KEAJAIBAN PERISTIWA ISRAK & MIKRAJ DAN HIKMAHNYA

PERISTIWA ISRAK MIKRAJ

Israk dan Mikraj merupakan salah satu peristiwa penting dalam sejarah Rasulullah SAW yang wajib diimani oleh umat Islam berdasarkan bukti-bukti daripada al-Quran dan as-Sunnah.

Firman Allah SWT:

سُبْحَـٰنَ ٱلَّذِىٓ أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِۦ لَيْلًۭا مِّنَ ٱلْمَسْجِدِ ٱلْحَرَامِ إِلَى ٱلْمَسْجِدِ ٱلْأَقْصَا ٱلَّذِى بَـٰرَكْنَا حَوْلَهُۥ لِنُرِيَهُۥ مِنْ ءَايَـٰتِنَآ ۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْبَصِيرُ ١

Peristiwa besar ini amat luar biasa yang dialami oleh Nabi SAW dan dianggap sebagai satu anugerah daripada Allah SWT. Ini sebagai tanda keagungan dan kebesaranNya. Dua keajaiban itu adalah ‘Israk’ dan ‘Mikraj’ yang berlaku hanya dalam satu malam.

Israk – Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa.

Rasulullah telah melalui Israk dari Masjidil Haram, Mekah ke Masjidil Aqsa di Palestine.

Mikraj – Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah

Mikraj pula merujuk kepada perjalanan Nabi merentas tujuh lapis langit hingga ke Sidratul Muntaha dan ke Mustawa.

Kronologi Peristiwa

  • Israk

Nabi Muhammad SAW dibawa oleh Malaikat Jibril AS dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa dengan menunggang Buraq. Sebelum baginda memulakan perjalanannya, hati baginda dibersihkan oleh Malaikat Jibril AS dengan air suci Zam Zam. Sepanjang perjalanan apabila sampai tempat-tempat yang tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat.

Antara tempat-tempat berkenaan ialah:

  • Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah.
  • Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa AS menerima wahyu daripada Allah.
  • Baitul-Laham (tempat Nabi ‘Isa AS dilahirkan).

Semasa dalam perjalanan, baginda telah melalui pelbagai peristiwa antaranya ialah baginda melihat Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai.

Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah kaum yang berjihad “Fisabilillah” yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak. Diringkaskan kisah ini Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun daripada Buraq.

Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia dan mursalin menjadi makmum. Rasulullah SAW terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah SAW memilih susu lalu diminumnya.

Kata Jibrail: Baginda membuat pilihan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.

  • Mikraj

Peristiwa Mikraj pula bermula daripada Masjid Al-Aqsa kemudian baginda diangkat ke langit dengan menaiki tangga daripada syurga. Rasulullah SAW bersama Malaikat Jibril AS naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah). Baginda menaiki daripada langit pertama hingga ke sepuluh dan disetiap langit baginda bertemu dengan para-para nabi dan melalui pelbagai peristiwa antaranya Baginda dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70 ribu orang yang masuk syurga tanpa hisab. Di langit Kesepuluh (tanpa ditemani malaikat Jibril) Rasulullah SAW dapat menyaksikan Allah SWT dengan matanya sendiri, lalu baginda sujud.

Dari pertemuan itu, baginda menerima wahyu dan perintah dari Allah SWT iaitu penerimaan ibadah solat. (Yang mana ketika itu, baginda diperintahkan solat sebanyak 50 waktu.) Kemudian dikurangkan menjadi 10 waktu. Akhirnya, dikurangkan sebanyak 5 waktu. 5 waktu yang kini kita lakukan setiap hari iaitu Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak.

  • Selepas Mikraj

Setelah itu, baginda pulang ke Masjidil Haram. Kemudian, baginda menyampaikan wahyu dan perintah Allah solat 5 waktu itu kepada umat di Mekah.

