PERHIMPUNAN & PERARAKAN BERUNSURKAN LGBT DI DATARAN MERDEKA

PERHIMPUNAN & PERARAKAN BERUNSURKAN LGBT DI DATARAN MERDEKA

PERHIMPUNAN & PERARAKAN LGBT

Baru-baru ini, telah berlaku suatu perhimpunan dan perarakan yang dipercayai mempunyai unsur dan kaitan dengan LGBT di hadapan Kompleks Sogo dan Dataran Merdeka. Telah dilaporkan bahawa daripada tindakan beramai-ramai ini mengundang siasatan pihak polis Dang Wangi. Kenyataan media Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Noor Dellhan bin Yahaya menyatakan, “Pada 12/03/2023 jam lebih kurang 10 pagi, terkesan satu perhimpunan serta perarakan yang tidak mematuhi peruntukan undang-undang diadakan di hadapan Kompleks Sogo dan Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.”

Ahad lalu, polis mengesan seramai 150 orang terbabit dalam perhimpunan dipercayai ada kaitan dengan pesta lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) atau perarakan kumpulan seks songsang yang dikatakan berlaku di hadapan Kompleks Sogo ke Dataran Merdeka.Mereka berarak sambil memegang plakad bertulis, ‘Imagine If Men Are As Disgusted With Rape As With Periods, Child Not Pride, Trans Women Are Woman, Police Your Behaviour Not My Body’ dan lain-lain lagi.

Perarakan ini menunjukkan sikap berani mereka dalam menyuarakan sesuatu yang tidak sepatutnya dikhalayak ramai. Yang mana terkandung didalam plakad mereka tentang hak bagi LGBT yang mereka perjuangkan.

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) diarahkan menyiasat satu perarakan di hadapan Kompleks Sogo dan Dataran Merdeka, baru-baru ini. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata pihaknya menerima laporan serta maklum balas daripada orang ramai berhubung perkara itu dan JAWI akan menyiasat dengan kerjasama polis. Katanya, selaku pihak berkuasa agama di Wilayah Persekutuan, JAWI tidak akan berkompromi dengan sebarang perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Islam serta undang-undang yang dikuatkuasakan.

Beliau meminta semua pihak supaya akur dan menghormati kedudukan Islam seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Sebarang usaha untuk mempromosi serta menormalisasikan gaya hidup songsang yang bercanggah dengan nilai Islam dan fitrah insan tidak boleh diterima sama sekali,” katanya melalui kenyataan, hari ini.

LGBT

Golongan LGBT adalah golongan yang menghadapi kekeliruan identiti. Kebanyakan golongan transeksual menganggap diri mereka terperangkap dalam fizikal jantina yang berlawanan dengan minda dan perasaan mereka. Keyakinan tersebut mendorong segelintir daripada komuniti ini nekad melakukan pembedahan menukar jantina akibat terbelenggu dengan konflik diri untuk menerima jantina sendiri. LGBT juga boleh dikategorikan sebagai penyakit psikitari atas faktor kecelaruan pemikiran yang dihadapi. Penyakit ini juga tidak terhad kepada gender semata-mata tetapi turut merangkumi beberapa aspek lain seperti warna kulit, usia dan lain-lain

DALIL TENTANG LGBT

Firman Allah SWT:

وَجَاءَهُ قَوْمُهُ يُهْرَعُونَ إِلَيْهِ وَمِن قَبْلُ كَانُوا يَعْمَلُونَ السَّيِّئَاتِ ۚ قَالَ يَا قَوْمِ هَـٰؤُلَاءِ بَنَاتِي هُنَّ أَطْهَرُ لَكُمْ ۖ فَاتَّقُوا اللَّـهَ وَلَا تُخْزُونِ فِي ضَيْفِي ۖ أَلَيْسَ مِنكُمْ رَجُلٌ رَّشِيدٌ

Maksudnya: “Dan kaumnya pun datang meluru kepadanya (dengan tujuan hendak mengganggu tetamunya), sedang mereka sebelum itu sudah biasa melakukan kejahatan. Nabi Lut berkata: “Wahai kaumku! Di sini ada anak-anak perempuanku mereka lebih suci bagi kamu (maka berkahwinlah dengan mereka). Oleh itu takutlah kamu kepada Allah, dan janganlah kamu memberi malu kepadaku mengenai tetamu-tetamuku. Tidakkah ada di antara kamu seorang lelaki yang bijak berakal (yang dapat memberi nasihat)?” (Surah Hud: 78)

Firman Allah SWT:

أَتَأْتُونَ الذُّكْرَانَ مِنَ الْعَالَمِينَ .  وَتَذَرُونَ مَا خَلَقَ لَكُمْ رَبُّكُم مِّنْ أَزْوَاجِكُم ۚ بَلْ أَنتُمْ قَوْمٌ عَادُونَ

