SEJARAH PERISTIWA PERPINDAHAN KIBLAT DAN HIKMAHNYA

SEJARAH PERISTIWA PERPINDAHAN KIBLAT DAN HIKMAHNYA

KIBLAT DIMANA? BAITULLAH ATAU BAITUL MAQDIS?

Jika berbicara soal kiblat, maka yang akan kita bayangkan adalah Kaabah di Masjidil Haram. Hal ini kerana, seluruh muslimin di mana pun berada akan menghadap Kaabah khususnya ketika melaksanakan ibadah salat. Namun, tahukah anda sebelum Kaabah Rasulullah sempat menjadikan Baitul Maqdis sebagai arah kiblat.

Sebelumnya, berdasarkan keterangan Ibnu Hajar al-‘Asqalani dari riwayat Ibnu Juraij, Rasulullah solat untuk pertama kalinya menghadap Kaabah kemudian beralih ke Baitul Maqdis. Fenomena Rasulullah menghadap Baitul Maqdis ini terjadi tatkala beliau menetap di Makkah dan satu tahun lebih di Madinah.

Rasulullah begitu menyukai Kaabah, sehingga ketika Baginda solat, Baginda SAW akan mencari sebuah sisi di sekitar Kaabah yang satu arah dengan Baitul Maqdis. Menurut suatu keterangan Baginda solat menghadap ke Kaabah di antara rukun Yamani dan Hajar Aswad. Dari sudut ini memungkinkan Rasulullah menghadap Kaabah sekaligus Baitul Maqdis. Hal ini boleh dilakukan oleh Rasulullah SAW kerana Kaabah berada satu jalur di depan Al-Aqsa.

Tatkala Baginda SAW berhijrah ke Madinah, Baginda tidak dapat lagi berkiblatkan ke arah Kaabah. Hal ini kerana, saat Baginda menghadap ke Baitul Maqdis dari Madinah, maka posisi Kaabah berada di belakang Baginda SAW sehingga tidak lagi memungkinkan untuk menghadap Kaabah sekaligus Baitul Maqdis secara bersamaan seperti yang biasa Baginda lakukan di Makkah.

MASJID QIBLATAIN

Madinah merupakan sebuah kota yang mempunyai banyak peninggalan bersejarah untuk umat Islam menjadikannya sebagai iktibar dan peringatan. Terdapat banyak masjid yang telah dibina di atas tanah Madinah tersebut untuk menjadi bukti perjuangan Rasulullah SAW dalam menegakkan agama Islam. Antara masjid yang menjadi bukti perjuangan Rasulullah SAW ialah Masjid Qiblatain. 

Umum mengetahui bahawa Masjid Qiblatain mempunyai 2 arah kiblat di dalam satu masjid. Mihrab yang terbina kedua-duanya saling berhadapan di antara satu sama lain. Kiblat pertama menghadap ke arah utara iaitu tempat terletaknya Masjid Al-Aqsa (Baitul Maqdis) di Jerusalem (Palestin) manakala kiblat kedua adalah menghadap ke arah selatan iaitu tempat terletaknya Kaabah (Baitullah) di Mekah Al-Mukarramah.

Sejarah pertukaran arah kiblat dari Masjid al-Aqsa ke Kaabah bermula pada peristiwa hijrah Baginda SAW dan beberapa orang sahabat ke Madinah. Pada waktu itu, majoriti penduduk Madinah adalah dalam kalangan Yahudi di mana kiblat mereka adalah menghala ke Baitul Maqdis. Sepertimana yang dijelaskan oleh Said ibn Musayyab bahawa golongan ansar solat menghadap baitul maqdis 3 tahun sebelum hijrah.

(Tafsir al-Tabari)

Melihat keadaan itu, orang-orang Yahudi sangat gembira dengan perbuatan Rasulullah SAW kerana mereka beranggapan seolah-olah Rasulullah SAW meniru kaum Yahudi dan Nasrani dalam beribadah. Hakikatnya, Baginda SAW lebih menyukai jika kiblat menghala ke arah Baitullah. Oleh itu, Rasulullah SAW telah memohon doa kepada Allah SWT sambil menengadah wajahnya ke langit dengan harapan turunnya wahyu yang memerintahkan supaya kiblat ditukarkan ke arah Baitullah. 

