Kehidupan kita pada hari ini serba serbi cukup. Mempunyai tempat tinggal, makan minum yang cukup, kerja untuk mencari makan dan banyak lagi. Tetapi ada juga dalam kalangan kita yang diuji tanpa salah satu daripada nikmat yang disebutkan tadi bahkan ada juga yang diuji dengan kemiskinan, masalah kesihatan, perpecahan keluarga dan berbagai-bagai lagi musibah yang melanda.
Namun, dengan pelbagai nikmat yang Allah berikan kepada kita, adakah kita bertanggungjawab keatas semua nikmat itu. Sebagai seorang mukmin yang sejati kita semestinya bertanggungjawab menggunakan setiap nikmat yang dikurniakan di jalan yang benar. Hal ini kerana, setiap nikmat itu adalah amanah daripada Allah SWT.
Mukmin yang sejati bukanlah semata-mata kuat solat dan berpuasa sahaja. Allah SWT dan Rasul-Nya memerintahkan bahkan memberi contoh kepada umat Islam untuk menjadi orang yang dermawan serta pemurah. Ia juga adalah salah satu sifat Allah Ta’ala, sebagaimana hadith Rasulullah SAW:
إن الله تعالى جواد يحب الجود ويحب معالي الأخلاق ويكره سفسافها
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah Ta’ala itu Maha Memberi, Dia mencintai kedermawanan serta akhlak yang mulia, Dia membenci akhlak yang buruk.” (HR. Al-Baihaqi)
Seseorang yang mengambil berat sesama saudaranya sendiri, adalah seorang mukmin yang sejati. Bukan sekadar memastikan perutnya diisi dengan kekenyangan dan tempat berteduhnya lengkap dan selesa. Mukmin sejati akan ada sifat empati dan timbang rasa. Dengan adanya sifat kedua-dua ini, sudah tentu kita akan jadi seorang yang dermawan. Nabi SAW juga terkenal dengan sifat dermawan ini. Hal ini berdasarkan hadith Rasulullah SAW:
عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَحْسَنَ النَّاسِ وَأَشْجَعَ النَّاسِ وَأَجْوَدَ النَّاسِ
Daripada Anas RA berkata; “Nabi SAW adalah orang yang paling baik, paling berani dan paling dermawan.” (HR Bukhari)
Tidakkah kita menjadi Rasulullah SAW sebagai ikutan yang terbaik. Orang kafir quraisy sahaja mengakui bahawa Baginda adalah orang yang paling baik dan jujur. Hanya kerana sifat angkuh dan dengki mereka ingkar dengan perintah Allah dan Rasulnya. Inikan pula kita yang lahirnya telah didaftarkan sebagai seorang yang beragama Islam. Betapa beruntungnya umat Muhammad SAW ketika ini. Jangankan kita sebut Rasulullah SAW idola jika sedikit dari sifat dan dakwah yang disampaikan oleh Baginda tidak mampu kita ikuti.
Oleh itu, jangan tunggu lagi, ingin menjadi dermawan tidak semestinya perlu menderma dengan kadar yang banyak. Sesungguhnya derma yang diberikan ikhlas kerana Allah SWT meski ianya sedikit lebih baik daripada derma yang banyak kerana pandangan manusia semata-mata.
Pada bulan Ramadan, terdapat banyak kelebihan yang dijanjikan oleh Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jika datang bulan Ramadan, pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup dan syaitan-syaitan dibelenggu.” (HR. Bukhari & Muslim)
Ia adalah sebaik-baik bulan untuk merebut dan meraih ‘bonus istimewa’ yang tidak terdapat dalam bulan-bulan lain. Bayangkan tiada gangguan syaitan lagi yang menghasut diri untuk melakukanb kejahatan. Hanya kehendak diri sendiri yang mengawal dan memilih samada amalan yang baik atau buruk yang menjadi pilihan. Sebab itu, pada bulan Syaaban kita digalakkan untuk memperbanyakkan amalan sunat agar ianya menjadi suatu kebiasaan pada diri kita dan salah satunya adalah bersedekah.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sedekah yang paling utama adalah sedekah pada bulan Ramadan.” (HR. At-Tirmidzi)
Bayangkan amalan sedekah telah menjadi suatu kelaziman diri kita setiap minggu. Dengan sedikit harta yang kita salurkan Allah SWT melipatkali gandakan ganjaran bagi seseorang yang bersedekah pada bulan Ramadhan. Kelebihan sedekah juga telah banyak disebutkan pada artikel yang lepas. Ditambah pula dengan keberkatan dan limpahan rahmat dan nikmat pada bulan Ramadhan.
