KELEBIHAN PUASA ASYURA DI BULAN MUHARRAM

PENGENALAN

Bulan Muharram mempunyai kelebihan seperti yang telah dinyatakan dalam al-Quran melalui firman Allah SWT bahawa ianya adalah salah satu daripada bulan haram. Rasulullah SAW juga telah menerangkan melalui hadith bahawa bulan Muharram adalah bulan yang diharamkan untuk berperang dan juga diberikan kemuliaan dari segi diberi ganjaran besar dalam amal soleh yang dilakukan dalam bulan ini. Sebenarnya, tiada amalan khusus yang digariskan dalam bulan Muharram ini seperti puasa dan solat tarawih di bulan Ramadhan.

Namun begitu, memandangkan bulan Muharram antara bulan yang mulia disisi Allah SWT seharusnya kita menghormati dan melakukan serta meningkatkan amalan dan juga mencegah daripada melakukan kemungkaran. Antara amalan yang digalakkan kepada umat Islam untuk dilaksanakan adalah menunaikan puasa Asyura. bukan itu sahaja, umat Islam juga dianjurkan untuk berpuasa pada hari sebelumnya iaitu pada Tasu’a (hari kesembilan).

SEJARAH PUASA ASYURA & TASU'A

Para ulama’ berselisih pendapat, bilakah kewajipan berpuasa bermula? Sebahagian mereka berpandangan, ia bermula pada bulan Ramadhan tahun kedua hijrah. Pendapat ini disandarkan kepada ulama mazhab Shafie.

Sebahagian mereka pula berpendapat, sebelum puasa diwajibkan pada bulan Ramadhan, umat Islam telahpun diwajibkan berpuasa pada hari Asyura iaitu hari yang kesepuluh dalam bulan Muharram. Kemudian kewajipan tersebut telah diangkat dan digantikan dengan kewajipan berpuasa pada bulan Ramadhan.

Abdullah bin Umar RA berkata: “Rasulullah SAW telah berpuasa pada hari Asyura dan memerintahkan para sahabat berpuasa pada hari tersebut. Apabila difardhukan puasa pada bulan Ramadhan, maka puasa hari Asyura tidak lagi dilakukan sebagai ibadah wajib”.

Ulama’ mazhab Shafie berpendapat, dalil-dalil di atas tidak mengandungi perintah wajib. Ia sekadar anjuran puasa yang bermaksud sunat. Pendapat mereka ini dikuatkan lagi dengan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Muawiyah bin Abu Sufian RA Beliau berkata: “Wahai penduduk Madinah! Di manakah para ulama’ kamu? Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Hari ini adalah hari Asyura. Allah SWT tidak mewajibkan ke atas kamu berpuasa padanya. Aku sedang berpuasa. Barang siapa yang mahu berpuasa, dia boleh melakukannya. Barang siapa yang mahu berbuka, dia juga boleh melakukannya”.

Kemudian, pada bulan Ramadhan di tahun yang sama, kewajipan puasa Ramadhan disyariatkan. Hal ini bermakna Rasulullah SAW dan para sahabat hanya melakukan puasa wajib hari kesepuluh sekali seumur hidup mereka. Setelah itu mereka melakukannya dalam keadaan sunat sahaja.

Para ulama’ menjelaskan, diawal kedatangan Rasulullah SAW ke kota Madinah, Baginda ingin sekali melihat agar perbuatan umat Islam itu mirip atau hampir menyamai perbuatan kaum Yahudi. Ini bertujuan untuk menarik minat kaum Yahudi kepada Islam dan memperlihatkan kehebatan Islam ke atas agama berhala yang dianuti oleh bangsa Arab ketika itu. Oleh itu, tidak hairanlah mengapa Rasulullah SAW mengarahkan umatnya berpuasa pada hari kesepuluh.

Namun, setelah Islam semakin tersebar dan kuat, kaum Yahudi pula tidak menunjukkan semangat kejiranan, apatah lagi mahu memeluk Islam. Baginda SAW telah mengarahkan umatnya agar memiliki imej dan identiti sendiri dan tidak mengikut telunjuk kaum Yahudi. Justeru, di akhir hayat Rasulullah SAW, baginda berazam untuk berpuasa pada hari yang kesembilan daripada bulan Muharam supaya puasa umat Islam tidak dilihat mirip dengan puasa kaum yahudi.

HIKMAH BERPUASA HARI ASYURA

Begitu banyak manfaat dan hikmah yang dapat kita raih bila kita berpuasa Asyura. antaranya:

  • Pertama, puasa Asyura menunjukkan rasa syukur kepada Allah SWT yang telah menyelamatkan hamba-hamba-Nya yang beriman dari kejahatan orang-orang kafir iaitu selamatnya Nabi Musa dan Nabi Harun bersama Bani Israil dari kejahatan Firaun dan bala tentaranya.

  • Kedua, ibadah ini sebagai tanda meneladani Nabi Musa dan Nabi Harun dan Nabi Muhammad SAW yang berpuasa pada hari ‘Asyura.

  • Ketiga, puasa Asyura adalah untuk meneladani para sahabat yang melakukan puasa Asyura, bahkan melatih anak-anak mereka untuk melakukan puasa Asyura.

    Hal ini dapat kita fahami dari hadith Rasulullah SAW. “Dari Ibnu Abbas RA berkata: “Nabi SAW tiba di Madinah, maka beliau melihat orang-orang Yahudi berpuasa hari Asyura. Beliau bertanya kepada mereka: “Ada apa ini?” Mereka menjawab, “Ini adalah hari yang baik. Pada hari ini Allah menyelamatkan Bani Israil dari musuh mereka. Maka Nabi Musa berpuasa pada hari ini.” Nabi SAW bersabda, “Saya lebih layak dengan Nabi Musa dibandingkan kalian.” Maka beliau berpuasa Asyura dan memerintahkan para sahabat untuk berpuasa Asyura.” (HR Bukhari dan Muslim).

  • Keempat, ibadah ini boleh menghapus dosa setahun yang lalu. Rasulullah SAW bersabda, “Puasa Asyura aku memohon kepada Allah agar dapat menghapus dosa setahun yang lalu.” (HR Muslim). Imam an-Nawawi berkata: “Keutamaannya menghapus semua dosa-dosa kecil. Atau boleh dikatakan menghapus seluruh dosa kecuali dosa besar”.

LAFAZ NIAT PUASA ASYURA & TASU'A

Berikut adalah niat puasa Tasu’a dan Asyura:

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top