Puasa pada bulan Syaaban

Bulan Syaaban adalah antara bulan-bulan yang mempunyai banyak kelebihan. Kita dianjurkan untuk melakukan banyak ibadat pada bulan ini seperti sedekah, solat dan puasa kerana pada bulan ini segala amalan kita akan diangkat. Namun ada beberapa persoalan yang sering timbul pada bulan ini iaitu samaada bolehkah berpuasa penuh pada bulan ini? Adakah dibolehkan untuk berpuasa selepas nisfu syaaban (15 Syaaban)? 

Puasa pada bulan Syaaban

Terdapat banyak dalil yang menganjurkan puasa pada bulan ini termasuklah daripada amalan Rasulullah SAW.Antaranya adalah:

Daripada Abu Salamah RA berkata, aku bertanya kepada  Aisyah R.Anha tentang puasanya Nabi SAW. Lantas beliau menjawab:

كانَ يَصومُ حتَّى نَقولَ قَد صامَ ويُفطِرُ حتَّى نَقولَ قد أفطَرَ ولم أرَهُ صامَ مِن شَهْرٍ قطُّ أَكْثرَ مِن صيامِهِ من شعبانَ كانَ يَصومُ شَعبانَ كُلَّهُ كانَ يَصومُ شعبانَ إلَّا قَليلً

Maksudnya: “Beliau biasanya berpuasa sampai kami mengatakan sungguh telah berpuasa (terus). Dan beliau berbuka sampai kami mengatakan sungguh beliau telah berbuka. Dan aku tidak melihat beliau   berpuasa  yang lebih banyak dibandingkan pada bulan Syaaban. Biasanya beliau berpuasa pada bulan Syaaban semuanya, dan biasanya beliau berpuasa pada bulan Syaaban kecuali sedikit.

Riwayat Muslim (1156)

Satu lagi dalil pula menyebut : 

‘Aisyah RAnha memberitahu Abu Salamah:

لَمْ يَكُنْ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُ شَهْرًا أَكْثَرَ مِنْ شَعْبَانَ فَإِنَّهُ كَانَ يَصُومُ شَعْبَانَ كُلَّهُ

“Nabi SAW tidak pernah berpuasa pada suatu bulan yang lebih banyak dari bulan Syaaban. Beliau berpuasa pada bulan Syaaban seluruhnya.”

Riwayat Muslim (1834)

Kedua-dua dalil ini telah memberikan perbezaan pendapat oleh para ulama.  Sebahagian daripada ulama ada yang mengatakan Nabi SAW berpuasa

Apa itu Nisfu Syaaban

Nisfu adalah bermaksud separuh (Nisf). Jadi, nisfu syaaban bermaksud separuh daripada Bulan Syaban, iaitu pada malam ke-15.

Malam Nisfu Syaban merupakan malam yang penuh berkat dan rahmat selepas malam Lailatul Qadar.

Malam Nisfu Syaaban adalah hari dimana buku catatan amalan orang-orang Muslimin selama setahun diangkat ke langit dan diganti dengan buku catatan yang baru.

Puasa Nisfu Syaaban

Daripada Usamah bin Zaid RA, beliau berkata: “Wahai Rasulullah, aku tidak pernah melihat engkau berpuasa dalam satu bulan sebagaimana engkau berpuasa di dalam bulan Syaaban.” Nabi SAW bersabda:

قَالَ : “ذلِكَ شَهْرٌ يَغفُلُ النَّاسُ عَنْهُ بَيْنَ رَجَبٍ وَرَمَضَانَ ، وَهُوَ شَهْرٌ تُرفَعُ فِيْهِ الأَعْمَالُ إِلَى رَبِّ العَالَمِيْنَ ، فَأُحِبُّ أَنْ يُرْفَعَ عمَلِيْ وأَنَا صَائِمٌ”

Maksudnya: “Itu adalah bulan yang mana manusia sering lalai akannya iaitu bulan yang berada di antara Rejab dan Ramadan. Bulan tersebut adalah bulan yang diangkat amalan-amalan kepada Rabb al-‘Alamin (Allah SWT), maka aku suka ketika amalanku diangkat dalam keadaan aku sedang berpuasa”.