Ketika itu ada yang percaya dan ada yang tidak percaya sehingga ada yang murtad dari Islam. Tetapi, sahabat baginda Saidina Abu Bakar As-Siddiq apabila dikhabarkan kepadanya tentang peristiwa ini, beliau sedikit pun tidak ragu bahkan membenarkan malah lebih membenarkan sekiranya ada yang lebih hebat lagi dari peristiwa Isra’ dan Mikraj ini. Sejak itu beliau diberi gelaran ‘As-Siddiq’ yang memberi maksud ‘Yang Membenarkan’.

KEAJAIBAN SEPANJANG PERJALANAN ISRAK & MIKRAJ

Antara perkara yang dilihat Nabi Muhammad SAW ketika peristiwa berkenaan seperti berikut:

  1. Balasan Bagi Mereka Yang Suka Mengumpat.

Anas bin Malik RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Pada malam aku dimikrajkan, aku melalui satu kaum yang mempunyai kuku daripada tembaga. Mereka mencakar muka dan dada mereka. Aku lalu berkata: “Siapa mereka ini, wahai Jibril?” Jibril menjawab: “Mereka ialah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah mereka.” (HR Ahmad & Abu Daud)

  1. Bahana Bagi Pendakwah Yang Melupakan Diri.

Daripada Anas bin Malik RA, Rasulullah SAW bersabda: “Tatkala saya diisrakkan, saya melihat beberapa orang yang lidahnya dipotong dengan gunting dari api. Saya bertanya, ‘Wahai Jibril, siapakah mereka itu?’ Dia menjawab: ‘Mereka adalah para khatib umatmu, mereka memerintahkan kepada orang-orang untuk berbuat kebaikan, namun mereka melupakan diri mereka sendiri padahal mereka membaca kitab. tidakkah mereka menggunakan akalnya?” (HR Ahmad)

  1. Haruman Keluarga Masyitah.

Diriwayatkan daripada Ibn Abbas RA, Rasulullah SAW bersabda: “Nabi Muhammad SAW tercium satu bau yang amat harum. Apabila baginda SAW bertanya pada Jibril AS, Jibril menjawab: “Itulah bauan Masyitah (tukang sikat anak perempuan Firaun) dan anak-anaknya. Satu hari, ketika dia (yakin Masyitah) sedang menyikat rambut anak perempuan Firaun, tiba-tiba sikat terjatuh dari tangannya. Ketika mengambil sikat itu ia berkata, ‘Bismillah (Dengan nama ALLAH).’ Lalu anak perempuan Firaun bertanya: ‘Adakah kamu menyebut nama bapaku?’ Masyitah menjawab, ‘Tidak, tetapi aku menyebutkan nama Tuhanku dan Tuhan bapamu, iaitu ALLAH’. Lantas anak perempuan Firaun memberitahu kepada ayahnya (Firaun), lalu Masyitah dibunuh bersama anak-anaknya.” (HR Ahmad)

  1. Telapak Kaki Bilal Didengari Di Syurga.

Daripada Abu Hurairah RA, telah berkata Nabi Muhammad SAW kepada Bilal ketika solat Fajar: “Wahai Bilal! Khabarkan kepadaku amalan yang paling utama telah kamu lakukan sejak memeluk Islam. Ini kerana, aku mendengar gerakan kaki di sisiku di dalam syurga.” Bilal menjawab: “Tidak ada amalan utama yang aku amalkan kecuali aku akan berwuduk pada waktu malam atau siang melainkan aku akan solat dengan wuduk tersebut di samping solat-solat yang diwajibkan ke atasku.” (HR Bukhari)

  1. Melihat Dajal Dalam Rupa Asalnya.

Diriwayatkan daripada Nawwas bin Sam’an al Kilabi dia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Bukan dajal yang aku khuatirkan akan memudaratkan kalian. Kerana jika dajal muncul, sedangkan aku masih berada di antara kalian, maka akulah yang akan menghadapinya, bukan kalian. Jika dia muncul, sedangkan saya tidak lagi berada di antara kalian, maka setiap orang Muslim wajib membela dirinya, dan ALLAHLAH yang menjaga setiap orang Muslim sepeninggalanku. Sesungguhnya dajal adalah seorang yang berusia muda, berambut kerinting, dengan bola mata yang menonjol. Dan sesungguhnya pasukan berkudanya memenuhi kawasan antara negeri Syam dan Iraq, lalu menyebar ke segala penjuru. Hai hamba-hamba ALLAH, berpendirian teguhlah kalian.” (HR Muslim)

