PERSELISIHAN FAHAM MENGENAI HUKUM MENYAMBUT HARI KRISMAS DAN MENGUCAPKAN MERRY CHRISTMAS BAGI ORANG ISLAM

HUKUM MENYAMBUT CHRISTMAS DAN MENGUCAPKAN MERRY CHRISTMAS

SAMBUTAN HARI KRISMAS

Setiap tahun pada 25 Disember akan diadakan perayaan yang dinamakan sebagai “Christmas Day” bagi penganut agama Kristian di Malaysia. Melihat kepada kemajmukan masyarakat yang terdiri daripada berbilang-bilang bangsa dan agama, mungkin masih ramai yang masih belum jelas dan faham atau masih ada yang keliru tentang hukum menyambut perayaan ini dan mengucapkan ucapannya kepada orang bukan Islam.

MAKSUD DISEBALIK MERRY CHRISTMAS

Merry menurut English Oxford Living Dictionaries adalah “cheerful and lively” (ceria dan meriah). Ia berasal daripada Bahasa Inggeris klasik – myrige – iaitu “pleasing, delightful” (menyenangkan, menggembirakan).

Christmas pula bermaksud “The annual Christian festival celebrating Christ’s birth, held on 25 December in the Western Church” (Festival tahunan penganut Kristian bagi menyambut kelahiran Christ, diadakan pada 25 Disember di Gereja Roman Katolik). Ia berasal daripada Bahasa Inggeris klasik – Crīstes yang merujuk kepada Jesus Chris dan mæsse iaitu sambutan jamuan suci (eucharist) bagi penganut Kristian khususnya gereja Roman Katolik. Mass juga merujuk kepada upacara mingguan pada hari Ahad di gereja-gerja Katolik, begitu juga upacara pada Holy Days of Obligation. Ia berasal daripada Bahasa Latin; missa. Ia digunapakai pada penghujung liturgy apabila paderi berkata: Ite missa est ataupun boleh difahami dengan maksud “Upacara ini telah tamat. Bersurailah dalam keamanan (The Mass is ended. Go in peace).”

Oleh itu, Crīstesmæsse dapat difahami sebagai Christ’s Mass iaitu sambutan kelahiran Jesus Christ, walaupun terdapat beberapa perbezaan pandangan tentang tarikh kelahiran Jesus Christ. Sambutan ini ditonjolkan dengan menzahirkan kegembiraan dan majlis keraian bagi kelahiran Jesus bagi menggantikan tradisi Roman Saturnalia dan perayaan-perayaan pagan yang lain sebelumnya. Sambutan ini mula berubah bentuk di England pada abad ke-19 melalui kemasukan budaya German (pokok Krismas) oleh Prince Consort dan pengaruh Charles Dickens menerusi novella beliau yang terkenal, A Christmas Carol.

HUKUM MENGUCAPKAN TAHNIAH ATAS SAMBUTAN KRISMAS

Para ulama’ berbeza pandangan dalam menyatakan hukum mengucapkan tahniah bagi perayaan bukan Muslim atau dalam konteks soalan, Hari Krismas. Ini kerana, sebahagian ulama’ yang mengharamkannya melihat ucapan “tahniah” ini membawa konotasi mengiktiraf agama lain, dan menyebarkan syiar mereka. Manakala, bagi ulama’ yang membenarkannya pula melihat ia adalah harapan bagi keselamatan dan keamanan, atau simbol hubungan sosial dengan bukan Islam untuk tujuan perpaduan, tanpa berniat untuk mengiktiraf kebenaran agama lain. Kami nyatakan di bawah, pandangan kedua-dua golongan tersebut.

Pertama: Diharamkan Mengucap Tahniah

Secara umumnya, jumhur ulama’ keempat-empat mazhab mengharamkan ucapan tahniah kepada orang bukan Islam sempena perayaan mereka.

Mazhab Syafie: Menurut Imam al-Damiri ketika mensyarahkan perkataan Imam al-Nawawi dalam al-Minhaj, dihukum ta’zir bagi sesiapa yang mengikuti orang-orang kafir dalam perayaan-perayaan mereka, siapa yang memegang ular, sesiapa yang memasuki api, sesiapa yang berkata keada seorang kafir zimmi: “Wahai Haji”, sesiapa yang mengucap tahniah kepadanya dalam satu perayaan, dan sesiapa yang menamakan penziarah kubur orang-orang soleh (atas tujuan yang syirik).

Mazhab Hanafi: Menurut Abu Hafs al-Kabir dari mazhab Hanafi, jika seorang lelaki beribadah kepada Allah 50 tahun lamanya, kemudian datangnya Hari Nairuz dan dia menghadiahkan telur kepada sebahagian musyrikin dengan tujuan mengagungkan hari tersebut, maka telah jatuh kafir dan terhapus amalannya.

