KONSERT COLDPLAY DI KUALA LUMPUR BERUNSUR LGBT? JAUHI PERKARA YANG SYUBHAH DAN MELALAIKAN

KONSERT COLDPLAY DI KUALA LUMPUR MUNGKIN BERUNSURKAN LGBT

KONSERT COLDPLAY DI KUALA LUMPUR

Coldplay baru-baru ini telah mengumumkan mereka akan mengadakan konsert jelajah di Kuala Lumpur pada 22 November ini dan CIMB Bank merupakan penaja utama bagi konsert tersebut. Begitu ramai peminat-peminatnya yang heboh di media sosial untuk mendapatkan tiket ke konsert itu nanti. Tidak lekang juga, heboh di media sosial tentang kemudaratan yangbakal berlaku jika berlangsungnya konsert ini. Ada yang menyatakan bahawa band ini menyokong LGBT, ada yang membantah kerana lagu yang melalaikan, ada yang menggesa agar konsert ini dihentikan.

Justeru, artikel ini, ingin berkongsi tentang siapakah sebenarnya band Coldplay dan apakah konsert ini baik untuk kita atau mudarat untuk kita? Mari kita hayati penulisan dibawah.

SIAPAKAH COLDPLAY?

Coldplay ialah sebuah band British yang ditubuhkan di London pada tahun 1996. Band ini dianggotai oleh empat orang ahli iaitu Chris Martin (vokal, piano, gitar), Jonny Buckland (gitar utama), Guy Berryman (bass), dan Will Champion (dram, vokal latar. ). Sebelum membentuk Coldplay, Chris Martin dan Jonny Buckland bertemu di University College London pada tahun 1996. Mereka kemudian membentuk sebuah band yang pada asalnya dipanggil Pectoralz, kemudian menukar namanya kepada Starfish, dan akhirnya kepada Coldplay pada tahun 1998.

Coldplay mengeluarkan album sulung mereka, “Parachutes”, pada tahun 2000 dan merupakan kejayaan besar serta-merta di UK dan di seluruh dunia. Album ini memenangi Anugerah Grammy untuk “Album Rock Terbaik” pada tahun 2002. Sejak itu, Coldplay terus mengeluarkan album yang berjaya secara komersial dan mendapat pujian secara kritis. Coldplay terkenal dengan gaya muzik melankolis dan romantis mereka, serta vokal emosional Chris Martin. Mereka juga sering memasukkan elemen elektronik dan orkestra dalam muzik mereka. Beberapa lagu popular Coldplay termasuk “Yellow”, “Clocks”, “Viva la Vida”, “Fix You”, “Paradise”, dan banyak lagi.

Coldplay telah menyatakan sokongan untuk komuniti LGBT+ dalam pelbagai cara sepanjang kerjaya mereka. Pada 2016, kumpulan itu mendedikasikan lagu mereka “Everglow” kepada mangsa penembakan kelab malam Orlando, yang menyasarkan individu LGBT+ terutamanya. Kumpulan itu juga telah menunjukkan sokongan untuk hak LGBT+ dan kesaksamaan dalam temu bual dan melalui kerja dermawan mereka. Pada 2017, Coldplay menderma $19,000 untuk membantu organisasi LGBT+ di Australia berkempen untuk kesaksamaan perkahwinan. Di samping itu, Chris Martin, penyanyi utama Coldplay, telah bersuara menyokong hak LGBT+ dan perkahwinan sejenis dalam pelbagai wawancara.

Dalam temu bual 2016 dengan Rolling Stone, dia menyatakan, “Ini 2016 – mengapa kita masih bercakap tentang hak gay seolah-olah ia adalah satu perkara? Ia tidak sepatutnya menjadi isu. Ia sepatutnya hanya hak asasi manusia.” Secara keseluruhannya, walaupun Coldplay mungkin bukan kumpulan LGBT+ secara khusus, mereka telah menunjukkan sokongan mereka kepada komuniti dan komitmen mereka untuk mempromosikan kesaksamaan dan keterangkuman.

WARNA POSTER KONSERT COLDPLAY WARNA LGBTQ

Menurut seorang pengguna Twitter, Abu Al-Nasr Al-Farabi, mendakwa Chris Martin merupakan penyokong hak asasi kumpulan songsang itu dan pernah beberapa kali mengibarkan bendera ‘pelangi’ yang mewakili golongan berkenaan.

“Sejak awal kerjaya, Chris Martin telah menyokong hak gay. Dia sering mengibarkan bendera LGBT di konsert Coldplay. Pertunjukan half time Super Bowlnya dinamakan sebagai salah satu detik LGBT terbesar oleh The Advocate,” katanya.

