Baru-baru ini, Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur telah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun ke atas pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali selepas didapati bersalah atas pertuduhan mengabai dan menganiaya seorang remaja sindrom Down dikenali sebagai Bella. Bagi pertuduhan pengabaian, tertuduh dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun manakala bagi pertuduhan kedua iaitu menganiaya, tertuduh dikenakan hukuman penjara 12 tahun.
Hakim Izralizam Sanusi bagaimanapun memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan secara serentak dari tarikh sabitan. Izralizam ketika menjatuhkan hukuman berkata kesalahan mengabai dan menganiaya adalah kesalahan serius dan seperti mana dihujahkan oleh pendakwaan bahawa pindaan telah dibuat bagi hukuman terhadap kesalahan-kesalahan tersebut.
Menurutnya lagi, hukuman pemenjaraaan bagi kesalahan itu juga telah dinaikkan daripada 10 tahun kepada 20 tahun selain jumlah denda dari RM10,000 kepada RM50,000, jika sabit kesalahan. Izralizam memberitahu, hukuman yang dijatuhkan perlu menggambarkan keseriusan kesalahan dilakukan dan menunjukkan kepada orang awam khususnya ibu bapa, penjaga dan pengasuh kanak-kanak agar tidak mengambil ringan keselamatan dan kebajikan kanak-kanak.
“Faktor kepentingan awam perlu ditekankan dan dalam kes ini, mahkamah mendapati kecederaan dialami Bella adalah kecederaan serius malah sehingga kini, ia meninggalkan parut. Ia bukan sahaja meninggalkan parut dalam dirinya, tetapi parut secara fizikal. Beliau bukan sahaja diabaikan oleh tertuduh sehingga menyebabkan kecederaan teruk, malah tertuduh didapati terlibat menganiaya Bella.”
Dari kenyataan ini dapat dilihat bahawa media hari ini telah memaparkan begitu banyak kes penderaan kanak-kanak baik di rumah kebajikan kanak-kanak, tadika, sekolah bahkan berlaku dalam keluarga kandung di rumah. Berlakunya isu seperti ini atas kegagalan mengawal emosi dan akhirnya melepaskan amarah kepada anak kecil yang baru ingin mengenal dunia.
Tidak dinafikan semua anak itu bermacam-macam ragam, ada masa dan ketikanya mereka tantrum, nakal dan degil. Namun, itulah proses baginya untuk menjadi seorang yang anak yang soleh ataupun solehah. Justeru, bukan dengan menggunakan kekerasan seperti penderaan menjadi tiket untuk mendidik anak tersebut.
Oleh itu artikel ini akan menghuraikan tentang sudut pandang agama Islam terhadap anak dan kesan buruk penderaan keatas mereka. Baik seorang pengasuh, ibu susuan, ibu bapa kandung, bakal ibu bapa perlu mengambil iktibar terhadap penulisan ini.
Anak-anak merupakan hibah dan anugerah daripada Allah SWT sebagaimana yang difirmankan-Nya dalam surah asy-Syura ayat ke-49:
يَهَبُ لِمَنْ يَشَاء إِنَاثًا وَيَهَبُ لِمَن يَشَاء الذُّكُورَ
Maksudnya: “Ia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendakiNya.”
Dalam Tafsir al-Maraghiy ada menyatakan bahawa maksud anak di sini ialah anak kandung sahaja. Seseorang yang mencintai isteri dan anaknya mempunyai sebab yang sama, iaitu meneruskan keturunan dan mengekalkan zuriat manusia. Perasaan cinta seorang ayah terhadap anak lelaki lebih besar daripada anak perempuan, kerana anak lelaki dianggap penyambung zuriat, mampu mengekalkan nama dan dapat membentuk sebuah institusi keluarga yang menjadi kebanggaan masyarakat. Di samping itu, dia menjadi tempat tumpuan harapan seorang ayah dalam menjamain kehidupan mereka. Anak lelaki juga diharapkan dapat menagangkat martabat orang tuanya. Apabila anak perempuan meningkat dewasa, mereka akan berpisah dengan keluarga dan menjadi keluarga lain.