  1. Diperlihatkan Nabi-nabi Dan Umat Masing-masing.

Ibn Anas RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Nabi Muhammad SAW melintasi nabi-nabi AS dan melihat umat masing-masing. Ada nabi yang umatnya satu kaum, ada nabi yang umatnya beberapa orang sahaja dan ada nabi yang tidak berumat walau seorang pun. Kemudian baginda SAW melihat lautan manusia yang besar. Apabila baginda bertanya: “Siapa mereka? Dijawab kepada baginda SAW: “Itulah Musa bersama umatnya.” Kemudian dikata kepada Nabi Muhammad SAW: “Angkatlah pandanganmu dan lihatlah di ufuk sana dan ufuk sana.” Apabila Rasulullah SAW melihatnya, dikatakan kepada baginda: “Itulah umatmu. Di antara mereka akan ada 70,000 orang yang bakal memasuki syurga tanpa hisab.” (HR Tirmidzi)

  1. Khasiat Berbekam.

Diriwayatkan daripada Ibn Abbas RA, daripada Nabi Muhammad SAW, baginda bersabda: “Sebaik-baik hari untuk kalian (berbekam) adalah hari ketujuh belas, kesembilan belas dan kedua puluh satu, baginda bersabda: “Tidaklah aku melewati sekumpulan malaikat pada malam aku diisrakkan kecuali mereka berkata; ‘Engkau harus berbekam wahai Muhammad’.” (HR Ahmad)

HIKMAH PERISTIWA ISRAK MIKRAJ

  • Israk Mikraj Adalah Perjalanan Yang Nyata

Peristiwa Israk Mikraj ini merupakan perjalanan dan pengalaman Rasulullah SAW yang benar-benar terjadi dan, bukan hanya perjalanan rohani atau mimpi Baginda semata-mata.

Dalam peristiwa ini, Rasulullah SAW mendapatkan perintah secara langsung tanpa perantara dalam suruhan mengerjakan solat lima waktu. Ini adalah bukti bahawa Israk Mikraj berbeza dengan penurunan wahyu-wahyu Allah yang lainnya.

Rasulullah juga mengalami perjalanan itu dalam keadaan sedar dan dengan sepenuh hati Baginda. Selepas peristiwa itu, Baginda segera menceritakan kepada para sahabat dan pengikut Baginda dengan ingatan yang sangat jelas.

  • Tanda Kekuasaan Allah SWT

Peristiwa Israk Mikraj merupakan salah satu bukti dan tanda kekuasaan Allah SWT Allah juga ingin menunjukkan betapa besarnya kekuasaan-Nya dengan menjadikan sebuah peristiwa yang boleh dianggap ganjil bahkan hal yang lebih hebat daripada itu.

Dengan kehendak Allah, boleh dilakukan apa-apa saja mengikut kehendak-Nya. Allah SWT dengan jelas telah menyatakan bahawa Israk Mikraj adalah bertujuan untuk memperlihatkan kekuasaan-Nya.

  • Bentuk Kemuliaan Allah SWT Kepada Rasulullah SAW

Sebelum terjadinya peristiwa Israk Mikraj, Rasulullah SAW menghadapi banyak ujian yang sangat berat, terutamanya tentangan hebat dalam usaha dakwah Baginda. Antaranya Baginda diusir dan ditolak oleh penduduk di kota Thaif.

Rasulullah SAW juga kehilangan dua orang yang penting, iaitu isteri kesayangan Baginda, Siti Khadijah dan bapa saudara yang banyak membantu iaitu Abu Thalib.

