Ramadan, Tetamu Yang Dirindui

Alhamdulillah, syukur ke hadrat ilahi, atas peluang yang diberikan kepada kita untuk menjejakkan lagi kaki di bulan Ramadan yang mulia. Sudah semestinya bulan Ramadan adalah bulan yang penuh keberkatan dan kemuliaan. Ia adalah bulan yang ditunggu-tunggu ibarat tetamu yang dirindui untuk berkunjung ke rumah kita. Kenapa ia disebut sebagai tetamu yang dirindui adalah kerana, terdapat banyak kelebihan yang Allah sediakan untuk para hambanya di bulan yang mulia ini. Nak tahu apa? Mari kita bersama-sama berkongsi kelebihan bulan Ramadan ini.

Lailatul Qadar

Lailatul Qadar digambarkan sebagai malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Malam ini adalah malam yang paling mulia kerana tidak terdapat pada bulan-bulan yang lain. Kita boleh mendapat keberkatan malam tersebut dengan menghiasi malam-malam bulan Ramadan itu, khususnya pada 10 malam terakhir dengan memperbanyakkan beribadah agar dapat memperoleh ganjaran pahala malam seribu bulan. Rugi jika kita mensia-siakan peluang untuk beribadah, kerana kita semua tidak mengetahui sama ada kita masih diberikan kesempatan untuk berada pada bulan Ramadan yang akan datang ataupun sebaliknya.

Bulan Diturunkan Al-Quran

Kemuliaan bulan Ramadan ditambah lagi dengan diturunkannya Al-Quran pada bulan ini. Seperti yang disebutkan dalam Surat Al-Baqarah, ayat 185:

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ ۚ فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ

Maksudnya: Bulan Ramadan adalah bulan yang di dalamnya diturunkan Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia, penjelasan bagi petunjuk, dan furqan (pembeza antara yang benar dan yang batil).

Bulan Dikabulkan Doa-Doa

Bulan Ramadan juga merupakan waktu yang terbaik untuk berdoa. Terdapat banyak waktu mustajab untuk berdoa pada bulan ini seperti waktu bersahur, berbuka puasa, sepertiga malam yang terakhir, setelah solat, ketika melakukan iktikaf dan banyak lagi. Apa yang penting, doa yang dilakukan itu mestilah ikhlas dan mengikut adab-adab yang dianjurkan.

Bulan Diampunkan Dosa

Rasulullah SAW bersabda:

من صام رمضان إيمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه

Maksudnya: “Barangsiapa yang berpuasa (di bulan) Ramadan (dalam keadaan) keimanan dan mengharapkan (pahala), maka dia akan diampuni dosa-dosa yang telah lalu.” [Hadis Riwayat Bukhari & Muslim]

Lihatlah betapa istimewanya bulan Ramadan. Orang yang mengerjakan ibadah puasa turut diampuni dosa yang lalu. Jadi sangat rugi bagi mereka yang tidak berpuasa seperti mana yang telah diperintahkan oleh Allah SWT.

Pahala Berlipatganda

Mesti semua pernah mendengar bahawa setiap amal ibadah dan kebaikan yang dilakukan pada bulan Ramadan akan dilipatgandakan pahalanya. Betul! Tapi tahu tak kenapa pahala kita digandakan?

Ia kerana, bulan Ramadan ini adalah salah satu bulan yang dimuliakan oleh Allah SWT. Jadi setiap amalan dan ibadah yang kita lakukan, pasti akan mendapat nilai dan pahala yang berlipat kali ganda.

Tambahan pula, ada banyak ibadah dan amalan istimewa yang hanya ada di bulan Ramadan seperti solat sunat Tarawih, memberi makan orang yang berbuka puasa dan sebagainya. Jadi inilah peluang kita untuk meraih pahala sebanyak mungkin dengan melakukan ibadah dan amalan-amalan istimewa.

Pintu Syurga Dibuka, Pintu Neraka Ditutup

إِذَا جَاءَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ، وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ، وَصُفِّدَتِ الشَّيَاطِينُ

Maksudnya: “Apabila datangnya Ramadan maka dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan.” [Hadis Riwayat Muslim (1079)]

Bulan Ramadan ibarat ladang pahala. Bulan ini juga adalah bulan untuk kita memperbanyakkan ibadah dan juga kebaikan. Oleh itu, pintu syurga terbuka seluasnya. Kemudian Allah SWT juga akan mengampuni dosa setiap umatnya yang bertaubat memohon keampunan, sebab itulah pintu neraka ditutup serapatnya.

Bulan Terbaik Untuk Bersedekah

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sedekah yang paling utama adalah sedekah pada bulan Ramadan.” [Hadis Riwayat At-Tirmidzi]

Jika bersedekah pada bulan selain Ramadan juga kita telah dijanjikan dengan pahala dan kelebihannya. Inikan pula jika kita bersedekah pada bulan Ramadan. Masya-Allah! Oleh itu, jangan lepaskan peluang untuk bersedekah setiap hari. Meskipun nilai sedekah yang diberikan tidak seberapa, namun jika kita ikhlas memberi pastinya tidak akan berkurang sedikit pun pahalanya nanti.

Sudahkah Anda Bersedekah Hari Ini?

Jika belum jom sama-sama dengan Perkim Datuk Keramat membantu mereka yang dalam kesusahan seperti asnaf, ibu tunggal, mereka yang menghidap penyakit kronik , muallaf, anak yatim dan pelbagai lagi. Sesungguhnya sedikit sumbangan anda, memberi 1000 kemanisan untuk mereka

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top