Keajaiban 10 Malam Terakhir

Sedar tak sedar, kita dah sampai ke fasa terakhir di bulan Ramadan. Insya Allah, pada malam ni kita akan masuk ke 10 malam terakhir. Pada waktu inilah umat Islam diajar untuk berusaha dengan lebih lagi berbanding dengan malam-malam sebelumnya di bulan Ramadan. Jadikan waktu yang tinggal ini untuk kita lakukan pecutan yang terakhir dalam membuat amal kebaikan. Jom kita berkongsi apakah antara amalan yang boleh dilakukan pada malam-malam akhir Ramadan ini.

Amalan 10 Malam Terakhir

1. Melakukan Solat Malam (Qiamullail)

Apakah yang dimaksudkan dengan Qiamullail? Ia bermaksud ‘bangun malam’ iaitu bangun untuk beribadah kepada Allah SWT. Orang yang berqiamullail akan meninggalkan tempat tidur semata-mata untuk mengerjakan solat, bertakbir membesarkan Allah SWT, bertasbih mensucikanNya dan berdoa pada waktu malam. Sabda Rasulullah SAW:

Hendaklah kamu berqiamullail (bertahajjud) kerana ia merupakan perjalanan orang soleh sebelum kamu. Sesungguhnya qiamullail mendekatkan kamu kepada Allah, menghalang melakukan dosa, kifarah di atas kejahatan dan mencegah penyakit daripada badan.

[Riwayat Tirmizi]

Antara solat malam adalah Solat Tahajjud, Solat Witir, Solat Tasbih, Solat Hajat dan Solat Taubat.

2. Melakukan Iktikaf Di Masjid

Iktikaf di bulan Ramadan, terutama pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadan merupakan salah satu amalan yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW. Iktikaf pada bulan Ramadan dijelaskan dalam hadis:

Daripada Abi Hurairah r.a telah berkata: Bahawa Nabi SAW beriktikaf pada setiap kali Ramadan pada 10 hari, tetapi beriktikaf 20 hari pada tahun kewafatan Baginda SAW.”

[Riwayat al-Bukhari, Abu Daud dan Ibn. Majah] 

Sepanjang tempoh beriktikaf di masjid, kita boleh lakukan beberapa perkara seperti berdoa, berzikir berselawat dan juga membaca Al-Quran.

 

3. Memperbanyakkan Sedekah

Sedekah pada bulan Ramadan akan dilipat gandakan pahalanya. Lebih istimewa, jika sedekah yang kita lakukakan pada 10 malam terakhir Ramadan. Ini kerana, pada 10 malam terakhir Ramadan adanya satu malam yang dikenali sebagai malam Lailatul Qadar. Malam di mana setiap amalan pada malam tersebut akan bersamaan 1000 bulan. Bayangkan jika kita bersedekah RM 1 sahaja pun pada 10 malam terakhir dan malam itu jatuh malam Lailatul Qadar, maka amalan sedekah kita akan dikira selama 1000 bulan. Hebat bukan?

Kelebihan Malam Lailatul Qadar

Istimewanya 10 malam terakhir pada bulan Ramadan ini adalah dengan adanya malam Lailatul Qadar. Malam ini menjadi malam yang sangat istimewa yang di hadiahkan kepada hamba-Nya. Apa yang istimewanya malam ini?

1. Lebih baik daripada seribu bulan

Keutamaan Lailatul Qadar sungguh luar biasa kerana malam ini lebih baik dari 1000 bulan dan bersamaan dengan 83 tahun. Allah SWT berfirman;

لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ

“Malam Lailatul-Qadar (Malam Kemuliaan) itu lebih baik dari seribu bulan.” (Surah Al-Qadar; Ayat 3)

Apa-apa pun ibadah yang dilakukan pada malam ini seperti membaca al-Quran, berzikir kepada Allah, dan lain-lain ibadah adalah lebih baik daripada beribadah untuk 1000 bulan yang tidak mengandungi malam Qadar.

2. Turunnya Jibril dan Para Malaikat

Turunnya para malaikat yang diketuai oleh ‘Ar Ruuh’ iaitu malaikat Jibril pada malam al-Qadr dalam suatu angkatan yang besar, penuh gilang-gemilang untuk memberi taufik dan hidayah kepada orang berpuasa dengan seikhlas hati. Allah SWT berfirman,

تَنَزَّلُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِم

“Pada malam itu, turun para malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka.”

(Surah Al-Qadar; Ayat 4)

Keistimewaan ‘Ar Ruuh’ atau Malaikat Jibril yang disebut dalam ayat di atas adalah bagi menunjukkan kemuliaan (keutamaan) malaikat tersebut. Sebagaimana malaikat turun ketika ada yang membacakan Al-Quran, mereka juga akan mengelilingi orang-orang yang berada dalam majlis zikir dan majlis ilmu. Para malaikat akan meletakkan sayap-sayap mereka pada penuntut ilmu kerana malaikat sangat mengagungkan mereka. (Tafsir Al-Quran Al ‘Azhim, 14: 407)

3. Dosa diampunkan

Dosa setiap orang yang menghidupkan malam ‘Lailatul Qadar’ akan diampunkan oleh Allah SWT. Dari Abu Hurairah, Rasulullah ﷺ bersabda,

مَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

“Sesiapa melaksanakan solat pada malam Lailatul Qadar kerana iman dan mengharap pahala dari Allah, maka dosa-dosanya yang telah lalu akan diampunkan.” (Hadis Riwayat Bukhari)

4. Mendapat keselamatan dan kebaikan hingga terbit fajar

Malam ini juga Allah telah janjikan kesejahteraan kepadanya hingga terbit waktu fajar. Allah SWT berfirman:

سَلَـٰمٌ هِىَ حَتَّىٰ مَطلَعِ ٱلفَجرِ

Maksudnya: Sejahteralah malam (yang berkat) tersebut hingga terbit fajar.

