Kelbihan Puasa Sunat Syawal

Alhamdulillah, kita telah berjaya menjalani ibadah puasa pada Ramadan yang lalu. Semoga segala ibadah diterima oleh Allah S.W.T. Walaupun Ramadan telah berlalu, masih ada beberapa amalan istimewa yang boleh dilakukan untuk mendapat ganjaran yang istimewa daripada Allah. Antaranya ialah puasa 6 hari pada bulan Syawal. Jadi apa kelebihannya puasa sunat ini? 

Menyamai puasa selama setahun

Ganjarannya puasa sunat 6 adalah sangat luar biasa, iaitu menyamai kita berpuasa selama setahun. Masya-Allah! Jika ingin berpuasa selama setahun, sudah pasti kita tidak mampu. Jadi rebutlah peluang untuk melaksanakan puasa enam hari di bulan Syawal ini. Nabi SAW bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ

“Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian meneruskan dengan enam hari di bulan Syawal, sepertinya dia berpuasa selama setahun.” (Riwayat Imam Muslim) 

Menguatkan hubungan dengan Allah SWT

Dalam satu Hadis Qudsi, Allah SWT berfirman:

وما تَقَرَّبَ إِلَيَّ عَبدي بِشيءٍ أحبَّ إِلَيَّ مِمَّا افْتَرَضْتُهُ عليهِ، وما زالَ عَبدي يَتَقَرَّبُ إِلَيَّ بِالنَّوَافِلِ حتى أُحِبَّهُ، فإذا أَحْبَبْتُهُ كُنْتُ سَمْعَهُ الذي يسمعُ بهِ، و بَصَرَهُ الذي يُبْصِرُ بهِ، و يَدَهُ التي يَبْطِشُ بِها، و رِجْلَهُ التي يَمْشِي بِها، و إنْ سألَنِي لأُعْطِيَنَّهُ، ولَئِنِ اسْتَعَاذَنِي لأُعِيذَنَّهُ

“Dan tidaklah seorang hamba bertaqarrub (mendekatkan diri dengan beribadah) kepada-Ku dengan sesuatu, yang lebih Aku cintai daripada apa yang telah Ku-wajibkan kepadanya, dan sentiasalah hamba-Ku (konsisten) bertaqarrub kepada-Ku dengan amalan sunnah hingga Aku mencintainya; bila Aku telah mencintainya, maka Aku adalah pendengarannya yang digunakannya untuk mendengar, dan penglihatannya yang digunakannya untuk melihat dan tangannya yang digunakannya untuk memukul dan kakinya yang digunakannya untuk berjalan; jika dia meminta kepada-Ku pasti Aku akan memberikannya, dan jika dia meminta perlindungan kepada-Ku pasti Aku akan melindunginya.”

Diseru memasuki syurga melalui pintu ar-Rayyan

Syurga mempunyai beberapa pintu dan bagi mereka yang rajin berpuasa, mereka akan memasuki syurga melalui pintu ar-Rayyan. Ia sepertimana yang telah disebutkan dalam hadis Nabi SAW:

مَن أَنفَقَ زوجَينِ في سبيلِ اللهِ، نودِيَ من أبوابِ الجنةِ: يا عبدَ اللهِ هذا خيرٌ، فمَن كان من أهلِ الصلاةِ دُعِيَ من بابِ الصلاةِ، ومَن كان من أهلِ الجهادِ دُعِيَ من بابِ الجهادِ، ومَن كان من أهلِ الصيامِ دُعِيَ من بابِ الرَّيَّانِ، ومَن كان من أهلِ الصدقةِ دُعِيَ من بابِ الصدقةِ . قال أبو بكر رضي الله عنه : بأبي انت وأمي يا رسول الله ما على من دعي من تلك الأبواب من ضرورة ، فهل يدعى أحد من تلك الأبواب كلها؟ قال : نعم وأرجو تكون منهم.