Oleh itu, Israk Mikraj merupakan hadiah dan sebuah pengganti dari apa yang telah Rasulullah SAW hadapi terutamanya pada tahun yang sama.

  • Bukti Kerasulan Nabi Muhammad SAW

Israk Mikraj juga memperlihatkan sebahagian bukti akan kebesaran Allah selain bertujuan memantapkan dan mengukuhkan kerasulan Rasulullah SAW.

Selain itu Israk Mikraj juga diciptakan untuk memuliakan Rasulullah SAW sebagai seseorang yang dipilih oleh Allah SWT.

Peristiwa ini juga bertujuan mempersiapkan kekuatan jasad, jasmani, rohaniah, dan aqliah Rasulullah SAW dalam menjalankan tugas-tugas kenabian Baginda.

  • Bukti Ajaran Rasulullah SAW Bersifat Menyeluruh

Peristiwa Israk atau perjalanan Rasulullah dari Masjidil Haram (Mekah) ke Masjidil Aqsa (Madinah), menunjukkan bahawa ajaran yang dibawa Rasulullah SAW bukan hanya untuk masyarakat Mekah sahaja tetapi agama kepada seluruh umat manusia yang ada di muka bumi.

  • Perintah Didirikan Solat Lima Waktu

Peristiwa Mikraj atau perjalanan Rasulullah SAW ke Sidratul Muntaha adalah tempat berlakunya peristiwa Rasulullah menerima perintah Allah SWT untuk mengerjakan solat lima waktu sehari semalam.

Perintah ini adalah secara langsung diberikan oleh Allah kepada Baginda tanpa perantara.

Walaupun pada awalnya Allah SWT memerintahkan didirikan sebanyak 50 waktu, namun Rasulullah SAW memohon agar dikurangkan sehinggalah perintah solat menjadi lima waktu sehari semalam seperti hari ini.

Perintah solat lima waktu ini sangat dipegang erat oleh Rasulullah SAW dan Baginda sangat menitikberatkan kepada umat Baginda supaya tidak meninggalkan solat lima waktu kerana ianya adalah tiang agama Islam dan kunci diterima segala amalan di dunia.

  • Pembersihan Hati untuk Menghadap Allah SWT

Diriwayatkan, sebelum peristiwa Israk Mikraj, Rasulullah SAW telah ‘dibedah’ oleh malaikat bagi membersihkan jiwa Baginda dari dari sifat-sifat buruk seperti was-was.

Ini memberi gambaran kepada umat Islam bahawa sebelum menghadap Allah SWT dalam menjalankan ibadah, seharusnya membersihkan dulu jiwa dan hati dari segala sifat buruk.

Selain itu, segala amalan ibadat hendaklah disertai dengan niat yang betul dan ikhlas. Allah berfirman bahawa Islam itu bersih, maka bersihkanlah jiwa raga kerana sesungguhnya tidak akan masuk syurga kecuali orang-orang yang bersih.

Sungguh banyak hikmah yang dapat diambil oleh umat Islam sebagai iktibar daripada peristiwa ini.

Jadi sebagai umat Islam umumnya, dan pengikut Nabi Muhammad SAW khususnya haruslah kita jadikan peristiwa ini sebagai pangajaran utama dalam mengejar ibadah terutamanya dalam mendirikan solat lima waktu.

Wallahua’lam.

Tahukah Anda, bahawa orang yang bersedekah pada hari Jumaat diberikan ganjaran yang lebih daripada bersedekah pada hari biasa yang lainnya. Jika berminat boleh salurkan sumbangan dengan menekan butang sedekah dibawah.

Sudahkah Anda Menjadi Tangan Yang Memberi?

Jika belum jom sama-sama dengan Perkim Datuk Keramat membantu mereka yang dalam kesusahan seperti ibu tunggal, mereka yang menghidap penyakit kronik dan pelbagai lagi. Sesungguhnya sedikit sumbangan anda, memberi 1000 kemanisan untuk mereka

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top