LANGKAH PERSEDIAAN MENGHADAPI BANJIR

LANGKAH PERSEDIAAN MENGHADAPI BANJIR

BENCANA BANJIR DI MALAYSIA

Saban tahun, kita sering menonton di kaca televisyen, mendengar di radio mahupun membaca di laman web mengenai beberapa kawasan di negara ini pasti dilanda banjir terutama apabila tiba musim tengkujuh.

Pada masa sama, sudah menjadi lumrah kebanyakan daripada kita akan mengambil cuti panjang dan melancong bersama keluarga ataupun rakan, tidak terkecuali ke kawasan berpotensi banjir.

Umum mengetahui banjir akan menyebabkan beberapa gangguan perkhidmatan termasuk kerosakan infrastruktur. Oleh itu, kita perlu berjaga-jaga daripada melancong ke kawasan yang berisiko banjir dan tanah runtuh. Jangan kerana ingin bersuka ria, akhirnya kecundang menjadi duka.

Dilaporkan juga bahawa situasi banjir yang melanda pantai timur Semenanjung terus memburuk, dengan lebih 14,000 mangsa direkodkan di Kelantan dan Terengganu.

Mangsa banjir di Kelantan terus meningkat kepada 7,169 orang daripada 2,170 keluarga dan ditempatkan di 73 PPS. Begitu juga di Terengganu, 139 PPS dibuka menempatkan 6,948 mangsa daripada 2,027 keluarga yang dipindahkan. Selain itu, di Johor, 75 mangsa daripada 21 keluarga ditempatkan di tiga PPS. Di Perak, seramai 49 mangsa daripada 16 keluarga dipindahkan ke dua PPS. Di Pahang pula, satu PPS dibuka menempatkan 40 mangsa daripada 13 keluarga.

Dalam perkembangan berkaitan, sembilan mangsa banjir daripada dua keluarga dipindahkan di satu PPS di Sarawak. Dengan ini, jumlah keseluruhan mangsa banjir di enam negeri mencecah 14,290 orang daripada 4,249 keluarga yang ditempatkan di 219 PPS.

Lantaran itu, komitmen dalam mengatur langkah keselamatan pada peringkat persediaan amatlah penting bagi memastikan bahawa sumber-sumber yang diperlukan ada sewaktu diperlukan. Berikut adalah antara langkah yang disediakan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) sebagai persiapan menghadapi banjir, apa yang perlu dilakukan ketika banjir dan apakah tindakan yang perlu diambil selepas banjir berlaku.

LANGKAH PERSEDIAAN MENGHADAPI BANJIR

SEBELUM BANJIR

Di rumah

  • Dapatkan maklumat tentang banjir di tempat anda.
  • Pastikan sistem amaran banjir dan dengar hebahan semasa yang disampaikan melalui radio,televisyen dan agensi-agensi kerajaan yang berkenaan serta Bilik Gerakan Banjir Negeri atau Daerah yang berhampiran.
  • Periksa lubang air seperi longkang atau saluran najis. Bersihkan halangan dan pastikan ia tertutup rapat supaya air banjir tidak masuk melaluinya.
  • Pastikan di mana Pusat Pemindahan dan Pusat Bantuan Bencana di tempat anda.
  • Sediakan peralatan kecemasan dan bekalan makanan secukupnya.
  • Pastikan seluruh keluarga anda mengetahui cara-cara bertindak semasa kecemasan di rumah.

Jika ingin melancong ke kawasan berpotensi banjir

  • Bagi yang mempunyai bayi, bawa kelengkapan bayi supaya mudah diuruskan ketika banjir berlaku.
  • Simpan nombor telefon klinik, hospital dan orang yang boleh dihubungi ketika kecemasan.
  • Pesakit kronik perlu bawa bekalan ubatan mencukupi selain pemantauan jadual rawatan kerana dikhuatiri berdepan masalah ketika berada dalam keadaan banjir.
  • Selalu dapatkan maklumat mengenai taburan hujan seperti akses kepada laman web Jabatan Meteorologi, Portal Bencana atau Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia.
  • Jika tempat yang ingin dikunjung merupakan kawasan yang berpotensi sangat tinggi untuk banjir, ellakkanlah daripada melancong ke kawasan berikut dan memilih waktu lain yang sesuai.

SEMASA BANJIR

Ketika mendapat tanda-tanda awal banjir

  • Dengar melalui pengumuman radio, televisyen atau pihak-pihak tertentu.
  • Pindahkan perabut atau peralatan-peralatan lain ke tempat yang selamat.
  • Letakkan dokumen penting di tempat yang selamat atau bawa bersama anda dalam bekas kalis air.
  • Bersedia untuk menutup suis elektrik, injap utama bekalan air dan gas.
  • Beritahu jiran anda dan bersedia untuk berpindah.