Mazhab Maliki: Ibn al-Haj al-Maliki secara ringkasnya melarang orang Islam melakukan apa yang orang bukan Islam lakukan di hari perayaan mereka.

Mazhab Hanbali: Imam al-Buhuti menjelaskan bahawa hukum mengucapkan tahniah kepada bukan Islam sewaktu perayaan mereka adalah diharamkan kerana ia merupakan satu bentuk pengagungan kepada mereka.

Demikian juga mereka (para ulama) melarang dari perbuatan membantu mereka (orang bukan Islam) dalam perayaan mereka seperti memberi hadiah atau berjual beli. Kata mereka: Sesungguhnya tidak halal bagi umat Islam untuk menjual sesuatupun perkara untuk keperluan perayaan mereka kepada orang-orang Nasrani. Tidak (dijual) daging, darah, pakaian, serta tidak memberi pinjam haiwan tunggangan, dan tidak membantu sedikitpun untuk perayaan mereka. Ini kerana, yang demikian itu merupakan perbuatan mengagungkan kesyirikan mereka serta membantu kekufuran mereka.

Secara asasnya, mereka berdalilkan dengan firman Allah SWT daripada surah al-Furqan ayat ke 72:

وَالَّذِينَ لَا يَشْهَدُونَ الزُّورَ وَإِذَا مَرُّوا بِاللَّغْوِ مَرُّوا كِرَامًا

Maksudnya: “dan (hamba-hamba Ar-Rahman itu) mereka tidak menghadiri Az-Zur dan apabila mereka melintas dengan perkara yang sia-sia mereka lalu dengan penuh kemuliaan.”

Kedua: Diharuskan Mengucap Tahniah

Antara mereka yang mengharuskannya ialah Ulama Silam dan Ulama Kontemporari.

Perkara pertama yang perlu kita fahami ialah tiada ijmak yang jelas mengharamkan perkara ini. Syeikh al-Syarif Hatim al-Awni menyebut bahawa asas bagi keharusan berserta garis panduan ini adalah kerana:

  1. Tidak ada dalil yang jelas secara khusus dalam al-Qur’an dan al-Sunnah berkenaan larangan atau keharusan mengucapkan tahniah kepada mereka.
  2. Tidak ada diriwayatkan teks-teks secara khusus daripada salafussoleh dalam kalangan sahabat, tabi’ dan tabi’al-tabi’injuga imam-imam mazhab (Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam al-Syafie dan Imam Ahmad) berkenaan hukum mengucapkan tahniah kepada bukan Islam sempenan perayaan mereka.
  3. Apabila tidak ada dalil yang jelas daripada al-Qur’an, al-Sunnah dan salafussoleh, maka kenyataan yang menegaskan haramnya mengucapkan tahniah sebagai ijma’, masih boleh diperbahaskan akan ketepatannya.

Syeikh Yusuf al-Qaradhawi pula mengharuskan ucapan tahniah kepada non-Muslim yang tidak memerangi dan memusuhi orang Islam. Menurut beliau, Nabi SAW sendiri sentiasa melazimi perbuatan baik dan akhlak mulia bersama non-Muslim, dan ini termasuk di bawah perintah ayat kelapan surah al-Mumtahanah.

أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِم

Maksudnya: “…hendaklah kamu berbuat baik dan berlaku adil kepada mereka (non-Muslim).”

Dalam komentar beliau terhadap fatwa Ibn Taimiyyah dan Ibnul Qayyim pula, beliau menyatakan persetujuan bahawa Muslim tidak boleh sama-sama merayakan perayaan non-Muslim, tapi ini berbeza dengan sekadar mengucapkan tahniah sempena hari kegembiraan mereka. Sesungguhnya Ibn Taimiyyah berfatwa untuk zaman beliau yang mempunyai konteks yang tersendiri. Bahkan jika beliau hidup pada zaman ini dan melihat konteks hubungan manusiawi pada zaman sekarang yang amat rapat, nescaya beliau akan mengubah fatwa beliau, atau berlembut sedikit daripada pendirian tegas beliau dalam isu ini. Bahkan perayaan Krismas juga telah berubah menjadi satu perayaan bersifat adat. Pun begitu keharusannya adalah dengan syarat tidak ada sebarang bentuk pengagungan syiar agama lain seperti salib atau meredhainya. Ianya diucapkan semata-mata menyantuni mereka sahaja.

