGEJUT?

Kecoh pada tahun lepas dengan istilah ‘raya mengejut’. Habis semua barang memasak di mana-mana pasaraya. Ditambah pula dengan kesesakan lalu lintas kerana kerumunan kereta-kereta untuk pulang ke kampung secara serentak. Melihat keadaan ini, pasti ada yang tertanya apakah kaedah dalam penetapan hari raya di Malaysia ini? Dan bagaimanakah boleh terjadinya raya mengejut pada tahun lepas? Mari sama-sama kita hayati huraian artikel ini.

KAEDAH PENETAPAN HARI RAYA AIDILFITRI

Kebiasaan masyarakat sejak sekian lama melihat dan merujuk kalendar dinding atau kalendar kuda menyebabkan masyarakat terbiasa dan percaya itulah tarikh 1 Syawal (Aidilfitri) atau 1 Ramadan (puasa) dan sebagainya. Bahkan ada yang beranggapan kalendar kuda bertahun ke depan pun sudah boleh tahu dan jangka bila tarikh puasa dan raya. Selain itu, terdapat juga yang mengatakan rukyah anak bulan hanya formaliti sahaja kerana tarikh sudah ditetapkan lebih awal.

Berkemungkinan masyarakat tidak tahu atau terlupa bahawa Malaysia mengamalkan cara penentuan awal bulan Ramadan, Syawal dan Zulhijah dengan rukyah dan hisab berdasarkan kepada kriteria Imkanur Rukyah. Sebenarnya, dalam isu penentuan awal bulan ini Islam menyatakan secara jelas dalam al-Quran dan hadis perlu berpandukan kepada ‘hilal’ iaitu anak bulan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai (peredaran) anak-anak bulan. Katakanlah: “(peredaran) anak-anak bulan itu menandakan waktu-waktu (urusan dan amalan) manusia, khasnya ibadat Haji.” (Surah al-Baqarah: 189)

Menurut Ibn Kathir dalam kitabnya Tafsir al-Quran al-‘Azim menjelaskan bahawa ‘hilal’ itu diciptakan oleh Allah SWT sebagai panduan manusia dalam menentukan waktu berpuasa dan berbuka (raya), iddah, haul zakat, tempoh berhutang, waktu haji dan lain-lain.

Seterusnya, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Berpuasalah kamu ketika telah melihat anak bulan Ramadan dan berhentilah kamu berpuasa ketika kamu melihat anak bulan Syawal, jika anak bulan tidak kelihatan bagimu maka genapkanlah bulan Sya’ban menjadi 30 hari.” (Riwayat al-Bukhari: no.1909; Muslim: 1081)

Selain itu, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Janganlah kamu berpuasa sehingga melihat anak bulan (Ramadan) dan janganlah pula kamu berhenti berpuasa sehingga melihatnya anak bulan (Syawal). Sekiranya ia terlindung daripada kamu, maka hendaklah kamu menghitungnya.” (Riwayat al-Bukhari: no.1906; Muslim: 1080)

Namun, terdapat perbezaan amalan dan kaedah dalam penentuan anak bulan tersebut kerana kepelbagaian dalam memahami dan mentafsir maksud ayat al-Quran dan hadis yang berkaitan.

Terdapat tiga amalan yang berbeza dalam menentukan awal bulan Ramadhan, Syawal, dan Zulhijah iaitu pertama, ‘rukyah’ iaitu mencerap anak bulan semata-mata. Kedua, ‘hisab falak’ iaitu kiraan hari semata-mata dan ketiga, ‘rukyah dan hisab’ dengan menggunakan ‘kriteria imkanur rukyah’ iaitu menggunakan hisab dalam menentukan kebolehnampakan anak bulan.

Oleh itu, mari kita hayati sejarah penetapan hari raya di Malaysia.

