TANDA LAILATUL QADR DAN KISAH RASULULLAH BERTEMU DENGANNYA

LAILATUL QADR

Lailah yang memberi maksud apabila tenggelamnya matahari sehingga terbitnya fajar atau berlawanan dengan siang hari.

Sedangkan al-Qadar pula memberi maksud kemuliaan atau hukum dan ketetapan.

Para ulama berbeza pendapat apabila Qadar disandarkan kepada malam. Ada ulama berpendapat ianya kerana kemuliaan dan terdapat juga pendapat-pendapat lain.

Ibn Qudamah berpendapat malam qadar ialah malam yang mulia, diberkati, diagungkan dan mempunyai banyak kelebihan.

Ibn al-Jauzi mengemukakan 5 pendapat berkenaan dengan nama malam qadar itu:

  • Dengan maksud agung. Inilah pendapat al-Zuhri
  • Dengan makna sempit kerana dunia pada malam tersebut menjadi sempit dengan ramainya malaikat yang turun. Inilah pendapat al-Khalil bin Ahmad.
  • Dengan makna hukum atau keputusan kerana pada malam tersebut semua urusan ditentukan oleh Allah SWT. Inilah pendapat Ibn Qutaibah.
  • Kerana siapa yang tidak mempunyai kemuliaan akan mendapat kemuliaan dengan melakukan ibadat pada malam tersebut. Inilah pendapat Abu Bakar al-Warraq.
  • Kerana diturunkan pada malam tersebut kitab yang mempunyai kemuliaan di samping rahmat dan malaikat juga turun pada malam tersebut. Inilah pendapat guru kami Ali bin Ubaidillah.

Sayid Qutub berkata: Terdapat ayat-ayat al-Quran yang menyebut peristiwa malam ini berkilauan memancarkan cahaya, ia melimpahkan cahaya yang tenang, indah dan mesra iaitu cahaya Allah yang gemilang di dalam al-Quran-Nya.

Syeikh al-Maraghi berkata: Malam itu ialah saat kemunculan sinar petunjuk dan hari permulaan bagi agama baru yang diturunkan kepada seseorang yang terbaik dalam kalangan seluruh manusia.

Malam ini dikira sebagai batu asas agama Islam yang menjadi penutup kepada seluruh agama para Nabi. Penurunannya adalah sesuai dengan tuntutan zaman dan tempat. Malam ini lebih baik daripada seribu bulan. Selama ini, mereka hidup dalam kegelapan syirik dan menyembah berhala. Mereka meraba-raba tanpa petunjuk dan tidak mengikut jalan kehidupan dan acuan yang sebenar.

Angka seribu mengikut kebiasaan bangsa Arab dikira sebagai suatu jumlah yang besar. Oleh itu, sebutan seribu di sini bukanlah seribu yang sebenarnya. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Tiap-tiap seorang daripada mereka suka kiranya dia boleh hidup seribu tahun.”

Pemilihan tempat dan waktu yang tertentu untuk diberikan keutamaan mempunyai hikmah tersendiri yang tinggi. Kemuliaan apa lagi yang lebih agung dari suatu malam yang menjadi permulaan turunnya cahaya dan petunjuk kepada seluruh manusia setelah berlalunya beberapa abad kaum Quraisy yang berada dalam kesesatan menyembah berhala.

Tiada lagi keagungan yang lebih tinggi dari suatu malam yang menjadi saat bersinarnya cahaya pengetahuan Ilahi ke hati Rasulullah SAW sebagai bukti rahmat kepada hamba-hambaNya. Seterusnya Nabi yang memberi khabar gembira dan buruk serta memimpin manusia ke jalan yang lurus. Baginda mendidik umat yang akhirnya dapat membebaskan diri sendiri dari belenggu perhambaan para pemerintah yang zalim. Baginda berusaha menyatukan perpecahan yang berlaku serta menyatukan mereka yang setelah sekian lama hidup berkelompok dan berpuak.

Sepatutnya umat Islam menjadikan malam kemuliaan ini sebagai malam perayaan! Malam inilah permulaan turunnya perundangan samawi (langit), yang membimbing umat Islam ke arah yang baik. Pada malam ini, mereka dapat memperbaharui janji di hadapan Tuhan mereka. Malam ini adalah pernyataan syukur terhadap segala nikmat-Nya serta mengharap pahala-Nya.

Firman Allah SWT:

تَنَزّلُ الْمَلاَئِكَةُ وَالرُّوحُ فِيْهَا بِإِذْنِ رَبِّهِمْ مِنْ كُلِّ أَمْـرٍ﴿٤﴾ سَلاَمٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ

Maksudnya: “Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin  TuhanNya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sehingga terbit fajar.”

