SUSAH NAK BUAT PUASA ENAM? BACA ARTIKEL INI!

SUSAH NAK BUAT PUASA ENAM? BACA ARTIKEL INI!

DAH HAMPIR SEPARUH SYAWAL?

Hari ini telah masuk 13 Syawal yang mana telah menghampiri separuh daripada bulan Syawal. Amatlah rugi bagi seseorang yang masih belum memulakan lagi puasa enam. Mungkin ada sesetengah orang yang ingin memulakannya, namun tidak mampu dengan suasana sekarang yang dihidangkan bermacam-macam juadah tidak kira sama ada di rumah mahupun di pejabat. Ini tidak termasuk lagi jemputan rumah terbuka yang tidak henti-hentinya dari awal bulan Syawal hingga hujungnya.

Oleh itu, artikel ini ingin membincangkan tips yang boleh kita lakukan agar dapat melaksanakan puasa enam dengan bersemangat. Sebelum itu, mungkin timbul persoalan bagaimanakah pelaksanaan puasa enam? Bolehkah diamalkan secara berasingan atau perlu berturutan atau ada hari-harinya yang tertentu? Mari kita renungi hadith di bawah.

PUASA ENAM BOLEH BUAT BERASINGAN?

Antara amalan sunat yang boleh dilakukan apabila tibanya Syawal adalah dengan melakukan ibadah puasa sunat 6 hari di bulan Syawal. Ianya thabit dari perbuatan Nabi SAW yang mana di dalam hadith ada menyebutkan mengenai kelebihan berpuasa 6 hari di bulan Syawal iaitu bersamaan pahalanya dengan berpuasa sepanjang tahun. Ini berdasarkan sebuah hadith riwayat Muslim daripada Abu Ayub al-Ansari RA yang mana Rasulullah SAW telah bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan kemudian diikuti dengan enam hari di bulan Syawal, ianya bersamaan dengan berpuasa sepanjang tahun.” (HR Muslim 1164)

Adakah Puasa 6 Perlu Dilakukan Secara Berturutan?

Setelah mengetahui akan pensyariatan puasa sunat enam Syawal beserta fadhilatnya, timbul juga persoalan mengenai adakah puasa yang enam itu perlu dilakukan secara berturutan ataupun boleh dilakukan secara berasingan.

Mengenai persoalan di atas, al-Imam al-Nawawi Rahimahullah di dalam al-Majmu’ ada menyebutkan: “…dan disunatkan untuk berpuasa secara berturutan di awal Syawal. Sekiranya dipisahkan (tidak berpuasa 6 hari secara berturutan) ataupun diakhirkan puasa tersebut di dalam bulan Syawal, maka ianya dibolehkan…”

Al-Imam Ibn Qudamah di dalam kitabnya al-Mughni menyebutkan mengenai permasalahan ini seperti berikut: “…tidak ada bezanya (menjadikan puasa tersebut) dilakukan secara berturutan ataupun dipisahkan samaada di awal Syawal ataupun diakhirnya kerana hadith menyebutkannya secara mutlaq tanpa dikaitkan dengan sesuatu yang lain…”

Berdasarkan pendapat-pendapat yang terdapat di dalam isu ini, mufti Wilayah Persekutuan menyatakan bahawa isu ini ada fleksibilitinya yang tersendiri iaitu puasa 6 boleh dilakukan secara berturutan ataupun dipisahkan. Diawalkan ataupun dilewatkan selagi mana masih berada di dalam bulan Syawal. Ianya tidak menjadi masalah.

Di dalam kemeriahan kita menyambut Syawal, sudah pasti akan ada jemputan dari sanak saudara juga rakan taulan untuk menghadiri rumah terbuka, kenduri dan sebagainya. Maka ianya tidak menjadi masalah serta penghalang untuk menunaikan puasa 6 Syawal kerana terdapat fleksibiliti di dalam kaifiat menunaikannya. Alangkah baiknya jika kita dapat menghimpunkan dua kebaikan dalam bulan Syawal ini, satunya dengan berpuasa enam dan keduanya dengan menghubungkan silaturrahim sesama kita.

PUASA ENAM NORMA BAHARU

Dalam suasana yang serba canggih dan digital ini, begitu banyak manfaatnya buat kita jika kita benar-benar mengetahui cara menggunanya. Justeru, dalam memanfaatkannya, kita perlu letakkan jadual bagi agar kita tidak tertinggal hari untuk melaksanakan puasa enam. Jangan risau masih sempat lagi bagi yang belum memulakannya lagi. Mari ikuti cara dibawah:

  • Menetapkan jadual hari berpuasa pada hari Isnin, Khamis dan Hari Putih.

