KALI PERTAMA MENGUNDI : PERSEDIAAN SEBELUM MENGUNDI PILIHAN RAYA UMUM (PRU15)

PERSEDIAAN SEBELUM MENGUNDI

PERSEDIAAN SEBELUM MENGUNDI PILIHAN RAYA UMUM

BARU-baru ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengumumkan tarikh-tarikh penting bagi Pilihan Raya ke-15 (PRU15) buat perhatian seluruh rakyat Malaysia.

Menurut SPR, tarikh me­ngundi awal akan diadakan pada 15 November manakala 19 November pula ditetapkan sebagai hari pengundian bagi PRU15 dan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (PRK DUN) Bugaya, Sabah.

Hanya tinggal dua hari sahaja lagi sebelum kita semua sebagai rakyat menjalankan tanggungjawab untuk memilih pemimpin.

Bagi yang masih tidak tahu mahu undi siapa, anda dinasihatkan untuk memeriksa pencapaian, kredibiliti dan rekod calon-calon sebelum mengundi. 

Perlu diingatkan, undian anda akan menentukan parti atau gabungan parti mana yang akan memerintah negara dan bukannya perlu menentukan calon yang bakal menduduki kerusi Parlimen di kawasan anda sahaja.

Ramai diantara kita yang pertama kali untuk mengundi bagi PRU15 kali ini dan tidak tahu apakah perkara yang perlu diambil perhatian sebelum dan semasa mengundi. Oleh itu, artikel ini akan berkongsi tentang beberapa perkara yang boleh disediakan sebelum mengundi dan perkara yang perlu dilakukan dan jangan dilakukan ketika mengundi.

Relevan menulis panduan ini dengan harapan ia dapat membantu rakyat Malaysia lebih bersedia dan cakna tentang apa yang perlu dilakukan pada hari penting itu.

  • Sebelum Hari Mengundi

Semak Status Pendaftaran

Warganegara Malaysia yang telah berdaftar sebagai pemilih dan namanya direkodkan dalam Daftar Pemilih, boleh membuat semakan status pendaftaran untuk mengetahui lokasi mengundi.

Semakan boleh dilakukan di laman web MYSPRSemak Anda hanya perlu memasukkan sama ada nombor kad pengenalan, nombor perkhidmatan tentera atau nombor perkhidmatan polis. 

Kemudian, masukkan aksara sekuriti captcha untuk pengesahan. 

Selepas itu, maklumat berkaitan lokaliti, daerah mengundi, DUN, Parlimen dan Negeri akan terpapar di skrin. 

Ambil perhatian dengan lokasi anda mengundi. Sekiranya berada di perantauan, anda dikehendaki untuk pulang ke lokasi yang ditetapkan bagi menjalankan tanggungjawab. Selain itu, cakna juga terhadap saluran yang telah ditetapkan bagi memudahkan proses pada hari pengundian berlaku.

  • Semasa Hari Mengundi

Bawa Dokumen Penting

Semasa hari mengundi, anda perlu bawa bersama dokumen penting iaitu sama ada My Kad atau kad pengenalan lama atau kad pengenalan plastik biru. 

Jika kehilangan kad pengenalan, pemilih berdaftar juga boleh mengemukakan Resit JPN.KP 9 atau Resit JPN.KP11 yang disahkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara. 

Dokumen-dokumen lain yang boleh diterima sebagai bukti pengenalan diri ialah pasport malaysia, lesen memandu yang bergambar atau kad rasmi pengenalan diri yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak berkuasa kerajaan yang mengandungi nama, nombor kad pengenalan dan gambar pemegangnya.

Datang Awal

Anda dinasihatkan untuk datang awal ke lokasi mengundi masing-masing. Hal ini kerana pada hari kejadian, pasti beribu-ribu rakyat akan turun padang untuk mengundi. 

Kebiasaannya, masa untuk mengundi bagi kebanyakan tempat mengundi ialah bermula jam 8:00 pagi hingga 6:00 petang di Semenjung Malaysia dan 7.30 pagi hingga 5.30 petang di Sabah dan Sarawak. 

Bagaimanapun, terdapat juga saluran yang ditutup lebih awal bergantung kepada keadaan geografi, jumlah pengundi dan faktor-faktor lain.

Dapatkan Slip Saluran Pengundi

Di pusat mengundi iaitu sama ada bangunan sekolah, dewan, balai raya, khemah dan  sebagainya mempunyai beberapa saluran mengundi. 

Pelbagai saluran disediakan untuk menampung jumlah pengundi berdaftar yang ramai di kawasan tersebut dan bagi mengelakkan kesesakan. 

Saluran mengundi bagi pengundi biasa, SPR menetapkan tidak lebih daripada 750 nama pengundi. 

Anda perlu dapatkan slip saluran pengundi untuk mengetahui anda diagihkan di saluran yang mana. 

Selepas sudah mengetahui nombor saluran, pengundi boleh terus ke saluran yang ditetapkan. 

Kenal Pasti Saluran Masing-masing

Pada hari pengundian, SPR menyediakan saluran khas, iaitu Saluran 1. Saluran 1 dikhaskan untuk warga emas beratur. 

Manakala bagi wanita yang mengandung dan pengundi kurang upaya, Ketua Tempat Mengundi diberi kuasa untuk memberi keutamaan kepada mereka untuk masuk ke tempat mengundi dengan mudah. 

Hal ini untuk memastikan keselamatan dan kesihatan mereka terjaga.

Bagi pengundi biasa, semak saluran yang diberikan dan beratur dengan tertib. 