“Sesiapa yang membelanjakan hartanya di jalan Allah, maka dia akan diseru untuk masuk melalui pintu syurga. “Wahai hamba Allah, ini adalah kebaikan.” Sesiapa yang sentiasa mendirikan solat, maka dia akan dipanggil (masuk syurga) melalui pintu solat. Sesiapa yang banyak berjihad, maka dia akan diseru melalui pintu jihad. Sesiapa yang banyak berpuasa, maka dia akan dipanggil melalui pintu ar-Rayyan. Sesiapa yang banyak bersedekah, maka dia akan dipanggil melalui pintu sedekah. Saidina Abu Bakar R.A berkata: Demi ibu dan ayahku wahai Rasulullah SAW, mereka yang dipanggil daripada pintu-pintu tersebut tidak lagi memerlukan kepada apa-apa. Apakah akan ada seseorang yang dipanggil dari semua pintu. Jawab Baginda SAW: Ada, aku mengharapkan engkau termasuk di kalangan mereka.” (HR. al-Bukhari & Muslim)

Meneruskan momentum ibadah Ramadan

Berkata Sheikh Dr Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya, Rabbaniyyin Laisa Ramadhaniyyin: “Jadilah hamba yang taat sepanjang masa kerana Allah dan jangan hanya menjadi ahli ibadah selama sebulan Ramadan.” Meskipun kita sudah berada dalam bulan Syawal, tetapi ia tidak boleh dijadikan alasan untuk kita terus meninggalkan segala amal ibadah yang telah dilaksanakan sepanjang Ramadan yang lalu. 

Justeru, umat Islam sangat digalakkan untuk berpuasa enam hari di bulan Syawal bagi meneruskan momentum tersebut. Puasa enam juga dapat melatih jiwa kita untuk tetap konsisten dalam mengerjakan amalan-amalan sunat pada bulan-bulan lainnya selain Ramadan.

Menampung kekurangan ibadah fardhu di bulan Ramadan

Hikmah pensyariatan amalan sunat iaitu puasa enam dapat membantu untuk menampung kekurangan ketika melaksanakan ibadah puasa di bulan Ramadan. Hal ini merujuk kepada sebuah hadis yang menyebutkan tentang kekurangan solat fardhu akan ditampung dengan amalan solat sunat. Sabda Rasulullah SAW:

إن أول ما يحاسب الناس به يوم القيامة من أعمالهم الصلاة قال يقول ربنا جل وعز لملائكته وهو أعلم انظروا في صلاة عبدي أتمها أم نقصها فإن كانت تامة كتبت تامة وإن انتقص منها شيئا قال انظروا هل لعبدي من تطوع فإن كان له تطوع قال أتموا لعبدي فريضته من تطوعه ثم تؤخذ الأعمال على ذاكم

“Perkara pertama yang akan dihitung oleh Allah pada hari kiamat nanti adalah solat. Allah berkata kepada malaikat: Perhatikan solat hamba-Ku, apakah ianya sempurna atau ada kekurangan. Sekiranya solatnya sempurna, maka tuliskan baginya pahala yang sempurna. Namun sekiranya ada kekurangan, maka lihatlah sekiranya hamba-Ku ada menunaikan solat sunat. Sekiranya dia menunaikan solat sunat, maka sempurnakannya pahala solat fardhunya itu tadi dengan pahala solat sunat kemudian ambillah pahala amalan tersebut dan berikanlah ganjaran.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Jadi, bagi sesiapa yang masih belum berpuasa, masih tidak terlambat. Marilah kita bersama-sama kita merebut peluang yang masih ada untuk mendapat kelebihan puasa 6 syawal ini. 

Sudahkah Anda Bersedekah Hari Ini?

Jika belum jom sama-sama dengan Perkim Datuk Keramat membantu mereka yang dalam kesusahan seperti asnaf, ibu tunggal, mereka yang menghidap penyakit kronik , muallaf, anak yatim dan pelbagai lagi. Sesungguhnya sedikit sumbangan anda, memberi 1000 kemanisan untuk mereka

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top