(Sirah al-Nabawiyah al-Sohihah)

PERISTIWA PERTUKARAN ARAH KIBLAT

Selepas enam belas bulan, pada 17 Rejab tahun 2 Hijrah  Baginda SAW solat menghadap kiblat ke arah Baitul Maqdis telah turun wahyu daripada Allah SWT yang menjawab permohonan doa tersebut seraya memerintahkan supaya memindahkan arah kiblat ke Baitullah. Sepertimana firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat ke-144:

 قَدْ نَرَىٰ تَقَلُّبَ وَجْهِكَ فِي السَّمَاءِ ۖ فَلَنُوَلِّيَنَّكَ قِبْلَةً تَرْضَاهَا ۚ فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ ۚ وَحَيْثُ مَا كُنتُمْ فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُ ۗ وَإِنَّ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ لَيَعْلَمُونَ أَنَّهُ الْحَقُّ مِن رَّبِّهِمْ ۗ وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا يَعْمَلُونَ

Maksudnya: “Kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang menengadah ke langit, maka Kami benarkan engkau berpaling menghadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haram (tempat letaknya Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah mukamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan Kitab, mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah yang benar dari Tuhan mereka; dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang mereka lakukan”.

Pada saat wahyu diturunkan, Rasulullah SAW sedang mendirikan solat bersama-sama para sahabat. Mendengarkan wahyu tersebut, lantas Baginda SAW menukar arah kiblat menghadap ke arah Baitullah dan para sahabat mengikuti perbuatan Baginda SAW  tersebut. Awal solat Nabi SAW menghadap ke Mekah ialah pada solat Zohor di Bani Salamah. Manakala solat menghadap ke Mekah buat pertama kalinya di Masjid Nabawi ialah pada solat asar dan bagi penduduk di Masjid Quba solat pertama kali menghadap ke Mekah ialah pada solat subuh ketika mana telah sampai kepada mereka perkhabaran berkaitan penukaran arah kiblat.

(Fath al-Bari)

Sejak daripada peristiwa tersebut, kiblat umat Islam telah bertukar ke arah Kaabah (Baitullah) yang terletak di Mekah sehingga kini. Inilah sejarah yang telah berlaku pada zaman Rasulullah SAW pada 1400 tahun dahulu. Selain itu, ia juga adalah sebagai satu simbolik kepada kesatuan dan perpaduan umat Islam di seluruh dunia bagi mentaati perintah Allah SWT dalam beribadah kepada-Nya. Semoga dengan peristiwa dan sirah Rasulullah SAW yang berlaku tersebut dapat dijadikan pedoman dan peringatan kepada umat Islam agar lebih lebih taat dan akur akan perintah-Nya dalam segala urusan

HADITH TENTANG PERPINDAHAN ARAH KIBLAT

Selepas diperintahkan Allah SWT untuk berpaling ke Kaabah, solat pertama dilakukan Baginda SAW ialah solat Asar yang diikuti beberapa orang sahabat. Sesudah itu, seorang sahabat keluar dari masjid dan melihat dalam masjid lain jemaah sedang rukuk dan masih menghadap ke arah Baitul Maqdis.

Maka dia berseru: “Demi Allah! Aku bersaksi bahawa aku bersolat bersama Nabi Muhammad ﷺ menghadap ke Kaabah di Makkah. Kemudian orang yang bersolat itu terus berpusing menghadap ke Kaabah dalam solat itu juga.” (Hadis riwayat Bukhari)

Ibnu Sa’ad dalam kitab al-Tabaqat ada meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW sedang melawat Ummu Bisyr bin al-Barra’ bin Mabrur di kawasan Bani Salamah. Beliau menyediakan jamuan untuk Rasulullah ﷺ dan sahabatnya.

Apabila tiba waktu Zuhur, Baginda bersolat di masjid perkampungan itu. Ketika Baginda SAW berada dalam rakaat yang kedua solatnya, turun wahyu daripada Allah SWT memerintahkannya supaya menukar arah dari Masjidil Aqsa ke arah Kaabah di Masjidil Haram.

Baginda SAW terus berpaling menghadap ke arah Kaabah ke sudut bertentangan dengan mizab (saluran emas) dengan pusingan 180 darjah dan terus menyambung baki solatnya. Masjid itu dinamakan Masjid Qiblatain yang masih ada di Madinah sebagai salah satu tempat lawatan jemaah yang mengerjakan umrah mahu pun haji di sana.

Imam Bukhari juga ada meriwayatkan daripada Abdullah ibnu Umar ketika orang bersolat Subuh di masjid Quba’, tiba-tiba datang berita mengatakan Rasulullah SAW diarahkan supaya menghadap ke Kaabah, maka mereka pun berpaling ke arah itu.

