Kalimah Tauhid Di Hari-Hari Maulid Rasul SAW

“Ya Allah, terimalah penyaksiannya, jadikan kalimah syahadah yang diucapkannya pada hari ini menjadi sebab untuk beliau mendapat rahmat serta syurga Firdaus-Mu di akhirat kelak. Jadikan juga mata dan telinga yang menjadi saksi majlis pengislaman ini turut sama mendapat keampunan, rahmat, redha serta syurga Firdaus-Mu kelak.”

Alhamdulillah, seorang lelaki berbangsa India telah hadir berseorangan di bangunan PERKIM bagi melafazkan kalimah tauhid yang suci.

Majlis itu turut dibantu oleh Ustaz Mohamad Suhaimi Bin Abdul Aziz iaitu Pengerusi PERKIM Datuk Keramat, Ustaz Amran Abdulullah iaitu AJK PERKIM Bahagian WP serta beberapa orang lagi yang menjadi saksi.

Beliau telah lama ingin mendalami agama ini yang bersih, suci, sempurna dan mengajarkan kebaikan. Oleh sebab itu, beliau kembali kepada fitrah iaitu dengan memilih jalan ini.

Namun, Islam juga bukan agama yang asing baginya kerana abang dan saudaranya juga telah memeluk Islam sebelum ini lagi. Bahkan, selama ini beliau banyak mencurah bakti dengan membawa makanan hasil pekerjaannya sebagai penghantar sayuran ke masjid, madrasah serta kepada mereka yang memerlukan.

Justeru, kebaikan itulah yang mungkin menjadi asbab Allah mencampakkan Nur Hidayah ke dalam lubuk hatinya. Setelah mendengar taklimat ringkas mengenai Islam itu, beliau lebih yakin dan tenang serta berjaya mengungkapkan kalimah syahadah dengan ikhlas dan sukerela.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top