Ibn Kathir berkata: Zahir ayat menunjukkan bahawa malam Qadar lebih afdal daripada malam Jumaat. Walaupun begitu, ada juga pendapat yang mengatakan malam Jumaat lebih afdal. Inilah pendapat kebanyakan ulama Hanbali seperti Abil Hasan al-Jazari, Abdullah bin Battah, Abu Hafs al-Barmaki dan ramai lagi.

Al-Mawardi menafsirkan maksud roh dengan menukilkan 4 pendapat:

  • Inilah pendapat Sa’id bin Jubair.
  • Malaikat Hafazah. Inilah pendapat Abi Nujaih.
  • Malaikat-malaikat yang mulia dan hampir dengan Allah SWT. Inilah pendapat Muqatil.
  • Mereka adalah tentera Allah bukan daripada kalangan malaikat. Inilah yang diriwayatkan oleh Mujahid daripada Ibn Abbas.

Pada malam itu, para malaikat turun dari alam rohani sehingga diri mereka dapat dilihat oleh Nabi SAW. Jibril AS menampakkan dirinya kepada Nabi SAW bertujuan menyampaikan wahyu. Para malaikat dapat dilihat oleh jiwa yang sempurna ini dengan keizinan Allah SWT setelah Baginda sudah dipersiapkan bagi menerima wahyu dan menyampaikan ajaran yang mengandungi kebaikan kepada mereka.

Turunnya para malaikat ke bumi adalah salah satu urusan Allah SWT . Kita tidak perlu membahaskan tentang bagaimana cara mereka turun. Cukuplah kita meyakini perkara ini dan tidak perlu kita berusaha ingin tahu bagaimana selok-belok rahsia itu. Apa yang diketahui oleh orang yang berilmu hanyalah sebahagian kecil sahaja dari alam wujud ini.

Malam itu merupakan perayaan bagi umat Islam di mana telah turunnya al-Quran dan merupakan malam kesyukuran, kebajikan dan kenikmatan. Malaikat menyertai manusia pada malam itu dan mereka mengetahui kelebihan malam tersebut dan betapa besarnya kelebihan manusia atas diri mereka. Seterusnya, Allah SWT menjadikan manusia sebagai khalifah di atas muka bumi.

TANDA LAILATUL QADR

Sebahagian para ulama telah menyebut dalam kitab masing-masing berkenaan dengan sebahagian tanda dan alamat yang mungkin dapat dilihat oleh sebahagian hamba Allah yang diizinkannya pada setiap tahun daripada bulan Ramadan. Ini kerana, banyak hadis dan pengkhabaran orang soleh serta riwayat mereka yang telah membincangkan alamat tersebut, antaranya:

  • Ubadah bin al-Somit R.A berkata secara marfu’“Sesungguhnya malam tersebut bersih terang, seolah-olah bulan yang menerangi tenang, nyaman tidak terlalu sejuk pada malam tersebut dan tidak terlalu panas dan tiadalah tempat bagi bintang untuk dilihat dengannya hingga ke waktu pagi. Dan daripada tandanya bahawa matahari pada waktu paginya keluar dalam keadaan tidak bercahaya dengan kepanasan seperti bulan penuh purnama dan syaitan tidak ada tempat untuk keluar bersamanya pada hari tersebut.
  • Daripada Ubay bin Kaab R.A menyatakan daripada Nabi SAW, sabdanya yang bermaksud: “Sesungguhnya matahari terbit pada hari tersebut tidak mempunyai cahaya dan kepanasan.”
  • Mengikut riwayat daripada ucapan Ibn Mas’ud berkata: “Sesungguhnya matahari keluar setiap hari antara dua tanduk syaitan, kecuali pagi malam qadar.” 

Seperkara yang penting ialah, jika seseorang mengetahui dan memanjangkan malam itu adalah Lailatulqadar adakah perlu diwarwarkan atau disembunyikannya?

Dalam hal ini, jumhur ulama bersepakat bahawa sunat bagi siapa yang melihat pada malam qadar untuk menyembunyikannya.

Antara hikmah disembunyikan malam Lailatulqadar adalah seperti yang disebut oleh Ibn Hajar. Beliau menukilkannya daripada Kitab al-Hawi“Bahawa ia merupakan Karamah (kemuliaan). Hendaklah disembunyikannya (malam Lailatulqadar) tanpa khilaf antara ahli Tariq (orang yang menemui Lailatulqadar) dari memandang kepada jiwa kerana dibimbangi akan dibuang nikmat, lebih besar daripada itu akan berlaku riyak kepada ahli Tariq. Mengikut adabnya pula, janganlah ia sibuk menceritakan nikmat Allah iaitu pertemuan malam Lailatulqadar untuk diwar-warkan kepada manusia kerana dibimbangi berlaku hasad dengki.”