5. Malam penuh keberkatan

Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Sesungguhnya Kami menurunkannya pada suatu malam yang diberkati dan sesungguhnya Kami-lah yang memberi peringatan.” (Surah Ad Dukhan; Ayat 3)

‘Malam penuh berkat’ ini adalah malam ‘Lailatul Qadar’ dan ini juga menunjukkan keistimewaan malam tersebut. Ramai malaikat yang akan turun pada Lailatul Qadar kerana banyaknya keberkatan pada malam tersebut dan turunnya malaikat menandakan melimpahnya berkat dan rahmat

Amalan Nabi SAW Pada 10 Malam Terakhir

Diriwayatkan daripada Ummul Mukminin A’isyah R.A beliau berkata: Di antara amalan yang baginda lakukan adalah sebagaimana yang diriwayatkan juga oleh A’isyah R.A:

كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم إِذَا دَخَلَ الْعَشْرُ شَدَّ مِئْزَرَهُ وَأَحْيَا لَيْلَه وَأَيْقَظَ أَهْلَهُ

Maksudnya: Adalah Nabi SAW apabila masuknya sepuluh hari terakhir (bulan Ramadan) baginda akan mengetatkan ikatan di pinggangnya, baginda menghidupkan malam harinya, dan baginda membangunkan ahli keluarganya (untuk beribadah).

[Riwayat al-Bukhari (2024)]

Berdasarkan hadis tersebut, Nabi Muhammad SAW melakukan amalan-amalan:

1. Menghidupkan malam

Terdapat dua kemungkinan dalam Rasulullah menghidupkan malam iaitu 

i) Menghidupkan keseluruhan malam dengan ibadah.

ii) Menghidupkan majoriti atau kebanyakan malam dengan ibadah.

Imam al-Syafie Rahimahullah ada berkata: “Sesiapa yang menghadiri solat Isyak dan solat Subuh (secara berjemaah) pada Lailatul Qadar, maka dia telah mendapatkan ganjaran darinya (beribadah pada malam al-Qadr).

2. Mengetatkan ikatan pinggang

Dari riwayat Saidatina Aisyah R.A, yang dimaksudkan dengan mengetatkan ikatan di pinggang tersebut ada dua pendapat. Pertamanya adalah membawa maksud baginda bersungguh-sungguh dalam melakukan ibadah. Maksud yang kedua pula adalah Nabi SAW meninggalkan perbuatan bersama dengan isteri pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadan.

3. Mengejutkan kaum keluarga untuk beribadah

Ketika masuknya sepuluh malam terakhir, Nabi akan mengejutkan isteri-isteri dan keluarga untuk bangun beribadah. Terdapat riwayat yang menunjukkan bahawa baginda mengetuk pintu Fathimah R.A dan Ali bin Abi Thalib R.A lalu berkata:

أَلَا تَقُومَان فَتُصَلِّيَان

Maksudnya: “Apakah kamu berdua tidak bangun lalu menunaikan solat?” [Riwayat al-Bukhari (1127)] 

4. Mandi dan berwangi-wangian ketika menghadap Ilahi

Anas bin Malik dan para ulama Tabi’in menyebut bahawa para sahabat dan baginda SAW akan mandi dan mengharumkan diri apabila beribadah pada sepuluh malam akhir Ramadan. Diriwayatkan oleh Ibnu Abi ‘Asim bahawa Huzaifah pernah mengerjakan qiyam Ramadan bersama Rasulullah SAW dan melihat bahawa baginda mandi pada malam itu. Apabila kita mandi dan mewangikan diri, secara tak langsung kira akan segar dan bersemangat untuk beribadah.

5. Beriktikaf

Iktikaf: Kita menetap di dalam masjid dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT. “Rasulullah SAW beriktikaf pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadan.” (Hadis Riwayat Muttafakun ‘alaih) 

Dengan itu kita lebih khusyuk dan fokus terhadap ibadah yang dilakukan.

6. Memperbanyakkan berdoa

Pada 10 malam terakhir, kita amat digalakkan untuk berdoa kerana malaikat-malaikat akan turun ke bumi untuk mengabulkan semua doa-doa yang diminta. Baginda SAW juga memperbanyakkan berdoa yang bermaksud: “Ya Allah, jadikan sebaik-baik umurku adalah penghujungnya. Dan jadikanlah sebaik-baik amalku adalah penutupnya. Dan jadikan sebaik-baik hariku adalah hari di mana aku bertemu dengan-Mu kelak.” 

(Musannaf Abi Syaiba, 6:65)

Sudahkah Anda Bersedekah Hari Ini?

Jika belum jom sama-sama dengan Perkim Datuk Keramat membantu mereka yang dalam kesusahan seperti asnaf, ibu tunggal, mereka yang menghidap penyakit kronik , muallaf, anak yatim dan pelbagai lagi. Sesungguhnya sedikit sumbangan anda, memberi 1000 kemanisan untuk mereka

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top