Rasulullah SAW bersabda:
والصدقة تطفىء الخطيئة كما تطفىء الماء النار
Maksudnya: “Sedekah dapat menghapuskan dosa sebagaimana air memadamkan api.” (HR. At-Tirmidzi)
Sepertimana api yang mudah merebak, begitu juga dengan dosa seseorang. Begitu mudah sekali kita leka dan alpa yang mendorong diri ini untuk melakukan kejahatan dan maksiat. Begitu mudah sekali anggota ini untuk mengikut keburukan dan memandang kejahatan berbanding mengikut kebaikan. Namun, dengan sedekah, api atau dosa ini dapat dihapuskan dan dipadamkan. Soal dosa kecil atau besar bukanlah kerja kita untuk mengetahui dan menentukan. Bersedekahlah selagi mampu kerana dengan itu Allah SWT dapat menghapuskan dosa kita yang lepas dan meredhai diri kita. Kita tetap dituntut untuk bertaubat kerana dengan itu jugalah menunjukkan sifat kehambaan seorang hamba kepada Tuhannya.
Berpuasa pada bulan Ramadhan ialah ibadah yang agung. Bahkan, pahala puasa tidak terbatas gandaan ganjarannya. Ditambah pula janji Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat ke- tentang ganjaran bagi seseorang yang berinfaq dijalan Allah SWT:
مَّثَلُ ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَٰلَهُمْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنۢبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِى كُلِّ سُنۢبُلَةٍۢ مِّا۟ئَةُ حَبَّةٍۢ ۗ وَٱللَّهُ يُضَـٰعِفُ لِمَن يَشَآءُ ۗ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٌ ٢٦١
Maksudnya: “Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti seniji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah) Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi meliputi ilmu pengetahuanNya.
Bayangkan betapa besarnya ganjaran yang diberikan bagi seseorang yang bersdekah pada bulan Ramadhan. Tidak terkira betapa banyaknya. Nikmat sahaja telah banyak diberikan keatas kita, tetapi hanya dengan sedikit daripada harta kita sedekahkan Allah SWT membalas semula dengan ganjaran yang tidak terbayang banyaknya.
Kalau kita dapat bonus pada bulan Ramadhan sempena nak menyambut raya Aidilfitri, sudah tentu kita akan menjadi insan yang gembira pada hari itu. Tetapi, jika nak dibandingkan bonus di dunia dan bonus yang Allah SWT janjikan, sangat jauh beza nilainya.
Rasulullah SAW bersada yang bermaksud: “Sesungguhnya di syurga terdapat ruangan-ruangan yang bahagian luarnya dapat dilihat dari dalam dan bahagian dalamnya dapat dilihat dari luar. Allah menganugerahkannya kepada orang yang berkata baik, bersedekah makanan, berpuasa, dan solat di kala kebanyakan manusia sedang tidur.” (HR. At-Tirmidzi dan Ibnu Hibban)
Daripada hadith ini dapat difahami bahawa berpuasa dan solat malam saat orang lain tidur merupakan amalan yang agak berat untuk dilakukan memandangkan ianya memerlukan tempoh waktu dan usaha yang lebih. Oleh itu, dapat difahami jika ianya amalan yang dijanjikan Syurga bagi seseiapa yang melakukannya. Namun, sedekah juga termasuk antara amalan yang diganjarkan Syurga bagi sesiapa yang melakukannya. Betapa mudah untuk masuk ke Syurga Allah SWT jika kita benar-benar mengikut apa yang diperintahkan oleh Allah SWT dan apa yang diwahyukan kepada Rasulullah SAW.
Namun, jangan disalah ertikan bahawa dengan amalan sedekah sahaja kita mampu untuk memasuki ke Syurga. Setiap kali kita menghulurkan sumbangan, berdoalah agar ibadah ini dipandang Allah SWT dan dikurniakan rahmat di akhirat kelak yang pada akhirnya diizinkan oleh-Nya untuk masuk ke syurga. Selain itu juga, hadith ini turut menyatakan dua amalan lainnya iaitu berpuasa dan bangun malam. Jangan pula kita meninggalkan salah satu daripada amalan ini. Jika bangun malam agak berat, mulakanlah dengan bersedekah. Semoga dengan asbab kebaikan yang kita lakukan untuk orang lain, Allah SWT permudahkan urusan bagi kita untuk bangun malam.
Solat malam pula merupakan ibadah yang terbaik. Sesiapa yang mendirikannya pada bulan Ramadan, ia akan menjadi penghapus dosa-dosanya yang telah lalu. – Jika ketiga-tiga amalan ini iaitu berpuasa, sedekah dan solat malam pada bulan Ramadan, maka balasannya adalah jaminan syurga.
Wallahua’lam.
Jom bersedekah pada hari ini. Telah disebutkan berbagai-bagai ganjaran bagi orang yang bersedekah. Boleh klik pada butang Bantu Mereka segera dibawah dan salurkan sumbangan. Terima kasih.
Jika belum jom sama-sama dengan Perkim Datuk Keramat membantu mereka yang dalam kesusahan seperti ibu tunggal, mereka yang menghidap penyakit kronik dan pelbagai lagi. Sesungguhnya sedikit sumbangan anda, memberi 1000 kemanisan untuk mereka