Daripada kenyataan ini, jelas bahawa yang buruk itu adalah lebih berat berbanding yang baik yang boleh diambil daripada konsert ini. Hal ini kerana, band ini merupakan suatu band yang menyokong LGBTQ yang telah sedia maklum bahawa ianya sebuah persatuan yang batil dan menyesatkan. Ini dari sudut Aqidah, dari sudut muzik pula, adakah konsert ini dibenarkan menurut syariat Islam? Adakah Islam melarang kita berhibur? Hayati pula kenyataan dibawah.

HUKUM MENYANYI DAN MENDENGAR LAGU

Islam merupakan sebuah agama pertengahan yang amat menekankan aspek spiritualiti dan pembangunan rohani, tapi pada masa sama turut membenarkan penganutnya berhibur dan berseronok, selagi mana ia tidak melampaui batas-batas syarak. Keinginan untuk berhibur dan kecintaan kepada kecantikan serta keindahan merupakan fitrah insani yang telah ditetapkan oleh Allah SWT kepada hamba-hambaNya.

Terdapat satu hadith berkenaan salah seorang sahabat Rasulullah SAW bernama Hanzalah RA yang merasa takut dirinya telah menjadi munafiq, kerana beliau merasa lalai daripada mengingati Allah SWT dengan berhibur bersama keluarga beliau, setelah sebelumnya bermuhasabah dalam majlis bersama Nabi SAW. Baginda SAW bersabda:

يَا حَنْظَلَةُ سَاعَةً وَسَاعَةً وَلَوْ كَانَتْ تَكُونُ قُلُوبُكُمْ كَمَا تَكُونُ عِنْدَ الذِّكْرِ لَصَافَحَتْكُمُ الْمَلاَئِكَةُ حَتَّى تُسَلِّمَ عَلَيْكُمْ فِي الطُّرُقِ

Maksudnya: Wahai Hanzalah! Ada masa untuk urusan keduniaan, ada masa untuk beribadah. Dan jika hati kamu sentiasa sama seperti kamu sedang mengingati Allah SWT, para malaikat akan bersalam denganmu dan memberi salam kepadamu di pertengahan jalan. (HR Muslim)

Imam Nawawi sewaktu mentafsirkan hadith ini yang turut diriwayatkan dengan lafaz berbeza dalam Sahih Muslim, beliau menjelaskan bahawa kita tidak dituntut untuk beribadah sepanjang masa. Kerana itu apabila Hanzalah merasa risau dirinya telah munafiq kerana ‘lalai’ daripada mengingati Allah SWT, Rasulullah SAW menjelaskan bahawa ada masa diperuntukkan untuk ibadah, ada masa juga perlu diperuntukkan untuk kehidupan dunia dan berhibur bersama keluarga. (HR Muslim)

Terdapat juga athar daripada Ibn Shihab yang berkata:

رَوِّحُوا الْقُلُوبَ سَاعَةً وَسَاعَةً

Maksudnya: Rehatkan hati-hati kalian, ada masa untuk urusan dunia, ada masa untuk urusan akhirat. 

Prinsip Halal dan Haram dalam Islam

Mufti Wilayah Persekutuan telah menukilkan di sini prinsip-prinsip Islam berkenaan halal dan haram daripada karya Dr Yusuf al-Qaradhawi, antara lain beliau menyebut:

  • Hukum asal sesuatu ialah harus (dibolehkan).
  • Kuasa halal dan haram adalah hak Allah SWT semata-mata.
  • Mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram, sama dengan syirik kepada Allah SWT.
  • Pengharaman itu adalah disebabkan oleh kotor dan mudarat.
  • Dengan perkara halal, seseorang tidak perlu lagi kepada yang haram.
  • Apa yang membawa kepada perkara yang haram, hukumnya haram.
  • Haram membuat tipu helah untuk perkara yang haram.
  • Niat yang baik tidak boleh menghalalkan yang haram.
  • Memelihara diri dari perkara yang syubhah, iaitu yang samar-samar.
  • Sesuatu yang haram itu tetap haram untuk semua.
  • Darurat mengharuskan sesuatu yang dilarang.