Semasa pemindahan

  • Apabila menerima arahan, segeralah berpindah ke pusat-pusat pemindahan yang disediakan.Berpindah awal sebelum banjir meningkat atau pada waktu siang kerana ianya lebih mudah dan selamat.
  • Ikut laluan yang ditentukan, laluan dekat mungkin terhalang.

Di dalam kenderaan

  • Jangan terus mengharungi kawasan banjir, hendaklah berpatah balik ke tempat yang selamat.
  • Jika kenderaan anda terhenti, kunci kenderaan serta tinggalkan kenderaan tersebut dan pergilah ke tempat yang selamat

Di dalam rumah

  • Dengar pengumuman melalui radio, televisyen atau pihak tertentu.
  • Bersedia dengan peralatan kecemasan.
  • Jika diarahkan keluar dan berpindah, segera lakukan.

Di luar rumah

  • Pergi ke tempat tinggi dan selamat.
  • Elakkan dari melalui kawasan banjir, arus deras yang boleh menghanyutkan anda.
  • Jangan sengaja bersiar-siar di kawasan banjir sama ada dengan sampan mahupun berjalan kaki.
  • Jangan sentuh mana-mana kabel atau wayar yang jatuh.
  • Awasi kanak-kanak, jangan biarkan mereka bermain-main di longkang, sungai atau lombong.
  • Jangan minum air banjir.

SELEPAS BANJIR

  • Dengar pengumuman melalui radio atau tunggu arahan pihak berkuasa, jangan kembali ke rumah sebelum dibenarkan atau sebelum keadaan benar-benar selamat.
  • Beri bantuan kepada jiran anda atau orang kurang upaya (orang tua, kanak-kanak atau golongan istimewa).
  • Periksa rumah anda, lihat tanda-tanda rekahan atau mendapan kerana ianya mengkin tidak selamat.
  • Jangan terus memasuki rumah yang masih dibanjiri air, berhati-hati banyak bahaya yang tidak terduga dan tersembunyi.

Semasa memasuki bangunan

  • Pakai kasut.
  • Periksa kerosakkan dinding, lantai, pintu dan tingkap.
  • Periksa sebarang kehadiran binatang atau serangga berbisa yang merbahaya. Gunakan kayu untuk mengalihkan sebarang halangan yang bertaburan di lantai rumah anda.
  • Perhatikan siling dan plaster dinding yang mungkin rekah, lerai dan jatuh.
  • Periksa ancaman bahaya
  • Periksa paip saluran gas yang mungkin pecah atau bocor.
  • Periksa wayar elektrik yang terendam di dalam air.
  • Periksa peralatan elektrik yang tenggelam.
  • Periksa bahan-bahan yang mudah terbakar yang mungkin mengalir masuk semasa banjir (Minyak tanah, petrol, diesel dan sebagainya).
  • Buang bahan-bahan makanan yang terendam yang terkena banjir termasuklah makanan dalam tin.
  • Periksa kerosakan tangki septik untuk mengelakkan bahaya biologi.

Laporkan sebarang kerosakan kemudahan-kemudahan awam kepada pihak yang berkuasa. Apabila menghadapi bencana banjir, eleme keselamatan yang perlu diambil perhatian dan seterusnya adalah dokumen-dokumen penting agar tiada masalah lain yang mendatang.

BANTU-MEMBANTU ORANG YANG DALAM KESUSAHAN

Sudah diketahui kawasan yang bakal dan sedang mengalami banjir, tentunya ada Kawasan yang tidak terjejas walau sedikitpun. Justeru, masyarakat yang masih lagi diberikan kelebihan tidur dengan tenang tanpa memikirkan masalah bencana perlulah menanamkan sikap prihain kepada saudara kita diluar sana yang memerlukan bantuan

Bantu Orang Susah

Bantulah semampu yang boleh dari segi tenaga, duit, pakaian dan sebagainya. Selain bantuan yang disalurkan oleh pihak kerajaan, kita juga ada sesama kita untuk menjaga kebajikan sesama masyarakat. Apa sahaja bentuk bantuan yang diberikan, semoga dipermudahkan urusan baginya.

Wallahua’lam.

Sudahkah Anda Menjadi Tangan Yang Memberi?

Jika belum jom sama-sama dengan Perkim Datuk Keramat membantu mereka yang dalam kesusahan seperti ibu tunggal, mereka yang menghidap penyakit kronik dan pelbagai lagi. Sesungguhnya sedikit sumbangan anda, memberi 1000 kemanisan untuk mereka

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top