Mengenai perbezaan riwayat berkenaan perubahan kiblat, al-Hafiz Ibnu Hajar ada menjelaskan bahawa solat pertama menghadap Kaabah ialah solat di Bani Salamah di masjid Qiblatain iaitu solat Zuhur. Solat pertama menghadap kiblat di Masjid Nabawi pula ialah solat Asar. Solat Subuh pula ialah di Masjid Quba

RESPON ORANG YAHUDI DAN MUNAFIK

Selepas berlaku perubahan kiblat, orang munafik dan kaum Yahudi meragui kejadian itu lalu bertanya: “Apakah yang menyebabkan mereka berpaling dari kiblat yang mereka hadapi selama ini?”

Sebagai jawapan kepada pertanyaan yang sengaja dilontarkan oleh kaum Yahudi sebagai bahan ejekan dan sindiran serta untuk mengelirukan kaum Muslimin, Allah SWT berfirman, dalam surah AL-Baqarah ayat ke-142:

سَيَقُولُ ٱلسُّفَهَآءُ مِنَ ٱلنَّاسِ مَا وَلَّىٰهُمْ عَن قِبْلَتِهِمُ ٱلَّتِى كَانُوا۟ عَلَيْهَا ۚ قُل لِّلَّهِ ٱلْمَشْرِقُ وَٱلْمَغْرِبُ ۚ يَهْدِى مَن يَشَآءُ إِلَىٰ صِرَٰطٍۢ مُّسْتَقِيمٍۢ

Maksudnya“Orang-orang yang bodoh akan berkata: “Apakah yang memalingkan mereka (umat Islam) dari kiblat mereka (Baitulmaqdis) yang dahulunya mereka telah berkiblat kepadanya?” Katakanlah: “Kepunyaan Allah timur dan barat, Dia memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus.” 

Perubahan arah kiblat adalah satu tamparan cukup hebat kepada kaum Yahudi yang selama ini berbangga dengan kiblat mereka iaitu Baitulmaqdis hingga mencemuh dan mengejek umat Islam kerana terpaksa bergantung dan mengikut walaupun dalam menentukan arah solat pada ketika itu.

Malah, kewajipan bersolat menghadap kiblat adalah satu perintah dan ketetapan daripada Allah SWT dan sesiapa saja tidak boleh mempersoalkan mengapa perlu menghadap Kaabah apabila melakukan solat. Inilah sebenarnya konsep ketaatan, kepatuhan mutlak hanya kepada Allah SWT saja dalam apa juga keadaan dan tidak boleh disamakan dengan ketaatan kepada makhluk.

HIKMAH PERISTIWA PERPINDAHAN ARAH KIBLAT

Syeikh Wahbah Zuhaili dalam Tafsir al-wasith menyebutkan ada tiga hikmah dialihkannya kiblat dari Masjidil Aqsa ke Masjidil Haram.

  • Sebagai Tanda Kebenaran Daripada Allah SWT

Kemuncak peristiwa itu ialah ia melambangkan kebenaran daripada Allah SWT untuk kembali berkiblatkan Kaabah, sekali gus ia adalah contoh doa Rasulullah SAW yang dikabulkan Allah SWT. Ia kerana Rasulullah SAW sudah lama mengangkat tangannya berdoa dan memandang ke langit meminta pertukaran kiblat ke Kaabah. Permintaan Rasulullah SAW diperkenankan oleh Allah SWT pada pertengahan bulan Syaaban.

Ahlul kitab mengetahui kebenaran bahawa kiblat Nabi SAW berada di Kaabah. Atas landasan ini, Nabi Muhammad SAW yang menghadap Baitul Maqdis menjadi bahan cercaan dan hinaan.  Di sisi lain, kaum musyrik berpandangan bahwa seorang utusan dari keturunan Nabi Ibrahim diutus untuk menyempurnakan ajaran Nabi Ibrahim.

Mereka pun mengejek, bahawa tidak masuk akal rasanya, jika keturunan Nabi Ibrahim tidak menghadap ke arah kiblat Ibrahim. Dengan berpindahnya arah kiblat, Allah telah mematahkan hujah-hujah dan perdebatan kelompok penentang Rasulullah SAW ini.

Seterusnya, sebahagian kaum Muslimin berkata: “Kami ingin mengetahui mengenai orang yang meninggal dunia sebelum pemindahan kiblat (dari Baitul Maqdis ke Kaabah). Bagaimana juga dengan ibadat solat kami sebelum ini ketika kami masih menghadap ke arah Baitulmaqdis.”

