Musibah Banjir : Apa Hikmahnya?

Musibah-Banjir-Apa-hikmahnya

Banjir 2021 mengakibatkan 6 buah negeri terjejas. Antara yang paling teruk terjejas adalah kawasan sekitar Selangor. Sebanyak 34 kematian dicatatkan setakat hari ini yang membabitkan 23 orang di Selangor dan 11 orang di Pahang (Astro Awani : 21 Disember 2021 ). Banjir kali ini dianggap yang terburuk di Selangor semenjak 7 tahun lepas ujar pengarah bomba dan penyelamat, Norazam Khamis.

Kesan dari banjir kali ini, kita dapat lihat pelbagai kemusnahan yang berlaku.  Ada yang kehilangan harta benda seperti kereta, perabot, barang elektronik dan sebagainya. Tak terkecuali juga ada yang hanya tinggal sehelai sepinggang akibat arus deras yang menghanyutkan rumah mereka. Namun apa yang paling menyedihkan adalah kehilangan jiwa akibat lemas ketika banjir berlaku.

Sejujurnya memang ramai yang bersedih dan berduka kerana mengalami kerugian yang banyak dari segi harta benda dan juga kehilangan orang yang tersayang. Namun, sebagai umat islam, kita seharusnya bersangka baik dengan setiap ketentuan Allah S.W.T. Setiap apa yang Allah jadikan sudah tentu tersimpan hikmah disebalik kejadian itu. Mari kita sama sama berkongsi, apakah antara hikmah Allah turunkan musibah banjir ini kepada kita.

Mendekatkan diri kita dengan Allah S.W.T

Antara salah satu sebab utama kenapa Allah turunkan banjir kepada kita adalah mungkin kerana kita lalai. Lalai dari melakukan tugas kita sebagai hamba Allah. Banyak nikmat yang Allah telah berikan kepada kita. Tapi kita tidak gunakan nikmat itu untuk mendekatkan diri kita dengan Allah. Contohnya, Allah berikan kita sebuah kereta mewah, tapi kita tidak gunakannya untuk ke masjid. Allah hadiahkan rumah yang besar, tapi Al-quran tak pernah berkumandang dalam rumah itu. Nilai nilai islam juga tidak diamalkan dalam rumah itu. 

 Jadi Allah turunkan musibah banjir dengan menghancurkan segala harta benda itu sebagai cara Allah mentarbiah diri kita. Lumrah manusia, apabila diuji dengan kesulitan dan kesusahan, dia akan segera mencari pertolongan dan tempat untuk mengadu. Dan sebaik baik tempat pertolongan adalah kembali kepada Allah S.W.T.

Membentuk peribadi mukmin

Setiap musibah yang berlaku adalah ketentuan dari Allah. Ia adalah ujian yang diberikan kepada hambaNya supaya setiap dari kita dapat membentuk peribadi yang hebat sebagai umat Islam. 

Ujian mendidik hati setiap orang untuk lebih  bersabar dan redha dengan apa jua yang berlaku. Ia juga adalah tanda kasih dan cinta Allah kepada hambaNya. Firman Allah SWT yang bermaksud:

 “Dan sesungguhnya akan Kami berikan ujian kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. Orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: “Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji’uun”.”

(Surah Al-Baqarah 2: Ayat 155-156)

Dari Shuhaib, ia berkata, Rasulullah SAW bersabda :

 “Sungguh menakjubkan keadaan seorang mukmin. Seluruhnya urusannya itu baik. Ini tidaklah didapati kecuali pada seorang mukmin. Jika mendapatkan kesenangan, maka ia bersyukur. Itu baik baginya. Jika mendapatkan kesusahan, maka ia bersabar. Itu pun baik baginya.”

(HR. Muslim, no. 2999)

Merupakan peringatan daripada Allah untuk kita semua

Apabila seorang anak melakukan kesalahan sudah tentu si ayah akan menegur anak itu. Begitu juga konsepnya yang kita boleh kaitkan dengan situasi banjir yang berlaku. Apabila manusia dilihat semakin lalai dan bergelumang dengan dosa, maka Allah turunkan banjir ini sebagai peringatan terhadap kita.

Tengok sahaja di media sosial, betapa mudahnya fitnah dilontarkan. Banyak perbalahan yang berlaku akibat dari fitnah yang dibuat sewenang-wenangnya tanpa ada rasa takut sedikitpun terhadap balasan Allah. Golongan LGBT pula dilihat tanpa segan silu menyatakan pendirian mereka di khayalak ramai. Para pemimpin pula asyik berebut kuasa sehingga rakyat berasa tertekan dan tertindas.  Tidakkah ini semua mungkin antara sebab kenapa Allah turunkan musibah ini? Firman Allah SWT yang bermaksud: 

“Dan apa jua menimpa kamu daripada sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dosa kamu.”