Ibn Hajar al-Asqalani berkata: “Diambil hak tersebut berdasarkan ucapan Yaaqub kepada anaknya Yusuf, tatkala bermimpi melihat bintang matahari dan bulan sujud kepadanya.” Firman Allah SWT dalam surah Yusuf ayat ke-5:

قَالَ يَا بُنَيَّ لا تَقْصُصْ رُؤْيَاكَ عَلَى إِخْوَتِكَ فَيَكِيدُوا لَكَ كَيْدًا إِنَّ الشَّيْطَانَ لِلإنْسَانِ عَدُوٌّ مُبِينٌ

Maksudnya: Bapanya berkata: “Wahai anakku! Janganlah engkau ceritakan mimpimu kepada saudara-saudaramu, kerana aku khuatir mereka akan menjalankan sesuatu rancangan jahat terhadapmu. Sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagi manusia.”

KISAH RASULULLAH BERTEMU LAILATUL QADR

Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW sedang duduk i’tikaf semalaman suntuk pada hari-hari terakhir Bulan Suci Ramadhan. Para sahabat pun mengikuti apa yang dilakukan Nabi SAW ini. Baginda berdiri solat, mereka juga solat, baginda menadahkan tangannya untuk berdoa dan para sahabat pun turut mengaminkannya. Ketika itu langit mendung, angin pun meniup tubuh-tubuh yang memenuhi masjid. Dalam riwayat tersebut malam itu adalah malam ganjil dari bulan Ramadhan. Semasa Rasulullah SAW dan para sahabat sujud, tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya. Masjid yang tidak berbumbung itu basah dipenuhi air hujan.

Salah seorang sahabat ada yang ingin membatalkan solatnya dengan niat ingin berteduh dan lari dari saf, namun niat itu dibatalkan selepas dia melihat Rasulullah SAW dan para sahabat yang lain tetap sujud dengan khusyuk tidak bergerak. Air hujan semakin memenuhi seluruh masjid dan membasahi seluruh tubuh Rasulullah SAW serta para sahabatnya yang berada di dalam masjid tersebut, akan tetapi Rasulullah SAW dan para sahabat tetap sujud dan tidak berganjak sedikitpun dari tempatnya.

Rasulullah SAW basah kuyup dalam sujud. Namun sama sekali tidak bergerak seolah-olah Baginda sedang asyik masuk ke dalam suatu alam yang melupakan segala-galanya. Baginda SAW sedang masuk ke dalam suatu alam keindahan. Baginda sedang diliputi oleh cahaya Ilahi. Baginda takut keindahan yang baginda saksikan ini akan hilang jika Baginda bergerak dari sujudnya. Baginda SAW takut cahaya itu akan hilang jika Baginda mengangkat kepalanya. Rasulullah SAW terpaku lama sekali di dalam sujudnya. Beberapa sahabat ada yang menggigil kedinginan. Ketika Rasulullah SAW mengangkat kepala dan mengakhiri solatnya, hujan pun berhenti seketika.

Anas bin Malik, sahabat Rasulullah SAW bangun dari tempat duduknya dan berlari ingin mengambil pakaian kering untuk Rasulullah SAW. Namun baginda mencegahnya dan berkata; “Wahai Anas bin Malik, janganlah engkau mengambilkan sesuatu untukku, biarkanlah kita sama-sama basah, nanti juga pakaian kita akan kering dengan sendirinya.”

Anas pun duduk kembali dan mendengar dengan khusyuk cerita Rasulullah SAW mengapa baginda begitu lama bersujud.

Ternyata sebentar tadi Rasulullah SAW dan ketika hujan mulai turun, disaat itu juga malaikat di bawah pimpinan Jibril turun dalam keindahan dan bentuk asalnya. Mereka berbaris rapi dengan suara gemuruh tasbih dan tahmid mereka bergema di langit dan di bumi serta alam semesta ketika itu dipenuhi dengan cahaya Ilahi. Inilah yang membuat Rasulullah SAW terpaku menyaksikan keindahan dan cahaya yang sama sekali tidak pernah dilihat. Gema tasbih dan tahmid malaikat yang tak pernah didengar oleh telinga sambil memohon keampunan kepada Allah bagi sesiapa yang menghidupkan malam tersebut dalam suasana yang tidak pernah dibayangkan oleh fikiran manusia. Itulah Lailatul Qadar.

Wallahua’lam.

Tinggal beberapa hari lagi sebelum Ramadan berakhir. Marilah kita gunakan masa dan harta yang ada untuk disedekahkan kepada yang memerlukan. Jika anda berminat boleh klik pada butang “Bantu Mereka” dibawah dan  salurkan sumbangan. Terima kasih.

Sudahkah Anda Menjadi Tangan Yang Memberi?

Jika belum jom sama-sama dengan Perkim Datuk Keramat membantu mereka yang dalam kesusahan seperti ibu tunggal, mereka yang menghidap penyakit kronik dan pelbagai lagi. Sesungguhnya sedikit sumbangan anda, memberi 1000 kemanisan untuk mereka

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *