Puasa Sunat Yang Di Galakkan

Ibadah puasa sangat dituntut dalam Islam. Puasa bukan sahaja menyemai rasa syukur dan rendah diri kepada Allah, malahan dari sudut kesihatan, ia memberi kesan yang baik kepada tubuh badan. Kebanyakan penyakit datang dari sikap sambil lewa kita yang mengambil makanan secara berlebihan. Badan kita tidak dapat menghadam makanan dengan sempurna kerana selalu dipaksa untuk memproses makanan tanpa henti. Adakalanya, kita perlu memberi ruang untuk perut kita berehat. Jika kereta pun ada waktu untuk diselenggara, perut kita juga perlu diberi rehat yang cukup untuk berfungsi dengan baik. Salah satu caranya adalah dengan berpuasa.

Seperti yang semua maklum, puasa yang wajib adalah puasa di bulan Ramadan. Namun terdapat pelbagai jenis puasa sunat yang umat islam boleh lakukan dan ia sangat digalakkan dalam Islam. Jom kita sama-sama berkongsi apa lagi antara puasa sunat yang boleh dilakukan oleh seorang muslim selain dari puasa di bulan Ramadan,

Puasa Arafah

Puasa hanya pada 9 Zulhijjah bagi orang yang tidak mengerjakan ibadat haji. Ini berdasarkan hadis daripada Abu Qatadah al-Anshari RA ketika Rasulullah SAW ditanya tentang berpuasa di hari Arafah.

Kelebihan berpuasa Sunat Arafah dapat menghasilkan ganjaran pahala yang sangat besar, sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

“Berpuasa pada Hari Arafah dinilai di sisi Allah sebagai penghapus dosa bagi setahun yang sebelumnya dan yang selepasnya.” (Hadis Riwayat Muslim).

Sepertimana sabda Rasulullah SAW: “Orang yang berpuasa pada Hari Arafah (9 Dzulhijjah), Allah akan menuliskan baginya puasa 60 tahun dan Allah menuliskannya sebagai orang yang taat.”

Rasulullah SAW bersabda lagi: “Tiada hari yang paling ramai Allah SWT melepaskan hamba-Nya dari api neraka melainkan pada Hari Arafah. Dan sesungguhnya Allah Azzawajalla menghampiri (hamba-hamba-Nya) dan berbangga dengan mereka di kalangan para malaikat serta bertanya; Apa yang dikehendaki oleh mereka?”

Puasa Hari Tasu'a dan 'Asyura

Tasu’a adalah berasal daripada perkataan “tis’a” yang bermaksud sembilan. Oleh itu, puasa sunat ini dilakukan pada setiap 9 Muharram dalam kalendar Hijrah. Seterusnya puasa ‘Asyura pula adalah pada 10 Muharram.

Pada hari tersebut juga digalakkan untuk berpuasa berdasarkan sebuah riwayat daripada Abu Qatadah RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: Maksudnya: “Berpuasa pada hari ‘Asyura sesungguhnya aku mengharapkan kepada Allah supaya ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelumnya.” (Hadis Riwayat Ibn Majah) Kebanyakan orang yang berpuasa Tasu’a adalah untuk melengkapi puasa Asyura pada keesokan harinya.

Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Ibn Abbas RA beliau berkata bahawa Nabi SAW bersabda: Maksudnya: “Berpuasalah kalian pada hari ‘Asyura dan berbezalah dengan golongan Yahudi. Berpuasalah sehari sebelumnya ataupun sehari selepasnya.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Puasa Hari Putih

Puasa ini dilakukan pada tarikh 13, 14 dan 15 setiap bulan Hijrah. Nama lain bagi puasa hari putih ini adalah

 “Ayyamul Bidh”. Rasulullah SAW bersabda: “Puasa pada 3 hari setiap bulannya adalah seperti puasa sepanjang tahun.” (Hadis Riwayat Bukhari, no 1979)

“Puasalah 3 hari dari setiap bulan. Sesungguhnya amal kebaikan itu ganjarannya seperti 10 kali ganda, sehingga ia seperti puasa sepanjang tahun.” (Hadis Riwayat Bukhari, no 1976)

Puasa Nabi Daud

Ia merupakan puasa sunat yang paling utama antara puasa-puasa sunat yang diperintahkan. Puasa Nabi Daud lebih disukai Allah SWT sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: 

“Puasa yang paling disukai oleh Allah adalah puasa Nabi Daud. Ia berpuasa satu hari, lalu berbuka satu hari (tidak berpuasa keesokannya). Solat yang paling disukai oleh Allah adalah solat Nabi Daud. Beliau biasa tidur separuh malam dan bangun pada sepertiganya lalu tidur seperenamnya. Beliau biasa berbuka sehari dan berpuasa sehari.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Puasa Isnin dan Khamis

Rasulullah SAW pernah ditanya mengenai puasa pada hari Isnin. Lalu Baginda pun bersabda: 

“Hari Isnin merupakan hari kelahiranku, hari aku dilantik menjadi Rasul dan juga Allah menurunkan Al-Quran kepadaku.” (Hadis Riwayat Muslim) 

Diriwayatkan dari ‘Aisyah RA menceritakan bahawa: “Adalah Rasulullah SAW amat menjaga puasa pada hari Isnin dan Khamis.” (Hadis Riwayat Tirmizi)

Puasa 6 Syawal

Puasa ini hanya dilakukan selama 6 hari di bulan Syawal sahaja. Ini berdasarkan hadis daripada Abu Ayub RA, Rasulullah SAW bersabda: Maksudnya:

“Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan, diikuti dengan puasa enam hari dalam bulan Syawal, dia seolah-olah berpuasa sepanjang tahun.” (Hadis Riwayat Muslim)

Puasa Sunat Tarwiyah

Puasa ini dilakukan pada 8 Zulhijjah iaitu sehari sebelum Hari Arafah. Hari Tarwiyah ini tidaklah dikhususkan amalannya untuk berpuasa tetapi ia digalakkan untuk berpuasa berdasarkan hadis:

 مَا مِنْ أَيَّامٍ الْعَمَلُ الصَّالِحُ فِيهَا أَحَبُّ إِلَى اللهِ مِنْ هَذِهِ الأَيَّامِ يَعْنِي أَيَّامَ الْعَشْرِ ، قَالُوا : يَا رَسُولَ اللهِ ، وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ ؟ قَالَ : وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ ، إِلاَّ رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ ، فَلَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ بِشَيْءٍ 

Maksudnya: “Tidak ada hari yang mana amal soleh dilakukan padanya lebih dicintai oleh Allah daripada sepuluh hari ini (awal Zulhijjah).” Mereka berkata: Wahai Rasulullah! Tidak juga berjihad di jalan Allah? Baginda SAW berkata: “Tidak juga berjihad di jalan Allah melainkan seseorang itu keluar dengan jiwa dan hartanya kemudian dia tidak kembali (syahid) dengan membawa sesuatu pun.” (Riwayat Abu Daud)

Sudahkah Anda Bersedekah Hari Ini?

Jika belum jom sama-sama dengan Perkim Datuk Keramat membantu mereka yang dalam kesusahan seperti asnaf, ibu tunggal, mereka yang menghidap penyakit kronik , muallaf, anak yatim dan pelbagai lagi. Sesungguhnya sedikit sumbangan anda, memberi 1000 kemanisan untuk mereka

Scroll to Top