Maksudnya: “Patutkah kamu melakukan hubungan jenis dengan lelaki dari kalangan manusia, Dan kamu tinggalkan apa yang diciptakan oleh Tuhan kamu untuk kamu (melakukan hubungan yang halal) dari badan isteri-isteri kamu? (Kamu orang-orang yang bersalah) bahkan kamu adalah kaum yang melampaui batas (keinginan kebanyakan haiwan)!” (Surah al-Syu’ara’: 165-166)

Sabda Nabi SAW:

مَنْ وَجَدْتُمُوهُ يَعْمَلُ عَمَلَ قَوْمِ لُوطٍ فَاقْتُلُوا الْفَاعِلَ وَالْمَفْعُولَ بِهِ

Maksudnya: “Sesiapa sahaja yang engkau dapati mengerjakan perbuatan homoseksual maka bunuhlah kedua pelakunya”. (HR Ahmad)

Terdapat lebih banyak lagi dalil daripada nas al-Quran dan al-Hadith yang menerangkan tentang pengharaman hubungan sejenis. Apa yang menyedihkan adalah perhimpunan dan perarakan yang berjalan baru-baru ini terdiri juga daripada wanita yang bertudung litu. Ini bukanlah suatu tuduhan tidak berasas kepada wanita Muslimah diluar sana, tetapi dengan adanya kehadiran wanita seperti ini meberikan imej buruk kepada agama Islam. Sedangkan yang melakukan keburukan itu adalah daripada tindak tanduk individu itu sendiri bukanlah faktor agama yang mendorongnya. 

KISAH NABI LUTH DAN KAUMNYA

Tahukah anda terdapat suatu kaum daripada Nabi terdahulu yang mengamalkan hubungan sejenis lalu dihukum Allah SWT keatas kaum tersebut. Betapa ianya menunjukkan kepada kita bahawa hubungan seperti ini sangat dibenci dan mengundang kemurkaan Allah SWT sehinggakan begitu banyak perbincangan dan ceramah agama yang mengingatkan tentang hal ini. Anehnya, ianya tetap ada bahkan mereka semakin berani tampil kehadapan menyuarakan pendapat dan mempertahankan hak yang sebenarnya tidak ada.

  • Nabi Luth AS Dan Kaumnya

Nabi Luth AS merupakan putera dari Haran bin Tarah (هَارَان بن تَارَح). Beliau adalah anak saudara kepada Nabi Ibrahim AS. Dengan demikian, Ibrahim dan Haran adalah bersaudara. Nabi Luth beriman dan mengikuti ajaran yang dibawa oleh bapa saudaranya Ibrahim. Berkenaan perkara ini, Allah SWT berfirman:

فَآمَنَ لَهُ لُوطٌ ۘ وَقَالَ إِنِّي مُهَاجِرٌ إِلَىٰ رَبِّي ۖ إِنَّهُ هُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ

Maksudnya: :”Setelah itu Lut beriman kepadanya dan Nabi Ibrahim pun berkata: “Aku hendak berhijrah kepada TuhanKu, sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana“. Surah al-Ankabut (26)

Baginda beriman kepada Nabi Ibrahim AS dan mendapat petunjuk melalui perantaranya, lalu Allah SWT mengutusnya untuk berdakwah kepada penduduk Sadum yang pada saat itu merupakan sebuah kampung di Jordan.

Para pakar sejarah menyebut bahawa kaum Nabi Luth AS adalah kaum besar yang hidup pada zaman Nabi Ibrahim AS. Mereka menetap di sebuah kampung yang bernama Sadum. Ia merupakan kampung terbesar daripada penempatan kaum Nabi Luth berbanding empat kampung yang lain iaitu Shan’a, Shu’ud, Atsrah, dan Duma

  • Maksiat Kaum Nabi Luth AS

Antara maksiat yang mereka lakukan ialah perbuatan syirik kepada Allah SWT serta mereka disebut sebagai pelaku pertama perlakuan homoseksual di kalangan lelaki mahupun wanita. Ini sepertimana disebut oleh Imam al-Qurtubi yang menukilkan riwayat daripada Ibn Abbas R.A berkenaan maksiat-maksiat yang mereka lakukan.  Mereka juga adalah kaum yang banyak melakukan perbuatan keji, menyamun orang-orang yang dalam perjalanan ke kampung mereka serta mempermain-mainkan mereka. Ibn Kathir dalam kitabnya al-Bidayah wa al-Nihayah (1/203) menyebut: “Mereka melakukan dosa yang belum pernah dilakukan oleh seorang pun dari bani Adam, iaitu seorang lelaki menggauli lelaki dan enggan berkahwin dengan wanita yang Allah jadikan untuk orang-orang soleh.”