Hari Putih ialah pada 13, 14 dan 15 Syawal bersamaan Khamis 4 Mei Jumaat 5 Mei dan Sabtu 6 Mei 2023. Daripada Ibnu Milhan Al-Qoisiy, daripada ayahnya, beliau berkata;

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- يَأْمُرُنَا أَنْ نَصُومَ الْبِيضَ ثَلاَثَ عَشْرَةَ وَأَرْبَعَ عَشْرَةَ وَخَمْسَ عَشْرَةَ . وَقَالَ هُنَّ كَهَيْئَةِ الدَّهْرِ

Maksudnya: “Rasulullah S.A.W selalu memerintahkan kami untuk berpuasa pada ayyamul bidh yaitu 13, 14 dan 15 (dari bulan Hijriyah).” Dan Baginda bersabda, “Puasa ayyamul bidh itu seperti puasa setahun.” (HR Abu Daud)

Justeru, dicadangkan berpuasa 6 pada Khamis 4 Mei Jumaat 5 Mei dan Sabtu 6 Mei. Diikuti pada hari Isnin depan iaitu Isnin 8 Mei, Khamis 11 Mei dan Isnin 15 Mei. Jika harini anda masih belum sempat untuk memulakan puasa, jangan risau anda boleh memulakannya pada hari esok dan ditambah satu hari pada Khamis 18 Mei. Betul-betul sebelum tamatnya bulan Syawal. Sekiranya ada hari yang keuzuran bolehlah digantikan pada hari-hari yang lain.

Dengan cara ini kita dapat manfaat hari-hari yang dianjurkan untuk berpuasa sekaligus kurang merasa bebannya kerana hari-hari ini kebiasaannya orang lain turut berpuasa dan jaral hari yang tidak berturut-turut.

  • Dilakukan oleh kesemua ahli keluarga sepertimana suasana Ramadan.

Jika masih ramai ahli keluarga di rumah, ajaklah mereka untuk menghidupkan suasana berpuasa enam di bulan Syawal mengikut jadual yang telah ditetapkan. Dengan ini, kita jadi lebih semangat dan seronok kerana terdapat ahli yang lainnya turut berpuasa bersama kita. Jika tidak berada di rumah ibu bapa, boleh juga mengajak kawan sesama islam yang tinggal sebumbung untuk berpuasa juga. Nasihatkan kepada mereka tentang kelebihan puasa enam ini. Insyaallah, jika cara yang digunakan benar dan tepat, mereka akan menyertainya bersama lebih-lebih lagi jadual itu tidak membebankan dan mudah untuk diikuti.

  • Bersahur dan berbuka bersama ahli keluarga termasuk mendirikan solat fardhu berjamaah.

Apabila ahli telah bersetuju untuk berpuasa, railah bersama dengan bersahur dan berbuka secara berjemaah. Lebih baik lagi jika solat fardhu selepasnya iaitu solat Subuh dan Maghrib dilakukan secara bersama. Ini dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim sesama keluarga dan rakan.

  • Menggalakkan ahli keluarga yang berjauhan untuk berpuasa bersama-sama.

Mungkin ada ahli keluarga kita yang jauh di perantauan kerana cuti rayanya yang telah tamat. Jangan dilupakan mereka dan ajaklah juga mereka yang jauh untuk berpuasa bersama. Walaupun berjauhan namun dengan asbab ajakan kearah kebaikan itu dapat dikuatkan lagi doa yang dikirimkan kerana kerinduan yang menghimpit diri. Secara tidak langsung menjadikan ahli kita yang jauh tidak merasa terpinggir dan sentiasa diingati.

  • Niat puasa sunat boleh diniatkan sebelum Zohor. 

Berbeza halnya dengan berpuasa wajib di bulan Ramadan, kita perlu berniat sebelum masuknya azan Subuh namun untuk berpusa sunat cukup dengan berniat walaupun  selewat sebelum Zuhur. Hal ini terkadang kita berada dalam keadaan yang sangat susah dan sukar untuk mendapatkan makanan. Jika didapati pada paginya tidak ada makanan untuk dijamu atau wang untuk membeli makanan, maka dibolehkan untuk berniat berpuasa pada hari itu asalkan bermula daripada selepas Subuh pada hari itu tidak ada melakukan perkara yang membatalkan puasa.

KESIMPULAN

Hakikatnya banyak kelebihan berpuasa enam, atau kelebihan berpuasa itu sendiri. Sepertimana yang kita ketahui puasa itu membuahkan takwa. Imam al-Ghazali menghuraikan takwa di dalam Minhajul Abidin:

التقوى هو اجتناب كل ما تخاف منه ضررا في دينك، ألا ترى أنه يقال للمريض المحتمي إنه يتقي إذا اجتنب كل شيء يضره في بدنه من طعام أو شراب أو فاكهة أو غيرها

Maksudnya: “Takwa itu ialah kamu menjauhi semua yang dikhuatiri akan merosakkan agama kamu. Tidakkah kamu melihat bahawa dikatakan kepada pesakit yang dijaga, supaya menjauhi semua perkara yang boleh memudaratkan badannya sama ada dari segi makanan, minuman buah-buahan ataupun selainnya.”

Semoga dengan puasa enam ini menjadikan diri kita sentiasa dilandasi dengan dasar takwa sehinggalah bertemu dengan Ramadan  pada tahun depan.

Wallahua’lam.

Sudahkah anda bersedekah pada hari ini? Jika belum marilah sama-sama kita menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan. Boleh klik pada butang “Bantu Mereka” dibawah dan  salurkan sumbangan. Terima kasih.

Sudahkah Anda Menjadi Tangan Yang Memberi?

Jika belum jom sama-sama dengan Perkim Datuk Keramat membantu mereka yang dalam kesusahan seperti ibu tunggal, mereka yang menghidap penyakit kronik dan pelbagai lagi. Sesungguhnya sedikit sumbangan anda, memberi 1000 kemanisan untuk mereka

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top