GARIS PANDUAN UMUM

Disini akan dinyatakan garis panduan yang telah disusun melalui lama web rasmi Mufti Wilayah Persekutuan:

  • Diharuskan untuk mengucapkan Merry Christmas apabila wujud keperluan untuk mengucapkannya bagi menyuburkan semangat muhibbah dan memperbaiki ketegangan sosial yang berlaku dalam masyarakat. Apatah lagi dalam konteks pemimpin bagi masyarakat majmuk, kaum keluarga yang memiliki anggota Islam dan bukan Islam, kejiranan dan rakan sekerja. Sekiranya tidak ada keperluan seperti yang disebutkan, kami cenderung kepada makruhnya ucapan tersebut kerana ia boleh menimbulkan fitnah atau perpecahan dalam kalangan umat Islam.
  • Penyertaan orang Islam dalam majlis sambutan Krismas hanyalah pada kadar yang diperlukan sahaja seperti jamuan makan atau bergambar. Adapun memakai pakaian tertentu yang lazim dipakai semasa sambutan Krismas, kami melihat tidak ada keperluannya dan tidak boleh dilakukan.
  • Ucapan tersebut hanya sebagai tanda menjaga hubungan baik, tiada paksaan dalam agama dan tidak bertujuan mengagungkan dan memuliakan agama lain.
  • Dibolehkan untuk menerima atau memberi hadiah kerana Rasulullah SAW sendiri pernah menerima hadiah daripada Raja al-Muqawqis yang tidak beragama Islam. Saidina Umar juga pernah menghadiahkan baju kepada saudaranya yang bukan Muslim. Ia ada terdapat dalam hadis yang panjang dalam riwayat al-Bukhari dan Muslim. Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini menyatakan: “Dibolehkan seorang Muslim menghadiahkan orang Musyrik pakaian dan selainnya.” Diharamkan untuk memberi hadiah berupa arak dan perkara yang tidak diizinkan syarak. Kami telah mengulas hukum menghadiahkan arak kepada non Muslim. Namun tidak boleh diniatkan pemberian itu sempena perayaan mereka, untuk mengeluarkan diri daripada larangan memberi hadiah kepada orang kafir semasa perayaan mereka. Niatkanlah secara umum untuk memberikan hadiah. Sesungguhnya amalan itu berdasarkan niat.
  • Dibolehkan untuk hadir ke majilis orang bukan Islam sekiranya ianya diadakan di luar rumah ibadat seperti di dewan orang ramai, padang, pejabat atau rumah, untuk tujuan yang berkait dengan adat seperti jamuan makan yang dihidangkan makanan yang halal. Sekiranya majlis tersebut diadakan dalam rumah ibadat pada hari perayaan, maka makruh bagi orang Islam untuk menghadirkan diri.

Kenyataan Mufti Wilayah

“Kami berpendapat hukum mengucapkan Merry Christmas, dan ucapan-ucapan lain yang bermaksud tahniah dan selamat, adalah harus dengan meraikan garis panduan yang telah kami nyatakan.” Ini juga selari dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-78 yang bersidang pada 12 Jun 2007’: “Memberi ucapan tahniah dan selamat atau mengirimkan ucapan melalui kad atau alat-alat telekomunikasi seperti e-mel atau sistem pesanan ringkas (SMS) dan sebagainya kepada orang bukan Muslim sempena dengan perayaan agama mereka adalah harus, dengan syarat ucapan itu tidak mengiktiraf, memuji atau memuliakan agama bukan Muslim serta tidak menggunakan sebarang simbol atau lambang keagamaan mereka dalam kiriman ucapan tersebut.

ULASAN

Jelas disini bahawa kemajmukan agama di Malaysia melambangkan kesatuan dan perpaduan dalam kalangan masyrakat. Apa sahaja perayaan yang disambut oleh agama selain Islam perlulah dihormati dengan baik namun, perlu kita sedari bahawa mennghormati bukan dengan erti kata menyambut bersama mereka, ini jelas dilarang dalam Islam. Cukup sekadar mengucapkan perkataan tahniah yang tidak ada unsur yang menyentuh isu keagamaan.

Betapa pentingnya niat dalam menentukan sesebuah amalan, jika dengan ucapan tahniah itu kerana tertarik dengan agama yang mereka raikan, hendaklah kita hindari daripada mengucapnya, dikhuatiri boleh menyebabkan syirik dan murtad. Jika diterima hadiah oleh orang bukan Islam, terima lah dengan hati yang terbuka dan jika rasa was-was dan ragu-ragu tidak perlulah memberi kembali hadiah pada hari tersebut. Cukuplan beri hadiah pada hari dan waktu yang lain sebagai tanda menghargai.

Wallahua’lam

Sudahkah Anda Menjadi Tangan Yang Memberi?

Jika belum jom sama-sama dengan Perkim Datuk Keramat membantu mereka yang dalam kesusahan seperti ibu tunggal, mereka yang menghidap penyakit kronik dan pelbagai lagi. Sesungguhnya sedikit sumbangan anda, memberi 1000 kemanisan untuk mereka

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top