Allah SWT menjadikan kisah binasanya kaum Luth akibat perbuatan keji mereka sebagai pengajaran bagi seluruh manusia. Allah SWT menyebutkan kisah mereka dalam beberapa tempat dalam al-Qur’an.

Syeikh Sya’rawi dalam tafsirnya menyebut: “Perbuatan kaum Luth yang suka sesama jenis, lelaki dengan lelaki adalah tingkah laku yang menyeleweng, perbuatan yang keji dan kotor, melampaui batas, bercanggah dengan adab dan kebiasaan serta bertentangan dengan akal yang sihat. Hanya jiwa yang tidak normal dan sakit yang melakukan perkara tersebut. Disebabkan tingkah laku mereka yang menyeleweng, kedudukan dan maruah mereka jatuh serendah-rendahnya, lebih rendah daripada haiwan. Haiwan jantan mendatangi haiwan betina tidak hanya untuk melepaskan nafsu syahwat sahaja tetapi juga untuk menjaga keturunannya, manakala manusia yang suka sesama jenis hanya untuk memenuhi nafsu mereka semata-mata.”

  • Dakwah Nabi Luth AS Kepada Kaumnya

Ibn Kathir dalam kitabnya Qasas al-Anbiya’ menceritakan bahawa Nabi Luth meninggalkan tempat Nabi Ibrahim AS ke satu tempat yang jauh kerana melaksanakan perintahnya. Beliau tinggal di kota Sadum yang memiliki penduduk paling jahat dan paling kafir. Mereka melakukan pelbagai kerosakan dan kemungkaran. Tidak ada sikap saling mengingatkan bagi orang yang melakukan kemungkaran di antara mereka. Kemungkaran yang mereka lakukan adalah mendatangi sesama lelaki seperti seseorang mendatangi isteri (liwat atau homoseksual) dan meninggalkan para wanita.

Nabi Luth AS menyeru kaumnya untuk menyembah Allah, tiada sekutu bagi-Nya, juga melarang mereka untuk tidak melakukan perbuatan keji (homoseksual) sebagaimana yang telah disebutkan oleh Allah tentang diri mereka. Namun tidak seorang pun dari mereka yang mahu menerima dakwah tersebut, dan enggan untuk beriman kepadanya. Bahkan mereka tidak mahu berhenti dari perbuatan yang terlarang tersebut. Mereka tidak mahu berhenti dari penyimpangan dan kesesatan mereka. Malah mereka hendak mengusir Baginda sepertimana dirakamkan ucapan mereka di dalam al-Quran:

أَخْرِجُوا آلَ لُوطٍ مِّن قَرْيَتِكُمْ ۖ إِنَّهُمْ أُنَاسٌ يَتَطَهَّرُونَ

Maksudnya: “Usirlah Lut dan pengikut-pengikutnya dari bandar kamu ini; sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang mendakwakan dirinya bersih suci.” Surah al-Naml (56)

Jawapan mereka tersebut muncul tidak lain kerana Nabi Luth melarang mereka daripada melakukan kekejian yang sangat besar yang belum pernah dilakukan sebelumnya oleh penduduk bumi. Oleh kerananya, mereka dijadikan perumpamaan dalam masalah ini dan pelajaran bagi orang yang melakukan perbuatan tersebut. Ejekan itu tidak jauh daripada budaya sebahagian golongan hari ini yang bermudah-mudah melabel golongan pendakwah sebagai golongan holier than thou (rasa diri lebih mulia daripada orang lain), padahal merekalah yang menghina diri sendiri dengan mempamerkan perlakuan songsang dan mempromosikan perkara yang haram.

Mereka merompak, mengkhianati teman, dan melakukan kemungkaran di tempat-tempat perkumpulan mereka, baik dalam ucapan mahupun perbuatan. Bahkan terkadang sebahagian daripada mereka melakukan kesalahan-kesalahan seksual tadi di tempat-tempat pesta tanpa ada rasa malu. Mereka tidak mahu mendengar nasihat daripada orang-orang yang memberikan nasihat. Dalam hal ini, mereka ibarat binatang ternak, bahkan lebih sesat lagi. Mereka enggan meninggalkan apa yang saat itu mereka kerjakan, tidak mahu menyesali perbuatan-perbuatan yang telah mereka lakukan di masa lalu dan tidak mahu mengubah keinginan mereka di masa yang akan datang. Oleh kerana itu, Allah SWT menimpakan azab yang buruk kepada mereka.