Allah Taala berfirman dalam surah at-Taghabun ayat ke-15:
إِنَّمَا أَمْوَالُكُمْ وَأَوْلادُكُمْ فِتْنَةٌ
Maksudnya: “Sesungguhnya hartamu dan anak-anakmu hanyalah ujian bagimu”
Dalam Tafsir al-Maraghiy telah diperincikan bahawa kecintaan kepada harta benda dan anak-anak adalah cubaan dan ujian kerana seringkali perkara itu menjadi penyebab kepada perbuatan dosa dan pelanggaran terhadap apa-apa yang dilarang.
Allah Taala berfirman dalam surah al-Furqan ayat ke-74:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ
Maksudnya: “Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati kami”
Dalam Tafsir Fi Zilalil Quran telah menafsirkan ayat ini dengan menyatakan bahawa perasaan ingin supaya bilangan orang-orang yang berjalan kepada Allah sentiasa bertambah ramai terutama zuriat dan pasangan-pasangan hidup mereka, kerana golongan ini merupakan golongan di bawah tanggungjawab mereka paling dekat dan merupakan golongan amanah yang akan disoal kemudian hari, juga perasaan ingin agar seseorang Mu’min itu merasa bahawa dia adalah contoh teladan yang baik yang dapat diikuti oleh orang-orang yang cintakan Allah. Ini bukannya sikap mementingkan diri sendiri dan bukan pula berlagak angkuh kerana seluruh angkatan mereka berada di jalan menuju kepada Allah belaka.
Antara tanggungjawab ibu bapa bukan skadar memberi makan dan pakai semata-mata tetapi sebagai manusia amat perlu melakukan lebih daripada itu. Antaranya:
Tanggungjawab ini bukan sahaja disandang buat ibu bapa kandung juga. Jika mengambil tugas seabagai pengasuh perlulah ada ciri-ciri diatas. Jika tidak mampu, janganlah pernah menerima untuk menjaga anak orang lain sekalipun bayaran yang ditawarkan lumayan.
Kejadian ini bukan baru dalam masyarakat kita. Sudah terlalu bayak kes penderaan terhadap kanak-kanak didedahkan oleh media, sehingga ada yang menyebabkan kematian. Mengambil kira satu kes yang menyayat hati kita tiga dekad lalu, seluruh negara bangun mengutuk tindakan tidak berperikemanusiaan ini. Ia membawa kepada penggubalan undang-undang lebih ketat , bagi mengelakkan isu sama berulang.
Tetapi ia berulang. Hampir setiap tahun ada kes penderaan kanak-kanak. Dari segi undang-undang, penderaan kanak-kanak bermaksud dera atau satu perbuatan zalim dilakukan ke atas kanak-kanak iaitu mereka yang berusia kurang 18 tahun. Jika dilihat berdasarkan rekod Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, kes-kes penderaan semakin membimbangkan.
Penderaan kanak-kanak boleh dibagikan kepada beberapa jenis. Antaranya, penderaan fizikal, penderaan emosi (mental) dan penderaan seksual.
Penderaan kanak-kanak secara fizikal adalah satu perbuatan zalim secara fizikal yang dilakukan oleh seseorang dengan tujuan menyakiti mangsa. Ia dilakukan ibu bapa, penjaga atau sesiapa sahaja yang bertanggungjawab melindungi kanak-kanak berkenaan. Perbuatan mendera boleh menyebabkan kecederaan atau kematian.
Ia dilakukan menggunakan cara atau alat tertentu untuk mencederakan kanak-kanak terbabit. Di antara cara dan alat digunakan untuk mendera, selain memukul menggunakan tangan ialah dicucuh puntung rokok atau dengan benda panas, disepak, ditumbuk, dicubit, disimpah air panas, dirantai atau direndam ke dalam air.
Dalam pada itu, penderaan emosi adalah satu kaedah penyeksaan terhadap kanak-kanak sehingga menyebabkan gangguan psikologi dari segi mental dan emosi. Penderaan ini meliputi tidak memberi kasih sayang yang secukupnya kepada kanak-kanak. Mereka ini dimarahi, diejek, ditengking dan pergaulan selalunya disekat menyebabkan kanak-kanak ini sedih, marah dan murung. Kanak-kanak sebegini dilabel sebagai seorang yang bodoh, tidak boleh harap dan menyusahkan keluarga.
Penderaan seksual berlaku apabila kanak-kanak dieksploitasikan untuk kepuasan seks oleh orang dewasa. Penderaan seksual membabitkan kanak-kanak adalah dengan cara mencabul kehormatannya, dirogol dan yang berumur sikit, dipaksa melacur. Penderaan seksual yang membabitkan kanak-kanak perempuan semakin membimbangkan manakala bilangan kanak-kanak lelaki yang didera secara seksual juga tidak kurang seriusnya.