Nu’man bin Basyir RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ الْحَلاَلَ بَيِّنٌ وَإِنَّ الْحَرَامَ بَيِّنٌ وَبَيْنَهُمَا مُشْتَبِهَاتٌ لاَ يَعْلَمُهُنَّ كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ وَعِرْضِهِ وَمَنْ وَقَعَ فِي الشُّبُهَاتِ وَقَعَ فِي الْحَرَامِ كَالرَّاعِي يَرْعَى حَوْلَ الْحِمَى يُوشِكُ أَنْ يَرْتَعَ فِيهِ

Maksudnya: Sesungguhnya perkara halal dan haram itu jelas, dan terdapat perkara yang samar-samar (syubhah) antara keduanya, yang tidak diketahui oleh sekian ramai manusia. Barangsiapa yang memelihara dirinya daripada perkara yang syubhah, dia telah menjaga agama dan kehormatannya. Sesiapa yang termasuk dalam perkara syubhah, dia telah jatuh dalam perkara haram, seumpama pengembala yang mengembala binatang peliharaannya di sekitar kawasan larangan, lama-kelamaan akan jatuh ke dalamnya. (HR Muslim)

Hadith ini menjelaskan bahawa daerah dan ruang lingkup perkara yang halal adalah sangat luas. Bahkan, ia lebih luas daripada daerah perkara yang haram. Hal ini dapat difahami daripada perumpamaan Rasulullah SAW yang membandingkan perkara haram seumpama kawasan larangan. Oleh itu, selain kawasan larangan tersebut ialah kawasan halal. Demikianlah betapa besar dan luasnya daerah perkara halal berbanding perkara haram.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Kali ke-2 pada 12-13 Mei 1981 telah membincangkan mengenai Hukum Nasyid dan Pancaragam. Muzakarah telah memutuskan:

  • Nyanyian yang senikatanya baik, tidak lucah, tidak biadap dan tidak mendorong kepada maksiat, tidak bercampur gaul antara lelaki dengan perempuan dan tidak membawa kepada fitnah adalah harus;
  • Jika nyanyian senikatanya tidak baik, lucah, biadap, mendorong kepada maksiat, bercampur gaul lelaki dengan perempuan dan membawa kepada fitnah maka nyanyian itu adalah haram;
  • Pancaragam yang melalaikan hukumnya haram
  • Mendengar nyanyian dan pancaragam adalah harus dengan syarat; senikatanya baik, tidak lucah, tidak biadap, tidak bercampur lelaki dan perempuan dalam keadaan yang tidak menimbulkan fitnah; dan
  • Menyanyi untuk menimbulkan semangat jihad adalah harus.

Jika contoh lagu yang dinyatakan dalam soalan itu bertentangan dengan kaedah yang ditentukan di atas, maka hendaklah ditinggalkan dan dihentikan penyiarannya di radio-radio tempatan. Kami melihat bahawa penyiaran lagu yang berunsur seks dan lucah di radio-radio tempatan adalah tidak wajar khususnya kepada generasi muda yang mudah terpengaruh dengan budaya tidak bermoral, hedonisme dan melalaikan diri daripada matlamat sebenar hidup ini adalah untuk mencari keredhaan Allah. Namun, kami akui sukar untuk membendung aktiviti yang tidak menepati syariat tetapi diamalkan atau dibudayakan dalam komuniti selain Muslim atas kekangan undang-undang dan sebagainya. Mungkin cadangan ini boleh diajukan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia untuk menilai semula isu penyiaran lagu berunsur seks dan lucah di radio-radio tempatan dengan lebih professional. DJ-DJ radio juga dinasihati agar menapiskan lagu-lagu yang diputarkan agar bersesuaian dengan nilai-nilai kesopanan dan tidak hanya mengejar kemasyhuran semata-mata.

Daripada kenyatan Mufti Wilayah Persekutuan ini menunjukkan tentang garis panduan dalam menyanyi dan mendengar nyanyian. Jelas disini bahawa lagu-lagu yang dibawakan oleh Coldplay boleh mendatangkan kelalaian kepada para pendengar. Tambahan pula, dibimbangi semakin ramai pengikut LGBTQ yangbertambah kerana mengikut orang yang salah iaitu Coldplay jika mereka mempromosikan LGBT. Oleh itu, sebagai seorang Muslim sejati kita perlu menyebar kepada lebih ramai orang agar lebih ramai yang sedar akan kemudaratan daripada konsert ini. Sesungguhnya itulah usaha yang boleh kita lakukan sebagai rakyat biasa.

Wallahua’lam.

Sudahkah anda bersedekah hari ini? Jika belum, mari tekan butang “Bantu Mereka” dibawah dan salurkan sumbangan. Sesungguhnya tangan yang memberi itu lebih baik daripada tangan menerima. Terima kasih.

Sudahkah Anda Menjadi Tangan Yang Memberi?

Jika belum jom sama-sama dengan Perkim Datuk Keramat membantu mereka yang dalam kesusahan seperti ibu tunggal, mereka yang menghidap penyakit kronik dan pelbagai lagi. Sesungguhnya sedikit sumbangan anda, memberi 1000 kemanisan untuk mereka

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top