Mereka berkata kepada Nabi Luth sebagaimana yang tertera dalam firman Allah SWT:

ائْتِنَا بِعَذَابِ اللَّـهِ إِن كُنتَ مِنَ الصَّادِقِينَ

Maksudnya: “Datangkanlah kepada kami azab dari Allah (yang engkau janjikan itu) jika betul engkau dari orang-orang yang benar“. Surah al-Ankabut (29)

Mereka meminta kepada Nabi Luth untuk ditimpakan azab yang pedih yang telah dijanjikan oleh Nabi Luth. Saat itulah Nabi Luth berdoa kepada Allah untuk ditimpakan azab kepada mereka. Beliau memohon kepada Rabb semesta alam dan llah bagi para Rasul untuk dimenangkan di atas kaumnya yang membuat kerosakan. Maka Allah SWT mengabulkan doanya. Kemudian Allah mengutus para Utusan-Nya yang mulia iaitu para malaikat yang perkasa

  • Pengakhiran Kaum Nabi Luth AS

Sebelum berakhirnya kaum Nabi Luth dengan azab, terdapat panjang lagi kisah dimana sebelumnya diutuskan Malaikat Jibril  menyerupai seorang lelaki yang tampan yang menguji Nabi Luth dan kaumnya.

Nabi Luth AS keluar dari kampungnya bersama keluarganya iaitu kedua anak perempuannya, dan tidak ada seorang pun yang mengikutinya. Ketika matahari menyingsing maka azab pun menimpa kaumnya. Allah SWT berfirman:

فَلَمَّا جَاءَ أَمْرُنَا جَعَلْنَا عَالِيَهَا سَافِلَهَا وَأَمْطَرْنَا عَلَيْهَا حِجَارَةً مِّن سِجِّيلٍ مَّنضُودٍ ﴿٨٢﴾ مُّسَوَّمَةً عِندَ رَبِّكَ ۖ وَمَا هِيَ مِنَ الظَّالِمِينَ بِبَعِيدٍ

Maksudnya: “Maka apabila datang (masa perlaksanaan) perintah Kami, Kami jadikan negeri kaum Lut itu diterbalikkan (tertimbus segala yang ada di muka buminya) dan kami menghujaninya dengan batu-batu dari tanah yang dibakar, menimpanya bertalu-talu. Batu-batu itu ditandakan di sisi Tuhanmu (untuk membinasakan mereka), dan Ia pula tidaklah jauh dari orang-orang yang zalim itu”. (Surah Hud : 82-83)

Malaikat Jibril memporak-porandakan tempat tinggal mereka yang berjumlah tujuh kota- dengan hujung sayapnya. Mereka menyebut bahawa jumlah mereka adalah empat ratus orang. Ada yang mengatakan jumlah mereka empat ribu orang ditambah dengan haiwan-haiwan. Tempat-tempat dan daerah-daerah di sekitar itu juga diporak-porandakan.

Allah SWT berfirman:

فَلَمَّا جَاءَ أَمْرُنَا جَعَلْنَا عَالِيَهَا سَافِلَهَا وَأَمْطَرْنَا عَلَيْهَا حِجَارَةً مِّن سِجِّيلٍ مَّنضُودٍ

Maksudnya: “Maka apabila datang (masa perlaksanaan) perintah Kami, Kami jadikan negeri kaum Lut itu diterbalikkan (tertimbus segala yang ada di muka buminya) dan kami menghujaninya dengan batu-batu dari tanah yang dibakar, menimpanya bertalu-talu.”

Kalimat al-Sijjil adalah bahasa Parsi yang dimasukkan ke dalam bahasa Arab. Maknanya sangat keras dan kuat.

Al-Suhaili berkata, “Ketika mereka telah pergi dari negerinya dan matahari telah terbit, turunlah kepada kaumnya azab yang dahsyat. Jibril dengan hujung sayapnya membalikkan tujuh kota. Dia jadikan bahagian atas kota itu menjadi bahagian bawah. Tempat tinggal mereka menjadi laksana laut berbau busuk yang bergelombang dengan air yang sangat masin sehingga pahit.

Daripada kisah ini jelas bahawa hubungan sejenis ataupun LGBT sangat dilarang dalam Islam. Bahkan secara fitrah dan psikologinya, tindakan ini sangatlah tidak normal kerana berlawanan dengan fitrah sebenar manusia. Jika anda terdapat kecenderungan yang songsang, bersegeralah berjumpa dengan doktor atau ahli yang pakar.

Wallahua’lam

Jika anda berminat untuk melabur saham di akhirat, boleh klik butang “Bantu Mereka” dibawah. Terima Kasih.

Sudahkah Anda Menjadi Tangan Yang Memberi?

Jika belum jom sama-sama dengan Perkim Datuk Keramat membantu mereka yang dalam kesusahan seperti ibu tunggal, mereka yang menghidap penyakit kronik dan pelbagai lagi. Sesungguhnya sedikit sumbangan anda, memberi 1000 kemanisan untuk mereka

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top