Anda juga diingatkan untuk menjaga disiplin dan kelakuan masing-masing agar tidak mencetuskan kekecohan. 

Walaupun berbeza fahaman politik, jangan gadaikan keharmonian dan kesantunan bahasa sebagai rakyat Malaysia. Hormat-menghormati sesama kita.

Celup Dakwat Kekal

Tibanya giliran, anda akan dibenarkan masuk dan serahkan dokumen pengenalan diri bersama-sama slip semakan kepada Kerani Pengundi Pertama (KP1) untuk mereka rekodkan kehadiran.

Setelah dokumen disemak, Kerani Pengundi Kedua (KP2) akan mencelup jari telunjuk kiri di dalam dakwat kekal untuk menandakan bahawa anda sudah hadir mengundi. 

Penggunaan dakwat kekal semasa pilihan raya adalah bertujuan untuk mengelakkan pengundian dua kali. 

Pengundi perlu dicelupkan dahulu jari telunjuk kirinya dengan dakwat sebelum diberikan kertas undi.

Mula Mengundi

Anda kemudian dikehendaki untuk bergerak ke Kerani Pengundi Ketiga (KP3) untuk mendapatkan kertas undi. 

Sebelum mengisi undian, anda dikehendaki untuk pergi meja Ketua Tempat Undi (KTM) untuk meninggalkan telefon bimbit.

Setelah mendapatkan kertas undi, terus bergerak ke petak mengundi dan tandakan ‘X’ di ruang bersebelahan logo parti.

Peringatan buat semua, pastikan pilih satu calon sahaja. Sekiranya menanda lebih daripada satu calon, ia akan diklasifikasikan sebagai undi rosak. 

Satu undian daripada anda sangat-sangat berharga demi menentukan masa depan negara. 

Oleh itu, jadi rakyat yang bertanggungjawab dan salurkan undian secara berhemah. 

Dakwaan tidak dibenarkan menggunakan pen adalah tidak benar. Setiap kawasan mengundi akan disediakan pen dan pensil untuk kemudahan dan keselesaan para pengundi.

Setelah selesai mengundi, kertas mengundi perlu dilipat dua kali sebelum dimasukkan ke dalam peti undi. Kemudian, terus keluar daripada kawasan mengundi untuk memberi ruang kepada pengundi-pengundi lain dan bagi mengelakkan kesesakan.

Jalankan tanggungjawab anda sebagai rakyat Malaysia dan turun ke medan masing-masing untuk mengundi.

LARANGAN TELEFON BIMBIT

Pengundi tidak dibenarkan untuk menggunakan telefon bimbit ketika membuang undi di tempat mengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam satu infografik yang dimuat naik di platform social media mereka pada Rabu memasukkan perkara tersebut dalam 10 langkah pengundian perlu dipatuhi oleh pengundi ketika mengundi pada 19 November ini.

Larangan itu yang disenaraikan sebagai langkah keenam dalam maklumat grafik itu menunjukkan bahawa ia tidak dibenarkan, di mana pengundi akan diminta menyerahkan telefon bimbit kepada pegawai bertugas apabila mengambil kertas undi.

Selepas mengundi, pengundi akan kembali kepada petugas berkenaan untuk mengambil kembali telefon bimbit mereka ketika keluar dari tempat mengundi

CIRI-CIRI UNDI ROSAK ATAU UNDI DITOLAK

Tahukah anda, istilah Undi rosak hanya terpakai kepada kertas undi yang TIDAK DIMASUKKAN dalam tempoh pengundian, manakala istilah KERTAS UNDI DITOLAK pula berlaku semasa proses pengiraan kertas undi.

Undi Rosak

Contohnya kertas undi terkoyak secara tidak sengaja, itu istilahnya kertas undi rosak dan ia tidak dimasukkan ke dalam peti undi.

Ketika itu, pengundi boleh memohon kertas undi baharu dari Ketua Tempat Mengundi.

Undi Ditolak

Ketua Tempat Mengundi atau orang yang diberikan kuasa olehnya hendaklah kemudiannya mengira kertas undi itu mengikut undian oleh pemilih bagi setiap calon dan hendaklah mencatatkan perkataan ‘ditolak’ pada mana-mana kertas undi yang ditolak sebagai tidak sah.

Ketua Tempat Mengundi hendaklah menolak sebagai tidak sah kertas yang berikut sahaja, iaitu mana-mana kertas undi:

  • Kertas undi tidak dicapkan dengan tanda rasmi
  • Undi diberikan lebih dari satu calon
  • Menulis perkataan pada kertas undi
  • Kertas undi yang tidak bertanda dan tidak menanda di dalam kotak
  • Pengundi tidak menunjukkan tujuan yang jelas pada kertas undi

 

Oleh itu, berhati-hati lah Ketika mengundi, walaupun ianya terlihat namun jangan mengambil mudah. Hal ini kerana satu undian sangat bermakna ddalam menentukan pemimpin selepas ini seterusnya masa depan agama, bangsa dan negara.

Seterusnya, mari kita ketahui hukum bagi orang tidak mengundi dan apakah ciri pemimpin yang perlu dipilih sekalipun tiada calon yang berkenan.

Wallahua’lam.

Sudahkah Anda Menjadi Tangan Yang Memberi?

Jika belum jom sama-sama dengan Perkim Datuk Keramat membantu mereka yang dalam kesusahan seperti ibu tunggal, mereka yang menghidap penyakit kronik dan pelbagai lagi. Sesungguhnya sedikit sumbangan anda, memberi 1000 kemanisan untuk mereka

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top