Hari Jumaat, penghulu segala hari penuh dengan keberkatannya. Banyak fadhilat pada hari tersebut untuk kita manfaatkan dan andai umat Islam mengetahuinya, pasti mereka berebut-rebut beramal pada hari ini.
Pada hari mulia ini pula, Allah mengirimkan keberkatannya dengan memilih salah seorang hambaNya untuk mendapat hidayah dariNya. Alhamdulillah, Allah telah menjemput seorang wanita Kristian berasal dari Sabah untuk mengucapkan syahadah. Wanita ini bernama Debra Edna Eric Murut berusia 35 tahun. Beliau menetap di Kuala Lumpur dan masih belum berkeluarga.
Maka sempurnalah majlis pengislamannya dengan dipimpin oleh Ustaz Mohamad Suhaimi bin Abdul Aziz dan disaksikan oleh jemaah sebuah surau di Sentul yang membawanya. Majlis ini berlangsung di Ibu Pejabat PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah.
Kami mendoakan agar beliau beristiqomah dengan Islam hidup dan mati, dan kami juga berdoa agar amalan sedikit kami semua sebagai saksi pada hari ini menjadi bekalan pahala untuk hidup di dunia dan akhirat. Semoga Allah mematikan kita semua dalam Khusnul Khatimah.