(Surah Asy-Syu’ara ayat 30)

Menghapuskan dosa

Allah tidak akan menguji seseorang melebihi dari kemampuannya. Mereka yang ditimpa ujian sudah pasti dan selayaknya menerima ujian itu kerana Allah ingin memberi sesuatu yang lebih bernilai dan bermakna buat mereka. Dan salah satu hikmah disebalik ujian adalah sebagai penghapus dosa.

Sebagai manusia, sudah tentu kita tidak dapat lari dari melakukan dosa. Ada yang dosa yang terang-terangan kita nampak dan ada juga dosa kecil yang kita tidak sedar. Jadi Allah turunkan banjir ini sebagai asbab untuk menghapuskan segala dosa kita yang banyak itu. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Tiadalah seorang Mukmin yang ditimpa musibah tertusuk duri atau lebih (teruk) daripada itu melainkan dengannya (musibah tersebut) Allah akan menghapuskan sebahagian daripada dosa-dosanya.”

(HR Bukhari dan Muslim)

Bukti kesemuanya pinjaman dari Allah

Kadang kadang ada segelintir manusia yang berasa bangga dengan kekayaan harta yang dimilikinya. Dia menganggap kesemua harta yang dimilkinya adalah hasil titik peluhnya semata mata. Dia lupa, bahawa Allah yang memberi kesemua kekayaan itu padanya, dan Allah boleh menariknya semula.

Dalam dunia ini tidak ada satu pun yang milik kita. Dari sekecil kecil benda hingga sebesar besar benda, semuanya adalah pinjaman dari Allah. Kesemuanya bersifat sementara. Musibah banjir besar yang terjadi ini menjadi bukti kukuh dimana Allah berhak mengambil apa sahaja yang diberi kepada hamba-hambanya. Sebagai hamba yang taat, kita mestilah redha dan berlapang dada atas segala yang telah berlaku dan jangan sekali kali kita menyalahkan takdir.

Menimbulkan rasa syukur

Banjir besar ini telah memusnahkan pelbagai harta benda dan meragut banyak nyawa. Namun, disebalik kesemua musibah itu, Allah datangkan satu nikmat iaitu syukur. Orang yang paling bahagia adalah orang yang sentiasa bersyukur.

Rasa syukur itu akan timbul jika kita melihat mereka yang lebih terkesan daripada kita. Mungkin kita rasa sangat sedih sebab kereta musnah ditenggelami air, tapi kita mesti ingat yang ada lagi orang yang mengalami nasib yang lebih teruk dari kita. Ada yang hanya  tinggal sehelai sepinggang akibat rumah mereka dihanyutkan oleh arus yang deras. Ada juga  yang kehilangan nyawa orang yang tersayang akibat terperangkap dan lemas semasa banjir. Tidakkan itu akan membuatkan kita rasa lebih bersyukur?

Memupuk rasa tanggungjawab

Peristiwa banjir ini membuka hati dan mata banyak pihak. Ramai yang merasakan kesedihan yang dialami oleh mangsa banjir walaupun rumah mereka tidak dilanda banjir. Setiap tangisan dan kedukaan setiap mangsa menjentik mereka yang melihatnya di media sosial untuk tampil menghulurkan bantuan. Ada yang sanggup datang dari negeri lain membawa bot semata mata nak menolong mereka yang terperangkap. Ada juga yang sanggup turun padang dan bersama-sama menyalurkan bantuan. Tidak lupa juga ada beberapa NGO bersama sama pihak Polis,Bomba dan Rela bersatu padu menolong mangsa mangsa banjir ini. 

Sikap tanggungjawab inilah yang kita dapat lihat dalam diri kebanyakan penduduk Malaysia yang sentiasa meletakkan kesusahan orang lain di atas bahu masing masing agar segala masalah dapat diselesaikan bersama. Keprihatinan inilah yang menjadikan ikatan kasih dan sayang antara kita tidak kira bangsa dan agama menjadi semakin kuat dan meningkatkan nilai empati dalam diri setiap individu.

Jadi, marilah kita sama-sama membantu dan menjadi sebahagian dari mereka yang betul betul membantu mangsa mangsa banjir ini dengan sepenuh hati. Jika tidak berkesempatan untuk turun padang kita boleh salurkan bantuan dengan menyalurkan sumbangan kepada Perkim Datuk Keramat. Meraka memerlukan dana sebanyak RM 300,000 untuk menolong mangsa-mangsa banjir. 

Semoga setiap sumbangan yang kita lakukan pada kali ini, Allah catatkan sebagai amal yang baik dan semoga Allah berikan kita kebaikan di akhirat kelak. 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top