Maka turunlah ayat 143 surah al-Baqarah yang menegaskan bahawa Allah SWT tidak akan mensia-siakan iman mereka yang beribadah menurut ketentuan ketika itu.

وَكَذَٰلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا لِّتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ وَيَكُونَ الرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًاۗ وَمَا جَعَلْنَا الْقِبْلَةَ الَّتِي كُنتَ عَلَيْهَا إِلَّا لِنَعْلَمَ مَن يَتَّبِعُ الرَّسُولَ مِمَّن يَنقَلِبُ عَلَىٰ عَقِبَيْهِۚ وَإِن كَانَتْ لَكَبِيرَةً إِلَّا عَلَى الَّذِينَ هَدَى اللَّـهُۗ وَمَا كَانَ اللَّـهُ لِيُضِيعَ إِيمَانَكُمْۚ إِنَّ اللَّـهَ بِالنَّاسِ لَرَءُوفٌ رَّحِيمٌ 

Maksudnya“Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) juga akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu. (Sebenarnya kiblat kamu ialah Kaabah) Dan tidaklah Kami jadikan kiblat yang engkau mengadapnya dahulu itu (wahai Muhammad), melainkan untuk Kami mengetahui tentang siapakah yang benar-benar mengikut Rasul (serta membenarkannya) dan siapa pula yang berpaling tadah (berbalik kepada kekufurannya). Dan sesungguhnya (soal peralihan arah kiblat) itu adalah amat berat (untuk diterima) kecuali kepada orang-orang yang telah diberikan Allah petunjuk hidayah dan Allah tidak akan menghilangkan (bukti) iman kamu. Sesungguhnya Allah Amat melimpah belas kasihan dan rahmatNya kepada orang-orang (yang beriman).” 

Mafhumnya ayat suci di atas menegaskan kedudukan umat Islam sebagai umat pilihan dan pertengahan serta akan menjadi saksi pada hari akhirat kepada umat sebelum ini. Umat pilihan atau pertengahan itu bermaksud tidak hanya mementingkan kerohanian dan kebendaan semata-mata, tetapi wasatiyyah (berada di tengah-tengah).

  • Kesempurnaan Nikmat Allah Terhadap Bangsa Arab

Sesungguhnya Nabi Muhammad berasal dari bangsa Arab, Al-Quran pun diturunkan dalam bahasa Arab. Bangsa Arab akan senang tatkala Kaabah dijadikan kiblat, sebab di sanalah tanah air serta kebanggaan mereka berada.

  • Menjadikan Umat Islam Yang Lebih Taat Dan Teguh Pendirian

Seorang muslim sejati tentunya akan taat terhadap segala perintah Allah dan menjauhi segala larangan-Nya. Kendati hinaan dan ejekan deras dialamatkan kepada umat Islam, namun mereka tidak terpengaruh dan tetap taat kepada perintah Rasul. Hal ini menjadi bukti bahwa keimanan mereka terhadap Allah SWT dan Rasulullah SAW adalah kukuh.

Demikianlah hikmah dan pengajaran yang tersurat dan tersirat di sebalik peristiwa perubahan kiblat yang menjadi satu kewajipan yang perlu ditaati oleh setiap Muslim ketika menunaikan ibadah solat lima waktu ke arah Kaabah kerana kewajipan solat menghadap ke Kaabah menunjukkan konsep kepatuhan mutlak seorang muslim.

Di samping itu, ia membuktikan kepentingan Baitulmaqdis di sisi Islam yang sepatutnya dikembalikan di bawah ketuanan umat Islam di Palestin. Masjidil Haram, Masjid Nabawi dan Masjidil Aqsa adalah tiga simbol syiar Islam di bumi Allah SWT ini.

Wallahua’lam

Kita tidak akan tahu bila masa kita akan melalui kesusahan. Oleh itu,salurkanlah kesenangan yang kita ada pada hari ini pada golongan yang memerlukan. Insyaallah, usaha yang dilakukan akan dipandang dan diredhai Allah SWT. Jika berminat untuk ‘menyalurkan kesenangan’, boleh klik pada butang “Bantu Mereka” di bawah. Terima kasih.

Sudahkah Anda Menjadi Tangan Yang Memberi?

Jika belum jom sama-sama dengan Perkim Datuk Keramat membantu mereka yang dalam kesusahan seperti ibu tunggal, mereka yang menghidap penyakit kronik dan pelbagai lagi. Sesungguhnya sedikit sumbangan anda, memberi 1000 kemanisan untuk mereka

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top