SEJARAH PENETAPAN HARI RAYA AIDILFITRI DI MALAYSIA

Melalui sebuah webinar yang disampaikan oleh Dr Kassim Bahali di Univerisiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tentang penetapan tarikh awal Ramadan, Syawal, Raya Aidiladha dan awal hijrah, beliau memulakan slot perbincangan dengan menerangkan maksud rukyah dan hisab serta kepentingan kedua-duanya. Menurutnya, rukyah ialah mencerap atau mengamati hilal, iaitu fasa bulan selepas ijtimak atau selepas bulan melengkapkan satu edaran sinodis mengelilingi bumi. Hilal adalah sebahagian kecil dari permukaan bulan yang bercahaya yang kelihatan seperti satu lengkuk cahaya yang halus, sama ada dengan mata kasar atau alat optic seperti teodolit, binocular dan teleskop.

Tambahnya lagi, kaedah hisab pula ialah kiraan atau hitungan bagi menentukan awal bulan hijrah. Hal ini boleh dijelaskan dengan penggunaan rumus matematik yang tertentu waktu ghurub matahari, bulan altitude hilal, jarak lengkung, azimuth, umur hilal dan lain-lain.

“Di Malaysia, penentuan awal bulan dengan kaedah berdasarkan kriteria tertentu dinamakan sebagai Kriteria Imkanur Rukyah. Di samping itu, kaedah ini juga digunakan dalam pembinaan takwim Hijrah.”

Sebelum merdeka hingga tahun 1970, kaedah rukyah telah digunapakai dalam penentuan awal puasa dan Syawal di Malaysia, iaitu sama ada hilal kelihatan atau tidak pada petang rukyah. Tiga lokasi yang dipilih sebagai tempat rasmi rukyah iaitu di Teluk Kemang, Negeri Sembilan, Di Johor Bahru, Joho dan di Kampung Pulau Sayak, Kedah.

Selepas itu, pada tahun 1970 sehingga 1977, Malaysia beralih kepada kaedah hisab yang merujuk hilal Ramadan dan Syawal sekiranya tidak kelihatan pada halnya mengikut kiraan ahli falak,hilal itu tetap ada dan jelas kelihatan, maka kiraan ahli falak digunapakai. Walaupun kaedah hisab diterima, amalan rukyah masih diteruskan lagi bagi memenuhi tuntutan syarak.

Pada tahun 1977 sehingga 1982 pula, Malaysia memilih kaedah rukyah. Sekiranya hilal Ramadan dan Syawal tidak kelihatan kerana dilindungi awan tetapi kiraan falak mengesahkan kehadirannya, maka kiraan falak boleh digunakan. Seandainya cuaca baik dan hilal tidak kelihatan,maka disempurnakan bulan itu selama 30 hari.

“Tahun 1983 sehingga 1992 menyaksikan bermulanya Malaysia memilih kaedah rukyah dan hisab. Malaysia turut menggunakan syarat dan kriteria dalam Resolusi Istanbul 1978, iaitu kedudukan matahari dan bulan waktu matahari terbenam tidak kurang daripada lapan darjah. Ketinggian hilal pada ketika matahari terbenam tidak kurang daripada lima darjah”

Seterusnya, Malaysia meneruskan kaedah rukyah dan hisab pada tahun 1992 sehingga 2001 dengan mengambil syarat hilal boleh kelihatan ketika matahari terbenam, ketinggian bulan tidak kurag daripada dua darjah dan jarak lengkung bulan-matahari tidak kurang daripada tiga darjah atau ketika bulan terbenam, umur hilal tiak kurang daripada lapan jam selepas ijtimak (kedudukan bulan, bumi dan matahari yang berada dalam satu garisan meridian yang sama) berlaku.

Seterusnya, pada tahun 2021 sehingga kini, kriteria baharu yang digunapakai ialah altitude (ketinggian) hilal dari ufuk sekurang-kurangnya tiga darjah ketika ghrub matahari dan jarak lengkung matahari dan bulan sekurang-kurangnya 6.4 darjah.

Dr. Kassim Bahali menjelaskan bahawa Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri adalah berdasarkan kaedah rukyah dan hisab. Jawatankuasa Rukyah bagi setiap negeri yang diperkenankan oleh raja-raja atau Yang Dipertuan Agong (untuk negeri yang tidak mempunyai sultan) terdiri daripada mufti kerajaan negeri selaku ketua, hakim mahkamah tinggi syariah negeri, pengarah jabatan agama islam negeri, pengarah ukur negeri, kadi besar, pegawai agama daerah dan pegawai falak jabatan mufti negeri.