 (Riwayat al-Nasa’ie)

Meskipun tidak ada dalil khusus yang menyatakan tentang hukum berpuasa pada Nisfu Syaaban, namun kita dituntut untuk berpuasa dan memperbanyakkan amal soleh di bulan Syaaban ini berdasarkan hadith di atas. Ia juga sebagai persediaan untuk kita menghadapi bulan Ramadan nanti.

Hukum Berpuasa Selepas 15 Syaaban

Ada beberapa dalil/hadith yang melarang berpuasa selepas 15 Syaaban

i. Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا انْتَصَفَ شَعْبَانُ فَلَا تَصُوْمُوْا

Maksudnya: “Apabila tiba pertengahan bulan Syaaban, maka janganlah kalian berpuasa.”

ii. Dalam lafaz yang lain:

إِذَا كَانَ النِّصْفُ مِنْ شَعْبَانَ فَأَمْسِكُوا عَنِ الصَّوْمِ حَتَّى يَكُونَ رَمَضَانُ

Maksudnya: “Apabila tiba pertengahan bulan Syaaban, maka tahanlah diri kalian daripada berpuasa sehingga datang bulan Ramadan.”

Dalam menyatakan hukum hadith tersebut, telah berlaku perselisihan antara para ulama’.

i. Pendapat pertama, iaitu antara ulama’ yang mengsahihkan hadith ini:

  • Imam al-Tirmizi – Hadith adalah hasan sahih.
  • Imam Ibn Hibban – Hadith ini sahih.
  • Imam Ibn Abd al-Bar – Hadith ini sahih.
  • Ahmad Syakir – Hadith ini adalah sahih.

 

ii. Pendapat kedua, iaitu antara ulama’ yang mengdhaifkan hadith ini:

  • Imam Ahmad – Hadith ini munkar.
  • Al-Athram – Hukum hadith ini adalah munkar.
  • Abdulrahman bin Mahdi – Hadith ini munkar.
  • Abu Zur’ah – Ini adalah hadith munkar.

Secara kesimpulannya, hadith tersebut adalah dhaif disebabkan oleh beberapa faktor, iaitu:

i. Disebabkan hanya al-‘Ala’ bersendiri dalam riwayat ini.

ii. Hadith ini bercanggah dengan hadith yang sahih, iaitu hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

لاَ تَقَدَّمُوا رَمَضَانَ بِصَوْمِ يَوْمٍ وَلاَ يَوْمَيْنِ

Maksudnya: “Janganlah mendahulukan Ramadan dengan sehari berpuasa atau dua hari.”

[Riwayat Muslim, no. Hadith 1812]

Jadi, boleh atau tidak berpuasa selepas 15 Syaaban? Jawapannya, boleh berpuasa, tapi dengan syarat. Imam Syafie dan ulama’ Mazhab Syafie serta sebahagian ulama Hanbali yang terkemudian berpendapat bahawa larangan berpuasa setelah separuh bulan Syaaban adalah bagi orang yang tidak memiliki kebiasaan berpuasa ketika itu.

Jadi bagi yang memiliki kebiasaan berpuasa (seperti puasa Isnin dan Khamis), boleh berpuasa. Hari-hari selepas 15 Syaaban dilarang berpuasa jika bukan puasa qadha‘ atau nazar atau bukan hari yang ia telah biasa mengerjakan puasa. Namun jika seorang wanita itu ingin menggantikan puasa Ramadannya, maka ia sangat dituntut.

Hikmah tidak dibenarkan berpuasa Selepas 15 Syaaban

Terdapat hikmah mengapa tidak dibenarkan berpuasa pada waktu tersebut. Antara hikmahnya ialah supaya umat Islam menyiapkan diri mereka sebelum memasuki bulan Ramadhan. Hal ini kerana, bulan tersebut difardhukan bagi setiap orang Islam yang mukallaf untuk berpuasa sebulan penuh dalam bulan tersebut.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top