Kajian mengenai embriologi dan pediatrik menyatakan bahawa perkembangan otak pada tahap luar biasa semasa peringkat pembesaran awal bayi dan zaman kanak-kanak. Oleh itu, pendedahan berulang kepada peristiwa yang memberikan tekanan boleh mendatangkan kesan kepada tindak balas tekanan otak, menjadikannya tidak aktif dan kurang penyesuaian diri. Penyelidikan juga mendapati terdapat hubung kait antara penderaan pada zaman kanak-kanak dengan masalah kesihatan pada masa depan. Antara masalah tersebut adalah:
Kanak-kanak yang menderita akibat penganiayaan cenderung untuk menjadi kurang berkeyakinan dan tidak percaya kepada individu dewasa. Mereka mungkin sukar dan tidak mampu meluahkan perasaan sebenar mereka, menyebabkan wujudnya gangguan dalam mengawal emosi. Semakin lama penderaan berlaku, semakin serius impak yang akan berlaku. Dalam sesetengah situasi, penderitaan berterusan sehingga zaman remaja, dan alam dewasa. Ia juga boleh membawa kepada kegelisahan kronik dan kemurungan.
Beberapa kesan yang mungkin berlaku terhadap tahap kesihatan mental kanak-kanak akibat penderaan yang dihadapi termasuk:
Mengenal pasti kesan fizikal penderaan adalah penting untuk mengetahui tentang penganiayaan yang berlaku. Oleh itu, kita boleh melaksanakan langkah selanjutnya untuk melindungi kanak-kanak daripada penderaan dan pengabaian.
Tanda penderaan fizikal kanak-kanak adalah lebih mudah untuk dilihat berbanding penderaan yang lain, seperti pengabaian atau penderaan emosi. Kewujudan satu tanda penderaan fizikal tidak semestinya bermaksud kanak-kanak tersebut menderita akibat penderaan. Tetapi, mengetahui tentang tanda penderaan itu mungkin boleh menjadi petunjuk untuk melihatnya dengan lebih teliti.
Beberapa tanda penderaan fizikal dapat dilihat dalam senarai di bawah:
Tanda penderaan kanak-kanak tidak selalu jelas kelihatan, dan kanak-kanak mungkin tidak memberitahu sesiapa tentang apa yang berlaku kepada mereka. Ini mungkin disebabkan rasa takut seandainya pendera mengetahui tentang itu dan takut penderaan akan menjadi semakin teruk.
Mereka mungkin merasakan tiada sesiapa yang boleh mereka luahkan atau mereka mungkin dianggap menipu. Ada masanya kanak-kanak tidak menyedari apa yang berlaku itu adalah penderaan. Oleh kerana itu, kesan daripada penderaan dan pengabaian boleh mendatangkan mudarat kepada mangsa dan masyarakat di sekeliling mereka.
Dengan kurnia anak sebagai anugerah Tuhan, amat wajar kita rahmati dan sayang serta kasih. Nasihat Baginda SAW:
مَن لَا يَرْحَمْ لَا يُرْحَمْ
Maksudnya: “Siapa yang tidak merahmati nescaya tidak dirahmati.” (HR Bukhari & Muslim)
Kepada ibu bapa, bakal menjadi ibu bapa, pengasuh dan penjaga ambillah iktibar daripada penulisan ini. Jika kita dibesarkan dengan kekerasan sejak kecil, janganlah ulangi kesilapan ibu bapa kita yang lepas. Sesungguhnya dendam adalah penyakit yang akan diwarisi turun temurun jika dicegah dengan imam dan taqwa.
Wallahua’lam.
Sudahkah anda bersedekah pada hari ini? Jika belum, marilah salurkan sumbangan buat mereka yangkurang bernasib baik. Sila klik pada butang “Bantu Mereka” dibawah dan salurkan sumbangan. Semoga dengan sumbangan ini menjadi asbab agar kita sentiasa menjadi hamba yang taat kepada Tuhannya. Terima kasih.
Jika belum jom sama-sama dengan Perkim Datuk Keramat membantu mereka yang dalam kesusahan seperti ibu tunggal, mereka yang menghidap penyakit kronik dan pelbagai lagi. Sesungguhnya sedikit sumbangan anda, memberi 1000 kemanisan untuk mereka