Terdapat 29 lokasi melihat hilal di seluruh Malaysia yang diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja. Seterusnya, jawatankuasa melihat hilal dan laporan kenampakan diserahkan kepada ketua jawatankuasa dan kemudiannya akan diserahkan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja sebelum dipersembahkan kepada Yang Di-Pertuan Agong. Setelah mendapat perkenan, maka penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan mengumumkan tarikh bermula puasa atau hari raya.

Mengenai raya mengejut tahun lepas adalah kerana hilal tidak kelihatan di semua tempat cerapan kecuali di labuan. Maka itu sudah cukup digunakan dalam penentuan tarikh Hari Raya Aidilfitri yang jatuh pada hari Isnin, berbanding dengan paparan dalam calendar iaitu pada hari Selasa.

1 SYAWAL DISAMBUT DENGAN GEMBIRA DAN SEDERHANA

Akhirnya, jelas mengenai kaedah penetapan hari raya bukan? Oleh hal yang demikian jangan lah pernah sekali pun kita menyalahkan ulama, pihak jabatan agama, ahli falak atau mana-mana pihak berautoriti. Kaedah penetapan ini telah ditetapkan melalui hadith Rasulullah SAW yang telah disebut diatas. Bahkan tidak ada satu kuasapun bagi pihak berautoriti ini utnuk menetapkan hari raya. Semuanya berasaskan dalil dan dan diterajui oleh kemajuan sains terkini. Setiap permasalahan ada penyelesaiannya.

Jika kita khuatiri raya tahun ini awal sehari seperti tahun lepas, pastikanlah barang basah dan masakan telah siap dibeli. Pastikan juga baju raya telah siap dibeli untuk diapakai ketika pagi raya. Ini yang berlaku sebaliknya, terdapat komen-komen masyarakat awam yang menuduh pihak jabatan agama tidak menjalankan kerja dengan baik. Hanya dengan alasan tidak sempat menyediakan kuih, beli pakaian, sediakan barang basah, kemas kedai dan banyak lagi. Apakah raya tidak berjalan jika perkara ini tidak diselesaikan?

Kita sebenarnya telah salah faham dengan konsep sebenar menyambut Hari Raya Aidilfitri mengikut syarak. Yang dianjurkan adalah memakai pakaian baharu dengan wanigan yang baik dan solat sunat Aidilfitri berjemaah di masjid atau surau. Disunatkan juga memakan terlebih dahulu sebelum solat sunat tersebut. Tiada pula disebutkan perlu makan lemang atau ketupat pada pagi raya itu. Keseronokan itu dinikmati apabila kita kembali dapat bersarapan seperti biasa dan berkumpul dalam suatu jemaah di masjid atau surau. Kemeriahan itu ditambah lagi dengan ziarah menziarahi sanak saudara. Ketika inilah kita dapat bertanya khabar dan bersua kembali yang mana sebelum ini mungkin semuanya sibuk dengan urusan masing-masing.

Oleh itu, sambutlah dengan sederhana dan bersedialah dari sekarang perkara-perkara yang kita inginkan ketika pagi raya nanti. Janganlah kerana raya diawalkan sehari kita memandangan remeh dengan agama dan menghina pihak yang berautoriti. Disamping kita sibuk menguruskan hal-hal sebelum menyambut Aidilfitri, jangan lah pula kita mengabaikan amal-amal ibadah yang boleh kita lakukan sebelum perginya bulan Ramadan yang penuh kemuliaan ini.

Wallahua’lam

Oleh itu, marilah kita merebut peluang untuk bersedekah dibulan Ramadan yang mulia ini. Jika anda berminat boleh klik pada butang “Bantu Mereka” dibawah dan salurkan sumbangan anda. Terima kasih.

Sudahkah Anda Menjadi Tangan Yang Memberi?

Jika belum jom sama-sama dengan Perkim Datuk Keramat membantu mereka yang dalam kesusahan seperti ibu tunggal, mereka yang menghidap penyakit kronik dan pelbagai lagi. Sesungguhnya sedikit sumbangan anda, memberi 1000 kemanisan untuk mereka

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *